31 March 2012

Wak Sir

Dia datang ke AlFalah dengan berani kerana telah sedia ada belajar di sini adalah abang dan kakaknya. Dipanggil Wak Sir di kalangan rakan dan sebahagian guru serta Mak Long dan Mak Lang. Sentiasa tersenyum dengan mata terpejam rapat. Anak kelahiran Changlon ini  disenangi ramai kerana sifat rohani tulangnya - ringan!

Kenapa dipanggil Wak Sir?

Tiada kena mengena biologi dengan arwah pelawak terkenal dari Kelantan itu. Malah dia sendiri mungkin tidak tahu siapa Wak Sir sebenar. Mashitah Hj Husin (x-AlFalah) kata mungkin kerana wajahnya iras arwah Wak Sir. Tepat sekali. Gelaran itu diberikan oleh Mak Lang. Tiap kali memanggilnya, Mak Lang akan buat slanga Kelantan. Dia akan muncul dengan mata terpejam. Panggilan itu hampir menenggelamkan nama asalnya. Malah beberapa orang rakannya kini teragak-agak meraba namanya, tapi bila disebut Wak Sir, segera mereka tersenyum tanda mengingati adik kepada Ahmad Sofi dan Hasliza Ahmad itu. Demikianlah sinonimnya Wak Sir dengan Mohd Nizam Ahmad kepada warga AlFalah.

Siapa Wak Sir sebenar?

Pelawak era 70-an dari Kelantan ini lebih terkenal di luar filem kerana hanya berlakon dalam 2 filem : Kabus Tengahari (1982) - lakonan Sarimah, Aziz Jaafar, M Jamil - dan Oh Fatimah (1989) - lakonan Badol, M Rajoli,  Azie dan NorShuhaiba. Impaknya cukup besar di pentas dan tv. Selalunya bergandingan dengan PokYa (Zakaria Musa) dan Mahmud Rail.

Saya masih ingat dalam satu jenaka di tv, dia bertanya makhluk apakah yang paling kecil di dunia? Jawapannya membuatkan kita berfikir sebentar sebelum ketawa. Jawapannya: anak kuman kurus!

Tak tercapai akalmu?

Makhluk halus ialah kuman. Kuman mesti ada anak. Dalam banyak anak, tentu ada yang kurus.....
Sekali lagi: apakah makhluk paling kecil di dunia.......?
Soalan ini pernah dimunculkan beberapa kali semasa saya dalam kelas di AlFalah........he he he.

30 March 2012

Hantu Punya Hantu 1

Aku juga yang kena!

AlFalah banyak kali diserang hantu! Histerialah maksudnya. Paling kerap tentulah budak asrama puteri. Paling kerap terjadi ke atas  Mak Yam, geng Gajah Mati. Bermacam cara dilakukan. Pelbagai pengamal perubatan ditemui.

Ustaz Azizan mencuba kaedahnya namun tidak kekal aman. Paling diingati betapa Jamilah Rahim (Selarong Batak) tiba-tiba melolong dalam kelas. Dibawa naik ke atas asrama puteri. Terlentang dengan dua tangannya didepangkan sambil mulutnya meracau. Ustaz Azizan dipanggil. Ketika bersoaljawab dengan hantu itu, tiba-tiba Jamilah seperti hendak melompat lari. Beberapa pelajar perempuan yang mengelilinginya segera memeluknya, namun sekali ketis, semua terpelanting. Ustaz menjerkah dan bercakap Arab. Mudah pula Jamilah tidur semula, terlentang dan tangan didepangkan. Pelajar perempuan tadi hanya memerhati dalam kepanikan. Ustaz mengisyaratkan saya memegang pergelangan tangan kanan Jamilah manakala beliau di sebelah kiri. Bacaan (ataukah percakapan bahasa Arab?) diteruskan sambil Jamilah mula meronta dan kian meracau. Tiba-tiba tekanan kami ke pergelangan tangan dilawannya. Dengan sekali jeritan dia mengangkat kami. Saya tak tahu bagaimana mencatatkan tapi tiba-tiba dahi saya dan ustaz seakan hampir bertemu! "Kuat hantu 'ni ," kata Ustaz.Bacaan diteruskan sambil mengarahkan dua orang lagi pelajar diarahkan memegang kedua-dua kaki Jamilah. Ustaz membaca sesuatu ke genggamannya lalu mengehempas angin ke muka Jamilah. Tiga kali. Perlahan-lahan Jamila tenang dan akhirnya seperti terlena! Dua tiga orang diminta menjaga Jamilah.
"Kalau selalu macam ni, letih kita," kata ustaz ketika menuruni anak tangga asrama.

Paklong Usin (Bendahari AlFalah) bersama seorang pengamal (Pak Ku Cha) dari Alor Ibus pernah mengusaha mengusir hantu ini. Saya dan Ustaz Fairose turut serta. Kami sekadar meramaikan acara membaca wa yaqulu namata hazal Qur an.....sebanyak seribu kali sambil Pak Ku Cha membaca ruqyahnya. Dua kali kami melakukannya, sekali di atas rumah Ustaz dan kali kedua di dalam dapur asrama puteri. Saya terlupa kesannya selama mana hantu itu berehat....

Sekali pula kami didatangi seorang yang menawarkan diri untuk mencuba menenangkan AlFalah. Dibuatnya tombak dengan batang bemban (di hujung batang bemban itu ditusukkan buluh runcing), kononnya jika terjumpa hantu itu boleh saja diradak...Kami diminta berkawal sepanjang malam selama 3 malam dalam dua kumpulan berasingan.

Tiada apa-apa berlaku hinggalah malam terakhir. Malam itu kami disertai juga oleh arwah Ustaz Sobri Mohamad (dari Pondok Fauzi, Yan) yang kebetulan datang. Sekitar jam 11.30, tiba-tiba kami dikejutkan oleh suara riuh kumpulan yang lagi satu. Kami berkejar. Lampu suluh sedang dihalakan kepada satu objek. Ada dua sinar hijau dalam kedudukan pegun. Sejarak 35 meter. Apa lagi, bertindaklah kami mengepung dan seterusnya mengejar objek silau itu. Tombak masing hilang entah ke mana kerana melayan kelicikan objek itu sup-sap mengelak ditangkap. Riuh rendah kerana bakal bertemu si pengacau selama ini mengganggu warga perempuan sekolah.

Setelah kepenatan barulah berjaya ditangkap objek itu - kucing kesayangan seorang pelajar asrama....

Operasi dengan rasminya dibatalkan.

Huarghhhhh!




29 March 2012

AlFalah Di Sisi Lain 1

 Foto ini diambil sekitar penghujung 1980-an. Lihatlah latar belakangnya. Yang sebelah kanan sedikit itu adalah bangunan asrama lelaki. Bahagian itu kemudiannya menjadi bilik Ustaz Man. Yang di tengah pula adalah rumah Ustaz  Azizan. Kini masih wujud, cuma ada penambahbaikan di sana sini. Yang nampak sedikit di celah hutan nipah itulah bumbung bangunan dua tingkat, terletaknya asrama puteri di bahagian atas.Kini telah dirobohkan diganti dengan binaan batu blok 2 tingkat  Paling kiri adalah bumbung bangunan yang kekal hingga kini. Di sinilah dewan AlFalah...

Pokok pukul lima di kiri gambar itu pula kini sudah tinggal sejarah. Kalau dia bisa ngomong, dia pasti tak akan bohong. Di situlah tempat lepak masa rehat pada peringkat awal sekolah dibuka. Di situlah pernah ada seseorang (juga pelajar AlFalah) menunggu kekasihnya pulang dari sekolah. Di situlah tempat saya meletakkan padi yang ditarik dengan basikal (rujuk entri awal saya).

Lihat jalan tempat berdiri empat figura itu. Tidak bertar. Demikian juga keadaannya jalan masuk dari jalanraya ke AlFalah - cuma mungkin lebih lebar.

Empat figura itu? Yang paling kecil itu pun sudah berusia melepasi suku abad. Saya ingin memperkenalkan mereka, tapi belum mendapat surat izin. Nanti disamannya pula.......

Wira Tak Didendang (Unsung Heroes)



Wira Osman
pukul 9 td kat tv3 ada rancangan majalah 3...kisah sekolah kat pendalaman...masa cikgu masuk kelas..murid2 beri salam...aaaassalaaaamualaikumm​ cekguuuu....aku teringat cikgu din.jawab..waaaaalaikummmsalaa​ammm murid2...dia perli la tu....apalagi dia beletiaq.la..."awat ! tak boleh ka bagi salam tak berlagu. ..nmpak mcm tak smngat nk belajar....mula hr tu smua org bagi salam tanpa lagu...smentara nk biasa..ada yg tersasul terikut rentak lama.....hhahahahah


Wira Osman dan Rosliza Hussien
(Wira tukar potret dalam profile fb kerana saya masukkan dalam blog. Maaflah. Dah ditarik....)


Saya menonton Majalah 3 malam itu bersama-sama Wira Osman -  di rumah masing-masinglah. Dalam dia terkenang gurunya, saya tertarik pada kesukaran pelajar di pedalaman itu untuk menuntut ilmu. Demikian juga kepayahan guru yang terpaksa melalui perjalanan yang sukar untuk sampai ke sekolah. Tergambar senyum kelat guru-guru, walau fokus tentang mereka hanya sekilas - lebih tentang pancaroba penduduk di situ menghadapi ancaman adik beradik/geng Bujang Senang.


Saya segera terkenang rakan, keluarga dan kenalan (sebagai guru) yang pernah mengalami kepayahan semasa bertugas di Sabah dan Sarawak. Ribuan guru bertukar ganti di tempat-tempat sebegitu di seluruh Malaysia Timur. Merekalah WIRA dan WIRAWATI dalam membentuk asas dalam diri anak bangsa namun kerana mereka tergolong orang kecil, jasa mereka tidak dijaja.

Ketika fokus kepada Sabah/Sarawak, terkenang juga wira di Semenanjung > Kedah> Kota Setar>AlFalah yang sudah ke sana.......


Demikian simpang-siur dalam kotak fikiran setiap kali saya membaca atau menonton ..........


28 March 2012

Geng Teluk Bagan

...ada makna tu..

Pelajar dari Teluk Bagan dan sekitarnya dimulakan dengan Asri Mansor (kini Ustaz) pada tahun 1983 lagi. Adiknya, Rashidi (cikgu)menyusul kemudian. Teman sekampung, Shabani Salleh (kini pemilik butik pengantin) turut serta.

Namun pertambahan ketara dari sekitar Teluk Bagan dikesan apabila Allahyarham Hashim Noh (Paklong Usin) menjadi Bendahari Lembaga Tadbir AlFalah. Dia memasukkan anaknya, Zamri ke Tingkatan 3. Zamri ditemani rakan-rakan sebaya  Jamaluddin Mat, Zamri (Cha Ei) Yaakob dan Jamaluddin Ismail. Mereka tersangkut di peringkat SRP sekolah menengah kebangsaan. Tiga anak Paklong Usin lagi turut pernah belajar di AlFalah, Zamzurina dan Naslina. Ada beberapa lagi yang yang masih saya ingat wajah namun terlupa nama, termasuklah adik Jamaluddin Ismail dan anak saudara Paklong Usin. Maaflah.

Dalam ramai pelajar lelaki dari Teluk Bagan, hanya Pungguk (bukan nama sebenar) yang pernah tinggal di asrama. Dia seorang yang peramah dan lucu. Semua budak asrama cepat menjadi kawannya. Hari mula masuk ke asrama lagi dia mengakui tidak kenal sangat huruf jawi namun berazam akan mendalaminya.

Pungguk  rapat dengan saya dan ustaz Fairose, lebih-lebih lagi bila dia menyatakan ada seorang kakak....... Dia pula meminati seorang pelajar perempuan yang tinggal di asrama. Kepada saya dicurahkan isihatinya. Saya pula melakukan kesilapan apabila sengaja mereka cerita: idamannya itu berkirim salam. Sejak itu dia makin menghimpit saya. Pernah saya menyuruh dia berjumpa pelajar itu sendiri, terutamanya waktu belajar malam, kerana bilik studi lelaki dan perempuan hanya dipisahkan oleh bilik pejabat. Dia mengakui malu. Namun kalau terserempak atau berselisih jalan, alamatnya sampai awal pagilah dia bercerita kepada saya.

Bermacam-macam pernah ditanya Si Pungguk ini. Semuanya saya cuba menjawab sendiri kerana saya tahu dia tidak akan berani berjumpa idamannya itu yang tergolong bijak dalam pelajaran. Andaikan saya hendak makan apa-apa, kalau saya katakan si Bulan (panggilan rahsia kami untuk idamannya) minta, pastikan dibelikannya! Mujurlah waktu itu fikiran begitu tidak pernah muncul...

Namun saya tersilap reka cerita. Saya katakan si Bulan amat meminati orang yang pandai berzanji, kebetulan ayahnya seorang ahli di bidang itu. Si Pungguk terlompat, berkali-kali bertanya kesahihan. Sabtu berikutnya dia minta untuk balik ke kampung sekejap. Petangnya dia berjumpa saya, memberikan satu bungkusan. Di dalamnya ada kitab berzanji yang masih berbau kedai. "Pekan Rabu!" katanya tanpa saya saya bersuara apa-apa pun.

Malam itu dia mengadap Pak Mid - minta diajarkan membaca kitab yang baru dibeli itu. Bayangkan kesukaran seorang yang tidak mengenali huruf jawi diajar membacanya, berlagu pula! Akhirnya malam itu dan hari seterusnya dia hanya tahu melagukan Aljannatu wa na'i..... . Itulah yang dilaungkan jika terasa sunyi atau rindu! Laungannya akan lebih lantang jika tahu si Bulan ada di sekitar rumah Mak Lang...Kalaulah Mawi ada ketika itu.......melolong agaknya.

Hingga hari akhirnya di AlFalah, tidak pernah saya memberitahu akan minatnya itu kepada si Bulan. Tak tahulah kalau ada kawan lain yang bercerita, kerana si Pungguk kadang-kadang terlepas cakap juga.

Si Bulan kini mengajar di ......he he he.
Si Pungguk, di manakah dikau?

Manisnya waktu itu....

27 March 2012

TOLONG!!! TOLONG!!! Rumah Terbakar.....


Wira Osman
salam..sahabat ...mlm ni aku nak mngimbas kembali memori lawak cikgu din...kisah sorang sahabat kita (tak ingat sapa)..buat karangan tentang kebakaran...c.din baca kembali karangan tersebut...apabila smpai kat..."TOLONG ! TOLONG !..RUMAH TERBAKAR...". beliau mlakonkan smula mcmn gaya mminta tolong mgikut cerita tersebut....jadi klu anda faham ..ataupun teringat ..lakonkan smula......masa tu aku gelak smpai kluar air mata...c.din jgn kira la, dia punya gelak..satu falah pun boleh dgr...(aku cerita kat bini aku...bini aku gelak smpai tak bunyi)

( Coretan Wira Osman di dalam fb - Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah. 11.45 malam 26 Mac 2012 )

Ada kisah ini dalam perancangan label Pelajaran di AlFalah nanti. Tapi mungkin lambat sedikit kerana sedang datang kes-kes lain dulu. Namun kerana Wira telah membangkitkan dalam fb, saya kenalah turut serta, takut nanti basi pula......

Penulis karangan itu saya ingat. Tapi tak perlulah saya catatkan namanya. Saya malulah jika kena menekup muka dengan kertas surat khabar semasa naik turun mahkamah apabila disamannya kelak. Dia pun sekarang sudah beranak tiga.... Tinggal di sekitar satu simpang tiga.....

Dalam karangan itu dia tulis begini pada saat genting tersebut: "Tolong!!! Tolong!!! Rumah terbakar..."

Cuba lihat semula tanda seruan di atas, ya murid-murid! Bagi perkataan Tolong ada tiga tanda seruan. Manakala pada frasa Rumah terbakar tiada satu pun tanda seruan.

Maka saya komenlah sambil membaca mengikut intonasi berdasarkan tanda bacaan itu. Seolah masa minta tolong dia laung sekuat-kuat hati, tetapi masa menyebut rumah terbakar nadanya relax sahaja....Tentu ini tidak berlaku di alam nyata. Demikianlah betapa pentingnya ketelitian. Pelakon paling kayu pun, jika mendapat skrip drama dengan dialog ditulis begitu, pasti akan bertanya pengarah dua tiga kali untuk melakonkannya......

Sukar untuk mencari perkataan bagi mencatat hingga mencapai maksud saya. Benar kata Wira Osman- yang setahun kemudian menggunakan nama Wira Islam - cuba lakonkan semula. Nescaya berlaku satu pencerahan....Ulang sehingga sesiapa yang mendengar cerita ini ketawa hingga tidak berbunyi!
Atau bayangkan begini: anda baru saja menjadi mangsa ragut. Anda tentu akan melaung sehabis daya Tolong!!! Tolong!!! 
Kemudian dengan selamba seakan berbisik : Peragut. Peragut.

Realistik?


Cih, Jebat!


Ustaz Azizan mencadangkan supaya Majlis Muhadhoroh tidak hanya berkisar dengan nasyid, syarahan dan deklamasi sajak. Saya pernah mengadakan acara berbalas pantun secara spontan. Itu juga belum cukup. Ustaz mahu kalau boleh sekali-sekala adakan lakonan pentas.

Saya kumpulkan semua pelajar Tingkatan 4 1984 (lelaki) bagi mencari idea. Semuanya buntu. Tiada cadangan yang konkrit. Saya menceritakan drama yang pernah dipentaskan semasa saya di SMDSO 1978. Kisah biasa Tuah dan Jebat tapi diolah mengikut acuan sendiri. Kontemporari, amboi susah nak eja....

Semua biasa dengan kisah itu. Guru BM saya di Tingkatan 6 Kolej Bakti pernah menceritakan satu kawasan antah berantah pun tahu bab Tuah dan Jebat, hingga terbit dialog, "Cih, Jebak! Kalau mu beghani mu tughun.....!"

Saya menceritakan perjalanan skrip lakonan itu secara lisan dan terus ada yang sanggup memegang watak-watak tertentu. Tokok tambah sedikit, dipersetujuilah skrip lisan itu.

Mulalah kami berlatih. Selalunya pada waktu malam kerana agar tiada penonton dan boleh melontarkan suara secukup daya. Budak asrama kami haramkan datang menonton latihan. Cuma kami uar-uarkan bahawa akan dapat ditonton sebuah lakonan hebat budak Falah.

Namun, hingga malam sebelum persembahan, lakonan masih tidak mantap, ada yang lupa skrip, berdarah gemuruh juga dan paling menyakitkan dada: ada hamba Allah yang menarik diri. Watak utama pula! Mujurlah waktu itu saya tidak tahu bahawa kalau disaman kes begini, saya boleh dapat juta-juta.......

Akhirnya hampir tengah malam, kami buat keputusan: Jangan bocorkan bahawa sayalah yang berlakon sebagai Jebat manakala watak Tuah dijayakan oleh Ustaz Fairose Hj Azizan yang sejak awal latihan asyik ketawakan lakonan yang tidak menjadi. Ustaz Zubaidi Ariffin menjadi Sultan. Pak pacak tak berubah. Meruap-ruap semangat untuk berlakon. Macam professional Tuah menerima cabaran tanpa berlatih kerana sudah tahu benar melihat Jebat dan Tuah yang asal bertingkah.

Siangnya berdebar juga hati. Doa saya agar Ustaz Azizan ada acara lain hari itu; didatangi pihak Jabatan  Agama atau kena keluar membaca talkin atau lainnya. Namun doa saya tidak dimakbulkan. Tiada orang jabatan apa pun yang datang berurusan dengan beliau dan tiada siapa pun yang meninggal di sekitar mukim Kangkong atau Tebengau pada hari itu!

Selepas rehat, semua pelajar dan guru (tentulah termasuk Ustaz Azizan!) masuk ke dewan. Ada pula Mak Ndak Faridah (arwah), yang rumahnya tidak jauh dari sekolah, menyelinap bersama para pelajar - hendak turut sama menyaksikan lakonan nanti.

Selepas acara wajib - nasyid - dan satu dua selingan dan syarahan serta sajak, pengacara pun mengumumkan pementasan tersebut. Pelajar bertepuk, saya berdebuk. Sebenarnya mereka tidak tahu bahawa saya, Ustaz Zubaidi dan Ustaz Fairose yang akan muncul. Semasa kami berada di belakang pentas, paling tinggi pun mereka tentu menyangka saya sebagai pengarah saja.

Action! (Tolong jangan samakan dengan cerita Hang Tuah yang anda tahu!)

Sultan (kemunculan baginda sudah menggegarkan satu dewan) di rumah Bendahara, dilaporkan dengan prestasi rakyatnya dalam SRP dan SPM, kejayaan meningkatkan hasil padi , kajian menukarkan najis kerbau menjadi baja organik.........tiba-tiba ada hulubalang masuk menceritakan Jebat makin mengamuk di istana.


Tuah masuk, siap berpakaian pahlawan - bersongket dan bertanjak serta keris tersisip di pinggang.(Sekali lagi dewan bergegar dan rasanya orang yang paling terkejut tentulah baba kepada pelakon watak tersebut yang berada paling depan di dalam dewan...)  dibawa oleh Bendahara (lupa siapa pegang watak ini) apabila Sultan berjanji mengampunkan Tuah dan memerintahkan Jebat dihapuskan. Tuah menganjurkan Sultan bersabar menanti berita gembira.

[Warna kain pemidang ditukar sebaik tirai dilabuhkan sementara. Dari warna biru kepada warna kuning bagi membezakan dua tempat - rumah bendahara dan istana].

Di istana, Jebat yang berpakaian umpama sultan (dewan bergegar lagi melihat pembawa watak tersebut!) sedang membongkak. Bermonolog tentang kegagahan dan keperkasaan.Tentang kesetiaan dan penderhakaan.Dalam gelabah dipandang Ustaz Azizan yang masih terkejut, saya melontarkan dialog dengan lantang mencabar sesiapa juga untuk bertarung. Saya kemudiannya menghunus keris dan terus mencabar kepada khalayak. Pelajar terdiam seketika. Agaknya keliru: ini jerkahan Jebatkah atau jerkahan cikgu Sains?

Tiba-tiba terdengan laungan Tuah dari bawah, tepatnya dari atas jalan di antara dewan dan bilik guru! Jebat terkejut tapi mengajak Tuah naik. Berpelukan sebentar sebelum lama bertengkar tentang kesetiaan dan pengkhianatan.


Dipendekkan, akan terjadi pertarungan dua pahlawan itu. Saya turun ke bawah /belakang pentas sebentar sambil masih saling mencabar dengan Tuah. "Kau tunggu Tuah! Akan kuhabiskan kamu dengan keris Taming Sari ini" pekik saya sambil pembantu produksi, Mat Jin [Mohd Fadzil Bakar -Tebengau] menghulurkan sebungkus plastik kecil berisi air berwarna merah. Saya masukkan dalam kocek baju-t, dibawah baju melayu yang saya pakai.


Saya naik semula ke pentas sambil menghunus keris. Penonton terlopong agaknya. Selepas bertingkah seketika dan bermaafan serta berwasiat, Tuah dan Jebat bersedia. Dari tengah pentas kami berdiri saling membelakang lalu menapak secara berlawanan lima langkah, lalu menoleh.

Tuah dan Jebat kini berhadapan. Keris masih di tangan Jebat manakala Tuah mengeluarkan lastik menghala tepat ke dada Jebat. Jebat terkejut. Langkah silat terhenti. Tuah segera melastik sebelum Jebat bertindak. Saya memicit sekuat hati plastik kecil dalam kocek baju- t.  Darah memancut dari kiri dada Jebat. Penonton perempuan menjerit.

 "Kau tipu Tuah. Senjata ini tidak termasuk dalam perjanjian!!" kata Jebat seraya rebah.

Rosaklah sehelai baju-t yang baru sebulan dibeli......

Tirai dilabuhkan. Saya melompat bangun dan mendengar tepukan riuh di sebalik tirai......

Ustaz Fairose tersengih. "Jenuhla baba aku perli sat lagi....." katanya sambil melondehkan kain samping dan baju melayu yang dipakainya.

Itulah kali terakhir dia dan saya berlakon di atas pentas.

Tidak akan kembali detik itu.......

- suntingan semula pada 16 Februari 2013, 8.18 pagi.

26 March 2012

FootBear

Saya tidak tahu sama ada ejaan Foot Bear itu betul atau tidak. Kerana nama itu dimaksudkan untuk apa pun saya tidak tahu. Mungkin Food Bear. Entahlah.

Yang saya ingat, hari mula dia mendaftar di asrama AlFalah, geng Gajah Mati terus memanggilnya - sebutannya - Putbe/Futbe. Kata mereka wajahnya seperti seseorang di kampung mereka yang bernama Footbear.

Foodbear AlFalah ini berasal dari Yan, Kg Perigi, kalau tidak silap. Saya kesal kerana tidak pernah menjejak ke kampungnya walau berkali-kali diajak. Sedangkan hampir semua rumah budak asrama pernah saya sampai hatta  ke Baling, Permatang Bendahari, Kulim dan Bukit Mertajam.

Dia rajin mencuci dan memasak dan mentelaah pelajaran. Di padang bola (hanya warga AlFalah tulen yang tahu apa itu padang bola AlFalah....), dia menjadi idaman kedua-dua pihak pasukan kerana prolifik mencetak gol.

Pendiam tapi penuh idea humor. Kalau diadakan acara pakaian beragam pemenang utama pastilah dia. Pernah sekali dia memperagakan pakaian yang dibuatnya sendiri dari kertas akhbar - diberikan nama Kadok - disuaikan dari cerita Pak Kadok.

Namun paling diingati adalah pakaian yang dinamakan SongSang. Naik saja ke pentas, penonton terus bergelak sakan. Difahamkan semasa di belakang pentas, peserta yang lain awal-awal lagi mengaku kalah. Bayangkan dia memakai pakaian biasa tapi semuanya secara terbalik. Kemeja dan seluar  dengan bahagian depan dipakai di belakang. Selipar diterbalikkan. Kacamata hitam dan topi begitu juga. Susah nak dicatatkan tetapi amat lucu bila dikenang. Ada yang mengambil gambarnya dengan kamera Kodak Instantmatic, sayangnya gambar itu rosak oleh pemelowapan plastik album......

Tuhan Maha Penyayang. Sedang baru empat tahun berada di AlFalah, dia diuji oleh penyakit misteri. Badan mencengkung. Akhirnya nafasnya terhenti sebelum sempat menduduki SPM. Saya tidak ingat kenapa saya bukan antara guru yang menziarahi mayatnya. Kesal ini tidak terucap hingga kini.

Bagi warga AlFalah pada eranya, nama FootBear cukup melekat di bibir dan di hati sehingga ramai yang terlupa nama sebenarnya, Mohd Zamri Ishak. 


 (Beliaulah bunga AlFalah pertama gugur sepanjang saya di situ....)


...................................................


syurgalah di tanganmu

tuhanlah di sisimu

kematian hanyalah tidur panjang

maka mimpi indahlah engkau.....

......................................


 --  [Camellia iv - Ebiet G Ade]

Sebatang Lidi: Ismail Teluk Bulang

Malam tadi, di simpang Teluk Bagan, sambil minum dan menunggu tempahan kuetiau kerang siap, saya didatangi Ismail. Lama kami tidak berjumpa walau pun tinggal di kawasan kejiranan. Katanya dia kini bekerja rencam dan tinggal di jalan masuk ke Sungai Nonang. Pindah ke situ dari Teluk Bulang.

Rancak bercerita tentang anak sulungnya yang kini di Tingkatan Dua SMKDSO, sekolah saya dulu. Dalam aliran agama. Sifat keayahannya terpancar kepuasan berbalut syukur. Dibisikkan harapan terhadap anak-anak yang empat (setakat ini).

Kemudian meleret pula bertanya khabar rakan-rakannya semasa di AlFalah. Antara yang disebutnya The Only Md Rautin dan Fazli Budak Baling. Ada nada kerinduan pada getar suaranya. Katanya, rumah Fazli di Baling pernah dijengahnya semasa belajar dulu. Namun sejak bergelar bekas penuntut dan ditambah kekangan masa, tidak pernah lagi mereka bertemu. Hanya berjumpa rakan-rakan persekolahan dari kawasan sekitar Parlimen Kuala Kedah.

Saya memberitahu secara lebar tentang Rautin kerana baru saja saya dan Cikgu Rahim dijemput makan kenduri di rumahnya di Gajah Mati. Tentang dia yang kini menjadi Tuk ayah (he he he)di situ. Tentang bilangan anak dan tentu juga bilangan isteri....... (Setakat ini masih satu - orang Kelantan).Tentang keadaan rakan-rakan lain yang masih berhubung dan diketahuinya.... etcetera-etcetera.

Tentang Fazli Tahir, setahu saya kini menjadi mata-mata di Simpang Ampat, Tasek, Seberang Perai. Itu saja maklumat yang ada.

Ismail (saya lupa binnya) berdecit-decit. Memandang kereta yang melintasi di depan kami. Saya mengesan rindu itu lagi pada helaan nafasnya. "Nak buat macam mana cikgu no," katanya, " kita semua kalut..."

Menjelang lena, terimbas kembali kelas Ismail di AlFalah. Antara kelas paling riuh terutama semasa mereka di Tingkatan Tiga.

Ismail pernah saya jerkah di depan ramai pelajar kerana mengganggu seorang rakan yang sedang berhadapan saya di dalam kelas di bawah surau. Ketika itu saya sedang menjalankan ujian pendengaran dan lisan Bahasa Malaysia untuk peperiksaan SRP/PMR. Tak tahu adakah lagi ujian seperti itu sekarang di mana pelajar akan diperdengarkan sesuatu dari pemain kaset dan diminta menjawab beberapa soalan berkaitan secara perseorangan. Ada juga soalan lisan.

Dalam keadaan tertekan untuk menghabiskan sesi itu untuk setiap pelajar, Ismail buat hal. Apa lagi. Meletuplah suara saya. Seluruh pelajar diam. Ismail tertunduk. Lupa pula nak tanya tunduk malu atau kesal atau geram.

Tapi saya yakin tidak tersimpan apa-apa dalam hatinya. Yakin sangat. Kalau dia masih berdendam masakan saya dapat bangun dari meja malam tadi tanpa perlu bayar sesen pun.........

Ismail Teluk Bulang. Dia salah satu lidi yang bergabung dengan lidi-lidi lain membentuk penyapu yang besar di AlFalah....

24 March 2012

Anak Kelapa Ustaz

Petang itu agak sunyi.

Besok acara Sukan Rakyat bakal diadakan. Biasalah Sukan Rakyat ini tidak perlukan langsung latihan intensif, jadi semua pelajar bersantai sakan di asrama.

Persiapan tempat dan peralatan semua diobereskan pagi tadi lagi. Cuma saya masih mencari idea untuk acara mencabar minda yang memerlukan peserta berprestasi tinggi dalam pelajaran seperti mencari pasangan dan mencari benda. Biasalah juga saya menunggu hingga saat akhir. Kalau ada idea awal pun belum tentu muktamad. Boleh berubah beberapa kali, malah hingga 2-3 minit sebelum acara bermula.

Saya nampak Ustaz Azizan mencangkung di depan rumahnya. Saya hampiri dan mendapati beliau sedang menanam anak kelapa di satu lubang yang telah dikorek beberapa hari lalu. Ada 6-7 anak kelapa yang belum ditanam berhampiran tempat ustaz mencangkung. Benih dari Bukit Mertajam, katanya. Sambil menimbus benih yang ditanamnya, kami berbual tentang acara sukan yang bakal berlangsung.

Malam itu ketika menaip nama-nama benda dan pelajar untuk acara mencari itu, awal-awal lagi saya teringat anak-anak kelapa ustaz. Lalu saya merombak huruf ANAK KELAPA menjadi AAAAEKKLP.

Besoknya, acara mencari benda (pelajar lelaki) bermula dengan saya mencampakkan 8 gulungan kecil kertas di tempat permulaan. Masing-masing mempunyai serakan huruf untuk satu benda. Saya maklumkan bahawa huruf-huruf itu terdiri daripada dua patah perkataan, misalnya KASUT KULIT saya taip AIKKLSTTU. Peserta boleh membawa pena dan kertas untuk menyusun abjad menjadi jawapan yang difikirkan betul. Kemudian mencari benda itu dan menyerahkan kepada saya  bagi menentukan betul atau tidak. Peserta pertama dapat membawa benda yang betul seperti yang saya maksudkan akan memenangi acara.

Lucunya ada yang membawa barang yang tidak betul akibat gelojoh menyusun huruf. Inilah yang menyumbang kepada keriuhan pagi itu di AlFalah. Peserta perlu menyelesaikan acara itu bersendirian. Sebab itulah hanya pelajar berprestasi tinggi yang akan menjadi pemenang.

Dalam keriuhan itu, 100 meter dari tempat saya berdiri, Ustaz Azizan berada di tingkap rumahnya memerhatikan acara yang berlangsung.

Tiba-tiba saya nampak dia melambai cemas dan mengatakan sesuatu. Namun suaranya tenggelam dalam keriuhan pelajar menyorak peserta rumah masing-masing (2 peserta untuk setiap rumah) agar cepat mencari benda.

Setelah acara itu tamat, barulah saya dimaklumkan Ustaz Azizan marah kerana anak kelapa yang baru ditanam dicabut oleh seorang peserta. Rupanya ketika saya membayangkan anak-anak kelapa yang belum ditanam itu, ustaz telah memindahkannya ke belakang rumah petang kelmarin. Jadi peserta yang baru berjaya menyusun abjad tiada pilihan.....

Manisnya waktu itu....

.........dan adik-beradiknya


Wira Osman
Bertanyalah Wira Osman, berapa gb memori saya. Alhamdulillah, walaupun tak dapat mengukur skala dengan tepat, diberi-Nya memori yang masih elok. Barangkali roh Alfalah masih hidup dalam diri, maka seperti tertayang jelas setiap gerak dan denyut masa lalu di situ. Barangkali kerana mengamalkan set minda.....

Teringat Wira, hari ini saya membuka set itu tentang adik-beradik yang pernah belajar di AlFalah pada era saya. Kalau tercicir nama, maaflah. Bukan lupa, cuma mungkin kad itu tercalar sedikit....Semua ini saya sunting on-line, tiada catatan kerana mana nak dicari buku kedatangan pelajar dulu lagi.... Mungkin ada pada Raihan di Arkib Negara.!

Ok, nama adik-beradik yang saya ingat ini, sila angkat tangan! Yang saya tidak sebut, tolong beritahu!(Bertanda * ertinya saya lupa nama)
  1. Rohana Chik, Hamidah Chik  - Kubang  Pangas, Kubang Rotan.
  2. Jariah Abdul, Sukiah Abdul dan * - Teluk Kechai
  3. Zamri  Zain, Asmah Zain dan * - Kg Sematang Pinang
  4. Noraini Osman dan Wira Osman - Kg Sematang Pinang
  5. Shukeri Wahab, Norhayati Wahab dan adiknya yang kami panggil Pak En* - Kuala Kedah
  6. Yusri Haron, Hasliza Haron - Kuala Kedah
  7. Zulkifli Shamsuddin, Siti Hawa Shamsuddin - Lahar Buaya
  8. Latiff Rahim, A Rahman Rahim, Jamilah Rahim - Tebengau
  9. Zamri Hashim, Zamzurina Hashim, Naslina Hashim - Teluk Bagan
  10. Rohana Jalil, Aznan Jalil dan * - Kuala Kedah
  11. Fazilah Ahmad, Fadzin Nor Ahmad - Tebengau
  12. Hussain Lateh, Azman Lateh, Azren Lateh- Kepala Batas Paip
  13. Zamri Che Omar, adik perempuannya* - Sungai Nonang
  14. Rosnah Chik, Aishah Chik, Abdullah (Wan) Chik - Selarong Lalang
  15. Ramli Mohammad, Mustadi Mohammad - Seberang Perak, Teluk Intan
  16. Hussain Abdul Hamid, kakaknya Jamaliah - Tebengau
  17. Norhayati Ahmad, Che Puan Ahmad - Kg Perlis
  18. Anuar Rashid, Fazlan Rashid, Jamaliah Rashid - Pdg Jambu
  19. Zainab Shariff, Zamri Shariff - Alor Ibus
  20. Kamal Ahmad, Fazlullah Ahmad dan seorang lagi* - Kg Perlis
  21. Basri Zakaria, Helmi Zakaria, Jamani dan adiknya* - Gajah Mati,Pendang
  22. Siti Maryam Hj Awang, Elias Hj Awang - Gajah Mati
  23. Siti Norliza Abd Hamid, Siti Masliza Abd Hamid, Siti Marhamah Abd Hamid - Gajah Mati
  24. Maizura Mansor, Mazlan Mansor, Mazni Mansor dan Mazlina - Kuala Kedah
  25. Hasliza Said, Husna Said, Samirah Said, NurShahida dan * - Kuala Kedah
  26. Zulkifli Basari, Rosli Basari, Zabuti Basari - Pmtg Ibus
  27. Mariam Hj Hashim, Ahmad Hj Hashim - Pmtg Ibus
  28. Hafizoh Talib, Rozinatul Hanim Talib, Ayob Talib - Pmtg Ibus
  29. Mustaffa Mohd Nor, Zaiton Mohd Nor- Pmtg Ibus
  30. Md Amin Ramli, Mohd Nizam Ramli - Pmtg Ibus
  31. Md Zaini Ismail, Zulkifli Ismail, Rosli Ismail - Kg Perlis
  32. Md Nuli Ishak, Norhayati Ishak, Bazliana Ishak - Kg Perlis
  33. Habibah Ali, Zuraini Ali dan abangnya *-  Kg Perlis
  34. Zabarina Ahmad, abangnya* -  Kg Perlis
  35. Syamsol Saad, Mohd Faisol Saad -  Kg Perlis
  36. Marina Jamaluddin, Mahathir Jamaluddin - Tebengau
  37. Norhafizah Mohd Jusoh, Fahrulruzi Mohd Jusoh
  38. Roshadah Saidin,Md Isa Saidin - Pmtg Ibus
  39. Hafizah Saad, Md Zaini Saad - Kangkong
  40. Mohd Lutfi Md Yunus, Nor Raihan Md Yunus
  41. Mariam, Hindon Ismail,  - Kola
  42. Mohd Sofi Ahmad, Hasliza Ahmad, Mohd Nizam Ahmad, - Changlon
  43. Mohd Nizom, Mohd Nazri, Mohd Najib Hashim - Alor Ibus
  44. Asri Mansor, Roshidi Mansor - Alor Terung
  45. Zaini Ariffin, Suratunbani Ariffin, adiknya Shahabudin -  Kg Perlis
  46. Che Puteh Md Ariff, Mashitah Md Ariff - Teluk Bulang
  47. Yasmin Md Nayan, Nurrezini Md Nayan - Teluk Bulang
  48. Saidin Saad, Norlizah Saad - Alor Ibus
  49. Normah Muslim, Salmah Muslim - Pmtg Ibus
  50. Mohd Kamal Bakar, adiknya* - Alor Pulai
  51. Hafizah Zainal, Hafizal Zainol -  Kg Perlis
  52. Norhayati Che Rose, Mohd Saufe Che Rose -  Baling
  53. Rubiah Baharom, Kamaruzzaman Baharum - Baling
  54. Lutfi Ismail, Asilah Ismail - Kg Pergam
  55. Ahmad, Ali Abd Rahim : anak saudara Maklang Yah. Nama mereka tak pasti..
  56. Mohd Nizam Khalib, adiknya* - Gajah Mati
  57. Sharifah Ishak (arwah), Zaini Ishak - Pmtg Ibus
  58. Sharifah Saad, Aziz Saad -  Kg Perlis
  59. Ku Hasnizam Ku Abd Hamid, Ku Hasnawiyah Ku Abd Hamid - Kg Pergam
  60. Fauziah Salleh, Mohd Zaini Salleh - Sg Papan (anak saudara kepada pasangan nombor 38 di atas)
  61. Norhayati Ismail, Mohd Fauzi Ismail, dan * - Chegar, Pendang
  62. Sabariah Muhammadan, adiknya* - Kola
  63. Nor Hayati Abd Rashid, Ahmad Sayuti Abd Rashid - Padang Jambu
  64. Zawawi Hj Ali, adiknya* - Sala Kechil
  65. Anak-anak Paklang Ismail Arshad (Kg Perlis) yang dipanggil Mod Noor [Paklong} dan Paksu...
  66. Nazri Abu Seman, adiknya* - Sungai Nonang
  67. Asma, Mohd Aswad Abd Rahim, Asnisah - Kola 
  68. Mohd Bafori Abd Razak, kakaknya* - Teluk Bulang 
  69. Jamal Huri, Siti Noor - Kg Sematang Pinang 
  70. Rosmedia Yahya dan adiknya, Ayu Natida- Kola
  71. Norashikin Azmi (arwah) dan abangnya Reny - Taman Bersatu
  72. Jamaliah Omar dan kakaknya* - Seberang Alor
  73. Ali Saad dan Zahir Saad - Alor Ibus
  74. Mohd Amin dan Farihah Abdullah - Alor Ibus
  75. Abdul Khodir dan Mohd Zairi Md Ariff
  76. Asri dan Takiyuddin Abdullah (kembar) - Alor Ibus
  77. Faizah dan Mashitoh Lazim - Kg Pergam 
  78. Sakinah dan Faizal Yahya - Alor Ibus 
  79. Che Puan dan Hafizah Ahmad - Kg Perlis
Nota: berhuruf biru tanda saya baru mengingati namanya- Cipher 26 Dis 2012.

Minda saya set lokasi/kampung mana, lalu muncul nama mereka. Saja tak ikut susunan menurut kampung asal masing-masing. 1AlFalah.......

Yang datang solo ke AlFalah lagilah ramai. Insyaallah sebahagiannya saya masih ingat.

Di manakah sebahagian kalian? Kalaulah dapat kita berkumpul.....