30 October 2013

Antara Kacang Tanduk Dan Ais Kacang Salji



Buat pertama kalinya hari ini saya melihat Memori Kacang Tanduk hilang dari kedudukan 10 teratas entri yang paling banyak dibaca dalam tempoh seminggu. Entri itu pernah menduduki tangga teratas selama beberapa minggu dalam tempoh empat lima bulan terakhir ini.

Begitulah. Tidak disangka catatan yang tidak seberapa itu telah menarik perhatian bukan sahaja budak Falah, tetapi juga orang 'luar sana'. Mungkin mereka mencari 'Kacang Tanduk' di dalam enjin carian, lalu terjumpa entri tersebut - Terima kasih Encik Google!

Daripada maklumat, budak Falah yang baru tahu wujudnya blog ini  - terutama sejak hadir di perjumpaan raya lalu - merupakan antara pembaca yang sering mengelik entri lama termasuklah Memori Kacang Tanduk yang terpampang di bahagian kanan bawah muka blog. Rasa ingin tahu mereka tentang isi catatan membantu entri tersebut kekal lama di carta 10 teratas itu... Terima kasih daun.... ikut sukalah daun apa pun!

Mula masuk ke dalam carta itu hari ini adalah catatan lama tentang ais kacang - kebetulan sekali, kacang juga!

Ia bersebab,  yang rasanya saya tahu benar.

Restoran Dinalang - Alor Setar, MalaysiaKelmarin, saya mengunjungi kedai  - tepatnya Restoran Dinalang - di Simpang Empat itu. Saya memenuhi ajakan bapa saudara, Paktih. Kerap juga dia berbuat begitu - mengajak saya -  sebelum ini, jika rindu pada ais kacang itu sambil berbual-bual santai. [Paktih saya sudah terbiasa dengan ais itu semenjak zaman bersekolah dahulu di Pondok Hj Talib - sejak kedai itu diuruskan oleh arwah Pak Alang, diikuti oleh anaknya arwah Jamaluddin. Kiranya sudah tiga generasi pengendali kedai dengan rasa dan tekstur ais yang tidak berbeza...]

Sementara menunggunya, saya menghubungi insan yang pernah beberapa kali berjemaah dengan saya menikmati ais kacang yang kini dikenali dengan  ais kacang salji itu. Siapa lagi kalau bukan Budak Batas Paip [BBP]. Dia yang sedang berada di surau pejabatnya di sekitar kawasan DUN Kubang Rotan, hanya mampu menelan air liur....

Saya meminta sepiring ais yang pernah menjadi kegilaan budak asrama AlFalah itu. Hampir setiap meja mempunyai penghuni. Hampir semuanya pula meminta ais kacang beserta makanan pengiring - nasi ayam, bihun sup dan suku-sakatnya...


Saya memilih meja paling belakang, berhampiran kiosk nasi ayam. Rasa tersilap juga [ataukah beruntung - mengikut tafsiran masing-masing] kerana bersetentang dengan dua amoi yang bertelanjang, yang sedang menikmati ais kacang... Yang bertudung tapi berpakaian ketat ustaz kata seolah bertelanjang, apa lagi yang tidak bertudung dan tidak berpakaian lengkap menutup dada dan peha....

Tapi tidak lama mereka bertelanjang di depan saya. Sebaik Paktih sampai dan menggamit supaya duduk di meja depan restoran, dua amoi tadi sudah mahu meninggalkan meja mereka...

"Amoi aa, lain kali kalau mahu ke tempat awam macam 'ni, pakailah bagi sopan sikit, tau? " Sempat ditujukan frasa itu kepada mereka yang tersenyum ketika melintas di depan saya. "Tak payahlah tersipu-sipu bila orang perhati sepanjang masa!" sambung saya lagi di dalam hati - sama seperti frasa awal tadi...

Saya berpindah ke meja yang dipilih Paktih. Ais kacang salji yang saya minta sampai hampir serentak dengan ketibaan saya ke meja itu. Paktih memesan sama [walaupun awalnya membelek kepingan menu yang tertera foto beberapa perasa blended ice] serta semangkuk bihun sup 'spesial'.

Saya gaul ais dan semua benda alah di dalamnya - kacang sudah pastilah, kalau tidak bukan ais kacang namanya! Sambil berbual saya menyudu lalu menolaknya ke dalam mulut... Mengemam sedetik sambil mata dipejamkan. Rasanya? Lagi mau tanya ka? 

Sebentar kemudian pesanan Paktih sampai. Dia membiarkan ais kacang salji secara perlahan cair sendiri kerana memberikan perhatian kepada bihun sup 'spesial' itu. Secara begitu pun, rasa ais kacang tetap tidak berubah...

Bermacam-macam cara pernah saya lihat dan dengar tentang menikmati ais kacang resipi arwah Pak Alang ini. Paling saya ingat, seorang rakan meninggalkan kacang yang masin lemak dan melekat itu hingga hirupan ais cair yang terakhir. Saya yang menyangka dia tidak mahukan kacang itu terus menyudu dari piringnya dan dihantar ke mulut sendiri. Mengunyahnya penuh nikmat. Mata kawan itu terbeliak, tidak berkata apa-apa, melainkan sepatah: Dajey [Dajal]! Kerana itu, kami terpaksa memesan seorang sepiring lagi ais tersebut!

Saya dan Paktih terus berbual sambil menikmati ais kacang ... sambil lagi saya mengerling orang...

Hazwani Jamaluddin
Saya nampak dua tiga orang budak perempuan - entah dari IPTA mana - mengajak Hazwani [agaknya*], cucu arwah Pak Alang, anak Jamaluddin, yang menguruskan restoran itu [dengan beberapa penambahkbaikan premis] untuk bergambar bersama, berlatarbelakangkan kabinet tempat terletaknya mesin pengisar ais dengan susunan tin susu, jagung, kacang, serta air gula. Menoleh sekali lagi, saya nampak semua pekerja bahagian ais kacang pula bergambar sama. [agaknya*, sebab saya tidak kenal dua cucu Pak Alang yang menguruskan restoran tersebut - hanya mendasarkan pada paparan Utusan Malaysia, tidak tahulah yang mana yang bergambar itu].

Tengah hari itu, di dalam salah satu atau tiga laman sosial budak perempuan itu pasti ada foto-foto itu, selain foto ais kacang yang dirakam sejak awal... - bukti mereka sudah datang makan ais kacang salji. Mungkin siap dengan satu pertanyaan: kau ada? ..... hehehe

Itu sudah kira baik juga, sekurang-kurangnya memperkenalkan satu makanan kegemaran selain membantu perniagaan umat Islam. Tidaklah mengarut macam sahabat saya yang sering menghantar foto masakan tidak menjadinya untuk pengetahuan umum, termasuk Mark Zuckerberg...

Melihat merekalah saya teringat dua entri blog ini tentang ais kacang. Saya pula telah lama 'menyenangi' page Restoran Dinalang di fb. Saya diilhamkan sesuatu...

Selepas agak lama ais kacang itu berada di dalam perut, saya dan Paktih berpecah. Paktih mahu kembali ke pejabatnya manakala saya mahu menghala ke rumah.

Dalam melintas ke belakang untuk mencapai motor, saya terserempak dengan empat orang
di meja yang saya duduki awal tadi. Mereka berbaju-t warna biru. Di dada masing-masing tertulis Tumpat. Sahlah orang Kelantan itu sedang ikut beraya di sekitar DUN Sungai Limau... Sahlah juga ada sekeping dua foto akan naik lagi di laman sosial salah seorang mereka berdasarkan caranya menghalakan kamera telefon ke arah meja.

Dua dari mereka mengangguk ke arah saya sambil tersenyum. Saya ikut perilaku mereka - mengangguk dan tersenyum. Tidak sepatah bersuara. Ada sekurang-kurangnya dua sebab utama. Pertama, tidak mahu bertanya soalan bodoh: datang dari mana dan untuk apa... Kedua, walaupun hampir khatam belajar bahasa, dialek negeri yang mencuba untuk mengekalkan Piala Malaysia tahun ini amatlah saya lemah. Buatnya tersilap sebut.... Lainlah kalau orang seperti BBP yang memang mempunyai mertua orang Kelantan!

Saya balik.

Menghadap komputer kemudiannya, saya buka blog ini. Keluarkan dua entri tentang ais kacang: Ais Kacang 'Tu Ada Lagi Ka? dan  Ais Kacang 'Tu: Double Revisited. Saya buka page Restoran Dinalang  lalu mengeposkan kedua-duanya ke situ.

Saya biarkan. Entah admin page itu baca atau tidak.... Sekurang-kurangnya, perihal blog ini sempat muncul di situ.

Pagi ini, sebaik membuka muka blog ini, saya nampak perubahan pada senarai Utama Seminggu. Kedua-dua entri berkenaan terselit. Entri tentang kacang tanduk tiada...

Saya semak statistik pada board saya. Banyak juga rupanya yang membaca entri lama itu. Masing-masing berada pada kedudukan ketujuh dan kesepuluh. Selepas ini tentulah ada pula yang merujuk pada ruang Utama Seminggu, akan mengelik entri-entri berkenaan.

Atau anda yang membaca catatan ini, yang belum pernah melihat entri berkenaan, akan ikut mengelik....

Jangan marah, cik......

Terima kasih.

Situasi menang-menang.... hehehehe.

Jom pekena ais kacang salji!

Maila ke Simpang Empat!

Maila cek oi cek mai...

Hehehehe.

29 October 2013

Dua Kali Kenduri Di Changlon [Sebuah Kompilasi]

Saya muatkan cerita kendurinya kerana sudah mula mendapat kad jemputan kenduri untuk bulan Nov/Dis ini. Sudah hampir setahun kita lepas dari 'Kiamat' yang diuar-uarkan itu rupanya. Akan adakah lagi kenduri seperti di dalam catatan ini?
Kenduri SATU


22 Disember 2012

Saya menghubungi  Sofiahmad Din [ini adalah nama di akaun fb-nya. Jika ingin tahu nama sebenarnya, silalah bertanya tuan tubuh atau anak-anak muridnya...] Bertanya keadaan lauk di rumahnya…. Sengaja buat menghilangkan kebosanan. Sofiahmad Din mengatakan lauk masih banyak lagi….. Saya memaklumkan kami  sedang dalam perjalanan.

Saya bertanya jalan ke rumahnya. Dalam kereta itu, hanya saya yang pernah ke rumah itu. Sekali, pada tahun awal persaraan saya dari AlFalah. Saya pergi bersama Cikgu Ahmad Amminy pada satu petang Jumaat untuk satu urusan yang tidak perlulah saya catatkan di sini kisahnya. Sempat berbual dengan ayah serta adiknya, Wak Sir. Telah sedekad lebih sebenarnya.

Sofiahmad Din meminta saya menelefonnya semula jika dan apabila sampai di Pekan Changlon.

Wokey!

Lega seketika sebaik melepasi plaza tol Hutan Kampung. Namun kesesakan dan kebosanan berulang pada plaza tol selepasnya. Lebih panjang deretan kereta dari sebelumnya. Maka lebih lamalah kami membilang kereta di depan …….

Hujan mulai turun dengan agak lebat. Radio Klasik FM memainkan lagu-lagu era 50-an yang mendayu-dayu. Cukup sesuai latar bunyi itu ……

Melepasi Hosba, saya menelefon Sofiahmad Din semula. Tidak dapat dihubungi. Saya mencuba sekali lagi. Pun demikian juga. Ah, sudah!

Saya cuma keliru kerana ada dua simpang kiri selepas memasuki Pekan Changlon. Simpang manakah yang akan membawa kami ke rumahnya?

Saya mencuba menghubunginya lagi. Tetap gagal. Kerisauan saya tidak dizahirkan. Takut supir kami juga gelabah…. Hehehehe.

Saya teringat ada menyimpan nombor telefon Puan Nasibah, isteri Sofiahmad Din. Sengaja saya mengambilnya dari fb Alumni AlFalah yang diberikan oleh Sofiahmad Din sendiri tatkala membuat undangan terbuka ke majlis kenduri. Mana tahu kalau ada gunanya…..


Maka saya gunakan nombor itu. Sayangnya dua kali pula telefon tidak berangkat. Sudah!

Ada hikmahnya kesesakan yang menyeksakan itu. Ketika tersangkut menjelang melepasi SM Changlon, Sofiahmad Din menelefon. Saya memberitahu lokasi kami dan bertanyakan jalan yang harus kami gunakan. Sofiahmad Din memberikan panduan.  Faham. Roger and out!

Namun kesesakan di dalam pekan bagai direka untuk kami! Dalam berengsut yang lama saya kembali keliru. Takut terlepas lampu isyarat untuk ke simpang sepatutnya. Saya menghubungi  Sofiahmad Din sekali lagi. Sah kami sedang berada di dalam laluan yang betul.

“Berapa jauh lagi rumah dari simpang ‘tu?” Tanya saya.

“Dalam dua kilometer …..”jawab Sofiahmad Din. Jawapan itu saya panjangkan untuk pengetahuan Cikgu Non dan Cikgu Rahim.

Sebaik nampak simpang kiri kedua di dalam pekan itu, Cikgu Non terus membelokkan keretanya. Kesesakan dan pergerakan yang berdenyut itu masih serupa. Selepas satu km barulah jalan dirasakan agak lengang. Satu kilometer lagi nampaklah lima buah kereta di kedua belah jalan. Nampak khemah. Saya mengejutkan Cikgu Non yang sedang asyik berbual di telefon. Memaklumkannya bahawa kami sudah sampai.

Cikgu Non memarkir kereta di bahu jalan sebelah kiri. Tidak jauh dari satu bangunan yang sebahagiannya berwarna hijau dengan bulatan putih di tengahnya. Melihat bangunan itu, saya teringat kepada rumah kenduri di Batas Paip tadi. Entah kenapa…..

Sofiahmad Din berdiri di luar khemah di seberang jalan sebaik Nampak kami. “Sofi pun pakai kain pelikat saja….” Kata Cikgu Rahim, agaknya merasakan majlis sudah tiba di penghujung…

“Panjang cerita kami ‘ni….”kata saya ketika melintas menghampiri Sofiahmad Din.

“Panjang, kena tulis dalam blog…..” balas Sofiahmad Din sambil menyambut tangan saya.
Meja yang dipenuhi makanan terletak betul-betul di atas bahu jalan ikut menyambut kami. Ayah Sofiahmad Din terus menyuruh kami menyenduk nasi tanpa sempat kami menyalaminya yang duduk terpisah oleh satu meja panjang. Kami menunjukkan kedegilan dengan menghampirinya juga. Bersalam dengannya serta sekumpulan tetamu dari Perak yang duduk mengelilingi meja tersebut. 
 
Setelah itu kami kembali ke meja makanan. Benar kata Sofiahmad Din tadi – lauk masih banyak. Penuh di bekasnya. Ada ayam, tetapi pandangan saya lebih tertumpu kepada gulai daging dan tulang lembu. Melihat warnanya saya sudah jatuh cinta! Saya menelan liur sekali. Di sebelah bekas gulai itu ada bekas tertutup. Saya membuka penutupnya. Ada kerabu putik bacang! Sekali lagi saya menelan liur. Bekas di sebelah lagi ada ikan kering goreng, sambal belacan serta ulam. Di hujung sekali ada bekas bubur kacang….

Saya mencapai pinggan, menyenduk nasi. Menyenduk cita hati saya – gulai daging – serta kerabu putik bacang. Tangisan ayam di bekasnya tidak saya endahkan……

Akan dua sahabat saya itu pun demikian juga keadaannya. Cuma saya menjadi cemburu melihat pinggan mereka dipenuhi juga tulang gulai. Entah kenapa saya terlalu mahu cepat tanpa menunggu untuk memilih beberapa ketul tulang….

Tuan-tuan dan puan-puan, akan gulai itu bukan rupanya sahaja menarik malah rasanya pun demikian adanya! Ditambah pula dengan gaulan kerabu putik bacang…… Ef Yu Ech!!! Dapatkah tuan/puan rasakan apa yang saya rasa ketika itu? Fuh!!!

Sedang kami melayan rasa itu, muncul Hasliza, adik Sofiahmad Din. Sambil mengemas meja di belakang kami bersama suaminya, dia menyapa.  Paling akhir saya melihatnya adalah pada satu hari raya di rumah Maklong/Maklang entah tahun bila ketika datang sekeluarga besar nya ke situ.

Hasliza datang belajar di Alfalah setahun setelah kemunculan abangnya di situ – 1984. Di antara rakan sekelasnya ketika itu adalah Basri Zakaria[Pak Mid], Mariam Hj Awang [Mak Yam], Rafida Mohd Saad, Norhashimah Ismail, Md Isa Saidin dan anak saudaranya - Mohd Zaini Salleh, Norhafizah – adik saya, Salmah Hj Ahmad, Mahathir Jamaluddin, Mohd Hizamy Azizan – anak tunggalMaklang/Ustaz Azizan, Siti Norliza Abdul Hamid, Norliza Md Taib, serta pasangan sepupu – Asilah Ismail dan Pawang Nujum……

Seingat saya semasa di AlFalah, dia cukup aktif bersama kumpulan nasyid, malah pernah menjadi suara utama. Satu peristiwa yang tidak akan saya lupa adalah bagaimana melihat mimik kecewa pada wajahnya selepas melakukan kesilapan pada satu persembahan di dalam sebuah majlis sekolah yang dihadiri VIP. Sedikit kesilapan lirik, kalau tidak salah ingatan saya. Jenuh juga dia dimarahi guru nasyidnya. Saya yakin dia tidak dapat tidur lena pada malam selepas itu, kerana ketika diminta menulis sebuah sajak untuk majalah stensilan sekolah, dia mencatatkan kekecewaan tersebut. Tidak ramai yang menangkap maksud sajaknya itu dan takdirnya saya pula antara yang cukup memahami kerana mengetahui kesilapan yang telah berlaku di majlis tersebut. Sejak itu pula saya mengerti  jiwa seninya yang mudah tersentuh. [Saya ada menyimpan satu salinan majalah stensilan tersebut, di mana rakan sekelas Sofiahmad Din, Junaidah Kassim, dari Kg Iboi, Baling, menjadi ketua jurutaipnya. Malangnya, keusangan kertasnya telah menyebabkan salah seorang anak saya meletakkannya bersama suratkhabar lama….. lalu dibawa pergi ke satu pusat kitar semula…. Sebuah kehilangan khazanah yang patut ditangisi!]

Hasliza kini tinggal di ibu negara, menjadi seorang pendidik.

Kemudian muncul pula Nizam [saya lupa nama depannya – sama ada Khairulatau Mohd] yang cukup terkenal sebagai Wak Sir semasa di AlFalah. Ada entri khusus tentangnya tidak lama dahulu [lihat sini]

Wak Sir tersengih menampakkan matanya yang baru bangun dari tidur! “Letih,”katanya, “letak kepala sat, terus lelap…”  Wak Sir memiliki empat cahaya mata, kini tinggal bersama emak dan ayahnya di rumah itu. Semasa kami makan itu, sempat dia bercerita tentang kawasan rumah tersebut yang terdapat sungai di belakangnya. Kiranya luas juga kawasan milik keluarganya kerana tanah di mana bangunan yang sebahagiannya berwarna hijau dengan bulatan putih di tengahnya, yang di seberang jalan, termasuk sama. “Diberikan oleh Tokwan….” Kata Wak Sir.

Ada lagi tetamu yang sampai. Ayah mereka menyambut dengan menyuruh para tetamu terus ke meja makanan. “Tak usah bersalam dulu…”katanya apabila seorang tetamu seakan menuju ke arahnya. Semua tertawa melihat situasi itu. Wak Sir yang lebih ramah berbanding semasa di AlFalah dahulu – diasuh oleh pengalaman panjang di dunia pekerjaan – turut melayan mereka. Ketika salah seorang tetamu menyentuh tentang hujan di beberapa tempat kenduri yang dihadiri, Wak Sir mencelah, “ Di sini pun ada tadi – hujan membilas sikit….” Kami, bekas guru-gurunya tertawa. “Lama tidak mendengar perkataan hujan membilas ‘tu..”kata saya. Wak Sir kehilangan biji mata, tersimpan di balik senyumnya!

Cikgu Non mengimbau semasa kami pergi ke satu kampung di Baling, melawat rumah beberapa Budak Falah sekitar dua dekad lepas. Dua perkataan yang cukup diingatnya: beradu dan balik deh. Kami singgah di sebuah rumah. Hujan mula turun ketika kami akan beredar dari situ. “Tunggulah hujan beradu dulu….”kata tuan rumah. Kemudian kami faham maksudnya menyuruh kami menanti hujan berhenti terlebih dahulu. Ketika ditanyakan rumah seorang lain yang akan kami kunjungi, jawapan berikut kami terima: “Tak jauh…. Balik deh saja…” Kami mengangguk. Dekatlah agaknya. Kemudian, setelah keluar dari situ, merentasi tanah tinggi dan rendah serta beberapa kawasan kebun getah,untuk sampai ke destinasi, barulah kami faham: jangan menyangka balik deh itu maknanya dekat sahaja.

Imbauan itu membuatkan saya dan Cikgu Rahim ikut tersenyum. Ikut sama mengenangnya. Demikian pula Sofiahmad Din yang mengajar dan bermertuakan orang di daerah Baling……….

Dan hari ini kami mendengar hujan membilas pula…. Hehehehe. Wak Sir, Wak Sir….

Ada lagi tetamu yang sampai. Ayah mereka masih menyambut dengan menyuruh para tetamu terus ke meja makanan. Tetamu yang baru itu kelihatan kelelahan – agaknya tidak kurang dari 4-5 kenduri telah disinggahinya. Dia hanya mengambil bubur kacang.
Saya yang baru menyelesaikan acara memakan nasi, bangun membasuh tangan. Demikian juga dengan Cikgu Non dan Cikgu Rahim. Demi mengelakkan pembaziran tenaga, selepas membasuh tangan di bawah payung meja makanan itu, saya mencapai mangkuk polisterin sebesar penumbuk – mengisi bubur kacang pula. Cikgu Non mengikut.

Kembali duduk di tempat tadi, saya membuat suapan pertama bubur kacang. Tunas rasa menghantar impuls ke otak untuk ditafsirkan. Hehehehe. Tanpa durian bersamanya, tentulah berbeza dengan yang melepasi kerongkong kami di Batas Paip tadi. Namun, bubur itu tetap sedap. Cikgu Non mengesahkan apa yang saya simpulkan itu.

“Hang tak mau cuba buboq ‘ni Rahim?” Tanya Cikgu Non dan rakannya itu menjawab, “Tak mau ‘dah….”sambil menggeleng kepala. Daripada membiarkan masa berlalu percuma, Cikgu Rahim mencapai tembakau dan rokok daun milik Wak Sir dan melakukan yang selayaknya. Sofiahmad Din tersenyum. Saya dan Cikgu Non meneruskan tugas mendayung bubur ke mulut….

Wak Sir mencapai pula daun rokok dan tembakau, sebaik Cikgu Rahim berpuashati dengan balutannya. Wak Sir ikut membalut rokok daun. Sofiahmad Din tersengih, “Anak murid hisap rokok depan cikgu,” katanya, “kurang ajar betui….” Kami tertawa. Saya tidak melihat wajah semua, hanya memerhati muka Wak Sir – dia terpejam mencampurkan sengihan dengan tawa….

Cikgu Non ikut merokok kemudiannya.

 Saya? Mujurlah tepat waktu ingin memberontak kerana tiada sebarang kegiatan yang boleh saya lakukan, Hasliza muncul semula dengan sejag kopi o serta sedulang gelas kaca puspa warna….

Kopi o kaw dalam kedinginan bilasan hujan…….


Ada lagi tetamu yang sampai. Kali ini rakan sekerja Wak Sir – yang mendapat jemputan pada saat-saat akhir malam sebelumnya. Malam selepas kiamat…..Hehehehe. Wak Sir bangun menyambut rakannya itu. Tinggal Sofiahmad Din bersama kami.

Menghirup kopi sambil berbual, banyak juga yang kami perolehi dari Sofiahmad Din. Kami bertanya siapa-siapa yang dijemput dari kalangan Budak Falah. Dia menyenaraikan yang dijemput dan yang tidak datang. Hampir sama banyak jumlahnya….. Mungkin sibuk dengan kenduri yang banyak pada hari tersebut. Itulah alasan yang boleh diandaikan. Kalau mahu alasan lain: mungkin sibuk bermuhasabah kerana baru saja melalui hari kiamat…..

Cikgu Nor Hasimah Mansor dijemputnya. Semua rakan sekelasnya di AlFalah, yang ada simpanan nombor telefon juga dijemput – termasuk Suwita Don dan tidak ketinggalan Norlizah Saad yang majlis kendurinya baru-baru ini turut dihadiri Sofiahmad Din sekeluarga. Geng Gajah Mati? Juga tidak dilupakannya, dengan mewakilkannya kepada Md Rautin.

Kami bertanya perkembangan dan khabar beberapa rakan sekolah dari sekitar Baling – kerana Sofiahmad Din merupakan seorang yang rajin mencari menziarahi rakan. Dia berkongsi kisah dengan kami tentang beberapa orang: Kamarulzaman Baharom dan kakaknya Rubiah, Mohd Saufe Che Ros serta kakaknya Nor Hayati, dan Junaidah Kassim. Saya selitkan tentang Suhaimi Md Shah dari Lorong Mayat, Kuala Kedah.

Tiba-tiba saya teringat Rohaimi Md Isa, pelajar AlFalah dari Sungai Tiang yang kini tinggal di sekitar Jitra. Sofiahmad Din menyatakan bahawa mereka terputus hubungan kerana kehilangan nombor telefon orang sekampung Pawang Nujum tersebut. Katanya, Rohimi dulu-dulu sering ke situ hingga turut mesra dengan seluruh keluarganya.

Saya memberikan nombor Rohaimi yang diperoleh dari rakan setempat kerjanya, juga Budak Falah. Sofiahmad Din terus membuat panggilan. Rohaimi menjawab. Sofiahmad Din menyuruhnya datang ke majlis itu dan memberitahu kehadiran kami bertiga.Rohimi yang katanya sedang berada di sekitar situmungkin bersetuju untuk datang, berdasarkan senyuman Sofiahmad Din tatkala memutuskan talian sambil memaklumkan kepada ayahnya bahawa dia telah bercakap dengan Rohimi. Ayahnya ikut tersenyum.

Masa mencemburui kami. Perut juga sudah beberapa kali merengek. Makin kuat rengekan itu tatkala Hasliza datang lagi. Kali ini dia membawa beg perambat. Hehehehe.

Cikgu Non yang mula mencadangkan, “Elok kut kita…….”. Kami akur. Bersalam dengan Sofiahmad Din dan Wak Sir yang sedang berbual dengan rakannya. Kemudian kami bersalam dengan ayah mereka. Ketika sengaja bertanya sama ada masih mengenali saya, sambil tersenyum ayah mereka berkata,“Kenai…….. hari ‘tu jumpa di rumah kenduri…..”

Ketika mahu melangkah pergi, saya nampak sosok emak mereka. Mungkin dia yang sedang duduk di kerusi bersebelahan meja makan pengantin di hadapan pintu rumah, tidak mengenali saya lagi. Saya berpatah balik ke arahnya dan mengucapkan terima kasih.Makcik itu mengangguk dan tersenyum.


Lengkaplah jemputan hari itu.


******************************

Kenduri DUA [Terakhir]


Sambungan entri: Catatan Kecil: Kenduri Sekitar Kola
11 Februari 2013

Kami melalui ban bertar cantik untuk mengambil Budak Batas Paip  [BBP] dan anaknya pula. Siap menunggu di tepi jalan adalah anaknya yang dinamakannya sempena salah seorang periwayat hadis terunggul, Imam Bukhari.BBP muncul dari rumahnya, tersengih dan menghulurkan salam. Dua beranak itu kemudiannya menaiki kereta, duduk bersama Mohd Zairi Mohd Ariff di tempat duduk belakang.Cikgu Abdur Rahim Daud memandu hingga ke Teluk Kechaisebelum membuat pusingan-U, berpatah ke Batas Paip. Kami perlu menghantar dahulu Zairi ke rumah keluarganya di Alor Ibus - seperti yang saya catatkan sebelum ini - kerana telah berjanji untuk bersama-sama menantu emaknya menghadiri kenduri keluarga besan emaknya di Kangar, Perlis....

Setelah menurunkan Zairi di pinggir jalan di Alor Ibus, Cikgu Rahim memandu keretanya terus, menghala simpang Kampung Pergam, ke Teluk Bagan, Tandop dan seterusnya memasuki lebuhraya.

Waktunya tidaklah selewat dulu. Laluan juga tidak  sesibuk dulu. Dulu itu adalah sewaktu kami - saya, Cikgu Rahim dan Cikgu Non - ke Changlon juga untuk kenduri di rumah yang sama, sehari selepas 'kiamat' itu. {Maksudnya seperti catatab Kenduri SATU di atas - 21 Disember 2012}

Dalam pukul empat kami sudah berada di Changlon - pekan yang agak sibuk. Jalan menghala ke rumah Sofi masih sesesak dahulu. Beberapa kali lampu trafikdihijaukan barulah kami memasuki jalan tersebut.

Baru sekitar 50 hari saya dan Cikgu Rahim mengunjungi rumah tersebut. Kata orang bau bekas basuh pinggan pun belum hilang sepenuhnya. Kini kami muncul lagi........

Kedudukan khemah juga masih seperti pada 22 Disember lalu. Cuma kali ini kami nampak tuan rumah berada di khemah bersetentang dapur rumahnya, maka kami terus ke situ. Agaknya di situlah juga khemah untuk tetamu lelaki dulunya. Mungkin kerana kami terlewat maka semua tetamu ketika itu dihimpunkan dalam khemah yang berhampiran meja pengantin. Berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa ini, mungkin tepat jangkaan itu. Manalah boleh  meja pengantin jauh dari khemah tetamu perempuan.....

Kami duduk dahulu mengambil nafas. Saya mencari Sofi. Tiada kelibatnya. Yang ada cuma kelibat Wak Sir [Nizam]. Itupun di ruang dapur membelakangi kami. Kelihatan sibuk membungkus lauk untuk saudara-mara, agaknya. Panggilan saya tidak langsung didengarinya. Hingga waktu kami berangkat pulang kelibat beliau tidak muncul-muncul.... Ikut pengalaman kenduri yang lalu, mungkin dia tertidur waktu itu kerana keletihan. Maklumlah, seminggu sebelum kenduri, persediaan tempat dan urusan lainnya terletak di bahu anak ketiga itu - dia yang tinggal bersama emak ayah di situ........ Tidak mengapalah Wak Sir. Kami faham......

Saya menggunakan telefon untuk mencari Sofi. Mulanya hendak mengacah sedikit. Mungkin dia sedang sibuk juga di dalam rumah atau di bahagian belakangnya.

"Lauk banyak lagi ka?" tanya saya sebaik bertukar salam.

"Ada lagi.... Mai la...." balasnya.

Saya tersenyum. "Ni dok ada dalam khemah dah ni, " balas saya. "Dok tang mana? Tak nampak pun...."

"Di Changlon! Ada hal sikit......"

"Lambat ka?"

...................


Bagai diagak oleh anak BBP, Sofi kena menghantar anaknya ke asrama Maktab Mahmud, Alor Setar. Alamatnya lambat lagilah Sofi dapat berpatah balik. Alamatnya lagi, tidaklah dapat BBP bertemu otai AlFalah tersebut di rumah keluarganya itu.......

Isterinya, Puan Nasibah, muncul memaklumkan hal itu. Agaknya dibisikkan di telefon oleh Sofi. Selepas berbual seketika sebelum dipanggil oleh seseorang di dalam rumah, tempatnya diganti pula oleh Hasliza Ahmad - adik Sofi. Sekali lagi, agaknya dibisikkan pula oleh abangnya kerana jika tidak, dia tidak akan nampak kami di khemah yang terlindung oleh ruang depan rumah....
Sebelum itu, kami bangun mengambil makanan.Sofi ada menyebut laksa. saya tercari-cari sendiri, tetapi menjumpai bubur kacang, yang rasanya masih sesedap kenduri yang dulu..... Itu lagilah digemari....Sementara itu, kalimatsesedap kenduri yang dulu, rupanya ada di lubuk hati Cikgu Rahim. Bersama BBP dan anaknya, mereka menyental nasi bersama gulai daging dan terutamanya tulang. Akan tetapi, selak gulai baru nampak nasinya.....

Bukhari malah disarankan oleh mak penanggah supaya mengambil bahagian tulang yang agak besar - yang agaknya pada awal tadi dilihat sambil air liur menitik oleh peminat tulang gear box...... Tersipu-sipu juga anak BBP itu mulanya. Mulanya....!
Habis sekali setelah lama menikmati tekstur daging yang berbaur mesra dengan rempah, dimasak di atas api yang sederhana itu....hehehehe.... mereka semuanya bangun untuk mencari tulang lagi.

Saya ikut untuk kemudiannya menyokong BBP memasukkan seketul lagi tulang besar berdaging ke sebuah pinggan lain.
Kemudian, saya ikut dia ke meja makan dan sebagai habuannya, saya ikut meratah...... Sambil mengunyah daging atau mencungkil isi dari tulang, sesekali kami menjilat jari - menikmati rasa rempah yang enak.

Sambil itu, barulah apa yang ada di lubuk hati Cikgu Rahim diluahkan. Dia memang menyediakan suatu ruang dalam perutnya untuk menikmati gulai itu, katanya. Sebab itulah dia tidak selaju saya menyuap makanan di rumah diTaman Marina dan di Pulau Gezambo. Bukan tidak makan, cumanya berawas supaya ada ruang kosong....

Sambil itu dia berdoa agar akan ada gulai seperti kenduri yang dulu...

Doanya dikabulkan dan dia mengaplikasikan rasa syukur dengan berpulun sakan menewaskan tulang berdaging itu dan mengunyahnya sepuas mungkin....

BBP dan anaknya, Bukhari, turut mengikut rentak Cikgu Rahim. Bergelumang dengan gulai tersebut. Dia tentulah tidak bermasalah di ruang perut. Ketika saya hubunginya semasa masih di Pulau Gezambo lagi, dia telah mengurangkan kandungan ususnya di rumah. Nampaknya dia membuat persediaan juga walaupun bertempur begitu di situ, buat kali pertama.....

"Kalaulah ada Cikgu Non sama..." kata Cikgu Rahim atau saya, mengenangkan ketekunan sahabat kami itu melakukan hal yang serupa pada kenduri yang dulu.....

Kali ini tiada air kopi o kaw. Mungkin  kerana tiada hujan membilas pada petang itu.....

Namun mereka puas. Saya pun.

Tetapi ada sedikit pilu tatkala menyebutkan inilah kenduri terakhir di situ. Telah habis anak Pakcik Ahmad - dikenali sebagai Bang Mail di kampungnya - mendirikan rumah tangga ....

Kenduri terakhir.

Mulanya itulah sahaja sebab tunggal kami mahu juga ke situ dalam kesibukan banyak lagi kenduri. Rupa-rupanya, serampang telah menjadi dua matanya..... kenduri dan gulai itu.....

Punya teruja mencatat, terlupa pula kisah Hasliza.....

Dia yang mengajar di Kay El, bercerita tentang keluarganya - suami dan anak-anak. Salah seorang anaknya berada di sampingnya ketika itu. Dia berkisah tentang terpaksa memberanikan diri memandu di Lembah Kelang itu serta bercerita bagaimana memandu sendiri pulang kali ini kerana suaminya baru sahaja bertukar kerja, dan sukar mendapat cuti. Pada kenduri yang dulu, kami sempat berjumpa suaminya itu.

Hasliza mempelawa kami singgah di rumahnya jika dan apabila berada di sekitar KL.

Selain itu, seperti lazimnya bagi budak AlFalah, Hasliza -  yang muncul di situ pada tahun 1983 dan meninggalkannya pada tahun 1989 - bertanya tentang beberapa rakan sekolah dahulu, termasuk adik saya yang sekelas dengannya. Saya dan Cikgu Rahim pun menjawablah sekadar yang mampu....

Setelah rancak berbual dan bernostalgia, dia bertanya tentang insan yang hanya mendengar di sisi saya. Apa lagi, terus saya memperkenalkan BBP kepada Hasliza. "Ni adminnya..." kata saya merujuk kepada grup