30 December 2014

Allah...Tak Tahulah...



Pagi Jumaat terakhir tahun 2014, saya minum bersarapan bersama Wira di depan Taman Restu, Batas Paip. Hanya gerai roti canai dan minuma dibuka.

Pagi itu saya berpeluang bertemu beberapa BF dari beberapa generasi.

Mulanya, disapa Abdul Latif Ismail, BF dari Kg Perlis. Dia bersama keluarga sengaja datang bersarapan di situ.

Kemudian muncul Mohd Yusri Haron bersama isteri dan dua anak. Dalam perjalanan pulang dari pasar, mereka singgah di situ untuk membeli roti canai.

Kemudian lagi, datang Saiful bersama anak tunggalnya. Mereka makan di situ dengan anaknya begitu asyik bertumpu ke gajet.

Dalam sejam lebih di situ, Wira meminta diri untuk ke pasar bersama isteri. Sebaik dia hilang dari pandangan dan saya berkira-kira untuk pulang, Husin datang bersama anak pokok pisang bunga. Saya tidak menjangkanya, sebab tidak pun saya pesan  begitu di dalam WhatsApp kepadanya. Saya hanya pesankan dia membawa pendrive bagi menyalin klip video budakfalah yang belum ditontonnya.

Setelah bersembang sedikit dengannya serta Saiful, saya pun berundur. Mahu menanam pisang itu sebelum solat Jumaat serta berjanji akan mengembalikan pendrive itu secepat mungkin – malam nanti atau esoknya.

Malamnya, saya mahu menghantar pendrive yang telah saya masukkan lebih dua dozen klip video garapan seorang yang buta tentang pembikinan klip, tetapi bolehlah ditonton setakat mana yang ada…

Saya dihubungi Husin, setelah dua panggilan awal saya tidak dijawabnya. Melalui Wira gamaknya dia tahu panggilan yang tidak berjawab itu.

“Cikgu mai Kola…”katanya.

Sudah! Jangkaan saya mahu bertemunya sekitar Batas Paip sahaja. Gerimis mengundang….errr…bertandang ketika itu.

“Tang mana?”Tanya saya. Kalau tempat dia selalu menyembang dengan kawan-kawannya, saya tidak akan pergi. Saya tidak mahu berjangkit virus sembang mereka…

“Mai tang rumah mertua saya…”balas Husin, “mertua saya pun ada ni…”

Apalah agaknya yang sedang Husin alami sehingga menyuruh saya ke situ? Memang saya pernah ke rumah berkenaan bersama Husin bagi bertemu bapa mertuanya, tetapi malangnya orang yang ingin saya temui itu tiada di rumah.

 Sedang sakitkah bapa mertuanya?

Tentu ada sesuatu. Jika tidak, baik bertemu saja di Batas Paip…

Jangan-jangan ada jamuan kecil-kecilan…

Jangan-jangan ada kambing panggang…

Gerimis saya redah. Jalan sunyi. Rumah Hajah Roselah, bekas kerani AlFalah dahulu, kelihatan sunyi dan kelam. Restoran Awie pun sunyi walaupun cerah. Balai polis nampak sepi. Masjid lama Kola lagi sunyi.

Lampu isyarat pun seperti malas nyalanya. Agaknya jemu dengan rutin sendiri. Lepas merah, hijau. Lepas hijau, kuning. Lepas kuning, merah. Gamaknya akan cerialah kalau pertukaran warna itu diubah sesekali….

Saya melintasi Pulau Gezambo dengan perlahan dan berhati-hati. Takut enjin motor saya mengganggu Mar Isma atau ZulSham yang mungkin sedang diulit mimpi. Malam itu tentu mereka tidur awal. Tiada rancangan gusti – sukan kegemaran ZulSham - di mana-mana saluran tv.

Masuk ke lorong rumah mertuanya, dari jauh saya sudah nampak kelibat Husin. Dia baru keluar dari rumah berkenaan, gamaknya kenal dengan suara motor saya.

“Ada apa suruh saya mai sampai sini?”Tanya saya.

“Sajala…”katanya dalam suara yang cukup lembut.

Laaa….

Yang lain saya tak tahu. Yang saya nampak ada kambing tanpa kepala dan kulit, berlumur perencah khas, sedang terbang di atas kepala, di bawa angin timur menuju ke pintu kuala…

Husin membuka pintu sekadar memberitahu kehadiran saya. Samatuanya menjenguk, tersenyum, lalu mempersilakan saya duduk di kusyen di depan rumah. Husin menjenguk ke dalam lagi. Memberitahu mertuanya yang berdua. Ibu mertuanya menjenguk sepintas.

“Sapa?” terdengar suara lelaki di dalam rumah.

“Cikgu Din…. Hak mengajaq di Sekolah Falah dulu nuuu…”balas Husin.

“Oooo…”terdengar suara lelaki itu. Sepatah tetapi dalam empat harkat.

Sebentar kemudian muncul wajah yang empunya suara itu. Tidak berbaju.

Azmi bin Hj Mohd Nor.

Berusia 67 tahun. Ayah kepada tujuh anak, seorang daripadanya telah meninggal dunia ketika sudah berusia 30 tahun. Ada dua lagi anaknya yang belum berkahwin. Seorang perempuan, kerani di sebuah sekolah sekitar Kola dan seorang lelaki, imam muda di sebuah masjid sekitar Permatang Pauh, selain menjadi guru di pusat tahfiz.
 
Dua puluh tahun dahulu, dialah pemandu bas sekolah dari Kola ke AlFalah. Sebelumnya, bas itu dipandu oleh Pak Jan dari Taman Seri Putera, Kola. Mereka mempunyai seorang konduktor – Allahyarham Paklong Senapi – datuk saudara kepada Quinary M [Mazura, Mazlan, Mazni dan Maslina Mansor dari Lorong 8].

Pak Mi atau bagi saya, Bang Mi cukup rapat dengan saya, Cikgu Non dan Ustaz Fairose semasa di AlFalah dahulu. Banyak kali kami ke rumahnya, sebanyak kali kami ke rumah Paklong Senapi.

Di sekolah, jika tiada kelas, dan kebetulan Bang Mi serta Paklong Senapi sudah sampai bersama bas separuh umur, di atas bas itulah kami bersembang dan bermesra. Bercerita seadanya. Tentang Kola. Tentang keluarga. Tentang sekolah. Tentang anak-anak AlFalah, penumpang bas mereka.

Paklong Senapi peminat bolasepak. Kerap juga kami menonton siaran langsung bola domestic di rumahnya. Seronoknya melihat gelagat Paklong Senapi melentokkan kepala menuruti pergerakan bola. Kalau serangan di lakukan ke arah kanan, mata dan kepalanya akan dilentokkan ke kanan hingga kadang kala melepasi peti tv… Begitulah pula jika sebaliknya arah serangan…

Itulah antara yang kami kenang bersama ketika berbual pada malam itu. Kami bagai terpelanting ke masa lalu. Husin yang berada di sisi kami menjadi tidak wujud sekejap…

Saya lahirkan kesalan kerana tidak mengetahui kematian Paklong Senapi. Hanya selepas beberapa lama kami dimaklumkan.

Bang Mi sendiri bermasalah dengan matanya.  Itulah puncanya dia tidak lagi memandu bas. “Berhenti dari bawa bas ke Falah, saya batalkan terus lesen bas, lori…”katanya.

“Allah….tak taulah….”desahnya.

[Di sebalik usia yang bertambah dek perjalanan masa, penglihatan yang tidak seperti dahulu, ada dua tiga perkara yang saya dapati tidak berubah pada Bang Mi: Sosok tubuh, keramahan dan desahan sebegitulah.

Tubuh bang Mi setegap dahulu – dua dekad dahulu. Dia tidak berbaju, maka tidaklah saya minta Husin mengelik sekali wajah mertuanya untuk tatapan BF yang pernah mengenalinya.

Meski lebih sedekad tidak bertemu, Bang Mi masih berbual seperti dahulu dengan saya, seperti perbualan kami di atas basnya sementara menunggu loceng akhir AlFalah dibunyikan…

“Allah…tak tahulah…”sejak dahulu juga telah ada di mulut Bang Mi. Setiap kali kalimat terhenti dalam lima enam detik, atau selesai sesuatu topik perbualan, itulah yang Bang Mi sebut.

Malam itu sahaja, saya sempat menghitung setakat sepuluh kalai desahan sebegitu diluncurkan dari bibirnya….]

 Kini dia hanya menggunakan satu mata untuk melihat. Mata kanannya telah lama kehilangan fungsi. Bagaimana pun dia masih boleh memandu kereta ke merata tempat. Ke rumah kenduri atau menziarahi keluarga. [Saya baru tahu ada adik kandungnya tinggal di Simpang Kangkong – Batas Paip. Jalan menghala ke rumah Cikgu Rahim di Kg Hj Jamal.] Cuma sesekali masalah muncul. Antaranya, dengan menggunakan kereta menantunya, Husin, dia pernah terlajak ke longkang di Taman Bersatu. “Biasalah…”kata saya. “Yang dua dan empat mata pun kadangkala terbabas juga…” Bang Mi tergelak.

Kini Bang Mi bersara sepenuhnya dari sebarang kerja rutin. Ada penyakit kencing manis dan darah tinggi dihidapi. Namun saya tertarik apabila dinyatakan tidak pernah memakan sebarang ubat dari klinik atau hospital. “Ada caranya…”kata Bang Mi. Dia hanya menggunakan cara kampung. Saya terpesona pada jenis daun yang dimakan dan dos yang digunakan. Semudah ABC bagi Bang Mi. Ketika dia bercerita itu, saya nampak menantunya mendengar dengan teliti.

Samatua Husin muncul di balik pintu,  menghulurkan dulang yang mengandungi tiga cawan kopi. Bang Mi mempelawa saya minum sebelum dia sendiri meneguk buat kali pertama. Saya hanya mengangguk serta mahu membiarkan kopi o panas itu suam sedikit. Husin memang tidak banyak bercakap, berbanding ketika bersama saya dan Wira atau kawan-kawan lain di mana-mana tempat kami berkumpul.

“Minumla…”kata Bang Mi sekali lagi.

Saya mencapai cawan. Mahu membuat hirupan. Belumpun sampai ke mulut, satu soalan Bang Mi muncul.

“Bini hang hak dulu mati nooo…”kata atau tanyanya.

Saya letakkan kembali cawan kopi ke dulang. Bukan sangat mahu bercerita tentangnya, tetapi lebih kepada rasa terkedu. Ingat lagi Bang Mi kepada almarhumah isteri saya.

Saya mengiakan sekali.

“Ada depa habaq kat saya… Sapa tak tau…Lama dah la…”kata Bang Mi tanpa melihat ke wajah saya.

“Anak kami dah sembilan belas tahun…”kata saya.

“Lama dah nooo…”kata Bang Mi pula.

Kami terdiam seketika selepas itu. Barangkali Bang Mi mengira jarak masa yang berlalu. Saya pula tiba-tiba teringat kepada permata pertama saya itu…

Dahulu, Bang Mi ada sebuah rumah di tanah rezab tali air di tepi laut Alor Ibus. Rumah separuh siap itu pernah saya kunjungi. Kini tapak rumah itu telah berpindah ke tangan orang lain. Dijualnya. Lama sebelum Husin menjadi menantunya. Hasil jualan itu digunakan untuk membeli tanah di daerah Pendang. Setelah tanah itu dibersihkan, datang tuantanah menunjukkan gerannya. Sah, Bang Mi dan kawan-kawannya ditipu sindiket… Dan, di depan saya, Bang Mi masih boleh tertawa tatkala bercerita…

Sempat saya singgung bagaimana Bang Mi boleh menerima Husin sebagai menantu. Husin tersenyum. “Nak buat macam mana…”kata Bang Mi dalam gelaknya.

Husin adalah salah seorang penumpang bas sekolah yang Bang Mi pandu. Agaknya dari situlah mereka berkenal dan timbul rasa berkenan di hati Bang Mi. Tetapi entahlah. Tidak sempat saya tanyakan pada mereka berdua…

Husin lebih banyak diam dalam pertemuan kami pada malam itu. Dia banyak bersuara hanyalah apabila Bang Mi berkisah tentang anak bongsunya yang mahu pulang ke Kola. Bagi Bang Mi, biarlah dia di Seberang Perai sana. Balik ke Kola, katanya, anak itu tidak akan dipandang. Memang begitulah lumrah manusia. Tidak dinilai kebolehan oleh orang tempatan tetapi di mata orang luar cukup tinggi kedudukannya. Saya memberikan pendapat berdasarkan banyak pemerhatian dan Husin mencelah dengan direndangkan hujahnya.

Banyak lagilah yang kami bualkan dalam masa yang cukup padat itu. Sayang, kerana terlalu lewat waktu bertandang, tidaklah dapat berlama di situ. Di Restoran Sofia, Batas Paip, Wira telah lama menanti. Ada perlawanan bola Liga England melibatkan pasukan kesayangannya – Manchester United.


Ada rasa kesal pula menghentikan perbualannya yang sedang rancak, semata-mata untuk mengundur diri. Dia seperti kehairanan melihat saya bangun begitu sahaja, bersalam. Menantunya turut meminta diri. Malam itu dia mahu tidur bersendirian di rumah. Samatuanya dan anak-anak ditinggalkan di rumah Bang Mi.

Bang Mi masih boleh bersembang hingga jauh malam. Itulah sebabnya ketika kami datang dahulu dia tiada di rumah – bertandang ke rumah kawan bualnya. Dia mempelawa saya datang lagi dan saya pula berjanji untuk itu dan mahu mencabar Bang Mi berjaga…

Demikianlah.

Bang Mi bukan guru di AlFalah. Tetapi dia tetap memainkan peranan tersendiri ikut membangunkan AlFalah…

Sehingga waktu menulis ini, saya masih teringat beberapa ayatnya di tengah perbualan kami, ketika saya tanyakan umurnya. Dia menjawab:

“Saya dah 67. Adik-adik pun ada dah yang diambik balik…Tinggai berapa beradik saja lagi…”

Bang Mi bertanyakan usia saya pula. Saya sebutkan angkanya dengan jelas, termasuk usia pada tahun depan.

“Hang muda lagi….”katanya, “Saya dok tunggu masa saja la ni…”

Saya muda lagi?

Allah…Tak tahulah…



Bersinaq Meghelit [Pulangnya Orang Elkay -Hari Kedua]



Hari Kedua [Sabtu 20 Disember]

Beberapa minit melepasi jam 8 pagi, Wira selaku urusetia penjadualan bersarapan bersama Zairi, menelefon saya, bertanyakan lokasi terkini. Selain daripada itu dia memaklumkan tempat menyoghok pagi itu: Kedai Ikan Termenung Hj Jamil, Batas Paip. 

Saya yang memang sedang menunggang motor segera terbayangkan kedai yang popular bagi pencinta gulai ikan kembung, terutamanya, terletak di antara pagar sempadan Kompleks Bernas  dan  pejabat MADA A-IV Batas Paip. Di depan arah utara , bersebelahan jalan masuk ke kompleks tersebut terletaknya Kompleks Perniagaan Nakhoda – lokasi salah satu premis kegemaran kami adalah Kedai Mee Abbas… Di depan arah timur adalah jalan Yan-Batas Paip.

Kedai itu telah lama beroperasi. Lama sebelum Kompleks Perniagaan Nakhoda didirikan. Kini, selain penambahan meja dan menu,  ada satu tarikan lain. Di depan kedai itu ada gerai menjual aneka kuih pengatan –  pulut sekaya hijau dan hitam, pulut kacau, dua jenis bengkang dan tepung talam. Di belakang sedikit, menghala masuk ke Kompleks Bernas, ada seorang peniaga pelbagai hasil laut yang dikeringkan, berurusan dari boot keretanya. 


Lima belas minit selepas dihubungi Wira, saya sudah sampai ke situ. Tercari-cari sosok tubuh insan nan lampai itu. Tiada kelihatan di mana-mana meja – luar atau dalam. Saya hubunginya. Katanya, dia sedang menanti tempahan roti canai di gerai yang terletak berhadapan Taman Restu, salah satu tempat pujaannya di Batas Paip. Merasakan kekok berdiri untuk  diperhatikan pelanggan Hj Jamil yang sedang beratur mendapatkan gulai temenung atau yang sedang menjamu selera di meja, saya tunggang semula motor untuk ke tempat Wira berada. Seratus meter sebelum sampai, saya nampak kelibatnya sedang menunggang motor menghala pulang. Dia mengisyaratkan saya supaya berpatah balik, sebelum menghentikan motornya menunggu saya membuat pusingan U. Di dalam bonet motornya ada beberapa bungkusan, dan sudah pastilah ikut serta roti canai. Dia mahu pulang sebentar ke rumah bagi menghantar bungkusan makanan itu. Peristiwa membiarkan anak-anaknya ‘kelaparan’ seperti pagi sebelumnya tidak mahu diulangi…

Saya kembali ke Kedai Hj Jamil. Mencari tempat duduk paling sesuai untuk berlama – meja paling hujung, berdekatan pagar sempadan, tidak jauh dari abang penjual hasil laut yang dikeringkan itu.

Saya meminta teh o ais kepada pembantu kedai yang datang mengambil pinggan dan gelas yang baru ditinggalkan pelanggan di meja berdekatan. Ketika minuman itu baru diletakkan di depan saya, Wira pun sampai. Sekejap benar dia menghantar bungklusan makanan ke rumahnya.

“Takdan masuk rumah dah apa…”saya menyakatnya yang sekadar tersenyum sambil mencapai kerusi, sambil memesan Nescafe ais kepada pembantu kedai. Sebaik punggung diparkir, dia terus membuka telefonnya, membelek grup WhatsApp. Tenggelam dalam ayat-ayat di  di situ dan sesekali dia sendiri menaip ayat. Saya lemah semangat, terasa keseorangan…

Semangat saya pulih sebaik nampak kelibat Zairi yang mahu melintas jalan dari Kompleks Perniagaan Nakhoda. Keretanya diparkir di tepi blok rumah kedai itu.

Zairi duduk di sebelah saya, membelakangkan Kompleks Bernas. Dia meminta minuman panas. Wira masih tenggelam bersama telefonnya. Entah apa yang ditulis rakan-rakan dan apa pula yang dibalasnya.

Setelah membangkit sedikit tentang pertemuan di PG malam tadi, barulah keadaan kembali normal. Wira memberitahu Mar Isma di antara rakan yang sedang di dalam talian.

Saya dan Wira bangun untuk mendapatkan nasi dan gulai temenung. Zairi bangun ke gerai kuih. Katanya, dia baru sahaja bersarapan nasi lemak bersama keluarga di rumah.

Ikan temenung yang entah fasa giliran keberapa dimasukkan ke dalam tiga periuk kuah gulai masih belum elok masaknya. Pelanggan berderet menunggu. Seorang lelaki Cina, yang mungkin ahli keluarga pekedai tua bersetentang kedai Hj Jamil yang mati dua tiga hari lalu, memesan 25 ekor ikan. Saya menoleh ke meja yang diduduki rakannya. Ada dua orang sedang menunggu dengan tiga pinggan nasi kosong dan dua tiga piring lauk lain – mungkin sotong. Seorang lapan ekor? Fuyyo…. Saya dan Wira hanya bercadang untuk mengambil empat ekor…Pelanggan lain belum tahu lagi jumlah yang dikehendaki. Tentu lama menunggu, fikir saya. Lantas saya mengambil sepiring sotong sambal yang telah berderet diisi oleh pekerja. Setiap piring ada lima enam ekor sotong bersaiz ibu jari.

Saya lihat adik Hj Jamil sedang mencungkil sedikit isi ikan temenung dengan sudu bagi melihat elok atau belum masaknya. Adik Hj Jamil itu memang kenalan Wira, sama-sama berminat dengan kuliah agama di masjid-masjid sekitar Kola. Dia membalik-balikkan ikan yang diangkat seekor dari periuk besar. “Api tak boleh kuat…”katanya kepada lelaki Cina yang meminta 25 ekor ikan tadi. Lelaki itu mengangguk, menelan liur.

Saya melihat kepada deretan penunggu. Ada lima enam orang di depan saya. Saya jangkakan lama lagilah untuk sampai ke giliran kami. Saya mengisyaratkan kepada Wira supaya menunggu manakala saya bergerak bersama sepiring sotong sambal dan dua pinggan nasi. Saya ambil juga lima biji bendi celur bersaiz jari manis untuk pinggan sendiri serta sesudu sambal belacan. Wira pula mengambil seketul ikan talang kering goreng, diletakkan di atas nasinya.

Saya letakkan pinggan dan sotong itu di atas meja. Belum pun tetap duduk saya, Wira sampai bersama empat ekor ikan temenung gulai yang berasap kuahnya. Wira tersengih. “Untung orang ada kabel ni…”kata saya. Sengihan Wira makin lebar…

Wira duduk. Zairi datang bersama tiga jenis kuih – pulut sekaya kepala hijau, pulut sekaya kepala hitam/tepung talam dan bengkang.

Saya dan Wira mula menghadap nasi, ikan temenung dan sotong sambal. Ambil masa juga untuk habiskan seorang dua ekor ikan, sambil berbual itu. Tapi mengenang tiga pelanggan Cina tadi, yang tentunya juga berbual sambil menghadap seorang lapan ekor ikan, apalah sangat yang kami hadapi…

Seperti biasa, bahan bualan cukup rencam. Sukar mahu dibuat transkripsi. Maaflah ya.

Zairi membelek WhatsApp. Wira pun demikian. Mar Isma terliur kuih yang dipamerkan. Ada lagi yang mencelah tapi kerana saya tidak melihat skrin, tidaklah saya tahu siapa-siapa… Fokus saya cuma pada suara Wira dan Zairi serta tentunya pada nasi dan teman-temannya…

Lama berbual, tiba-tiba Zairi menyatakan Cikgu Deja Man bertanyakan lokasi kami. Zairi memperincikan plan ke situ. Kata Zairi, Cikgu Deja Man akan datang. Dia mahu mengambil ikan dari Malek untuk dibuat kuah laksa bagi acara di rumahnya besok.

Beberapa kali Zairi memperincikan plan. Siap dengan mercu tanda, apa yang diingat. “Kami tunggu…”katanya.

“Dia dok tang mana?”Tanya satu mulut yang sedang mengunyah nasi.

“Dia baru bertolak dari rumah…”balas Zairi.

Laaa….

Sudah jam sembilan lebih, kak…Saya perlu balik awal. Jam dua petang nanti akan muncul lagi di sekitar situ untuk menyertai Wira ke rumah keluarga Ustaz Mazlan Mansor. Ada kenduri kahwin adik bongsunya. Undangan telah diterima pada 29 November lalu di PG…

Itu kata hati saya. Tetapi kerana hati ini ada banyak bilik, itu hanya kata di salah satu bilik hati. Kata dari bilik hati yang lain, tentulah lain pula…

Wira pula melalui WhatsApp mungkin sedang mengusik Mar Isma selain mengundang Saiful dan Sazaziz menyertai kami pagi itu.

Saya sempat membaca apa usikan Wira dan apa pula balasan Mar Isma. Namun yang paling berbekas adalah tatkala bergurau tentang kuih-muih yang kononnya bakal dihantar kepadanya, Mar membalas: Eloklah..selama ini mai tak pernah bawa apa pun…Sampai ke tulang sum-sum oooo meski kemudiannya Mar tambah dengan kikikiki…. Memang pun itu hakikatnya. Dalam laksamfest di PG, kami  hanya membawa perut atau yang lebih kecil, anak tekak…

Dalam pada itu Zairi menghubungi Nazri. Tan Sri di kalangan BF itu seperti pagi kelmarin, sedang berkayuh juga. Berada di kawasan Telok Bagan. Entah apa yang mereka bualkan, tetapi tentulah termasuk sama tentang tempat kami bertiga berlabuh…

Sebentar kemudian Saiful Adly sampai. Dia tentunya menunggu masa untuk menyertai ahli keluarga lain bagi acara bertandang. Sepupunya yang bernikah dengan jejaka sekitar Jenun akan dibawa ke rumah mertua pada tengah hari nanti. Kenduri sepupu Saiful itu – anak BF Rohani Hamid – saya hadiri pada hari Khamis lalu, di Alor Pulai.

Saiful memaklumkan Sazaziz ada di Dewan SK Taman Bersatu. Sojar berpangkalan di SP itu sedang  meninjau persiapan kenduri bapa saudaranya di dewan berkenaan esoknya.

Sambil bercerita itu, dengan air minuman baru sahaja sampai, Saiful menghabiskan tepung talam yang masih bersisa di atas meja. Zairi telah lama membiarkan kuih itu di situ. Saya dan Wira pula yang sedang kekenyangan tidak mahu lagi mendera perut. Lebih kurang empat jam lagi, perut yang sama akan diisi dengan nasi berlauk di Lorong 8, Kola Kedah…

Muncul kemudiannya Sazaziz, jejaka harapan bapa saudaranya yang tidak mempunyai anak lelaki. Dialah yang menolong memastikan susun atur kenduri bapa saudaranya esok – serta jamuan keluarga malam nanti – tidak bercelaru…

Sazaziz seperti malu-malu. Mula-mula… Almaklumlah, di antara yang ada di situ, dia saja yang kekal berstatus solo. Tambahan di dalam grup WhatsApp, statusnyalah yang kerap dijadikan bahan. Dan dia tabah menerima sebarang libasan…Gamaknya pagi itu juga dia menjangkakan statusnya bakal diutarakan lagi, terutama dari Zairi…Namun sehingga minumannya sampai, hal lain yang dibangkitkan. Usikan di alam maya tidak dibawa ke meja pertemuan.Malu-malu mula-mula tadi lenyap perlahan-lahan…

Cuma adalah sekali yang terbabas. Sazaziz menyatakan dia perlu menolong bapa saudaranya itu kerana semua sepupunya perempuan. Saiful mengusik, “Tah dalam hati pak penakan hang tu ada hasrat untuk ambik hang jadi menantu….” Huih! Balas Sazaziz.  Bulat matanya merenung Saiful. Kebanyakan kami menumpang kekeh atau senyum. 

Kami terus berbual berbual berbual. Pelanggan Hj Jamil di dua tiga meja berhampiran meja kami telah dua kali bertukar.

Di celah-celah itulah, dalam sembang yang bersambung, kami nampak  kelibat Cikgu Deja Man di dalam keretanya, baru melepasi kereta abang penjual hasil laut yang dikeringkan itu.

Wira terus mengangkat telefonnya. Menyentuh ikon kamera pada ruang WhatsApp. “Mai dekat saja, teghuih tangkap gambaq…”katanya.

Benarlah, selepas Cikgu Deja Man sejarak tiga meter dari meja kami, satu klikan dibuat Wira. Berisy jugalah cikgu itu sekali…

Cikgu Deja Man duduk di kerusi bersebelahan Wira. Tersipu-sipulah sedikit admin grup WhatsApp nan pemalu itu…

Saya tidak ingat ada pelawaan atau tidak supaya Cikgu Deja Man makan nasi bergulai ikan temenung. Yang pasti minumannya dipesan. Kemudian Zairi tunjukkan gerai kuih di depan kedai, yang selama ini hanya dilihat cikgu itu hasil layuran kami di alam maya. Cikgu Deja Man bertanya sepatah dua tentangnya, dijawab berbelas-belas langkah oleh Zairi. Bimbang bakal kehabisan, dia pergi ke gerai itu. Sebentar kemudian Zairi datang bersama empat bekas polisterin. Tanpa membukanya saya mengagak tentulah empat jenis kuih berasingan ada di dalam bekas-bekas berkenaan.

Lamalah juga kami berbual. Tidak terdaya insan nan lemah ini  mencatat setiap tajuk.Sesekali saya menjeling jam di telefon. Sempatkah untuk balik, berehat sekejap dan datang semula selepas solat Zuhur nanti?

Tahu-tahu Cikgu Deja Man mahu mengundur diri. Mahu mengambil ikan selayang di rumah Malek, katanya. Tengah hari nanti mahu ke majlis kenduri pula bersama keluarga.

 Timbul ‘mentol’ di kepala seseorang. Malek dihubungi Zairi dan tauke ikan yang memang sedang menanti Cikgu Deja Man bersedia untuk datang ke tempat kami berkumpul itu. Cikgu Deja Man kembali duduk. Kembali berbual.  Lia punia ati punia lalam ata manyiak sinang ooo…Gamaknyalah.

Saiful bangun mengambil nasi serta lauk-pauknya – terutama gulai ikan temenung…Ada pula tomato yang di dalam gulai – sesuatu yang tidak saya dapati dari gulai yang Wira bawa tadi. Berselera dia mula makan setelah mempelawa setiap kami.  

Tan Sri kita pula sampai. Berpeluh-peluh. Dihantar oleh iparnya dengan motor. Katanya, keretanya sedang diselenggara di sebuah bengkel. Dia yang baru sekejap duduk di sebelah saya bangun untuk ke gerai kuih. Datang semula bersama tiga jenis kuih. Dia mempelawa Cikgu Deja Man makan. Cikgu itu menunjukkan empat bungkusan yang masih di dalam beg plastic di atas meja, yang Zairi bawakan tadi.

“Tu nak bawa balik rumah…. Kita makanla yang ni…”kata Tan Sri. Tersenyum. Matanya hilang. Keh123x.

Cikgu Deja Man akur. Dia menggunakan sudu plastik di dalam gelas minuman bagi mencubit bengkang untuk dihantar ke mulutnya. Saya melihat  Wira menghalakan lensa ke arah Cikgu itu. Entah sempat dikliknya atau tidak, tidaklah dapat saya pastikan kerana sebentar amat kemudian dia kembali membelek WhatsApp tanpa ada tanda menekan butang hantar.

“Mmm. Macam orang buat nooo…”kata Cikgu Deja Man, mengulas ikhlas rasa kuih yang baru ditelannya setelah mengunyah dan mengambil masa untuk membuat pemarkahan…

“Memang orang yang buat…”balas saya. Tergelak. Wira di depan saya meniru. Saiful pun. Sazaziz tersenyum. Zairi meniru Sazaziz sedikit. Tan Sri dengan kehnya. Tapi tidak banyaklah. Sekitar 2x…

Tidak perlu pencerahan. Saya memang sengaja membalas begitu. Tetapi Cikgu Deja Man tetap mahu memaknakan maksud katanya tadi. Memang saya pun akui, rasa kuih di situ seperti kuih yang orang masak untuk dimakan sekeluarga. Tidak dikurangkan kandungan resipi asal. Selalu dijumpa pulut sekaya atau tepung talam yang kalau diterbalikkan bekasnya pun tidak berganjak kepala – punyalah keras! Yang Cikgu Deja Man baru rasa itu, berhinggut meja sedikit, kepala kuih itu sudah bergegar. Menyelerakan!

Saya menyapa Tan Sri sudah berapa lama kembali berkayuh saban pagi. Lama juga, katanya. “Tak nampak perubahan pun…”kata saya sambil memegang perutnya. Tan Sri tertawa sehingga hilang mata…Keh 123x.

Perbualan bersambung.

Malek pula sampai, tersenyum sambil melangkah menghampiri meja kami. Ikan yang dibawa dibiarkan di dalam bonet motor yang diparkir di tepi jalan. Tidaklah dapat selayang pandang pun kami lihat ikan selayang itu.

Perbualan bersambung.

Oleh kerana Malek juga hanya memesan minuman, tidak dapatlah saya mencatat panjang lagi tentangnya…Bab apa yang dibualkan memanglah tidak terpemenai banyaknya jumlah kata.

Perbualan berterusan sehinggalah kemudianya beberapa orang mula mahu mengundur diri.

Cikgu Deja Man dengan alasan mahu menghadiri kenduri nanti. Alasan itulah juga yang digunanya tatkala saya katakaa jamuan laksa itu dibuat pada hari tersebut pun boleh – dengan syarat meminta Mar Isma datang awal untuk membantunya memproses kuah…Malek bangun mengambil ikan di dalam bonet motor untuk diberikan kepada Cikgu Deja Man. Saya menggunakan telefon Wira mengelik situasi itu. Sempat Cikgu Deja Man menoleh dan berisy sekali. “Salam perpisahan”tulis saya sebagai caption foto yang dimuatkan di dalam WhatsApp.

Zairi dengan alasan mahu ke Juru nanti bagi meneruskan penyeliaan di tapak pameran di situ. Malam nanti, kalau boleh dia akan menyertai kami di Restoran Sofia. Beberapa minit kemudian, sempat lagi  dia mengelik beberapa bahan membuat cucur udang,  sebaik sampai di rumah emaknya bagi diperagakan kepada ahli grup. Sabariah yang terpesona di dalam talian akan bahan-bahan itu, disakat melalui telefon Wira. Telefon Wira tetapi sebahagiannya menggunakan jari saya…Dan Wira hanya tersengih apabila saya tunjukkan ayat marah Sabariah…

Saiful pula dengan alasan yang memang boleh diterima. Seperti dinyatakan awal tadi, dia mahu menyertai keluarganya ke majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki, menantu kepada bapa saudaranya di sekitar Jenun. “Nama kampung taktau, tapi dekat dengan stesen keretapi, “katanya, “nanti sampai saya hantaq dalam wasap…”

Sazaziz mahu kembali melihat sekitar dewan SK Taman Bersatu. Tugasannya belum selesai, gamaknya. Lebih-lebih lagi persediaan untuk acara malam nanti, khabarnya dengan menu utama berlaukkan kambing…

“Nak balik pun tak padan dah aih…”kata Wira ketika saya juga mahu menjadi pengundur, “Dekat pukoi 11 dah ni...”

Benarlah. Masakan dalam tiga jam sempat berehat dan datang kembali. Perjalanan pergi balik sahaja, hodoh-hodoh pun, mahu 40 minit…

Maka tinggallah saya bersama Tan Sri, Malek dan Wira di kedai Hj Jamil.

Apa yang kami buat?

Berbuallah lagi. Topik yang menjadi pilihan Malek dan Tan Sri, terutamanya, adalah kereta kereta dan kereta. Saya menjadi pendengar dengan Wira sesekali mencelah. Tetapi lebih banyak masanya Wira gunakan membelek telefonnya. Kadang kala dia tersenyum sendiri. Ada masa diunjuknya muka telefon supaya saya berkongsi belek, berkongsi senyum.

Hampir sejam juga kami mampu bertahan di situ, begitu.

Menghampiri pukul 12, saya memutuskan untuk pergi terus ke rumah kenduri. Tidak perlu dfikirkan lagi selepas ini. Balik nanti boleh rehat dengan lebih lama dan selesa. Wira akur.

Kami berpecah. Malek dan Tan Sri ke kedai tempat kereta Tan Sri dipulihkan. Wira pulang dahulu ke rumahnya, mungkin untuk memaklumkan kepada samatua plan kami ke rumah keluarga Mazlan telah bertukar. Kena diawalkan dua jam.

Saya menggunakan jalan utama ke Kola. Singga sebentar di kiosk minyak tertua di kawasan itu, berhampiran Restoran Awie.

Semasa menunggang itu, saya teringat bahawa satu rekod peribadi saya – dan mungkin Wira - telah tercipta hari itu. 8-30 pagi – 12 tengah hari.  Pertama kali duduk bersarapan di kedai selama tiga jam setengah!
*********
Akan hal kenduri itu sila rujuk entri Quinary M

*********
Zairi akan sampai di Sofia sekitar jam 11. Demikian yang Wira maklumkan pada awal malam itu.

Saya baru saja menyalin baju di rumah adik. Perut masih kenyang dengan nasi kenduri di Lorong 8 tadi. Saya koyak minyak dengan perlahan sekali kerana masih banyak masa untuk mencapai angka 11 pada jam di telefon.

Saya ke Batas Paip dengan melalui Jalan Lencong Barat dan seterusnya Jalan Kola. Dalam perlahan itu saya melintasi SMK Tun Sharifah Rodziah. Saya terkenang betapa satu malam, bersama Cikgu Non dan Cikgu Rahim, menerima tetamu dari Jerantut, Pawang Nujum. Ketika melintasi depan sekolah itu, atau kerana mula masuk ke jalan berkenaan, Pawang bagai terpelanting ke masa sila. Dia teringat menaiki bas MARA dari AlFalah ke Alor Setar vice versa….

Hilang wajah Pawang, saya nampak kelibat Tan Sri. Betapa satu malam, kami – Zairi, Wira  dan saya, mahu bersembang di Jalan Pegawai, Tan Sri yang ditemani Malek, terlupa jalan, sehinggalah kami berjumpanya di depan sekolah itu, bertanyakan kenapa tidak ke Jalan Pegawai. Akhirnya, kami singgah di Taman Pelangi dan berbual di gerai minuman 24 jam itu sehingga jam 3, dengan Zairi terbelek-belek jam, kerana siangnya dia mahu bertolak ke Elkay…

Dua situasi itu saya garap dalam entri di blog ini. Pengikut setia tentu pernah membacanya…

Demikianlah saya. Setiap tempat yang pernah disinggahi akan segera menggamit kenangan. Saya lintasi Rakok. Saya lintasi Samila. Dua kedai masakan ala Thai. Saya terkenang beberapa pertemuan dengan BF bersama Cikgu Non dan sekali dua disertai sama Cikgu Rahim.

Melintasi rumah keluarga Allahyarham Dato Hj Ismail Hashim, qari legenda, saya teringat kepada Cikgu Khamariah, anaknya yang beberapa tahun mengajar di AlFalah. Teringat akan hari pernikahannya yang meriah. Melintasi jalan mini ke Kg Toktong [saya tidak tahu nama lain bagi kampung itu, jika ada] saya teringat pada Sarimah Ismail, BF tahun 1983 – 1988, dari situ. Saya terkenang perihnya berulang awal pagi dengan bas dengan perlu meredah embun di atas batas bendang terlebih dahulu, sebelum sampai ke Jalan Yan-Batas Paip. Dia menunggu bas di sekitar Alor Ibus, kalau tidak silap saya. Ada dua tiga jalan masuk ke kampung tersebut sebenarnya. Dari jalan Kola, Jalan Batas Paip dan Jalan Kg Pergam.

Demikianlah.

Saya hubungi Wira menyatakan telah hampir ke Restoran Sofia. “Sat…”kata Wira. Mungkin mahu menidurkan anak ketiganya yang sentioasa mahukan belaiannya sebelum terlena. {Saya teringat Wira bercerita tentang anak itu. Selalu kata anak kepada si ayah, “Ayah nak pi kerja, jom peluk aku sat..” Selepas dua tiga minit dalam pelukan, anak itu pun terlena. Entah urat lena mana yang si ayah picit…sebab mudah sangat lelapnya] Mungkin dalam fasa akhir mendodoikan bayi kembarnya. Mungkin pula sedang menyanyikan satu lagu Hindi buat samatuanya…

Saya benar-benar sampai. Dan saya benar-benar terkejut. Zairi telah ada di situ. “Baru sampai…”katanya yang memilih meja berhampiran jalan untuk kami bersidang.

Kami berbual seperti biasa. Tentang siapa yang mungkin ada di sekitar BP. Tentang tugasannya di Juru. Tentang admin grup WhatsApp yang sentiasa sibuk.

Sepuluh minit kemudian barulah Wira, si admin grup, sampai. Tersengih melihat Zairi.

Kami berbual terus. Tolong jangan tanya tajuk, boleh tak? Hehehe. Memang tidak ada skima. Apa saja yang terlintas, itulah yang dibualkan.

Zairi memesan makanan. Sup tulang, telur dadar dan nasi putih. Saya masih kekenyangan. Wira pun. Tetapi, supaya Zairi dapat berjemaah semasa makan, saya minta sup sahaja. Supaya tidaklah senang sangat si tukang masak bekerja, saya tidak mahu sup tulang atau daging lembu. Saya minta sup ayam.

Berbual lagi…

Sambil makan, saya mengelik – atas nama Wira – wajah Zairi dengan menu pilihannya sebagai props. Saya terus menyertai Zairi menikmati sup masing-masing. Saya tidak dapat melihat kerongkong Wira naik turun atau tidak kerana asyik menghirup dan memasang telinga serta sesekali mengeluarkan suara, menumpang berbual. Namun, sedang dalam satu fasa menghentikan hirupan bagi menarik nafas, Wira mencapai satu mangkuk kecil dan mencedok sup di mangkuk saya.  Dia menghirup sup itu dengan gaya yang cukup selamba. Rupanya telah dua kali dia bertanyakan sedap atau tidak sup itu…

Saiful sampai. Seperti pagi tadi, dia juga memberi laporan tentang sahabatnya, Sazaziz. Teruna AlFalah itu sedang di dewan SK Taman Bersatu, menyertai keluarganya menikmati nasi berlaukkan kambing… Saiful ada menghubunginya menyatakan dalam perjalanan ke Sofia untuk bersama kami. Sazaziz, dengan keadaan yang agak sibuk di dewan, berjanji akan cuba datang.

Saiful juga bercerita tentang majlis di rumah pengantin lelaki, menantu bapa saudaranya tengah hari tadi. Dijelaskan lokasi dan nama kampung, tetapi saya tidak sempat menyimpannya di dalam minda.

Husin pula muncul. Tersenyum manis ketika duduk di sisi kiri saya setelah menyalami kami semua.  Berkilas kaki, dia mula membuka telefon dan membuka daun rokok…

Saya mengelik foto untuk wajahnya. Tidak begitu menjadi. Saya klik sekali lagi untuk hasil yang cukup memuaskan lalu menaikkan ke grup. Sejak akhir-akhir ini, saya kena berhati-hati memilih fotonya. Mesti yang comel. Selalunya foto di grup sembang itu saya muatkan pula di grup FB BF sebagai arkib. Ada pemerhati khusus sekarang, katanya.

Kemudian sekali barulah muncul Sazaziz. Juga dalam senyum menyalami kami. Dia duduk di sisi kanan saya.

Sazaziz memakai baju t hitam yang mula dipakainya pada 31 Ogos lalu –di bahagian belakang tertera tema Hari Kebangsaan tahun ini – Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta. Baju itulah yang pada malam hari Merdeka tersebut, dipakainya di PG ketika bekas guru dan senior AlFalah dalam acara memakan laksam. Dua tiga kali, Zairi, dari Elkay, yang melihat foto di dalam WhatsApp, menyuruh Sazaziz menyalin baju…

Saya terkenang hal itu, serta terkenang malam riuh di PG itu. Saya pegang lengan Sazaziz. Pejal dan besar ototnya. Sazaziz tersenyum. Saya toleh ke kiri.  Husin sedang mengembut rokok daun. Pehanya bersilang, bertindihan. Saya pegang lengan Husin. Husin membiarkan dengan rela.

Saya bandingkan kedua-dua lengan itu. Amat jauh beza saiz dan kepejalannya. Saya tertawa ketika memberitahu  penilaian saya kepada Husin. Seorang peminat Sazali The Body Builder Samad dengan seorang tukang rumah tipikal…

Husin selamba sahaja menghembus asap rokoknya. Kemudian dia membelek telefonnya. Ruang grup sembang diteliti kerana telah mengabaikannya sejak sejam yang lalu. Lama kemudian dia tergelak sendiri. Dia tunjukkan foto Zairi yang saya klik tadi. “Bersinaq. Meghelit aih kepala hang kena cahaya…” Dia unjukkan juga kepada Wira yang terkekeh tertawa. Subjek yang sedang diperkatakan hanya tersenyum…

Dia terus melihat lagi. Membaca apa yang sahabat lain sempat tulis dan komen. Tiba-tiba dia tergelak lagi. Kami semua memerhati wajahnya. Awat pulak dengan ustaz ni?
 
Rupa-rupanya dia terjumpa fotonya pula yang saya klik tadi. “Laa..dahi aku pun meghelit juga kena cahaya nooo….”

Pecah tawa semua kami…

Demikianlah.

Kami terus berbual. Dalam subjek yang rencam. Bercanda. Bergurau.

Zairi yang keletihan meminta diri. Kami berikan apa yang diminta.

Saya sendiri  keletihan. Wira pula perlu masuk bertugas di Kola. Husin perlu menunaikan hajat kawannya yang lain untuk bersembang lagi. Sazaziz dan Saiful juga demikian.

Belum pun hilang Zairi dari pandangan, kami semua pula meminta diri. Kali ini Sofia yang berikan apa yang kami minta itu….

Berpecahlah kami semua. Menuju destinasi masing-masing.

Saya mengoyak minyak perlahan-lahan. Lampu kereta Zairi telah hilang dari pandangan.  Biarlah.

Saya tidak perlu bergegas. Di rumah pun saya akan keseorangan – anak-anak dan ummi mereka baru masuk hari ketiga berada di negeri Tok Gajah…Tiada sesiapa menunggu di rumah.

Entah embun, entah gerimis yang menemani perjalanan saya itu.

Lagi tujuh jam, saya akan ke BP semula.

Bukankah Zairi mahu bersarapan dengan kami selama empat hari?

Tujuh jam lagi, baru sarapan pagi ketiga…