Brock, Rush dan Fender bukanlah nama sebenar mereka. Itu adalah nama glamour semasa mereka masih bersama menganggotai sebuah kumpulan rock kapak - X-Kaliber dulu. Brock adalah bassist, Fender pula seorang gitaris manakala Rush, yang paling tua di antara mereka, seorang percussionist.
Dulu, sekitar pertengahan 1990-an, mereka serta beberapa lagi anggota, cukup dikenali. Walaupun dari latar tempat dan usia yang berbeza, mereka memainkan peranan hingga kumpulan X-Kaliber mampu berdiri sama gagah dengan kumpulan-kumpulan rock yang lain. Meski setiap mereka pernah bersama band yang berbeza sebelumnya, namun kolaborasi dalam X-Kaliber boleh dikatakan sebagai puncak kegemilangan di arena rock. Band itu tidak hanya dikenali di utara Semenanjung, malah diterima oleh peminat rock dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Malangnya, memasuki millenium baru [Y2K], kumpulan itu terpaksa berpecah dengan pelbagai sebab yang ditakdirkan. Brock menyertai sebuah kumpulan lain. Fender pula dipujuk mengisi kekosongan di sebuah band berdekatan rumahnya. Rush, dengan sebab tersendiri, meninggalkan terus arena muzik.
Suasana hening ketika bercerita tentang kematian yang menjemput salah seorang anggota band baru-baru ini. Kenangan bersama arwah, yang merupakan pemain gitar kedua, dicungkil dalam nada perlahan dan disulami rasa sayu. Masing-masing berkongsi cerita peribadi semasa bersama arwah.
Suasana ceria tatkala berkisah berkenaan bekas anggota, Matt, yang bakal mendapat menantu pertama selepas Ramadan nanti. Diimbau tentang ahli tersebut dengan sisi lucu semasa sama-sama membuat persembahan mahupun sewaktu berada di belakang pentas.
Kemudian mereka mengenang, Cathleen, penyanyi wanita yang kini menganggotai kumpulan lain di pinggir Alor Setar. Dia yang dianggap jelita oleh peminat semasa bersama X-Kaliber, khabarnya cukup pandai menjaga penampilan diri dan masih seanggun dulu, meski telah 12 tahun meninggalkan grup. Namun itu hanyalah dari cerita Fender yang melihat wajah terbaru Cathleen dalam facebook. Hakikatnya, tiada siapa antara mereka bertiga pernah berjumpa sendiri dengan Cathleen sejak beliau mengambil keputusan untuk bertukar arah dari penyanyi rock kepada penyanyi lagu-lagu berirama Malaysia....
Paling banyak disebut adalah pertemuan setiap mereka dengan beberapa peminat yang bertebaran menjalani kehidupan berkeluarga di seluruh Malaysia. Setiap peminat itu, yang melalui dunia remaja bersama X-Kaliber, selain mengimbau detik kemuncak, turut mengesali pembubarannya. Ramai yang mencadangkan X-Kaliber dihidupkan semula meski mereka tahu tidak akan ada anggota asalnya. Ramai pula yang dengan penuh emosi memarahi kumpulan OnCharity yang membuat persembahan rock kapak kini. Bagi mereka kewujudan kumpulan itu hanya merosak serta mencemarkan lagu-lagu rock.
Demikianlah.
Saya dan Cikgu Non bertemu Cikgu Faisal di restoran di hadapan Hospital Daerah Yan, malam tadi. Berbual hingga melewati hari lain. Saya tidak pandai melukis karikatur. Maka saya catatkan seperti di atas ,,,,
Boleh?
No comments:
Post a Comment