27 February 2013

Che Ta, Rita Dan Bangau


Hujan nampaknya akan berlarutan sepanjang hari.

Tumbuhan bertasbih memuji Ilahi. Derita kekontangan hampir dua bulan berakhir.

Saya berada di sebuah kedai kopi. Sebiji macam dalam drama di TV.  Kalau cerita di kampung mesti ada kedai kopi bersama penunggu setianya……

Ada lebih sedozen pelanggan dengan pelbagai ragam. Beberapa orang di meja sebelah kiri saya membelek pecahan tiga akhbar percuma yang masing-masing telah kusam, walaupun jam baru pukul sebelas pagi.

Di meja sebelah kanan saya, ada seorang, yang agaknya telah pun membaca semua akhbar  tersebut, sedang menganalisis berita. Mulanya berkait politik. Hebat ulasannya. Ciri-ciri serba tahunya terserlah dengan kemunculan petikan berita dua tiga hari lalu di dalam hujahnya. Kalau dia ada blog, sah berada dalam ranking pilihan. Cukup baik dia berhujah. Siap disebutkan beberapa nama baru yang akan ikut bertanding mewakili kedua-dua kem. Rakan semeja nya melopong. Apabila dia memberitahu tarikh pembubaran parlimen, saya pula ikut melopong. Kalah orang SPR melihatkan gaya keyakinannya menyebut tarikh tersebut. Perlahan-lahan tumbuh minat saya terhadap watak yang perlu diperhatikan ini…….

Tidak lama kemudian, ada keluhan kuat dari meja di sebelah kiri. Si pengeluh itu baru saja menghempas sebuah akhbar tabloid yang agak tebal, lalu menghirup kopi o yang sudah suam. Semua terdiam sejenak, memandang ke arahnya.

“Apa pasai pulak hang ni?” Tanya penganalisis berita tadi. Mungkin tidak gemar semangatnya sedang berhujah dipancung begitu oleh bunyi yang tidak begitu enak di telinga.
 
“Dak la….. Yang Che Ta pi pilih pun, budak muda sangat jadi laki…..” kata si pengeluh. “Kalau dia pilih aku, padanlah…..” sambungnya.

Berderai tawa dari penghuni dua meja tersebut. Saya yang berada di meja kanan tersenyum. Laaa…… orang dari daerah saya pun ada di dalam senarai rupanya…..

“Tu la….” Kata sang penganalisis  tadi. “ Aku pun dok bimbang juga. Hangpa tengok Rita dengan budak bola tu….. La ni dok naik turun mahkamah. Dulu bukan main sakan. Baru berapa tahun ……”

Rakan semejanya yang melopong, kini mengangguk. Sebahagian penghuni meja bersebelahan ikut sama. Sang penganalisis melihat muka saya  yang kebetulan muncul di matanya tatkala melihat satu demi satu wajah yang memberi tumpuan kepadanya.  Agaknya tidak berpuas hati  kerana tiada anggukan dari saya. Cepat-cepat saya mencapai cawan lalu menghirup teh – melindungi sedikit mata saya dari tenungannya.

“Satu lagi…. Zul Gerak Khas pulak. Dok nak ambik Gaya….Gaya…Gaya apa tak tau….. Bangsa lain satu hai la. Umuq pulak tua dari dia jugak…..  Nak tahan lama mana kalau cinta pun……” sambungnya setelah meminta sebatang rokok dari teman di sebelahnya. Dia menyuakan rokok yang diletakkan pada bibir itu untuk dicucuh oleh seorang teman lain di hadapannya. Dia menyedut sekali, dalam-dalam, sebelum melepaskan asapnya ke bumbung gerai. 

Kalau saya menulis skrip drama tv, watak itu pasti akan menjadi watak pembantu yang disenangi penonton. Petah, ramai kenalan dan begitu hidup perwatakannya.

Sedang saya mengagumi kepetahan dan keserbatahuan penganalisis yang hanya berkain pelikat dengan badan berbalut  sehelai baju tebal  bertulis LA Lakers itu, meja saya ditumpangi dua orang pemotong rumput pekerja kontraktor di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar. Mereka tersengih sambil mempelawa saya minum. Salah seorang mengeluarkan bungkusan nasi yang dibeli di tempat lain. Saya hanya tersenyum mengangguk.

Tumpuan saya terhadap penganalisis tadi diteruskan apabila dia didatangi oleh seseorang yang menghulurkan sebungkus minuman yang dilapisi beg plastik berwarna hitam. Seseorang itu meminta izin untuk mengambil kerusi kosong di sebelah saya lalu duduk mencelah di antara penganalisis dengan seorang rakan lagi. Lama mereka saling bercakap tetapi tidak saya dengar buah butirnya, sambil menggamit pembantu gerai, meminta dua gelas kosong. Sebaik gelas dihulur, dia menuang minuman tadi ke dalamnya. Sama banyak. Air berwarna kuning keperangan itu diteguknya sekali sambil memejam mata.

Rakannya tadi mengeluarkan sekeping kertas dipenuhi angka dari beg sandang kecilnya, lalu membuka selebar tapak tangan kirinya. Sang penganalisis membeleknya. Seorang dua di sisi mereka memanjangkan leher, cuba melihat sama kertas tersebut. Rakannya tadi seolah mencucuk-cucuk kertas itu dengan jari telunjuknya.

“Tu la…. Barua sungguh!  Saja tak mau kaya Ahad lepas….“ Tiba-tiba kuat pula suara penganalisis. “ Ni nombor motor mertua aku. Naik penuh….. Minggu lepas aku bubuh 20 ringgit, selopak pun tak sangkut….. haram jadah sungguh!”

Dia meludah sekali pada kertas yang masih dipegang rakan tadi.….. Lalu mencapai gelas di depannya. Meneguk sekali lagi air berwarna kuning keperangan. Sekali lagi matanya dipejam rapat tatkala air tersebut melintasi kerongkong.  Namun dia meletakkan semula gelas penuh kepuasan.

“Hang beli kat sapa ayaq ketum ‘ni. Pelik sikit bau….. banyak  campuq benda lain kut…..” kata penganalisis sambil memerhati gelas itu. Rakannya menjawab tapi saya tidak mendengarnya. Cuma nampak mereka sama-sama tertawa. Bahagia sungguh mereka…..

“Hangpa buat tang mana haghi ‘ni?” Tiba-tiba penganalisis bertanya dua pemotong rumput yang duduk di meja saya. Mereka yang ditanya saling bertukar renungan sebelum yang memakan nasi bungkus tadi bersuara,”Taman Bersatu…”

“Biaqla rumput tu panjang sikit….. la ni bukan ada bangau dah!” kata penganalisis pula. Dua pemotong rumput itu terpinga-pinga. Saya pun, pada mulanya.

“Hang oghang Tokai, ‘kan?” Tanya penganalisis kepada pemotong rumput yang tidak memakan nasi bungkus pula. Hamba Allah itu menganggguk, separa hairan atau kagum. Penganalisis tersenyum.

“Bagi la rumput tu segaq sikit…. Dah la lama dok dahaga, baghu jumpa hujan, hangpa teguih cantaih. Tak patutla, kan?” Penganalisis berkata manakala pemotong rumput dari Tokai itu mengangguk dan tersenyum, kelat.

Makin saya meminati watak tersebut. Peramah sungguh. Dan akan perkataan bangau itu… bukan semua orang ada ‘isi’ seperti itu…..

Semasa saya menghadap komputer kini, wajah penganalisis tersebut muncul. Saya tersenyum. Mengingat semua gerak dan tuturnya pagi tadi – termasuk bagaimana dia berdiri dan membongkok sedikit serta mengangkat tabik kepada seorang rakan semeja yang ingin beredar segera setelah membayar harga minuman di meja mereka. Banyak insan berwatak begitu di kejiranan saya……

Tiba-tiba saya teringat hal bangau yang disebutnya.

Beberapa kali, pada tahun berbeza di AlFalah, ketika mengajar tentang Rantaian Makanan, saya mengambil contoh dari lagu warisan kita Oh Bangau.

Bangau oh bangau,
Kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus
Ikan tak mahu timbul

Ikan oh ikan
Kenapa engkau tak timbul?
Macam mana aku nak timbul
Rumput panjang sangat

Rumput oh rumput
Kenapa engkau panjang?
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku

Kerbau oh kerbau,
Kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan
Perut aku sakit

Perut oh perut,
Kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit
Makan nasi mentah

Nasi oh nasi
Kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah
Api tak mahu menyala

Api oh api,
Kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam mana aku nak menyala
Kayu api basah

Kayu oh kayu,
Kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah
Hujan timpa aku

Hujan oh hujan,
Kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa
Katak panggil aku

Katak oh katak
Kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
Ular nak makan aku

Ular oh ular
Kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan,
Memang makanan aku
Memang makanan aku.


Dari lagu itu tersusun banyak rantai. Kebanyakan pelajar terhibur mendengar bahagian awal lirik itu dilagukan oleh seekor katak tua...... Dengan mudah mereka dapat menghabiskannya.....

Setiap tahun, akan ada pelajar yang kritis – bertanya bagaimana mungkin cerita kerbau memakan nasi? Bermacam jawapan saya temukan sebaik diajukan dahulu kepada rakan sekelas. Hingga kadangkala menimbulkan sedikit keriuhan.

Jawapan saya mudah: Kerbau zaman dahulu mungkin  memakan nasi yang ditanak tuannya! Dalilnya? Orang zaman dahulu memakan dedak dan menganggap beras sebagai tulang. [Rujuk entri Apa Ada Di AlorSetar ‘Tu?] Jadi, dimasaklah banyak tulang padi  itu untuk dijamu kepada kerbau…. Lagi pula kerbau adalah herbivor……

Jika  ada yang mempertikai lagi, saya akan bertanya: Ayam boleh makan nasi, bukan? Adakah ayam memasak sendiri nasi tersebut?

Saya teringat. Pernah sekali ada seorang yang tidak berpuas hati [ mungkin ingin menduga cikgunya ] dengan jawapan yang diberikan. Helmi Zakaria – budak Gajah Mati. Sampai ke asrama dia berhujah dengan saya tentang kemunasabahan kerbau memakan nasi!. Kebetulan ada budak asrama sedang membersihkan periuknya, mengeluarkan nasi semalam, mengggaulnya dengan kepala dan tulang ikan tamban kering yang digoreng, lalu diberikan kepada seekor kucing manja. Saya mencuit Helmi yang sedang tersenyum menampakkan lesung pipitnya menghadap dan menanti hujah cikgunya ini. Dia menoleh ke arah yang saya tunjukkan – pintu ke dapur asrama – di mana kucing tadi sedang menikmati makan tengah hari.

“Logikkah seekor kucing memakan nasi yang dimasak sendiri?” Tanya saya sambil tersenyum. Helmi mencapai songkok Mohammad Daud, rakan sedaerahnya, lalu membaling ke arah kucing tersebut. Walaupun tidak mengena, kucing itu tetap berlari ke luar untuk seketika. Helmi ikut tersenyum….

Manis sungguh saat itu……

Hujan masih renyai di luar.

Lama bumi gersang. Benarlah kata penganalisis tadi. Biarlah rumput itu memanjang segar sedikit…..

21 February 2013

Kenduri Terakhir

Sambungan entri: Catatan Kecil: Kenduri Sekitar Kola

Kami melalui ban bertar cantik untuk mengambil Budak Batas Paip  [BBP] dan anaknya pula. Siap menunggu di tepi jalan adalah anaknya yang dinamakannya sempena salah seorang periwayat hadis terunggul, Imam Bukhari.

BBP muncul dari rumahnya, tersengih dan menghulurkan salam. Dua beranak itu kemudiannya menaiki kereta, duduk bersama Mohd Zairi Mohd Ariff di tempat duduk belakang.

Cikgu Abdur Rahim Daud memandu hingga ke Teluk Kechai sebelum membuat pusingan-U, berpatah ke Batas Paip. Kami perlu menghantar dahulu Zairi ke rumah keluarganya di Alor Ibus - seperti yang saya catatkan sebelum ini - kerana telah berjanji untuk bersama-sama menantu emaknya menghadiri kenduri keluarga besan emaknya di Kangar, Perlis....

Setelah menurunkan Zairi di pinggir jalan di Alor Ibus, Cikgu Rahim memandu keretanya terus, menghala simpang Kampung Pergam, ke Teluk Bagan, Tandop dan seterusnya memasuki lebuhraya.

Waktunya tidaklah selewat dulu. Laluan juga tidak  sesibuk dulu. Dulu itu adalah sewaktu kami - saya, Cikgu Rahim dan Cikgu Non - ke Changlon juga untuk kenduri di rumah yang sama, sehari selepas 'kiamat' itu. [Lihat Selepas 'Kiamat'].

Dalam pukul empat kami sudah berada di Changlon - pekan yang agak sibuk. Jalan menghala ke rumah Sofi masih sesesak dahulu. Beberapa kali lampu trafik dihijaukan barulah kami memasuki jalan tersebut.

Baru sekitar 50 hari saya dan Cikgu Rahim mengunjungi rumah tersebut. Kata orang bau bekas basuh pinggan pun belum hilang sepenuhnya. Kini kami muncul lagi........

Kedudukan khemah juga masih seperti pada 22 Disember lalu. Cuma kali ini kami nampak tuan rumah berada di khemah bersetentang dapur rumahnya, maka kami terus ke situ. Agaknya di situlah juga khemah untuk tetamu lelaki dulunya. Mungkin kerana kami terlewat maka semua tetamu ketika itu dihimpunkan dalam khemah yang berhampiran meja pengantin. Berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa ini, mungkin tepat jangkaan itu. Manalah boleh  meja pengantin jauh dari khemah tetamu perempuan.....

Kami duduk dahulu mengambil nafas. Saya mencari Sofi. Tiada kelibatnya. Yang ada cuma kelibat Wak Sir [Nizam]. Itupun di ruang dapur membelakangi kami. Kelihatan sibuk membungkus lauk untuk saudara-mara, agaknya. Panggilan saya tidak langsung didengarinya. Hingga waktu kami berangkat pulang kelibat beliau tidak muncul-muncul.... Ikut pengalaman kenduri yang lalu, mungkin dia tertidur waktu itu kerana keletihan. Maklumlah, seminggu sebelum kenduri, persediaan tempat dan urusan lainnya terletak di bahu anak ketiga itu - dia yang tinggal bersama emak ayah di situ........ Tidak mengapalah Wak Sir. Kami faham......

Saya menggunakan telefon untuk mencari Sofi. Mulanya hendak mengacah sedikit. Mungkin dia sedang sibuk juga di dalam rumah atau di bahagian belakangnya.

"Lauk banyak lagi ka?" tanya saya sebaik bertukar salam.

"Ada lagi.... Mai la...." balasnya.

Saya tersenyum. "Ni dok ada dalam khemah dah ni, " balas saya. "Dok tang mana? Tak nampak pun...."

"Di Changlon! Ada hal sikit......"

"Lambat ka?"

...................


Bagai diagak oleh anak BBP, Sofi kena menghantar anaknya ke asrama Maktab Mahmud, Alor Setar. Alamatnya lambat lagilah Sofi dapat berpatah balik. Alamatnya lagi, tidaklah dapat BBP bertemu otai AlFalah tersebut di rumah keluarganya itu.......

Isterinya, Puan Nasibah, muncul memaklumkan hal itu. Agaknya dibisikkan di telefon oleh Sofi. Selepas berbual seketika sebelum dipanggil oleh seseorang di dalam rumah, tempatnya diganti pula oleh Hasliza Ahmad - adik Sofi. Sekali lagi, agaknya dibisikkan pula oleh abangnya kerana jika tidak, dia tidak akan nampak kami di khemah yang terlindung oleh ruang depan rumah....

Sebelum itu, kami bangun mengambil makanan.Sofi ada menyebut laksa. saya tercari-cari sendiri, tetapi menjumpai bubur kacang, yang rasanya masih sesedap kenduri yang dulu..... Itu lagilah digemari....

Sementara itu, kalimat sesedap kenduri yang dulu, rupanya ada di lubuk hati Cikgu Rahim. Bersama BBP dan anaknya, mereka menyental nasi bersama gulai daging dan terutamanya tulang. Akan tetapi, selak gulai baru nampak nasinya.....

Bukhari malah disarankan oleh mak penanggah supaya mengambil bahagian tulang yang agak besar - yang agaknya pada awal tadi dilihat sambil air liur menitik oleh peminat tulang gear box...... Tersipu-sipu juga anak BBP itu mulanya. Mulanya....!

Habis sekali setelah lama menikmati tekstur daging yang berbaur mesra dengan rempah, dimasak di atas api yang sederhana itu....hehehehe.... mereka semuanya bangun untuk mencari tulang lagi.

Saya ikut untuk kemudiannya menyokong BBP memasukkan seketul lagi tulang besar berdaging ke sebuah pinggan lain.
Kemudian, saya ikut dia ke meja makan dan sebagai habuannya, saya ikut meratah...... Sambil mengunyah daging atau mencungkil isi dari tulang, sesekali kami menjilat jari - menikmati rasa rempah yang enak.

Sambil itu, barulah apa yang ada di lubuk hati Cikgu Rahim diluahkan. Dia memang menyediakan suatu ruang dalam perutnya untuk menikmati gulai itu, katanya. Sebab itulah dia tidak selaju saya menyuap makanan di rumah di Taman Marina dan di Pulau Gezambo. Bukan tidak makan, cumanya berawas supaya ada ruang kosong....

Sambil itu dia berdoa agar akan ada gulai seperti kenduri yang dulu...

Doanya dikabulkan dan dia mengaplikasikan rasa syukur dengan berpulun sakan menewaskan tulang berdaging itu dan mengunyahnya sepuas mungkin....

BBP dan anaknya, Bukhari, turut mengikut rentak Cikgu Rahim. Bergelumang dengan gulai tersebut. Dia tentulah tidak bermasalah di ruang perut. Ketika saya hubunginya semasa masih di Pulau Gezambo lagi, dia telah mengurangkan kandungan ususnya di rumah. Nampaknya dia membuat persediaan juga walaupun bertempur begitu di situ, buat kali pertama.....

"Kalaulah ada Cikgu Non sama..." kata Cikgu Rahim atau saya, mengenangkan ketekunan sahabat kami itu melakukan hal yang serupa pada kenduri yang dulu.....

Kali ini tiada air kopi o kaw. Mungkin  kerana tiada hujan membilas pada petang itu.....

Namun mereka puas. Saya pun.

Tetapi ada sedikit pilu tatkala menyebutkan inilah kenduri terakhir di situ. Telah habis anak Pakcik Ahmad - dikenali sebagai Bang Mail di kampungnya - mendirikan rumah tangga ....

Kenduri terakhir.

Mulanya itulah sahaja sebab tunggal kami mahu juga ke situ dalam kesibukan banyak lagi kenduri. Rupa-rupanya, serampang telah menjadi dua matanya..... kenduri dan gulai itu.....

Punya teruja mencatat, terlupa pula kisah Hasliza.....

Dia yang mengajar di Kay El, bercerita tentang keluarganya - suami dan anak-anak. Salah seorang anaknya berada di sampingnya ketika itu. Dia berkisah tentang terpaksa memberanikan diri memandu di Lembah Kelang itu serta bercerita bagaimana memandu sendiri pulang kali ini kerana suaminya baru sahaja bertukar kerja, dan sukar mendapat cuti. Pada kenduri yang dulu, kami sempat berjumpa suaminya itu.

Hasliza mempelawa kami singgah di rumahnya jika dan apabila berada di sekitar KL.

Selain itu, seperti lazimnya bagi budak AlFalah, Hasliza -  yang muncul di situ pada tahun 1983 dan meninggalkannya pada tahun 1989 - bertanya tentang beberapa rakan sekolah dahulu, termasuk adik saya yang sekelas dengannya. Saya dan Cikgu Rahim pun menjawablah sekadar yang mampu....

Setelah rancak berbual dan bernostalgia, dia bertanya tentang insan yang hanya mendengar di sisi saya. Apa lagi, terus saya memperkenalkan BBP kepada Hasliza. "Ni adminnya..." kata saya merujuk kepada grup