24 July 2013

Kau Selalu Di Hatiku


Sungguh, petang semalam saya sebak tiga kali.

Pertama, ketika menyediakan entri sempena ulangtahun kematian isteri sulung pada 23 Julai untuk satu blog keluarga.

Kedua, bertemu surah yang mengandungi ayat yang emak tuliskan dan menyuruh saya mengamalkan sebagai doa harian, ketika sedang membaca al Quran selepas Asar.

Ketiga, seorang pelajar yang memusuhi saya sepanjang tiga tahun di AlFalah, menghubungi saya mengaku sebak membaca beberapa entri yang menyentuh hatinya, tentang AlFalah - sekolah dan asramanya.

Dia tidak berdaftar sebagai pelajar Peralihan atau Tingkatan 1 di AlFalah. Sebaliknya datang dari satu sekolah lain dan memasuki kelas yang setara dengan sekolah lamanya. Cerdik orangnya di dalam pelajaran. Saya mengaguminya. Namun, sepanjang di AlFalah dia memusuhi saya. Kalau yang lain kerana merasa tidak dipedulikan atau dipelajartirikan, dia marah kerana menghalang perhubungannya dengan seorang pelajar asal AlFalah....

Sampai waktu dia meninggalkan sekolah, dia berdendam dengan saya, tidak pun berjabat tangan sekali pun saya ada di pejabat sekolah ketika dia menyalami Ustaz Man dan Ustaz Fairose...

Bagi saya biasa. Saya orang biasa. Saya tiada apa-apa. I'm CIPHER. Tidak dapat memuaskan hati semua orang. Saya pernah dituduhnya berminat dengan bunga pujaannya. Bukan saya menuduh dia berkata begitu tetapi dia yang memberitahunya petang semalam - selepas lebih suku abad...

20 July 2013

Tingkatan 1 AlFalah 1999

Raja Hussien Jordan meninggal dunia padatahun ini.Tahun SpongeBob Squarepants membuat kemunculan perdana dalam Nickelodeon, sebelum lama kemudian merasuk anak-anak kita. Windows 98 [edisi kedua] dikeluarkan oleh Micrisoft.Tahun di mana PBB mengisytiharkan penduduk dunia telah mencapai 6000000000 [6 bilion] orang.

Azhar Mansor
Menara Alor Setar
Di Malaysia, pada tahun ini Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor [MSC] dirasmikan pembukaannya di Cyberjaya. Begitu juga dengan Sepang International Circuit [SIC] serta diadakan kali pertama di situ Formula One Petronas Malaysian Grand Prix. Azhar Mansor menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia, dengan kapal layar Jalur Gemilang. Institut Teknokogi Mara [ITM] diberi status universiti dan dinamakan UiTM. Di Alor Setar, pada bulan Mei, Menara Alor Setar dibuka dengan rasminya...

Di AlFalah, keadaan agak tidak menentu.Tidak tahulah samada saya tersilap simpan senarai. Namun pada tahun ini, hanya 15 orang yang mendaftar sebagai pelajar Tingkatan 1. Nampak sudah ada petanda kesuraman bakal melanda di AlFalah.Seperti sekolah-sekolah lain, kemasukan pelajar  baru bagi tingkatan 1 bakal mencorakkan masa depan sekolah. Entah di mana puncanya, tiba-tiba bilangan kemasukan di AlFalah begitu merudum. 

1.       Suzilawani bt Yazi
2.       Mashitoh bt Shafie
3.       Badriah bt Mustaffa
4.       Nur Adila bt Ismail
5.       Nor Fadila bt Zainon
6.       Mohd Hafiz b Md Salleh
7.       Che Nah bt Abu Bakar’
8.       Abul Hasan b Sabli
9.       Siti Junaidah bt Shukhi
10.   Aiman b Md Razi
11.   Ajumaiah bt Azizan
12.   Mohd Muslim b Salam
13.   Mohd Khairul Sani b Ahmad Zuki
14.   Nazlan b Ahmad
15.   Siti Fatimah bt Mohd Sarib

Hanya Siti Fatimah yang saya kenal dan ingat kerana kebetulan tinggal di Kampung Perlis. Ayahnya sendiri sebaya saya. Yang lain, walaupun amat baru tahunnya berbanding pelajar-pelajar tahun terdahulu, tidak dapat saya ingati. Mungkin juga saya sudah berada hampir di hujung penglibatan di AlFalah....Sebenarnya saya tidak mengajar di kelas tersebut, lebih kepada tingkatan 3,4 dan 5.

***********************1999***********************


Lagu popular termasuklah Purnama Merindu, Hati Kama, Aku Tetap Aku, Dondang Dendang, Jendela Hati,Syurga Di Hati Kita, Samrah Mentari dan Andalusia.
M Nasir


Untuk tahun ini, saya memilih lagu yang mempunyai siratan makna ciptaan dan nyanyian M Nasir, Andalusia, juga sesuai ditujukan untuk AlFalah sendiri....

  Cahayamu bagai sabitah
  Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubahmu kian pudar
Untukmu setanggi ini kubakar

Cahayamu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulamkan fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niatku bertemu

Cahayamu tiada tara

Pohon salamku pada fakir-fakirmu andalusia
Pohon izinkanlah aku menyelami irama asyikmu
Pohon ku dipinjamkan gabus dan ghazalmu jadi azimat
Supaya dapat aku tari menongkah arus
Sahutlah andalusia

Apakah sudah kering lautan darah
Yang tertimbus di bumi alhambra
Ataupun masih bergelora menanti saat
Melimpah mengikut mata air

Antal hadi antal haqqu
Laisal hadi Ilaahu


18 July 2013

Kuusap Namamu Di Puncak Gunung Jerai


Hari kelapan Ramadan. 1424.

Petang itu, Syaireyl b Azenan berbuka puasa di rumah neneknya.


Selepas solat Maghrib, Syaireyl bertolak balik ke rumahnya di Kuala Kedah. Dalam perjalanan, di Alor Janggus, di sebuah tempat yang tidak berlampu jalan, motor yang ditunggangnya telah merempuh bahagian belakang sebuah lori treler yang sedang berhenti. 

Syaireyl mendapat kecederaan yang amat parah lalu meninggal.

Saiful
Saiful Adly b Hassan - atau Pak Ali di kalangan teman-teman sekolah - yang berada di Selangor ketika itu terkejut mendengar khabar kematian rakan sekelasnya di AlFalah itu.

Segera dia bertolak ke Kedah. Di dalam perjalanan, dia singgah di Seberang Perai, mengambil beberapa rakan yang sama belajar di AlFalah dahulu. Sarat dan sesak keretanya namun itu bukan halangan untuk dia memecut terus ke Kuala Kedah.

Saiful memang rapat dengan Syaireyl yang lebih mesra dipanggil Ein itu. Boleh dikatakan ke mana-mana sahaja mereka pasti bersama termasuk jika berkumpulan yang lebih besar.

Paling diingatnya, pada tengahari Ahad, hari pertama sekolah dibuka pada tahun 2001. Ketika itu mereka di dalam tingkatan lima.

Mereka pulang awal sedikit hari itu setelah melihat sudah ada beberapa pelajar terlebih dahulu keluar dari kawasan sekolah.

Kerana merasakan hari masih awal, mereka bercadang untuk berlibur  ke Gunung Jerai. Saiful ke rumah rakan sekelasnya, Nor Azura Ayob, di Kampung Perlis untuk meminjam satu lagi topi keledar. [Hari itu Nor Azura memberikan Saiful topi keledar, tapi beberapa tahun kemudian diberinya hati kepada Saiful. Hingga kini mereka berbahagia sebagai sepasang suami isteri dengan dikurniakan seorang cahaya mata....]
Selepas mendapat topi keledar, Saiful dan Ein terus memecut melalui Jalan Yan, Jalan Guar, Jalan Gurun dan seterusnya ke kaki Gunung Jerai. Setelah berehat seketika, mereka pun mula menuju ke puncak pula.

Hari itu cukup indah. Tidak hanya pada pemandangan sekitar serta udara yang nyaman sejuk, malah di hati mereka juga. Persahabatan yang terjalin dirasakan menjadi semakin erat. Perbualan di antara dua sahabat itu cukup mesra.

Sayang sekali mereka tidak membawa kamera bagi merakamkan detik-detik di situ. Namun, sebagai tanda kenang-kenangan, bagai sepasang kekasih, pada satu tiang pondok di puncak gunung tertinggi di Kedah itu, Saiful tuliskan nama mereka. Bukti bahawa mereka pernah bersama menikmati udara dan pemandangan di puncak negeri tersebut.

Selepas SPM, mereka membawa haluan masing-masing. Bak kata pujangga kita boleh berjumpa, bermesra malah bercinta, namun suatu hari kita pasti berpisah. Kita boleh hidup sehingga seribu tahun, namun kita pasti akan mati.Namun hubungan mereka tidaklah terputus terus. Masih bertukar-tukar khabar diri walaupun tidak sekerap zaman persekolahan. Saiful ke Selangor menimba pengalaman di rantau orang manakala Ein selesa bersama keluarganya di Kola.

Dan berita kemalangan serta kematian Syaireyl tentulah bagai menyentap jantung Saiful. Sepanjang perjalanan pulang itu ingatan terhadap saat-saat bersama arwah menjadi penemannya. Pipinya lembab sentiasa. Apabila bersama dengan kawan-kawan yang menumpang dari Seberang Perai pula, makin banyaklah yang mereka berkongsi kenang.

Tidak tergambar kepiluan Saiful serta rakan-rakan tatkala menatap buat kali terakhir wajah Syaireyl. Kehibaan keluarga arwah termasuk dua saudara kandungnya - Amyza dan Amilia - yang juga merupakan pelajar AlFalah, mereka kongsi bersama.

Seperti mereka, masih muda usia Ein. Hari kemalangan yang meragut nyawanya pada 3 November 2003 itu, belum pun usianya melepasi angka 20 tahun. Beliau hanya bakal memasuki usia tersebut sekitar 70 hari lagi, iaitu pada 13 Januari 2004. 

Saiful tetap ingat tarikh kematian Ein. 3 November depan genaplah 10 tahun kepergian sahabat yang cukup disayangi itu. Tetapi jika dihitung dengan kalendar Hijrah pula, Rabu 8 Ramadan kelmarin [17 Julai], adalah juga ulang tahun kesepuluh Ein meninggalkan alam yang fana ini.

Begitu cepatnya masa berlalu. Bagaikan masih ternampak dia di dalam seragam sekolah, tersenyum melihat keletah kawan-kawan sekelas .....


Setahun lebih selepas kematian Ein, pernah sekali Saiful ke puncak Gunung Jerai - menjejak tempat yang pernah mereka sampai bersama. Memandang kehijauan pepohon, menikmati panorama indah ciptaan Ilahi, menyedut dan menyapu dingin udara gunung serta berehat di pondok yang pernah mereka berdua singgah.

Teringat sesuatu, Saiful membelek salah satu tiang pondok tersebut. 

Masih ada lagi namanya dan nama Syaireyl yang ditulis dahulu!

Saiful menggosok-gosok tulisan tersebut dengan perlahan sambil hati menahan sebak. Kerongkongnya bagaikan tersumbat.

Ein, damailah engkau di sana....