17 November 2014

Bayangan Wajah - Amy



Kejadian biasa di mana-mana sahaja. Di AlFalah tidak terkecuali…

Amy sedang duduk di atas motorsikal seorang rakan yang diparkir di tepi bangunan dewan merangkap blok untuk kelasnya dan dua kelas lagi. Dua kawan lagi bertinggung di depannya, di atas jalan tar mini yang hujungnya adalah berhadapan tangga surau, 15 meter dari  pintu asrama lelaki.

Masa rehat hanya akan tiba dalam 15 minit lagi. Ketika itu, pelajar Alfalah sedang dalam hissah keempat. Semua kelas sedang dengan tumpuan masing-masing terhadap proses p & p. Cuma di Tingkatan Lima, tiada guru di dalam kelas. Semua pelajar  membuat hal sendiri-sendiri. Ada yang bersendirian melakukan kerja sekolah. Ada yang membentuk kumpulan dua tiga orang untuk saling bertukar cerita. Ada yang membentuk kumpulan dua tiga orang juga tetapi mengambil peranan sebagai pengacau kepada dua tiga orang yang juga membentuk satu kumpulan lain…

Amy pun asalnya membentuk satu kumpulan tiga orang  ketika di dalam kelas tadi. Berbual tentang majlis muhadhoroh yang disertai mereka minggu sebelumnya. Seperti selalu, dia tetap tidak berpuas hati dengan pendeklamasian puisinya. Ada ruang yang boleh diperbaiki. Ada dua tiga tempat yang dikesannya dia gagal melontarkan penekanan suara dengan sempurna - sebagaimana yang dihasilkan semasa berlatih di atas surau sebelum acara yang berlangsung selepas rehat Khamis lepas itu.

Seorang kawan yang agak kebosanan mengajaknya dan seorang lagi ahli kumpulan berbualnya itu ke luar. Ke bilik air yang terletak berdekatan asrama lelaki. Kawan yang mengajak tadi memang membuang air kecil. Kawan yang juga hanya mengikut tadi sekurang-kurangnya berkumur sedikit. Amy tidak pun berbuat apa-apa di situ. Betul-betul hanya menemani.

Dalam perjalanan balik ke kelas itulah mereka singgah di tempat parkir motor.

Amy masih mahu bercerita tentang majlis muhadhoroh. Dua kawan yang bersamanya separuh mengeluh, tetapi mereka amat faham. Amy tidak akan berhenti selagi apa yang mahu dikatakannya tidak terluah.

Sedang dia bercerita akan ikut serta lagi dalam majlis muhadhoroh yang berikutnya, bagi menebus kesilapan majlis minggu lalu, sebuah motor yang ditunggangi seorang gadis menghampiri mereka. Amy berhenti berkata-kata. Dua kawannya telah lama berhenti mendengar….
Gadis kecil molek itu turun perlahan dari motornya. Sambil membuka topi keledar, disedekahkan senyum kepada pengemis yang bertiga itu. Amy terlopong, sebelum membalas semula sedekah senyum…

“Assalamu’alaikum…”ucap si gadis sambil terus bersedekah,

Tiga remaja beruniform serba putih itu menjawab salam secara serentak. Cuma sukukata akhir salam dari Amy lebih panjang dari dua rakannya. Lebih tiga empat harkat.

“Nak jumpa sapa ni…?” Amy bertanya ramah.

“Tang mana pejabat?”Gadis berkulit hitam manis itu tidak menjawab soalan Amy. Dia mencapai fail kertas di dalam raga motornya.

Ketika dua rakannya hampir serentak menunjuk ke arah blok bangunan yang di tengahnya adalah pejabat sekolah, Amy melangkah turun dari kusyen motor yang didudukinya tadi.

“Jom ikut saya. Saya pi tunjuk…”katanya ramah.

Gadis itu tersipu. Tidak pun bergerak ketika Amy sudah tiga langkah menuju ke arah pejabat. Amy menoleh dan terpaksa berpatah balik, apabila dua kawannya tadi kedengarannya seperti cuba menyembunyikan tawa…

“Cik ni nak daftar tukar sekolah ka?” tanya Amy apabila kembali menghampiri gadis berbaju kurung bercorak bunga kecil warna merah hati. Ada anggukan dan senyuman diterima.

“Tingkatan berapa? Tingkatan lima ka?” Amy bertanya lagi. Anggukan dan senyuman tadi berulang. Amy melihat dua rakannya yang baru bangun dari bertinggung sedang tersengih.

“Kalau tingkatan lima, minta dok kelas saya la…”kata Amy yang entah kenapa terangguk sedikit kepalanya,  “…sini ada dua kelas tingkatan lima….”

Loceng berbunyi. Loceng – rod besi seberat 4 kg, tergantung di penjuru luar blok pejabat - diketuk, sebenarnya, oleh seorang budak yang kemudiannya, berlari ke kantin. Waktu rehat.

Amy menoleh ke arah kantin yang terletak di antara blok dewan muhadhoroh merangkap tiga bilik kelas dengan rumah keluarga Ustaz Fairose, pengetua. Ada empat lima orang pelajar puteri sedang melangkah ke situ, termasuk dua rakan sekelasnya. Dia memanggil nama salah seorang mereka. Dua kali. Namun panggilannya bagai dibawa angin lalu. Tidak disahut atau diberi tindakbalas. Amy cuma ingin memberitahu bahawa mereka akan mendapat teman sekelas yang baru…

Dua rakannya pula, sebelum sempat Amy berkata apa-apa, ikut bergerak ke kantin, setelah salah seorang daripada mereka mencuit pinggangnya. Tinggallah Amy seorang. Dia menoleh ke arah gadis tadi semula, dalam sedikit riuh pelajar Alfalah bertumpu ke kantin. Tetapi gadis itu telah tiada…

“Oi! Hang takmau pi kantin ka?”tanya seorang rakan sekelas ketika bahunya hampir bertembung dengan bahu Amy yang sedang melangkah ke blok pejabat.

Amy tidak menjawab. Memang selama ini pun dia jarang awal ke kantin. Sekitar lima minit terakhir barulah dia ke situ. Selain dari tidak payah berebut untuk mendapatkan nasi atau bihun atau mi dan minuman, boleh pula menyakat seorang dua guru yang selalunya ada minum-minum pada waktu tersebut.

Tapi kali ini dia mempunyai sebab tambahan…

Dia melangkah masuk ke pejabat. Gadis tadi sedang duduk di atas kerusi, membelakanginya, menghadap Kak Om, kerani sekolah.

Kak Om sedang membelek kepingan kertas yang dikeluarkan dari fail yang dibawa gadis tadi.

“Letak di kelas saya la Kak Om… “kata Amy.

Kerani yang bertahi lalat besar di atas kening itu, menjegil Amy. Jegilan mesra. Memang Amy, malah hampir semua pelajar Falah, mesra dengan kerani yang berasal dari Tebengau itu.
“Kelas kami ada dua tiga meja kosong lagi…”sambung Amy. Kak Om mengetapkan bibir – juga secara mesra. Gadis tadi menoleh kepadanya, tersenyum. Amy membalasnya. Hatinya dipenuhi bunga sakura…
Ustaz Zahari masuk ke pejabat. Gayanya menyapu muka, seperti baru selesai makan sesuatu di bilik guru. Kak Om mengunjukkan fail milik gadis tadi. Ustaz Zahari mencapainya lalu membuka, membelek seketika.

“Anta….err…. Salmah …nooo…”ucap Ustaz Zahari sambil mata masih di helaian kertas di dalam fail di tangannya. “Dulu anta sekolah mana?”

“Sungai Limau…”balas si gadis kecil molek itu.

Amy yang bersandar pada dinding berdekatan jadual waktu keseluruhan sekolah, mengetuk-ngetuk perlahan beberapa punat mesin taip yang terletak di atas meja kecil di sisinya. Tidak pun berbunyi. Cuma kepala terangguk dan hatinya bernyanyi: Bakal rakan sekelas ini rupanya dari Sungai Limau… Namanya Salmah…

“Sat gi bagi jumpa dengan Ostat Pirud…”kata Ustaz Zahari sambil menyerahkan kembali fail berkenaan kepada Kak Om. Kerani itu mengangguk.

Ustaz Zahari mencapai buku ringkasan mengajar yang terletak pada satu sudut meja Kak Om. “Ana ada kelas lepas ni…”kata ustaz yang juga bekas penuntut AlFalah tahun 60-an itu.

Ustaz Zahari terhenti seketika langkahnya ketika mahu keluar apabila terpandang Amy. Amy hanya mengangguk dan tersengih kepada Penolong Kanan tunggal sekolah tersebut. Tidak ada sebarang ungkapan, baik pertanyaan atau sapaan, dari Ustaz Zahari, sebelum melangkah sambil mengilik buku ringkasan mengajar. Baginya, Amy, atau seorang dua pelajar Tingkatan Empat dan Lima,  berada di dalam pejabat, berborak dengan Kak Om adalah perkara lazim…

“Salmah la dok di mana…?” tanya Amy. Dia membongkok, cuba menjenguk sedikit ke wajah gadis tadi yang kembali menghadap Kak Om. Tiada jawapan.

“Nak dok asrama ka?” Amy tidak berputus asa untuk berbual.

“Nak dok asrama buat apa? Motor ada…” Kali ini ada respons. Tapi malangnya bukan dari mulut Salmah. Amy hanya nampak bahu Salmah bergegar, agaknya menahan tawa.

“Dah tu Salmah dok mana?” tanya Amy semula.

“Dok rumah dia la!” Amy nampak lagi bahu Salmah sedikit bergegar. Suara yang tidak mahu didengarnya pada waktu itu muncul lagi.

“Rumah di mana?” Amy bertanya terus.

“Sungai Limau la!” Kali ini Salmah menoleh, mendongak kepada Amy. Tersenyum. Suara yang tidak mahu didengarnya pada waktu itu terus muncul. Garang tapi mesra.

“Laaa…dok Sungai Limau… Pasai apa tukaq mai sekolah  ni?” Amy keliru.

“Hang ni kacau betuila… Banyak sangat soalan!” Suara yang tidak mahu didengarnya pada waktu itu masih ada. Amy makin seronok!

“Dak la….”

Belumpun sempat dia membentuk ayat nyata atau ayat tanya yang lengkap, loceng dibunyikan – diketuk. Terdengar riuh pergerakan pelajar AlFalah kembali ke kelas.

Ustaz Fairose muncul. Dia baru membuat sedutan terakhir rokok kegemarannya kerana masih ada asap kecil mengikut hidungnya masuk ke pejabat.

Kak Om bangun.

“Ostat Pirud…Ni…”kata Kak Om sambil memberikan fail yang dibawa Salmah.

Seperti Penolong Kanannya tadi, Ustaz Fairose juga membuka lalu membelek seketika isi fail tersebut.

“Jom masuk pejabat saya…”kata Pengetua itu kemudiannya kepada Salmah. Dia masih membelek isi fail ketika melangkah ke pintu biliknya yang terletak di sebelah meja Kak Om.

“Ustat Pirud… letak dalam kelas saya la nooo…”kata Amy, tersengih tapi mengharap.

Memang kebanyakan pelajar AlFalah agak unik. Atau Sekolah AlFalah sendiri memang agak unik. Hubungan guru dengan pelajarnya ketika itu cukup rapat. Amy telah lama mengalaminya. Petang-petang selalu juga dia ikut bermain bolasepak bersama Ustaz Fairose dan seorang dua guru lagi di padang kecil depan asrama puteri. Bukan aneh pelajar lelaki dapat membentes Pengetua itu atau Cikgu Non atau Cikgu Rahim dengan kasarnya. Lagilah tidak aneh apabila mereka mendapat balasan bentesan yang sekali ganda lebih kasar dari guru-guru itu…Tapi semuanya dalam suasana mesra dan ceria…

Ustaz Fairose menoleh seketika kepada Amy.  “Dok buat apa lagi sini? Loceng dah bunyi nuuu….”katanya kendur dengan wajah yang tidak tegang.

Amy tersengih lagi. Ustaz Fairose telah hilang di balik cermin gelap biliknya. Salmah bangun dan kemudian hilang juga di balik cermin gelap itu.

“Padan muka!…Pi!… Pi balik kelas nuu!”kata kak Om sambil tersengih pula.

“Suruh Salmah masuk kelas saya Kak Om naa!…”kata Amy ketika melangkah keluar. Dia menoleh sekali. Kak Om menjelir kepadanya…

Amy terlepas sesi makan di kantin. Tidak mengapa, dia tidak lapar atau dahaga. Ada berita yang boleh dihebahkan kepada rakan sekelas. Dua rakan awal tadi boleh menjadi saksi mata…

Kita akan dapat kawan baru. Perempuan. Dari Sungai Limau. Salmah, namanya.

Sekejap sahaja berita itu merebak dalam bersosek-sosek sambil menunggu guru masuk.

Ketika hissah pertama selepas rehat tamat, serentak dengan keluarnya guru, Amy nampak Salmah sedang menghala ke motornya. Amy menerpa ke pintu kelas. Rakan-rakan lain tertinjau-tinjau di celah-celah cermin tingkap.

“Salmah, bila mula mai?” ramah soalan kelua dari mulut Amy.

Salmah tersenyum. “Esok…”katanya dalam senyum itu. Dia mengenakan topi keledar setelah meletakkan fail ke dalam raga motor.

“Masuk kelas ni ka?”soal Amy lagi. Hatinya berbunga.

“Ya…”balas Salmah perlahan, sambil menghidupkan enjin motor.

Amy menoleh ke arah rakan sekelasnya dengan kepala terangguk-angguk. “Aku dok habaq dah…..” Dia separuh membisik…

Sebelum memasukkan gear pertama, Salmah melambai perlahan ke arah Amy. Hanya Tuhan yang tahu betapa penuhnya hati Amy dengan bunga sakura…
“Bawa motor elok-elok…”kata Amy. Dia sengaja kuatkan suaranya melawan bunyi enjin motor dan riuh suara rakan sekelas dan suara pelajar kelas bersebelahan yang tidak tahu apa-apa…

Amy tersenyum dan melambai ketika motor Salmah mula bergerak.

“Jumpa lagi esok!” jeritnya, ketika Salmah sudah pun sampai di pintu pagar kawasan sekolah..

Amy berpatah balik ke tempat duduknya – paling belakang dalam kelas yang pada waktu tertentu boleh ditukarkan menjadi dewan itu.

“Amboiii….Sakan hang nooo”kata seorang dua rakan sekelas yang berlainan jenis dengannya.

Amy tidak pedulikan suara begitu. Cuma ada sengihan dibentukkan pada juring bibirnya.

Amy melonjakkan sedikit kaki depan kerusi supaya terangkat. Dengan dua kaki belakang kerusi yang menetap di lantai, Amy menyandarkan kepalanya ke dinding. Dia berpeluk tubuh.

Dijelingnya tiga meja kosong di kirinya.

Sebelum guru seterusnya masuk, dia nampak seperti Salmah sedang duduk di salah satu meja itu. Berpaling kepadanya. Dan tersenyum.
Amy berlari di atas padang yang dipenuhi kuntuman sakura!

*****
Besoknya, ketika berada di dalam kelas, menjeling meja yang kosong, barulah Amy terkesan. Salmah tiada pun di situ.

Walaupun Salmah mengakui akan masuk ke kelasnya, Amy menghendap kelas bersebelahan. Manalah tahu…

Tingkatan Lima yang satu lagi itu boleh dilihat secara hendapan itu melalui sambungan pemidang papan lapis mudah alih – yang dapat dipisah dan dicantum untuk samada blok itu dijadikan dewan atau kelas…

Tiada jua kelibat Salmah di situ. Pelajarnya sedang tekun mendengar huraian pelajaran dari seorang guru lelaki.

Entah apa puncanya dia ikut berada di kantin, bersarapan dengan dua tiga rakan sehingga loceng dibunyikan. Dalam melihat kerenah rakan-rakan dan pelajar junior – terutamanya yang tinggal di asrama – berurusan di kantin, dia terlupa untuk ke pejabat, menemui Kak Om, seperti lazimnya. Mengambil buku kedatangan dan kapur tulis serta menyakat kerani itu serba sedikit. Dan pagi tersebut tentulah dapat bertanyakan tentang Salmah…

Entah kenapa rutin itu tidak terjadi kali ini…

Mungkin Salmah tidak datang lagi hari ini. Mungkin esok…

Tidak mengapalah. Kalau ada masa terluang atau pada waktu rehat nanti, Amy akan tanyakan kepada Kak Om.

Hissah keempat. Pelajaran Kesusasteraan Melayu. Telah hampir sebulan tiada guru bagi matapelajaran berkenaan. Cikgu Abdurrahim Daud telah melepaskan jawatannya di AlFalah. Mujurlah pelajaran Sejarah yang juga matapelajaran kegemaran cikgu itu telah diambil alih sementara oleh Cikgu Non, guru Matematik.

Amy mahu bangun untuk ke pejabat, bertanyakan tentang ketiadaan Salmah di dalam kelasnya. Tetapi seorang rakan di depannya meminta nota Sains yang tidak sempat disalinnya pada sesi hari sebelumnya. Mengingat guru Sains yang kuat berleter itu, tidak pula sampai hatinya membiarkan rakan tadi menjadi sasaran. Tambahan pula leteran itu sudah pasti akan dihadapi secara berjemaah oleh seluruh kelas…

Amy duduk semula. Mencari nota Sainsnya di antara sesusun buku nota terletak di dalam beg yang disangkut pada belakang kerusi.

Tiba-tiba kelas yang sedikit riuh, terdiam sepenuhnya. Amy menoleh ke depan.

“Bangun!” Sederap pelajar bangun.

Serentak pelajar mengekori ketua tingkatan memberi salam. Salam pun dijawab.

“Saya guru Kesusasteraan Melayu, juga akan mengajar Sejarah.”

Macam adegan di dalam filem sahaja sesi perkenalan singkat itu. Guru baru menulis namanya di papan hijau. Besar-besar.

SALMAH BINTI AHMAD

“Minta semua perkenalkan diri…”kata Cikgu Salmah. “Kita mulakan dari belakang…”

Semua mata memandang ke belakang, kanan. Ada dua orang pada meja berkembar itu.

“Paling kanan…”kata Cikgu Salmah, “Sila..”

Amy mendengar permintaan atau suruhan itu. Dia tidak bangun sehinggalah hampir separuh kelas memanggil namanya. Seperti mengejutkannya, menyuruhnya bangun dan bersuara.

Amy bangun dalam longlai.

“Saya…” Dia membuka mulut.

“Suhaimi, bukan?”tanya Cikgu Salmah. Amy mengangguk. “Bin?” sambung Cikgu Salmah.
Amy serius bercerita
Amy menjawab, memberitahukan nama ayahnya. Namun dia tidak tahu samada keluar atau tidak suaranya ketika itu.

Selepas itu Amy kembali duduk. Dia benar-benar tidak bermaya.

Bunga sakura sepadang layu serta merta, berserakan disepak dan diinjak rakan-rakan sekelasnya…

Ah…Amy…Kejadian biasa di mana-mana sahaja. Di AlFalah tentulah tidak terkecuali…
Amy
Diolah berdasarkan cerita lisan oleh Suhaimi Md Shah, di kedai Mi Abbas, Kuala Kedah pada21 Jun 2014.

*****
Cikgu Salmah Ahmad adalah seorang guru sementara di AlFalah. Saya tidak ingat tempoh mengajarnya di sekolah itu. Suhaimi amat rapat dengan guru itu kemudiannya. Suhaimi masih mengingati bagaimana hari terakhir Cikgu Salmah di AlFalah, dia mendapat hadiah beberapa buah buku dari guru itu…

Kini, Cikgu Salmah dan suami serta anak-anaknya , tinggal di Pulau Pinang. Salah seorang kakaknya tinggal di Kampung Permatang Ibus. Dahulu, abang iparnya yang seusia sayalah yang membawanya mencari pengalaman sedikit di AlFalah…

14 November 2014

Seorang Cikgu, Insan Terpilih...




KAK 6898

Jarak di antara Sungai Petani ke Alor Setar adalah sekitar 60 kilometer.

Pagi tadi, ketika bertolak dari rumahnya di Taman Setia, berdekatan Pasar Besar Alor Setar, jalan dan jarak yang sama telah dilalui. Meski ditambah dengan kesibukan pagi, perjalanan ke SP tidak sampai pun satu jam.

Namun, perjalanan pulang ini dirasakan cukup lama dan panjang……

Buat pertama kali, dia memandu dengan amat perlahan dan berbaur rasa segan.

Semuanya bermula dengan seketul batu.

Lama masa diperlukannya kelak jika mahu melupakan pagi Sabtu  yang satu itu…

******
14 November 1998.

Ketika rakan sejawatan yang lain bersedap pada awal pagi menikmati cuti mingguan, dia bertolak ke Sungai Petani. Destinasi tepatnya adalah Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim.

Ada acara yang perlu dihadiri sebagai wakil sekolah: Program Penataran SPM Persijilan Terbuka.

Kalau boleh, memang dia ingin menolak tugasan tersebut pada mulanya. Tetapi dia sedar, AlFalah hanyalah sekolah agama rakyat yang kecil. Sedang pula menghadapi zaman gerhana…Bilangan gurunya pada ketika itu tidak ramai. Kalau setiap guru diberikan salah satu jari  dari tangan dan kakinya, masih ada baki lima enam jari…

Guru pula terbahagi kepada dua kelompok: guru bahasa Arab dan agama serta guru akademik. Guru akademik tidak lebih dari setengah dozen semuanya. Sering bergilir menghadiri kursus dan taklimat. Lagi pula, semenjak dua tiga tahun lepas, dia ditunjukkan sebagai guru peperiksaan -yang menjaga, terutamanya, urusan pendaftaran peperiksaan peringkat kebangsaan – PMR dan SPM.

Maka dikira moleklah, dia yang mewakili sekolah pada program berkenaan. Dengan semangat ingin berkhidmat kepada anak bangsa, dia akur dengan arahan pengetua.

Terlepaslah peluang satu hari - seperti Sabtu yang lain - bersenang-senang di rumah bersama keluarga, terutama dua anak yang masih kecil. Terlepas juga satu slot kegemarannya di tv pada petang hari begitu - filem Hindi…

Pukul 8.45 pagi dia telah berada di pekan Sungai Petani. Sudah tidak jauh dengan simpang di kiri untuknya membelok, menuju ke tempat acara berlangsung.
Sedang diperlahankan kereta agar tidak terlepas dari simpang berkenaan, sebuah lori dengan muatan batu kerikil, dengan lajunya, telah melepasi keretanya.

Tanpa bau, malang pun tiba…

Seketul batu dari lori tersebut yang bahagian belakangnya tidak sepenuhnya dilitupi kanvas.telah terpelanting. Tepat menimpa cermin hadapan kereta berwarna merah yang dipandunya. Dalam sekelip mata, hempasan batu itu meretakkan cermin hadapan tersebut. Pandangannya tiba-tiba terhalang oleh ribuan retakan pada cermin di hadapannya. Dia terkejut dan terus menekan brek, sambil melihat cermin itu remuk dengan cepat – berderai di lantai hadapan kereta, termasuk di atas ribanya….

Lama dia di dalam kekagetan. Tidak tahu apa yang mahu dan perlu dilakukan. Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim bagaikan berbalam-balam, sama seperti tugasan yang diamanahkan…

Tiada siapa yang dikenalinya di Sungai Petani. Kalau pun ada, kotak fikirnya tidak mampu untuk mengingati dalam keadaan begitu.

Tetapi Allah Maha Tahu dan Maha Pengasih.

Dihantar-Nya seorang lelaki budiman. Benar-benar budiman.

Lelaki pada usia pertengahan itu menenangkannya. Bertanyakan destinasinya. Dia memberitahu sejujurnya dalam gigil kekagetan yang belum hilang sepenuhnya.

Lelaki itu tuan punya syarikat bas ekspres. Kebetulan pula berasal dari Kangkong, kampung kelahiran rakan sekerja di AlFalah – Cikgu Non.

Dia bersyukur teramat sangat.

Lelaki budiman itu menghulurkan bantuan. Lelaki budiman itu menawarkannya mengikut hingga ke tempat penyimpanan bas syarikatnya. Kereta Proton merah itu ditinggalkan di situ. Kemudian tauke budiman itu menghantarnya hingga ke MPSAH dan berjanji akan datang mengambil semula apabila program telah tamat.

Walaupun terlewat sekitar sejam, dia masih dapat mengikuti program yang berlangsung sehingga tengah hari itu.

Di situ, ketika menikmati makan tengah hari, dia berjumpa dengan Cikgu Azizan, wakil sekolah yang berjiran dengan AlFalah – SMA Ihya’ El Ulum Ad-Diniah, Simpang Empat. Cikgu Azizan sendiri hairan melihatnya masuk ke dewan tempat acara berlangsung paling lewat, malah jauh lebih lewat, berbanding peserta lain.

Kepada rakan setugas itulah diceritakan apa yang dialaminya di pusat bandar Sungai Petani pada pagi berkenaan.

Sebelum tauke bas ekspres yang budiman datang mengambilnya, dia menumpang kereta Cikgu Azizan hingga ke tempat penyimpanan bas ekspres. Dia berterima kasih kepada tauke bas yang budiman, sebelum memandu keretanya ke sebuah bengkel untuk disedut serpihan dan butiran kaca yang berserakan di lantai depan kereta. Cikgu Azizan menemaninya dan menunggu hingga kerja penyedutan itu selesai.

Kemudian, tanpa cermin hadapan, dia memandu kereta itu pulang ke Alor Setar. Cikgu Azizan mengekorinya sepanjang perjalanan itu. Di bengkel sebelumnya sudah lebih dua jam Cikgu Azizan menemani. Kini Cikgu Azizan harus pula memandu seperlahannya, mengawasi dari belakang.Tidak akan dapat dilupakannya budi Cikgu Azizan yang sanggup bersusah dengan kesusahannya pada hari itu.

Perjalanan pulang ini dirasakan cukup lama dan panjang…… Jarak di antara Sungai Petani dengan Alor Setar dirasakan amat jauh…

Buat pertama kali, dia memandu dengan amat perlahan. Rasa segan dan malu tidak dapat lagi diungkapkan dengan kata-kata…

Tanpa cermin hadapan, angin menerobos ganas menampar kulit muka yang terpaksa ditebalkan…

Selain itu, ada satu hal lain yang akan lama diingat: apa sahaja yang dibuang dari kereta di hadapan akan terus masuk ke dalam keretanya… Mujurlah pemandu dan penumpang kereta di Malaysia agak berhemah. Paling nakal dan kerap dibuang pun hanyalah plastik dan kertas tisu….serta puntung rokok. Itulah yang dia dan keretanya terima sepanjang perjalanan.

Kalaulah yang dibuang itu, lampin pakai buang bayi atau …bayi!

Demikianlah pengalaman yang bukan semua orang dapat menikmatinya…Apa lagilah oleh orang yang hanya menunggang motorsikal atau basikal!

Cikgu Siti Khadijah
Sesungguhnya, Cikgu Siti Khadijah Othman adalah insan terpilih. Terpilih untuk merasakan debar, perih dan getir memandu kereta tanpa cermin hadapan sepanjang lebih 60 kilometer…

1998.

Wira
Tahun Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel  [11 – 21 September] yang gemilang, dengan Wira dipilih sebagai nama maskot sukan untuk negara bekas jajahan British berkenaan….

Sapok Biki
Tahun ramai anak sekolah ingin menjadi seperti Sapok Biki, pemenang pingat emas acara tinju di temasya sukan empat tahun sekali itu…

El Regina [dua dari kanan]
Tahun ramai anak muda terigau dan menyimpan foto El Regina Tajudin, yang menganggotai kuartet gimrama negara memenangi pingat emas….

Tahun anak muda dan bapa tua diperkenalkan dengan gerakan re-for-ma-si…

Sebulan lebih selepas tamatnya sukan itu dan bermulanya gerakan reformasi, datanglah bulan November…

Sabtu pertama bulan November…

Sabtu kedua bulan November…

Itulah. Sabtu yang kedua itulah…

14 November 1998.

Hari  ini genaplah enam belas tahun usia kejadian itu. Cikgu Siti Khadijah sekarang bertugas di SK Alor Mengkudu. Dua anak kecil yang ditinggalnya seketika pada hari tersebut kini sudah di peringkat kolej dan universiti… Cikgu Azizan pula sudah bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.

Demikian peredaran masa....
Kini, di manakah kereta yang dulunya berwarna merah itu? Masihkah sama warnanya? Masihkah gagah melatam jajaran jalanraya?

KAK 6898

Adakah Cikgu Siti Khadijah masih mengingati kereta itu?

Adakah Cikgu Siti Khadijah masih mengingati hari Sabtu kedua November 1998 itu?

******
Di Alor Setar, kereta kesayangannya itu dibawa sebuah bengkel di Kawasan Perusahaan Mergong Barrage yang terletak di belakang kilang Sime Tyres [kini Continental]. Kedai Tian Kwang Motor.
 
RM 240 kos keseluruhannya. Cermin depan RM 150, Gam RM 30, Bingkai Getah RM 20 dan upah RM 40.

Oleh kerana kejadian itu berlaku ketika menjalankan urusan sekolah, pihak sekolah telah membayar sepenuhnya kos berkenaan.