30 June 2014

Tiada Hari....


Atas urusan peribadi, saya ke Langkawi pada satu pagi, minggu terakhir Syaaban 1435.

Urusan berjalan lancar dan selesai dengan selesanya. Alhamdulillah.  

Namun, sehingga awal pagi esoknya saya terkesan sesuatu. Sesuatu yang cukup aneh di hati. Ada kekurangan dalam hampir 24 jam itu. Puas saya cari. Apa dan kenapa….

Sekitar jam 10 pagi ketika berada di atas pasir Pantai Chenang, saya mendapat panggilan daripada Siera Nizam, budak Falah 1983-1988, yang pada malamnya telah saya hubungi bagi memaklumkan keberadaan saya di pulau itu. Dia bertanyakan lokasi saya dan akan segera datang mengambil saya untuk berjalan-jalan dan makan tengah hari. Katanya dia sengaja offkan tugas pada hari itu…

Barulah saya terjumpa apa dan kenapa tadi.

Saya naikkan status tentang kesunyian itu dalam laman fb. Rakan fb merangkap budak Falah, Nasir Hassan, terperasan dan meneka seolah saya berada dalam kesedihan…

Benar.

Buat pertama kali – dalam tempoh yang lama – saya mengharungi satu hari tanpa melihat kelibat budak Falah!

Saya lahir di kampung  hanya di belakang AlFalah. Kebetulan tertulis pula menjadi sebahagian pengajar di AlFalah. Dua puluh tahun sebagai guru kecil di sekolah nan terpencil itu…. atau guru terpencil di sekolah nan kecil itu. Setiap denyut nadinya saya hafal dan hadam…

Meninggalkan AlFalah hanya di atas kertas atau bahan arkib, sedang hakikatnya rumah dan tanah kelahiran saya masihlah di belakang AlFalah.

Setiap hari saya pasti terjumpa atau berjumpa sekurang-kurangnya seorang budak Falah. Di mana-mana.

Bermula dari rumah Ustazah Rodziah yang memang bersempadan dengan pagar AlFalah sehinggalah habis Kg Perlis di arah utara, ada sahaja bekas budak Falah yang pernah sekurang-kurangnya belajar sebaris ayat dengan saya. Malah tidak kurang pula yang pernah terguris dengan ayat-ayat aya…

Melintas di kawasan itu, paling tidak saya akan temui Romli Ahmad atau Abdul Latif Ismail atau Hafizal Zainol.  Terkadang nampak kelibat Nazri Shuib atau Naim Shuib [bukan dua beradik]. Kadng kala berselisih jalan dengan Jefri Ismail a.k.a Jepun…  Ada juga sesekali Habibah Ali berdiri di depan rumahnya. Atau nampak kelibat Norhayati Ishak bertandang ke rumah emaknya.  Atau paling kerap terjumpa aktivis siasah yang tidak asing lagi, Zulkifli Ismail…..

Ke selatan – Kg Permatang Ibus – bermula dari sempadan kampung tinggalan Tokwan, sehingga bertemu jalan ke Simpang Empat, juga seperti itu. Ada budak Falah yang pernah saya hadapi di dalam kelas dalam tempoh dua dekad.

 Melintas sepanjang jalan mini hingga ke hujung kampung, paling tidak saya terjumpa Zamakhshari Zakaria di atas motor, atau Nasir Hasan di depan rumah atau Nasir Saud di pondok di depan rumahnya. Tidak jarang saya berselisih jalan pula dengan Mashuki Hj Ismail atau Ahmad Hj Hashim atau Salmiah Hassan dan Norbi Hashim. Kalau nasib baik saya terserempak dengan Zamri Khamis atau Nizam Ramli, yang masing-masing tidak lagi tinggal di situ ….

Ke mana lagi?

Di pekan Tebengau? Macam yang saya catatkan dalam entri  Bertemu Mahathir…. Ramai budak Falah. Cumanya antara masih saling mengenal atau tidak.

Sementara itu, sekurang-kurangnya di tiga pasaraya dengan mudahnya saya dapat bertemu 6-7 orang budak Falah, walaupun pada waktu-waktu kemuncak.

Di masjid, samada Masjid Alor Pulai atau Masjid Selarong Batang, kadangkala hampir sedozen budak Falah boleh ditemui, samada bersalam dengan saya atau sekurang-kurangnya menghulurkan senyum atau mengangkat kening atau berlalu begitu sahaja…

Di pekan sehari – Pekan Khamis – di Simpang Empat, senang-senang saya boleh bertemu setengah dozen lagi budak Falah yang kini sudah bergelar ayah atau ibu. [Ada seorang budak Falah di sekitar Tebengau telah pun bercucu…]

Di pasar, bukan setakat budak Falah menjadi pelanggan. Yang menjadi penjual pun tidak cukup lima jari kalau mahu dikepak satu-satu untuk menghitungnya…

Menghadiri perjumpaan waris di sekolah, tdak jarang bertemu budak Falah yang juga membawa anak ketiga atau anak keempat…

Menghadiri kenduri sekitar kampung dan mukim, seluloi pula semeja dengan budak Falah atau sekurang-kurangnya samatua budak Falah…

Mendengar ahli siasah yang selalunya berhujah tentang betulnya dia dan salahnya orang dalam sesuatu perhimpunan, selalu berjeromoh dengan budak Falah, yang samada terus menegur atau sekadar terkerisin, kehilangan kata-kata…

Mengunjungi dua pasar malam paling dekat dengan kejiranan saya, lagi banyak budak Falah yang ditemui. Baik memegang peranan sebagai pengguna atau peniaga…

Selain itu, supaya aroma budak Falah sentiasa dekat di hidung saya, bukan sekali dua saya bertandang ke Batas paip dan kawasan jajahan takluknya untuk bertemu penghulunya, Budak Batas Paip serta secara bergilir selang Husin Latih, Yusri Haron, Malek Jamaluddin, Zulkifli Shamsuddin, Saifol Adly Hassan serta Sazaziz Saad…

Demikianlah.

Dahulu, ada seorang pembaca berita sukan di TV3 mengakhiri slotnya dengan menyebut Tiada Hari Tanpa Sukan.

Teringat itu dan memandang ke dalam diri, saya gubah sedikit kalimat itu menjadi Tiada Hari Tanpa Budak Falah

Benarlah begitu.

Hal ini terjadi kerana kebetulan saya memang berada di sekitar AlFalah manakala sebahagian budak kampung sekitar juga merupakan sebahagian budak Falah.

Maka, terasalah betapa peliknya jika satu hari saya tidak langsung melihat kelibat walau seorang budak Falah….. Apabila bertemu Sierra Nizam pada hujung pagi yang saya nyatakan itu dan bersamanya sekitar 170 minit, saya rasa lega yang amat sangat!

Budak Falah…
Di kalangan bekas guru AlFalah, selain saya, Ustaz Zubaidi Ariffin boleh menggunakan kalimat Tiada Hari Tanpa Budak Falah, cuma dia lain sedikit. Meski kini jauh di pantai timur, kalimat itu tetap relevan kerana dia berkahwin dengan budak Falah bernama Rubiah Baharom dari Baling. Ada lagibekas guru lain yang begitu situasinya? Ada. Jika anda budak Falah, anda carilah…

Kalimat yang sama boleh juga digunakan oleh beberapa orang budak Falah sendiri [sekadar menyebut nama yang sempat diingat di depan papan kekunci ini]:

Zulkifli Shamsuddin, Muzammil Solehin Musa, Zainol Abidin Zain, Saifol Adly Hassan, Mohd Rosdi Azhari, Mustadi Mohamad, Abdullah Chik, Zulkarnain, Zahari Saad, Ku Mohd Badri Ku Saad, Rosli Basari, Rosli Jasin, Mariam Ismail, Nor Ashiqin Hassan, Shuhada Said, Azura Ayob, Siti Hajar,Yusnita Yusof, Sharifah Mohd Zain, Alina Razak, Muniroh Mohammad,Rozinatun Hanim Talib dan Suhaida Rashid,
Sepanjang usia perkahwinan masing-masing, sama ada  susah atau senang, bahagia atau derita, bagi mereka, sesungguhnya:  Tiada Hari Tanpa Budak Falah

Demikian aturan takdir.

Di Langkawi itu, selain bertemu dan berborak panjang dengan Sierra Nizam, sempat pula berbual dalam talian dengan dua lagi budak Falah: Ramli Mus dan Azizan Md Zain. Tidak sempat berjumpa tetapi kami saling berjanji akan bersua juga pada kesempatan lain.

Balik dari Langkawi pada petangnya, disambut oleh samatua dan anak terakhir…

Kami singgah di Restoran Irfan, Lencong Barat untuk mengisi usus. Melangkah saja saya terserempak dengan budak Falah yang lama tidak saya temui – Norhashimah Sharif. Dulunya tinggal di Tebengau. Kini menetap di sebuah kawasan perumahan empat fasa  di Jalan Lencong Barat itu. Dia bersama anak daranya sedang menunggu tempahan siap.

Ketika menunggu samatua selesai makan – jarak masa tamat makan antara kami berdua adalah sekitar 20 minit – saya ternampak Muhsin Hassan, budak Falah generasi 1984, masuk  menempah makanan sambil menepuk perut. Saya menggamitnya yang kemudiannya datang hampir baru mengenali saya.  Kami berborak lama…

Demikianlah.

Sesungguhnya, Tiada Hari Tanpa Budak Falah!