3 March 2014

“Dia Mengaji di Falah Juga Ka...?"

Saya selama ini hanya berada di tiga tempat. Permatang Ibus – Kubor Panjang – Simpang Empat. Berpusing macam mana pun hanya sekitar kawasan parlimen Kuala Kedah dengan kawasan parlimen Pendang serta sedikit kawasan parlimen Pokok Sena.

Sayangnya, saya jarang bertemu dengan budak Falah yang tinggal di sekitar kawasan sekolah agama milik rakyat tersebut. Bukan jauh pun rumah saya dengan Kg Perlis, Seberang Alor, Tebengau, Alor Ibus, Selarong Batak, Kangkong, Alor Pulai, Sungai Nonang, Sungai Papan, Teluk Bulang, dan Padang Jambu dan Kg Permatang Ibus…

Memanglah ramai yang tidak tinggal di kampung masing-masing kerana, terutamanya, dua faktor: kerja dan ikut isteri atau suami. Padat dan sesaklah kampung kalau semua tidak berhijrah atau berkahwin pun dengan orang sekitar kampung sahaja – dengan kadar kelahiran bayi yang rendah sekali pun… 

Tetapi ke manakah atau bagaimanakah duduknya budak Falah yang memang tidak berhijrah ke mana-mana – walaupun sudah berkahwin [serta beranak-pinak] dan bekerja? Kenapa saya tidak berjumpa mereka tatkala hanya berada di sekitar, selama berdekad-dekad?

Kalau saya jenis YB yang amat sibuk sehingga terlupa meronda kawasan, atau terlupa pada manifesto pilihanraya, lainlah. Ini, setiap hari jalan tar sekitar daerah saya latam. Kenapa saya tidak terserempak dengan mereka?

Contoh terbaru adalah budak Falah dari Sungai Nonang ini.

Bila saya mengaji situ, cikgu?” tanyanya setelah lama kami berbual.

Laa…

“Tahun 1983” kata saya, terasa seperti kerani arkib pula. Tetapi apa mahu dikata, dia memang agak pelupa. Atau banyak yang sudah hilang dari memorinya dek putaran masa. Berjumpa saya agaknya barulah tercungkil semula serba sedikit.

“Ha. Tahun ’83… lama noo,”katanya pula, tetapi bukan kepada saya. Sebaliknya kepada isteri serta anak-anaknya yang mendengar perbualan kami. Isteri dan anak-anaknya tersenyum, mengangguk-angguk.

Suatu petang nan redup, saya baru sahaja menghantar sepinggan kuetiau char yang diiringi teh o ais ke usus besar. Diamlah sebentar irama keroncong yang saya dengar sejak selepas solat Asar. Boleh bertahan sehingga masuknya waktu Isyak pun cukuplah…

Ketika akan meninggalkan gerai mudahalih di simpang Teluk Bagan, Tandop itu, saya ternampak dia. Kami saling memandang. Spesies saya pula, kalau sudah ada sesi pandang-memandang begitu [kerana yakin samada kenal atau dikenali atau saling mengenali], pantang kalau tidak terus mendekati. Kami bersalaman. Dia mempelawa saya duduk, sambil menyuruh anak lelakinya berengsot ke kerusi lain. Isterinya bersama tiga anaknya yang lain memang berada di keliling meja bersebelahan. Masing-masing sedang menghadap samada kuetiau char atau kuetiau kerang.

“Dulu cikgu ka ustaz ka, tak tau… lupa dah…” bauran tanya dan akuinya sambil mempelawa saya meminta minuman. Saya menolak. Maklumlah masih di gerai yang sama. Malulah pula kepada gadis pengangkat minuman. Baru sat-sat minum di meja lain…

“Cikgu…” balas saya. Bukan salah dia. Dia sedang cuba menggamit memorinya. Maklumlah, dah lama dah…

“Cikgu… cikgu apa tak tau… tapi belakang ada Din….” kata lagi budak Sungai Nonang itu dengan ramahnya. Saya tersenyum terus. Jangan nanti ditanya jantina saya pula, sudahlah, batin saya menyakat.

Saya pun menyebut nama yang menjadi pilihan bersama emak dan ayah ketika menyambut kelahiran diri ini lebih setengah abad nan lalu…

Budak Sungai Nonang itu [kini menetap di Teluk Bulang, di dalam mukim Tebengau juga, mungkin kampung asal mertuanya…] tersengih. Ada rasa serba salah dalam sengihan itu. Dia mengangguk sambil menyebut nama sebena saya itu dua tiga kali. Agaknya dia menyimpan semula ke dalam memori.

“Hehehe… saya lupa. Dulu bukan ramai pun cikgu… Cikgu Ramlah [Johari], Cikgu Rahim [Daud], Ustaz Zahari [Ahmad]Ustaz Firud [Fairose Azizan]…Ustazah… Ustazah apa…. Yang duk belakang Falah ‘tu…” dia kembali ‘hilang’.

Ustazah Rodziah [Ahmad]…” tukas saya.

“Ha … Ustazah Rodziah… ‘tu saja guru masa ‘tu… sorang lagi ustaz apa ‘tu?” dia hilang lagi…

Ustaz Zubaidi [Ariffin]..”

“Ha… Ustaz Zubaidi! ‘Tu saja guru masa ‘tu….” katanya.

Saya biarkan dia bercakap. Bukannya dihalakan  wajahnya kepada saya. Ertinya cakapnya pun bukan untuk saya. Tetapi untuk anak isterinya yang tekun mendengar.

“Cikgu Ramlah ‘dah meninggal…” kata saya sebaik melihat wajahnya dihadapkan ke muka saya. Dia separuh terkejut. “Bila?”tanyanya pantas.

“Masa kempen PRK Sungai Limau dulu…”kata saya. Dia mengangguk. Kemudian memalingkan wajahnya kepada isterinya, sambil menyebut bahawa Cikgu Ramlah telah tiada. Isterinya juga macam tersentak sedikit. Keluar soalan seperti soalan suaminya tadi. Saya mengulang jawab.

“Dok jumpa ka dengan arwah ‘tu dulu?” tanya saya, sedikit keliru.

“Jumpa. Dulula. Dia meniaga dekat tapak saya meniaga…”

“Di mana?”

“Kola..”

Saya tepilanjat. Arwah Cikgu Ramlah berniaga di Kola dan tidak seorang pun budak Falah dari kawasan itu pernah memberitahu saya… Ataukah tidak ada seorang budak Falah dari Kola pun yang mengenali Cikgu Ramlah…

“Dok meniaga apa ‘ni?” saya mencungkil. Tetapi cungkilan itu tidak membuahkan hasil sebab dijawabnya pantas “meniaga sikit-sikit, cikgu…” Terlalu subjektif ‘sikit-sikit’ itu tetapi saya tidak melanjutkan cungkilan. Ada kawan saya meniaga sikit-sikit juga di kampung – jual air daun ketum. Ada kawan lain meniaga sikit-sikit juga di Lembah Kelang – laku satu dua saja sebulan: kereta mewah dari Eropah. Akan sikit-sikit pemastautin Teluk Bulang ini, nantilah saya selidik dari genre yang mana…

“Maaf, yang ‘ni nama apa? Zulkifli Azizan ‘tu abang, kan?” saya bertanya. Sejak tadi saya sedang tercari-cari namanya. Saya kenal wajahnya, tetapi namanya tidak timbul… Bukan salah saya. Ada berapa ratus [mungkin hampir seribu] budak Falah dalam tempoh 19 tahun saya di bumi yang masih terjajah itu. Manalah sempat diingat semua nama serta-merta. Di pinggir meja gerai kuetiau pula, tengah menjelang senja lagi…

“Saya Shamsuri. Zul ‘tu abang.”katanya.

Barulah saya teringat nama itu. Nampak tubuh kecilnya berwajah comel dengan anak mata yang sedikit  perang semasa masuk kelas Peralihan – 31 tahun dahulu! Dan saya memanggilnya ikut cara orang putih: memanggil nama ayahnya – Azizan!

Tetapi kini, hanya bingkai wajahnya yang masih tersisa untuk dikenali. Tubuh tidak lagi segenit dahulu. Perang pada anak matanya entah ke mana. Demikian pula pipi dan dagu dulu nan licin, tak te rnoda…

“La ‘ni dah berubah banyak cikgu oi…. “kata Shamsuri, macam tahu-tahu sahaja apa yang ada di kepala ini… “Gigi pun tak dak dah…. Saya eksiden dulu, cikgu oi…..” sambungnya.

Saya mengangguk dan tersengih, tetapi cuba menyembunyikan seset gigi sendiri yang juga sudah lama tidak cukup 32 batang seperti jumlah sepatutnya gigi manusia normal…

Maka banyaklah yang keluar pada perbualan selepas itu. Lintang-pukang isinya kerana Shamsuri mengeluarkan apa sahaja yang terlintas.

Dia  perkenalkan diri ini kepada anak dan samatuanya. Mereka semua mengangguk dan tersenyum. Sempatlah secara ringkas dia memperkenalkan juga sekolahnya kepada ahli keluarga.

“Saya sama dengan SofiDom [Nizom Hashim] Yasmin…cikgu oi..” katanya. Agaknya dia tidak tahu bahawa dengan mengingat saja tahun kemasukannya ke AlFalah [1983] itu, Insyaallah, senang-senang saya boleh menyebut dua dozen nama dalam dua nafas… Saya biarkan dia mencuba mengimbas masa lalunya, dengan sekadar mengangguk, mengiakan cakapnya.

Dia menyebut tiga nama lagi setelah berfikir sejenak: Nazri Md Fazil, Luqman Aziz  dan Che Puteh Md Ariff.

Suwita [bin Don]..” saya mencelah.

“Ha. Suwita … “katanya yang agaknya terlupa pada nama seorang lagi anak semukim. Kemudian lancar pula disebutnya empat lima nama sambil melipat-lipat  empat lima jari tangannya. Semuanya nama pelajar sekelasnya dahulu. Tidaklah sempat saya catat nama-nama berkenaan di memori untuk dimuatkan di sini. Tetapi saya boleh mengesahkan bahawa yang disebut itu memang nama pelajar Peralihan ’83 yang dua kelasnya terpisah oleh pemidang tergantung di bawah bangunan yang tahun berikutnya [1984] menjadi asrama puteri.

S Kamaruddin…”tokok saya lagi sekadar untuk memulihkan lagi ingatannya. Tetapi Shamsuri tidak memberi  reaksi. Agaknya dia telah terlupa nama budak Teluk Bulang juga yang seusianya itu. Saya sentiasa mengingat nama itu kerana masih menyimpan misteri kenapa nama berkenaan ada awalan ‘S’, sedangkan bukan berbinkan S juga, kalaulah  huruf itu bermaksud Syed… Ayahnya bernama Ariffin sahaja. Bukan S Airffin…
“Yang dok di Bukit Raya ‘tu nama apa…. Depa kata dah mati, ‘kan?” katanya.

“Ya. Kholijah Awang… Dah lama meninggal…tahun 90-an dulu…” balas saya. Shamsuri mengangguk dan menelan kuetiau yang agak lama berada di fasa kunyahan.

Sambil dia tercari-cari lagi nama rakan, saya sebutkan tentang blog ini. Cepat ditepuknya poket seluar kiri dan kanan sebelum perasan tiada pena atau kertas di situ. “Tulih.. tulih…” katanya kepada anak lelakinya yang asyik melihat si ayah berbual dengan bekas guru… Anak lelaki tunggal itu meminta saya mengulang sebut alamat blog ini sambil menyuruh pula kakaknya di meja sebelah bersama samatua Shamsuri, menaip ke telefon pintarnya. Dengan senang hati saya pun menyebut malah mengeja untuknya. Sekurang-kurangnya akan bertambah dua orang pembaca walaupun yakin Shamsuri – berdasarkan pengakuannya - bukanlah termasuk dalam dua itu…

Dia menyebut lagi empat lima nama rakan sekelas yang muncul di benaknya. Saya seronok melihat bersinar matanya tatkala berjaya mengingat nama-nama berkenaan. Seorang dua malah dinyatakan tempat tinggal terkini mereka. Dia juga menyebut nama Azizan bin Md Zain…. yang kini menetap di pulau legenda Mahsuri, sama dengan master Chef Dom [abang Tan Sri dari Alor Ibus...] Saya dapat membayangkan Azizan tersebut, tetapi dalam uniform sekolah dahululah – berkulit hitam manis dengan rambut yang sedikit kerinting. Panjang juga dia bercerita tentang Azizan dan Dom, agaknya kerana mereka pernah berjumpa dan bertukar khabar. Maklumlah, Shamsuri berniaga di sekitar Kuala Kedah manakala jeti feri ke dan dari Langkawi bukannya terletak di Kuala Pegang atau Kuala Nerang…

“Yang menikah dengan Ustaz Zubaidi ‘tu… nama apa?”tiba-tiba tanyanya. Barangkali teringat rupa tetapi tidak timbul nama – sama seperti saya tadi.

Rubiah [Baharom]…” balas saya lalu disambutnya nama itu sambil bertanya tempat bertugas bekas ustaz dari Alor Pulai itu.

“Kelantan, kalau tidak silap…” kata saya.

“Ustaz jadi pegawai polis, ‘kan?” tanyanya pula. Saya mengangguk.

Kemudian, sekali lagi dia menyebut beberapa nama lain. Saya mengangguk juga. Memang dia mula mengingat lepasan sekolah rendah sepertinya yang ditakdirkan menjadi pelajar perintis AlFalah yang cuba dijenamakan semula pada awal dekad 80-an itu.

“Dengar kata Zaidi … budak Permatang Buloh dah mati, ‘kan?” soalnya yang membuatkan saya terkejut. Dua tiga bulan lalu saya berbual dengan Zaidi Md Desa yang kini menetap di Kulim, hasil usaha Cikgu Non menjejaknya semasa berkursus di bandar perindustrian itu.

“Bila?” tanya saya.

“Lama ‘dah kut…” balas Shamsuri perlahan. “Saya baru tahu dua tiga tahun lepas…”

Dua tiga tahun lepas?

Sahlah dia mendapat maklumat yang salah. Kalau dia menghadiahkan bacaan AlFatihah kepada arwah Zaidi, ertinya semasa hidup lagi pengusaha restoran itu mendapat ganjaran…

“Silap orang kut… Zaidi dok ada lagi aih! Hari ‘tu saya bercakap dengan dia. Buka restoran. Bininya, kalau tidak silap,  cikgu ka pensyarah ka…” saya menjelaskan. Shamsuri sedikit tepilanjat. Siaplah pemberi maklumatnya nanti…

“Cikgu ada nombor dia?” tanyanya.

Saya mengangguk. Tunduk mencari nombor talian Zaidi di dalam telefon yang diletakkan di atas peha di bawah meja. Saya faham sangat dengan telefon jenama Cokia ini – kalau tahu lawan berbual saya ada telefon pintar, tak usah dipujuk bagaimana pun, tidak akan mahunya keluar. Rasa rendah dirinya amat tebal. “I’m stupid – not smart…” begitu katanya selalu – perlahan dan lembut - kalau ditanya kenapa gemar juga menyendiri tatkala ada kaum kerabat di sekitar. Memang tidak akan berlaku sapa-menyapa sesama mereka

Setelah mendapat nombor Zaidi, saya pun menyebutnya lambat-lambat.

Tulih… tulih… “ arah Shamsuri kepada anaknya. Si anak yang patuh itu pun  menulih di telefonnya angka-angka yang saya sebutkan. “Malam ‘ni saya nak call dia tengok…” tambah Shamsuri sambil tersenyum. “Nak bersembang dengan dia…” Saya juga tersenyum, mengharapkan akan terjalin semula ukhuwah sesama mereka…

Kemudian baru saya teringat seperkara: Yang dimaksudkan meninggal dunia adalah Zamri Sehak yang hampir semua budak Falah – terutama penghuni asrama - memanggilnya Footbear. Barangkali kematian junior Shamsuri dua tiga tahun itulah yang sampai kepadanya. Saya maklumkan kebarangkalian itu dan Shamsuri mendongak selepas mengangguk sedikit – agaknya mencari wajah arwah yang berasal dari Kg Perigi, Yan itu.

Mata Shamsuri sedikit terbeliak ketika saya maklumkan bahawa telah tiga kali majlis perjumpaan raya budak Falah diadakan. Dia memang tidak tahu. Dia menoleh kepada isterinya dan memberitahukan hal yang saya cakapkan itu seolah samatuanya itu tidak mendengar dari mulut saya tadi. Isterinya tergelak dan mengangguk.

“Ramai ka yang mai?” tanyanya penuh minat.

Dan minatnya pula pasti bertambah apabila saya rangkumkan semua insan dari eranya yang pernah muncul dalam tiga edisi perjumpaan itu. Ternganga mulutnya apabila saya sebutkan rakan-rakan Peralihannya: Husin Abdul Hamid, Sofi Ahmad, Norlizah Saad, Norhayati Ramli, Che Hasnah Derani, Che Puteh Md Ariff, Abdul Khodir Md Arif, Mohd Nizom Hashim, Suwita Don; serta beberapa juniornya termasuk Pawang Nujum, Rofidi Ramli, Ahmad Nazri [adik Nizom], Mohd Zairi [adik Abdul Khodir], Nurezzini Nayan [adik Yasmin]; tidak ketinggalan kemunculan Suhaimi Md Shah, pelajar tingkatan Tiga [Akademik] dari Kola. Berdecit-decit mulutnya serta dua tiga kali melipat jari cuba mengira nama yang saya sebut. 

“Ramai noo. Syok cikgu noo, jumpa kawan-kawan lama..”Shamsuri bersuara perlahan. Saya biarkan dia membayangkan sendiri. “Saya tak tau, cikgu oi…”katanya lagi, bersalut kesal. Dia kemudian menoleh ke arah samatuanya, seperti meminta pengertian atau menyuruh menumpang kesal…

“Adik kamu pun pi! Takkan dia tak bagitau?” tanya saya pula, berpalit kehairanan.

“Adik? Adik mana?” tanya balik Shamsuri.

“Shahabudin. Shahabudin Azizan ‘tu adik kamu ‘kan?” saya memandang tepat wajahnya yang pada bahagian mulut sedang menyedut minuman bagi menunda kuetiau yang tersangkut di kerongkong…

Shamsuri mengangguk. “Aik, adik saya mengaji di Falah juga ka cikgu?” tanyanya.

Aikk?

“Mertua dia orang Taman Bersatu, ‘kan?”tanya saya menindan pertanyaannya, bagi mencari kesahihan. Dia melopong dan mengangguk.

“Cikgu kenai adik saya?”

Saya mengangguk. Apa tidak kenainya? Kalau diminta semua nama rakan sekelas Shahabudin pun saya boleh berikan. Eleh, dengan satu klik sahaja… ke blog ini…. Hehehehe.

“Dia mengaji di Falah juga ka cikgu?”

Laa…

“Saya pun lupa cikgu oi… saya ingat saya dengan Zul saja mengaji di situ..” Shamsuri menjawab sendiri apabila melihat saya hanya terdiam memikirkan betapa dia boleh terlupa adiknya juga adalah budak Falah. Apabila saya tidak juga berkata apa-apa, Shamsuri tertawa pula, agaknya lucu dan pelik dengan soalan tentang adiknya tadi.

Saya sebenarnya terkenang petang perjumpaan raya tahun lalu bagaimana Shahabudin yang sedang tergesa-gesa untuk kembali ke Kuala Lumpur, singgah sebentar meraikan majlis. Sempat bersalam dan berbual dengan beberapa orang ketika sebahagian tetamu sudah pun berangkat pulang. Rasanya dia tidak sempat berjumpa Cikgu Siti Khodijah, Cikgu Hasnah Zaini, Ustaz Fairose, Ustaz Md Daud Daei dan Cikgu Non. Bergaya sungguh Shahabudin petang itu …

“Tahun ‘ni pi la,” kata saya. “Raya keempat, petang. Di Taman Bersatu…”

“Insyaallah…” balas Shamsuri. Diulangnya kalimat itu dua kali lagi, serta mengingatkan isterinya untuk ikut sama. Anak-anaknya tergelak.

Kami berpisah setelah saya mendapatkan nombor telefonnya [anaknya yang berikan] dengan harapan untuk lebih kerap bertemu. Bukannya jauh Teluk Bulang dengan kediaman saya … Nantilah.

Demikianlah.

Sebuah pertemuan biasa-biasa yang cukup membekas di hati ini.

Dalam jarak tidak sampai pun lima kilometer dari rumah emak ayah dengan rumahnya, kami tidak pernah bertemu semenjak dia tinggalkan AlFalah. Tidak juga bertembung dengannya di rumah seorang lagi abangnya, Fauzi, yang berkahwin dengan jiran sekampung merangkap anak murid, Salmiah Hassan @ Yusof.

Memikirkan sedemikian, saya cukup bersyukur dengan kemunculan acara perjumpaan raya yang bakal memasuki kali keempat pada 4 Syawal nanti. Semukim atau sekariah pun tidak pernah bersua, apatah lagi terpisah jauh, dalam masa yang panjang pula…

Maka perjumpaan sedemikianlah yang sekurang-kurangnya dapat menghubungkan diri dengan beberapa ratus budak Falah yang lain.

Secara peribadi, tanpa majlis begitu, kekallah saya mengetahui perkembangan hanya beberapa individu dari Falah di sekitar tangga

Jom, budak Falah, ikut serta nanti, ya!

Eleh, lupakanlah perbezaan [kalau ada…] hehehe…

Kita ada persamaan, tau?: pernah bersama di bawah langit AlFalah!

Nota tumit:

Menurut Saifol Adly Hassan, dalam sembang santai yang disertai sama Sazaziz Saad beberapa hari lalu, dia mengenali Shamsuri sudah lama, tetapi tidak tahu pula insan peramah itu adalah juga budak Falah. Dia kenal berdasarkan perniagaan Shamsuri di Kola. Perniagaan apa? Saya tidak sabar mahu tahu ‘meniaga kecil-kecil’ itu. Saifol membisikkan Shamsuri berniaga bahan putih berdekatan pasar Kola.

Saya terkejut. Bahaya ‘ni, fikir saya. Seluruh dunia tahu. Bahan putih itu, kalau disalahgunakan atau diambil secara berlebihan, memang akan memudaratkan tubuh…

Pasar Kola  bukankah bersebelahan Balai Polis Kola? Banyak kalilah gamaknya polis sendiri singgah di tempat Shamsuri berniaga itu. Kerana keramahan Shamruri, gamaknya lagi, boleh pula bapak polis itu berlalu pulang dengan selamba. Gamaknya terus, mereka tidak tahu pun nama penuh budak Falah itu. Yang mereka [serta Saifol dan orang Kola lain] tahu: panggilan untuknya adalah Sham Santan, berdasarkan bahan jualannya… hehehehe...