24 March 2012

Anak Kelapa Ustaz

Petang itu agak sunyi.

Besok acara Sukan Rakyat bakal diadakan. Biasalah Sukan Rakyat ini tidak perlukan langsung latihan intensif, jadi semua pelajar bersantai sakan di asrama.

Persiapan tempat dan peralatan semua diobereskan pagi tadi lagi. Cuma saya masih mencari idea untuk acara mencabar minda yang memerlukan peserta berprestasi tinggi dalam pelajaran seperti mencari pasangan dan mencari benda. Biasalah juga saya menunggu hingga saat akhir. Kalau ada idea awal pun belum tentu muktamad. Boleh berubah beberapa kali, malah hingga 2-3 minit sebelum acara bermula.

Saya nampak Ustaz Azizan mencangkung di depan rumahnya. Saya hampiri dan mendapati beliau sedang menanam anak kelapa di satu lubang yang telah dikorek beberapa hari lalu. Ada 6-7 anak kelapa yang belum ditanam berhampiran tempat ustaz mencangkung. Benih dari Bukit Mertajam, katanya. Sambil menimbus benih yang ditanamnya, kami berbual tentang acara sukan yang bakal berlangsung.

Malam itu ketika menaip nama-nama benda dan pelajar untuk acara mencari itu, awal-awal lagi saya teringat anak-anak kelapa ustaz. Lalu saya merombak huruf ANAK KELAPA menjadi AAAAEKKLP.

Besoknya, acara mencari benda (pelajar lelaki) bermula dengan saya mencampakkan 8 gulungan kecil kertas di tempat permulaan. Masing-masing mempunyai serakan huruf untuk satu benda. Saya maklumkan bahawa huruf-huruf itu terdiri daripada dua patah perkataan, misalnya KASUT KULIT saya taip AIKKLSTTU. Peserta boleh membawa pena dan kertas untuk menyusun abjad menjadi jawapan yang difikirkan betul. Kemudian mencari benda itu dan menyerahkan kepada saya  bagi menentukan betul atau tidak. Peserta pertama dapat membawa benda yang betul seperti yang saya maksudkan akan memenangi acara.

Lucunya ada yang membawa barang yang tidak betul akibat gelojoh menyusun huruf. Inilah yang menyumbang kepada keriuhan pagi itu di AlFalah. Peserta perlu menyelesaikan acara itu bersendirian. Sebab itulah hanya pelajar berprestasi tinggi yang akan menjadi pemenang.

Dalam keriuhan itu, 100 meter dari tempat saya berdiri, Ustaz Azizan berada di tingkap rumahnya memerhatikan acara yang berlangsung.

Tiba-tiba saya nampak dia melambai cemas dan mengatakan sesuatu. Namun suaranya tenggelam dalam keriuhan pelajar menyorak peserta rumah masing-masing (2 peserta untuk setiap rumah) agar cepat mencari benda.

Setelah acara itu tamat, barulah saya dimaklumkan Ustaz Azizan marah kerana anak kelapa yang baru ditanam dicabut oleh seorang peserta. Rupanya ketika saya membayangkan anak-anak kelapa yang belum ditanam itu, ustaz telah memindahkannya ke belakang rumah petang kelmarin. Jadi peserta yang baru berjaya menyusun abjad tiada pilihan.....

Manisnya waktu itu....