24 September 2014

24 Jam Nan Sendat



Nota: Catatan ini sebenarnya mahu diterbitkan selepas Penangan Laksam Pulau Gezambo dan No Woman No Cry (lihat senarai entri bulan Ogos), tetapi masalah telah berlaku. Harap maklum.

Khamis 14 Ogos 2014.

Malam tadi kami berkumpul sakan di Pulau Gezambo. Setelah itu, lima dari semua tetamu di rumah Yam-Zul singgah sebentar di Restoran Sofia, Batas Paip. Membasuh tekak sambil berwasap serta sedikit mengingat suasana meriah di pulau yang baru kami tinggalkan itu. Kami - saya, Zairi, Wira , Malik dan Jasni - berpecah sekitar jam 1.30 pagi.

Saya yang menumpang kereta Zairi sehingga ke Alor Ibus, berpecah lagi sekitar 15 minit kemudian. Saya bermotor sendirian membelah angin awal pagi melatam jalan pulang ke Simpang Empat. Sepanjang perjalanan itu, setiap gerak laku BF di acara memakan laksam tadinya masih menerawang di kotak fikir. Tidak malu saya tersenyum seorang di dalam kelam mengingat riuhnya suasana.Tiga watak yang muncul dahulu pastilah Babuji…diikuti Nazri… dan Wira…

Sampai di rumah, menghadap komputer, saya menyimpan foto yang saya muatkan di dalam fb grup BF, yang awalnya saya kutip dari WhatsApp grup BF, yang Wira, Helwi dan saya klik dan muatkan semasa acara berlangsung. Banyak sekali fotonya – lebih daripada 40. Jenuh kalau mahu dimuatkan di dalam blog ini. Hanya terfikir satu cara untuk semua foto – termasuk foto laksam, kacang goreng dan sirap bandung – dapat dimuatkan: melalui klip.

Saya membuka fail lagu untuk dijadikan lagu latar klip. Puas juga membelek. Dari nyanyian Dewi Yull, Grace Simon, Bob Tutupoli, Ebiet sehinggalah Ahmad Jais dan Rafeah Buang. Tiada satu pun yang hati berkenan. Kalau ada lagu Laksa Mambo dari satu kumpulan yang pernah menyertai pertandingan Juara Kugiran pada tahun 70-an dahulu, sudah pasti tugas saya senang sedikit. Malangnya, bukan setakat lagu itu tiada dalam simpanan, nama kumpulan berkenaan pun saya tidak ingat.

Saya belek foto yang ada di skrin. Dalam banyak-banyak itu, apabila terlintas kelibat Ustaz Husin Lateh menyuap laksam, saya teringat komen rakan ketika Husin baru sampai. Bob Marley!

Ya. Topi a la Bob Marley yang Husin pakai, membuatkan saya memutuskan untuk menjadikan lagu No Woman No Cry dari mendiang penyanyi reggae itu, sebagai lagu latar. Biarlah, sekali pun tiada kaitan dengan acara…Peduli apa. Pembaca blog ni bukan ribu-ribu. Drama tv yang ditonton jutaan orang pun, tidak kisah apabila menyelitkan lagu yang tidak bertadung dengan jalan cerita. Adegan tengah malam, rumah dalam kampung dibuka semua tingkap pun, tiada siapa komplen, termasuk penonton yang tidak henti menampar nyamuk sedangkan pintu dan tingkap rumah sendiri tertutup semua….

Setelah itu saya masuk ke bilik. Feel sleepy

Why?

Y?

Zzzzzzzzzz…..

Pukul 8 pagi.

Saya bermotor melatam jalan ke Kola sekali lagi. Ada dua tujuan ke situ. Pertama dan utama, mahu mengambil lima kilogram ikan kering yang saya pesan kepada Babuji. Ada jiran mahu menjadikan ikan kering goreng salah satu menu dalam majlis kendurinya. Tujuan kedua adalah untuk bersarapan dengan nasi Mat Endek…

Ketika lepas sedikit dari simpang Tandop-Telok Bagan, Zairi menghubungi saya.Bertanya lokasi serta memaklumkan kematian ayah Shakiroh Abdul Hamid.

“Jom kita mengunjung sat….kita menyoghok kut dekat sini sudahlah….”katanya. Saya menyatakan mesti ke Kola juga kerana telah berjanji dengan Babuji, sebelum bersetuju untuk ke Alor Pulai, kampung tanah tumpahnya darah Shakiroh.

Takdir tertulis: Dalam tempoh 12 jam, tiga kalilah saya kena ke rumah keluarga Zairi…

Dia siap menunggu di sisi keretanya ketika saya sampai, lalu terus ke Alor Pulai.

Dalam perjalanan itulah, kami berbual tentang salasilah keluarga sedikit. Arwah ayah Shakiroh bukan orang dengan bonda Zairi. Demikian cerita adik Abdul Khodir Mohd Ariff itu. Saya tepilanjat. Nyata kami mungkin dari satu pokok keluarga yang terlalu rendang dan rimbun. Manakan tidak, emak Shakiroh adaik beradik sebelah Tokwan saya manakala ayahnya cucu saudara Tok saya sekarang. Lama sudah saya tahu Shakiroh dengan saya bukan orang…..Cuma dengan Zairi….Kalau diteliti pokok keluarga elok-elok, mengkaji ranting, cabang, dahan dan akar serta daunnya, pasti pasti kami ada di situ… Ah, susurgalur yang membuatkan libang-libu di hati…

Orang mula memenuhi laman rumah keluarga Shakiroh, ketika kami sampai, dan Zairi memarkir keretanya di hadapan Masjid Alor Pulai. Dua pupu saya yang tinggal di rumah belakang rumah tersebut menyambut saya. Zairi bersalam dengan beberapa orang yang duduk di sebelah lain jalan ke pintu utama rumah.

Di dalam rumah, jenazah diletakkan di atas katil ruang depan rumah kampung dua lapis itu. Lima orang wanita berada di hujung kepala katil. Dua di antara mereka, yang paling hampir dengan jenazah, saya jelling sepintas, tatkala menadah tangan mendoakan kesejahteraan roh arwah Abdul Hamid. Ternyata salah seorang itu bukan Shakiroh. Mungkin dia berada di ruang lain. Salam takziah yang dititipkan oleh beberapa rakannya, seperti Mariam, Farihah dan Ashiqin, melalui WhatsApp sepanjang perjalanan tadi, tidaklah dapat saya sampaikan..

Di luar rumah, di satu sisi, saya berbual dengan dua pupu tadi serta beberapa orang di sebelah kiri dan kanannya. Zairi pula membawa haluan sendiri, berbual dengan beberapa orang lain, yang sebahagiannya mengenalinya berdasarkan raut muka, tetapi tidak tahu siapa….Maklumlah, kebanyakannya adalah daun yang berasal dari pokok yang sama…

Kami main isyarat mata untuk beredar dari laman rumah keluarga Shakiroh, sekitar sepuluh minit kemudian….

Kereta Zairi melatam kembali jalan, hinga akhirnya sampai di Kola. Di lampu isyarat sebelum membelok ke arah Jambatan Tok Pasai, Zairi sempat mengelik papantanda nama jalan. Sengaja dimasukkan ke dalam WhatsApp, untuk dilayurkan kepada seorang insan kelahiran Kola di rantau yang terlalu mengidam untuk balik kampung…

Di kedai nasi Mat Endek, selepas memesan kampuhan nasi dan lauk ala kadar, saya mendapat panggilan dari Babuji. Dia sudah menanti di kedai kopi – yang turut menjual teh, Milo, oren, Nescafe….. -  di hujung jambatan kebanggaan orang Kola itu. Saya memberitahunya lokasi kami. “Baik, baik, baik”jawabnya seperti selalu sebelum menyatakan akan datang bersama ikan kering sekotak ke tempat kami bersarapan itu.

Saya hubungi pula Wira. Mengajaknya bersarapan. Sengaja. Ingin sekali melihat pula pertembungan Babuji dengan Wira pada pagi itu. Kalaulah senario di Pulau Gezambo sepuluh jam sebelumnya berulang, tentulah akan lebih lama kenangan tentang mereka terukir di benak… Cuma kali ini tiada kuah laksam untuk acara simbahan…

Yusri a.k.a Babuji sampai diikuti oleh Wira selang beberapa minit kemudian. Kami bercerita tentang kunjungan kami ke Alor Pulai sebelum ini. Wira telah berpakat dengan Helwi untuk ikut mengunjung jenazah manakala Babuji yang baru mengetahui berita, mahu menyertai.

Kami, kecuali Wira, pun bersarapan dengan nasi yang ditemani lauk pilihan masing-masing, Wira rupanya telah siap mengalas perut di tempat lain – mungkin sekitar Kelonchor – berhampiran ofisnya. Berkali-kali Babuji menyuruhnya memesan nasi tetapi ditolak dengan perlahan oleh Wira. “Aku tak belanja, hang kata aku tak mau belanja. Aku nak belanja, hang tak mau pula….”kata Babuji, sambil memegang dompetnya. Nadanya seiras waktu pertembungan di Pulau Gezambo itu. Saya lihat ada sengihan di wajah Zairi dan Wira.. Saya? Manalah saya nampak muka sendiri!

Ada sedikit putik-putik sengketa dari keseriusan pelawaan dan rungutan Babuji pagi itu. Tetapi setakat itu sahajalah. Putik itu tidak berkembang pun. Benarlah kata Wira selalu, kalau dalam kumpulan yang ramai barulah mereka seronok bertekak. Setakat seorang dua seperti pagi berkenaan, mereka tidak ada semangat untuk bertelagah… Kembali bercakap biasa-biasa dan mesra, Cuma nada atau lontaran suara mereka kadangkala berunsur tegang!

Teruslah kami berbual sambil Wira menunggu Helwi yang datang dari Seberang Perak. Berlaku silap faham sedikit. Dia menunggu di Kola, sedang Helwi yang awalnya memberitahu dalam perjalanan, akan menunggu di Batas Paip.. Maka terpaksalah perbualan kami dihentikan bagi memberi ruang Wira dan Babuji bergerak ke simpang tiga menuju ke Alor Pulai itu.

“Tunggu aku taruh motor kat rumah mak aku sat…”kata Babuji.

“Laaa….letak di Batas Paip la…Depan kedai Mi Abbas…. Sat gi senang hang nak balik….”balas Wira.

“Takpa ka letak motor di situ?” tanya Babuji.

“Allah….. motor hang takdak sapa nak ambik aih….” Balas Wira lagi.

Begitulah, tuan-tuan dan puan-puan, akan gaya percakapan dua insan sebaya itu, yang sempat kakilima kedai nasi Mat Endek mendengarnya. Saya dan Zairi menjadi saksi mata dan telinga…

Melihat mereka bertolak, kami berdua pun meninggalkan Kola, ke rumah keluarga Zairi sekali lagi untuk berpisah kemudiannya dengan tujuan masing-masing. Zairi perlu menyelia tugas di tengah bandaraya manakala saya membawa sekotak ikan kering ke kejiranan di Simpang Empat.

Tamat episod siang.

Malam.

Cikgu Non memang ada tugasan di UUM. Ikut mengendalikan sukan antara sekolah agama seluruh Malaysia. Malam sebelumnya, ketika kami berkumpul di Pulau Gezambo, dia memang tidak ada peluang untuk ikut serta. Malam ini cadangnya kami akan bertemu di Jitra – masing-masing bertolak dari Kola dan UUM.

Saya menunggu isyarat dari Kola atau Alor Ibus. Sehingga jam 10, isyarat tidak muncul. Melepasi suku pertama jam itu baru ada tanda. Sekali lagi saya ke rumah keluarga Zairi. Hairan agaknya pokok rimbun di tepi jalan masuk ke rumahnya melihat ulang-alik saya dalam tempoh dua hari ini….

Mula-mula kami menanti Wira di Batas Paip. Sambil itu dua tiga kali saya menghubungi Cikgu Non. Setiausahanya sahaja yang menjawab. Bosnya tentu sedang sibuk. Kemudian, kami ke lorong rumah Malek untuk mengambil tauke makanan laut itu.

Ke mana kita? Masing-masing tertanya. Meski tanpa jawapan pasti, Zairi tetap menghalakan keretanya ke arah bandaraya ibu negeri.

Sekali dua lagi saya hubungi Cikgu Non. Akhirnya setiausaha tidak mampu menahan bosnya bercakap dengan saya.

Rupanya, hari itu asyik ada salah faham.

Cikgu Non menjangkakan kami akan menghubunginya awal malam untuk bertemu di Jitra. Kami pula perlu menunggu Zairi selesai misi utama pulang ke lubuk pada waktu begitu – tugasan majikan di pusat bandaraya. Maka kami sangkakan menjelang hujung malamlah senang untuk bersantai… Rupa-rupanya, ketika kami dalam perjalanan itulah, Cikgu Non sedang dalam waktu puncak tugasannya – membuat persediaan untuk acara hari esok. Terpaksalah hajat untuk bersua dan bersuara berjemaah di pusat pentadbiran daerah Kubang Pasu diurungkan…

Ke mana kita?

Ikut bancian penduduk, saya memang tergolong sebagai warga bandaraya. Demikian juga rasanya Wira dan Malek. Tetapi terus terang cakap, untuk menyatakan manakah tempat yang hidup pada waktu malam di bandaraya ini, saya kena angkat tangan. Ampun. Saya memang tidak tahu. Sudah lama saya tinggalkan hobi menyimpan alamat dan maklumat lokasi tumpuan warga Alor Setar setelah mentari berlabuh. Selain sekitar Simpang Empat, Tokai, Tanah Merah, Kubor Panjang serta Kota Sarang Semut, saya hanya mahir jalan-jalan dan tumpuan orang Tebengau, Telok Bagan, Alor Ibus, Taman Bersatu, Batas Paip dan Kola…Adalah sedikit lagi sekitar Simpang Kuala dan Tandop.

Wira pun begitu. Malek pun demikian. Gamaknyalah.

Maka berputarlah seketika di pusat bandar, mulanya mencari gerai kuetiau. Malam Jumaat bukan waktu terbaik untuk melepak di Alor Setar rupanya. Sunyi. Banyak gerai tidak beroperasi atau berada di peringkat mahu menghentikan operasi…

Akhirnya, kami singgah di Jalan Langgar. Ada deretan gerai sedikit yang masih berorang di hadapan UNITAR dan Open University, yang dahulunya menjadi tapak pasaraya Hankyu Jaya dan The Store.

Kiranya kami menjejakkan kaki ke universitilah malam itu…

Duduk di meja di atas kakilima paling hampir pintu masuk UNITAR, kami memesan minuman. Sambil menunggu, Zairi menghubungi Tan Sri yang berpecah dengan kami selepas pertemuan di Pulau Gezambo hampir 24 jam yang lalu. Tan Sri memang sedang menuju ke sebuah bank untuk menambahkan wang tunai ke dompetnya. Cantik sesangatlah… Saya masih mendendaminya kerana ketika kami menunggunya di Restoran Sofia awal pagi tadi, dia yang beria-ia untuk turut serta sekadar menghantar utusan harafiah [lebih kurang]: Maaf, kena balik tidoq, esok aku kerja….keh35x…..

Minuman sampai. Baru dua kali hirup, mahu memesan kuetiau, kami dapati tuan gerai itu sedang menyelimutkan kuali dan rak di atas basikal roda tiganya… Takdir tertulis begitu… Kita hanyalah pembawa watak…

Maka kami pun membuat hirupan penutup untuk bangun sebelum Tan Sri sampai. Takut hamba Allah itu mengamuk hingga ke pengtahuan Datuk Bandar akan ketidakpuasan hatinya..

Saya tidak pasti Zairi sempat hubunginya atau tidak, kerana ketika kami berada berhampiran kereta Zairi, duta baju Pagoda tersebut telah siap berdiri di situ. Mujurlah moodnya baik. Tiada tanda-tanda angin akan naik.

“Kita pi Jalan Pegawai…” cadang seseorang yang segera dipersetujui sebulat suara.

Malek menaiki kereta Tan Sri sebagai teman berbual. Saya dan Wira terus bersama Zairi.

Saya menghitung-hitung lokasi kedai - kalau masih dibuka - sekitar Jalan Pegawai…

Tan Sri memandu laju. Zairi mengikut. Tidak Tan Sri membelok ketika sampai lampu isyarat pasar lama. Tidak mengapa. Ada satu simpang lagi berhampiran stesen petrol dan bangunan Dewan KIA, selepas Kompleks Hijau Kuning. Pun Tan Sri tidak membelok malah laju sahaja melepasi simpang berkenaan.

“Dia ni tau ka Jalan Pegawai ni….”kami bertukar-tukar soalan.

“Malek ada…”

“Dia nak pi ikut Simpang Kola kut…”

Zairi terus mengekori Tan Sri. Memasuki Jalan Kuala Kedah, pun laju Tan Sri memandu, melepasi lampu isyarat ke Jalan Pegawai. Laju juga melintasi lampu Isyarat Masjid Aman. Selepas itu, terperasan sesuatu, termasuk jerkahan kami dari dalam kereta Zairi, agaknya, berhadapan pagar SMK Tun Sharifah Rodziah, barulah Tan Sri memperlahankan kereta.

“Awat tak singgah Jalan Pegawai?”

“Yang laju sangat ni nak pi mana?

Itu dua soalan pokok dari kereta Zairi, sebaik kedua-dua kereta berada seiring.

Tan Sri tersengih. Saya mendengar jawapannya tetapi sekarang tidak ingat lagi. Dibawa deruan angin menjelang pagi Jumaat itu….Hanya sengihannya yang berbekas di minda.

Ke mana kita?

Akhirnya kami putuskan untuk singgah di gerai minuman di depan kedai francais Berjaya Group – 7 Eleven – bertentangan Taman Seri Kota. Sama seperti kedai yang dimiliki lesen oleh grup Vincent Tan tersebut, gerai berkenaan juga beroperasi 24 jam. Ada nasi lemak dan kuih-muih – menimbun terutamanya pada awal pagi dan hujung petang.

Di situlah.

Di situlah selama lebih dua jam kami duduk-duduk..

Di situlah selama lebih dua jam kami minum-minum….makan-makan nasi lemak dan kuih…

Di situlah selepas lebih dua jam saya makin kenal empat budak Falah itu…

Di situlah.

Dalam banyak-banyak pertemuan, inilah rasanya yang paling ilmiah isi perbualannya. Hampir 75%. Selalunya, kalau ada pun cumalah sekitar 20-25%. Bagi pengamatan sayalah. [Bagaimanapun, rasanya semua yang berempat BF tersebut tentu terkesan juga kelainan itu. Sekurang-kurangnya seorang mengakui di telinga saya semasa perjalanan pulang…]

Seluloinya secara santai bersembang tentang kerja dan kerjaya, hal-hal peribadi, mengimbau nostalgia, mengimbasmuka kehidupan, selit sedikit bab siasah atau hiburan.
 
Kali ini bab hukum-hakam, bab fekah dan tauhid, yang fardu ain dan kifayah… Maaflah kerana saya tidak dapat mencatatkan satu persatu, secara detail.

Tetapi kesimpulannya, cukup menarik perbualan awal pagi Jumaat itu.

Setiap hal ada ulasan berdalil. Siap disebutkan tajuk kitab. Pengalaman di beberapa tempat dikongsi lalu diulas bercanggah atau tidak hukumnya, relevan atau tidak kerja buatnya, berpadanan atau tidak dengan mazhab pegangan…

Mengenangkan semua itu, meski hanya perbualan di gerai kaki lima, jangan tidak tahu ahli panel yang ada: berapa ustaz telah Wira berguru di beberapa masjid; selain AlFalah, Tan Sri dan Malek adalah anak murid almarhum Ustaz Niamat Yusof di Pondok Derang, malah Tan Sri sentiasa berbahas hal-hal agama di mana-mana dan dengan sesiapa saja; Zairi, maaflah saya tidak perasan guru khususnya, tetapi bukan calang juga ilmunya yang sebahagian pernah diadaptasi ke kejiranannya…

Lompang masa semenjak mereka tinggalkan AlFalah sehinggalah bertemu semula setahun dua lalu bukanlah satu masa yang pendek. Tidak tahulah pula selama mana dan seramai mana mereka berguru.

Sayang sekali, tidak ada Babuji bersama atau Ustaz Chin … Kalau ada mereka, tentu akan ada perbedaan pendapat, dengan kes-kes tempatan, yang akhirnya akan mencambahkan lagi ilmu masing-masing.

Dua jam lebih. Setiap orang memesan paling kurang dua kali minuman, tambah dengan nasi dan kuih.

Dua jam lebih. Berkali-kali Zairi membelek jam di lengannya. Dia mesti berada di kejiranannya menjelang Isyak, atas janji bersama seorang prospek pelanggan berprofil tinggi. Sebelum itu, dia perlu menyusul sekali lagi ke tempat yang diselianya siang serta awal malam tadi. Mesti bertolak balik sebelum tengah hari. Semua itu perlu dilakukan dalam tempoh sepuluh jam dan dia juga perlukan tidur! Agaknya itulah yang difikirnya di celah perbualan yang menarik, dan itulah yang membuatnya membelek jam berkali-kali…

Dua jam lebih. Wira paling kerap memesan minuman.  Dengan perbualan yang ilmiah, suara yang tidak dikawal, muka masing-masing yang tampak serius, tidak hairanlah, ketika kami bangun menuju ke kaunter berdekatan meja kuih dan nasi lemak pelbagai lauk dan bentuk bungkusan, pekerja gerai berkenaan terketar-ketar mengira harga. Tersasul-sasul menanyakan apa yang kami minum dan makan. Akhirnya, Tan Sri yang memegang kalkulator, bertanya apa yang rombongannya makan dan minum. Pekerja itu tersipu-sipu. Ada sen di hujung ringgit yang Tan Sri hitung itu.

“Hak kupang-kupang tu buanglah. Upah kira…” kata Tan Sri. Serius suara dan wajahnya. Pekerja itu tersengih, tidak tahu apa yang mahu dikatakan berhadapan pelanggan, yang mungkin tidak ditemui spesies begitu setiap hari…

Kami berpecah seperti tadi. Malek bersama Tan Sri. Wira yang bersama saya dan Zairi, turun di Batas Paip. Saya pula meninggalkan rumah keluarga Zairi entah pukul berapa. Terlupa saya mahu melihat jam di telefon. Sampai di rumah pula terlupa juga melihat jam di dinding. Tetapi berdasarkan wajah samatua yang agaknya dua tiga kali bertukar episod mimpi sebelum saya sampai, kiranya lewat jugalah masa pulang itu….

Sebelum tidur, saya memindahkan foto pertemuan tadi dari WhatsApp grup ke fb. Takut terpadam dan terlupa…

**********************
 Pagi Jumaat.

Sedang bersarapan dengan samatua, saya membelek WhatsApp. Ada foto Tan Sri dan Zairi menyoghok di Batas Paip, berjumpa pula Wira. Alkisahnya Zairi bertemu pula dengan Malek kemudiannya untuk mengambil beberapa jenis hidupan laut untuk di bawa pulang ke Lembah Kelang…

Bila mereka tidur? Berapa jam?

Ingin saya tanyakan soalan itu di dalam WhatsApp.

Tetapi tidak sempat. Soalan itu muncul secara lisan dari mulut samatua. Namun bukanlah ditujukan kepada empat budak Falah itu…

Err…err.. entah! Bila waktu lelap tak tau. Berapa jam? Janganlah tanya dalam jam, cek oi. Tanyalah dalam minit. Barulah dapat angka yang banyak…

Demikian jawapan saya. Terangka di dalam minda. Tidak dapat dizahirkan kerana mulut dipenuhi ketayap berinti kacang, ditunda pula dengan teh o suam…


“Tu nak mengadap komputer lagi la tu…” kata samatua ketika saya bangun dari kerusi di ruang dapur.

“Dak aih….” Kata saya.

Macam mana dia boleh tahu niat saya?

Maka bagi membuktikan kata , tidaklah saya membuka komputer untuk mencatat pertemuan awal pagi itu…

********

Hujung September, Zairi akan balik lagi.

Mungkin akan ada pertemuan di mana-mana. Di Pulau Gezambo, besar sekali kemungkinannya… Di tempat lain, tidaklah pasti.

Tetapi kali ini, Tan Sri tidak dapat bersama. Dia dan samatuanya berada di Makkatul Mukarramah…

Akan adakah percambahan ilmu seperti dahulu? Jika ada, siapakah pula ahli panel pengganti tempat Tan Sri?

Hanya Allah Yang Maha Tahu.




21 September 2014

Kembara Malam

[Kampuhan TIGA episod Ceritera 1Malam: Batas Paip, Simpang Empat , Yan Dan Tanjung Dawai
yang tersiar pada 8, 11 dan 12 September 2013. Untuk kemudahan pembaca yang malu mengelik ketiga-tiganya... Memang sengaja diulangsiar.
Ilmu tidak tawar oleh ulangan, kata Rahman Shaari dalam sajaknya, Sahabat]
Saya sedang mengerang dan mengarang di dalam bilik tengah sebaik selesai solat Isyak. Di atas skrin di depan saya baru tertera 6-7 perenggan bagi entri sebuah blog keluarga.

Sombongnya budak ni. Hang tunjuk ek kat aku noo. Takpa. Nanti kalau  hang pi ka Aloq Setaq, kepala hang nanti aku putaq, hang tau!?

Tiba-tiba, suara emak  cikgu kelas masak-memasak[kononnya] dalam filem Masam-masam Manis menarik pendengaran saya. Tandanya ada mesej masuk. Saya baca… dan saya jawab. Dan suara bakal mertua Che’gu Shaari itu beberapa kali lagi berbunyi dalam masa 13 minit, apabila saya terus membaca dan membalas mesej…. Penghantarnya, Saiful Adly, Budak Taman Bersatu [BTB].
Cikgu Din.. Ooo.. Cikgu Din… nyatakan lokasi anda skrg      -    20:42:22
D rumah   – 20:42:59
Mlm ni blh? Free x?  20:44:13
 – 20:44:53
Tak sempat tekan huruf yang lain lagi, jari saya tersentuh  punat ‘hantar’, laju saja utusan bergerak menghantar satu abjad itu.. Maka saya hantar semula apa yang saya niatkan ketika menekan punat huruf N tadi.
Nk mai ka   – 20:45:27
N.Klau cikgu free… Sy nak mlgkah kluaq utk ke smpg b’sama mat nasir. Nk ajak aziz skali..dia dh o.t.w blk kem. Jd klau cg sudi. Kami akn ke sna. Blh?   – 20:46:45
Dia pun balas bermula dengan N juga? Entah apa maksud N itu baginya, hanya Allah yang tahu… Saya teringat Budak Batas Paip [BBP]. Nanti kalau tidak diberitahu semakin halus pula saiz hati budak itu…
Free sgt. Bbp ada dak? Maila   – 20:48:51
X sure. Sy dr rmh   – 20:49:32
Ok   20:50:17
Saya cuba hubungi BBP. Tapi rangkaian seperti mencemburui kami. Tiada sampai agaknya panggilan saya terus kepada BBP. Hanya setiausahanya yang bersuara, macam malas menjawab.   – 20:50:40
Lokasi?   – 20:54:02
Ikutla   – 20:55:16
Dinalang   – 20:55:54
Dinalang?

Men-men ka? Restoran Dinalang hanya bersiaran pada waktu siang… 
20:57:02 -  Daripada hanya menghantar huruf, saya terus tukar kepada menghantar suara. Saya hubungi Budak Taman Bersatu itu.  
Sah, dia sekadar menyakat dengan menyebut restoran yang menjual ais kacang salji di Simpang Empat itu. Memang dia pun tahu, restoran yang asalnya sebuah kedai abc warisan, cuma dibuka pada siang hari…

Lalu, dia mencadangkan Restoran Sultan Ibrahim berhadapan Balai Polis – tempat selalu dia minum jika bertemu Nasir dan kawan-kawan lain. Saya setuju sahaja. Apabila mereka hampir sampai, saya akan diberitahu, demikian janji nya. Sementara itu, dia masih menunggu panggilan balas dari BBP, kerana katanya, ketika dihubungi tadi, anak BBP memaklumkan ayahnya , si peminat perbahasan di dalam fb itu, sedang menunaikan solat Isya. Oo.. patutlah panggilan saya tadi tidak berjawab. Nantilah, kalau saya teringat, akan saya suruh saja BBP pecat setiausahanya yang menerima panggilan saya tadi. Adakah patut bosnya sedang bersolat pun, dia hanya memberitahu dengan ayat klise: Nombor yang anda hubungi…… Dah ‘tu berlagak pula – tak mahu cakap bahasa Malaysia…sedangkan bahasa Inggerisnya bukan lancar sangat pun - sebiji-sebiji! Hehehe.
Saya kembali menghadap skrin. Membaca blog milik seorang wartawan Indonesia. Saya peminatnya, kerana dari tulisannya, saya tahu banyak tentang negaranya serta betapa dia sangat mencemburui Malaysia – terutama keberuntungan negara kita yang menaungi jutaan tenaga kerja dari negaranya. Sebagai timbalnya, dia sering mengungkit kegemaran kita menciplak banyak perkara dari jiran serumpun itu – batik, keroncong, lagu Rasa Sayang, hinggalah lagu kebangsaan kita , Negaraku… Saya juga gemar gaya bahasanya .
Sambil itu, sesekali saya menjeling laman fb, statistik pada semua blog saya serta sebuah akhbar dalam talian.
21:42:00 -  Saiful menelefon saya. Tapi rasanya bukan suara BTB itu yang muncul, sebaliknya suara BBP. Mereka sudah sampai ke Simpang Empat, mahu datang menjemput saya. Kasihanlah pula berjemput-berhantar nanti, lalu saya mahu keluar dengan motor dan meminta mereka menunggu di tempat dijanjikan. Tetapi BBP memberitahu mereka sudah pun masuk ke kawasan kejiranan saya.  Apa-apalah..
Saya menanti sambil siap mematikan komputer.
Sebentar kemudian mereka sampai bersama seekor ikan yang lumayan besarnya – Kelisa. BBP berada di bahagian depan bersama Saiful, manakala di belakang ada seorang berkepala botak – Mohd Nasir Hassan. Saya menaiki Kelisa itu sambil bersalam serta mengucapkan tahniah terutamanya kepada BBP. Saiful bertanya, tahniah untuk apa, dan saya tidak menjawab dengan tepat. Samalah dengan Nasir yang tidak pun menjawab botaknya yang belum pun sampai 24 jam itu untuk apa….
“Cikgu Non ada dak?” tanya seseorang.
21:47:15 - Saya mendail nombor Cikgu Non walaupun ketika itu kami nampak pintu rumahnya , manakala kereta serta motornya sedang dengan sopan sekali berbaring di depan rumah. Ada bunyi ‘tut’ yang kuat pada telefon saya.  Sah panggilan saya tidak bersahut.
Saya turun dari Kelisa, menggoncang sedikit selak pintu pagar sambil memberi salam. Cikgu Non keluar. Dia sedang meneliti tentang foreign exchange rupanya. Dia menyatakan tidak mendapat isyarat panggilan saya tadi. Dengan ringkas dan padat, saya maklumkan tujuan kami berempat untuk bersidang di depan kedai mamak di pekan Simpang Empat itu.
“Sat, sat,” kata Cikgu Non sambil berpusing ke pintu rumahnya. “Hangpa pi dulu. Sat gi aku pi naik motor..”
Saya pun masuk semula ke dalam Kelisa. Tidak saya tahu, rupanya skrip sudah diubah. 

Nasir mencadangkan kami ke sebuah kedai yang sering dikunjunginya di Buluh Lima [Batu 9]. Pulak! Masakan mahu membiarkan Cikgu Non tercari-cari kami pula di depan restoran mamak di depan Balai Polis Simpang Empat itu…

21:49:08 – Saya hubungi Cikgu Non, memberitahunya bahawa plan sudah bertukar. “Tak pa,” balas Cikgu Non. Mereka hanya tukar plan, Cikgu Non terus tukar projek!

“Cikgu Non kata tinggal Kelisa di sini. Kita naik kereta dia….” Saya memberitahu tiga bekas budak Falah tadi. Ada keluhan sedikit dari seseorang.

“Awat?” saya bertanya.

“Kita pi asing-asingla…. Kalau dengan kereta Cikgu Non, sahih lambat balik!” kata seseorang itu yang sedikit berpengalaman dengan saya dan Cikgu Non…

Belumpun sesiapa berkata apa-apa, Cikgu Non sudah pun keluar, memasuki keretanya setelah membuka pintu pagar. Saiful meletakkan Kelisanya berdekatan pagar. Saiful masuk ke tempat duduk belakang, Nasir masuk ke tempat duduk paling belakang dan saya pula masuk kemudiannya duduk di sisi Saiful. BBP? Dia masuk duduk di samping Cikgu Non di depan setelah menutup pintu pagar. Selesa sekali BBP berada di posisinya, siap boleh letakkan kaki di atas kaki… dan kami ketawa mengingat bagaimana di dalam Kelisa tadi dia terpaksa menghimpunkankedua-dua lutut berhampiran dada…

“Kita nak pi mana ‘ni?” tanya Cikgu Non. Saiful memberitahu cadangan Nasir tadi. Cikgu Non mengomen sedikit tentang tempat yang dicadangkan itu. Saya hanya tersengih di dalam gelap. Siaplah budak-budak oi… “Nak minum dengan bersembang saja, ‘kan?” tanyanya lagi. 

“Kita pi jauh sikit…. Sambungnya sebelum membelok untuk berhenti di depan BSN di depan kawasan kejiranan kami. Dia turun.

21:52:57 - Saya mengambil kesempatan itu mendail nombor seseorang. “Nak perhangat….” Kata saya. Ramah pihak di sebelah sana membalas sebaik saya bercerita tentang kumpulan kami di dalam kereta itu. BBP menyangka saya menghubungi Cikgu Rahim. Tetapi bukan. Pihak di sebelah sana menyangka saya bergurau menghubunginya sebegitu jauh... Apalah jauhnya kalau boleh berbisik-bisik? Dia sekadar menyampaikan salam kerana memang tidak dapat turut serta. 1 minit 36 saat. Demikianlah masa saya sempat berbual dengan Aswad Lorong Mayat yang berada di Kuala Selangor, sama masa dengan Cikgu Non turun dan dating semula ke keretanya. Seronok juga kalau boleh menimbulkan kemarahan Aswad rupanya…..hehehehe.

Sebaik menggerakkan semula keretanya, Cikgu Non masih bertanya ke mana tujuan kami. BBP hanya menjawab, jangan jauh sangat…. Saya menyatakan kepada Cikgu Non, mereka mungkin tidak mendapat lessen besar dari samatua… Ckgu Non tersenyum. Yang bertiga lagi pun agaknya tersenyum juga walaupun makna setiap senyuman itu mungkin berbeza.

“Tanjung Dawai?” tanya Cikgu Non. Ada desahan kedengaran.

“Jauh sangat kut…” bisik seseorang.

Beberapa minit kemudian kami melintasi kedai yang Nasir cadangkan tadi - di Buluh Lima. 

“Tak sedap…” kata Cikgu Non, “orang pun takdak. Kita nak singgah kena tengok pelanggan. Kalau pelanggan sikit, jangan singgah. Maruah kita kena jaga… “

Demikian antara kata Cikgu Non yang sempat saya simpan dalam  memori. Sementara itu kami sampai ke Kota Sarang Semut. Cikgu Non membelok ke kanan, ke arah Kuala Sala.

“Kita nak minum sambil bersembang, ‘kan?” tanya Cikgu Non. “Atas kereta ‘ni pun boleh bersembang, sat gi kita minum…. Bukan gaduh buat apa, saya yang bawa kereta!”

Tidak lama kemudian kami menghala pula ke Sungai Limau/Sungai Yan.

“Kita tengok suasana lepas pilihanraya sama, “kata jurupandu kami itu…

Suasana sepi. Maklumlah, baik yang kalah atau yang menang sedang keletihan… Di satu dua tempat ada beberapa orang pihak kalah sedang menurunkan poster….

22:04:11 – Saya hubungi Cikgu Shon. Tetapi, sama seperti BBP lebih sejam yang lalu, Cikgu Shon hanya mengarahkan setiausahanya sahaja yang menjawab….

22:05:34 – Sekali lagi saya mencuba. Setiausahanya masih dengan suara dan jawapan yang monotonous itu. Sah Cikgu Shon tidak mahu digangggu… Saya maklumkan hal itu kepada Cikgu Non.

Saya berbual dengan BTB serta Nasir di bahgian  belakang itu, sementara BBP bersembang dengan Cikgu Non di depan. Lama-lama sekali perbualan kami berpusat sama. Dalam berbual itu, saya bersimpati kepada Nasir yang seperti terhoyong-hayang di tempat duduknya itu. “Sat lagi hang mai duduk depan…..” kata saya. Nasir tersengih. Keadaannya itu disebabkan dia cuba mengelakkan kepalanya yang bertelanjang bulat itu dari hembusan pendingin hawa yang tepat berada di atasnya! “Sejuk!!” kata Nasir dan kami tertawa.

Kami sampai di Sungai Yan. Cikgu Non membelok ke kiri, sekadar menunjukkan gerai pasembor yang istimewa di sebuah bazaar. Pekerja gerai itu sedang bersiap untuk balik… “Sekurang-kurangnya hangpa tau tempat ni…” kata Cikgu Non lalu menghala ke jalan utama menuju ke Yan.

22;18:10 – Saya mencuba lagi menghubungi budak Yan tadi. Hampa juga.

“Sini pun ok juga, “ kata Cikgu Non sebaik kami melintasi Restoran Seri Nila [kalau tidak silap] – tempat yang selalu kami singgahi jika mahu berjumpa dengan Cikgu Shon dahulu. Kedai berhadapan pintu masuk ke Hospital Yan itu pula berkeadaan seperti  tidak beroperasi pada hari berkenaan.

Jalan menghala ke Yan juga sunyi. Begitu juga di pekannya. Bagaimana sebuah ibu daerah begitu sekali sunyinya?  Mungkin Cikgu Shon boleh berikan jawapannya.

“Kita tengok Pantai Murni sat….” kata Cikgu Non tapi dia sendiri tahu keadaannya berpandukan hanya beberapa buah kereta berada di atas jalan raya.

“Shon main badminton di sini kut…” kata saya pula sebaik melintasi Dewan Dato’ Madi. Tapi yang kelihatan hanya 3 orang berpakaian seragam di depan pintu dewan yang turut menjadi pusat penamaan calon bagi PRK baru-baru ini. Seorang darinya sedang membaca akhbar 

“Mungkin kali ketiga…” kata seseorang di antara kami…

Membelok ke arah pantai, saya sempat berkisah tentang satu kejadian , lama dulu. Kisah yang saya paparkan dalam entri ‘Cinta Pantai Murni’. Meski ikut terlibat, Cikgu Non hanya mendiamkan diri, sehinggalah setelah kami berpatah balik.

“Hang nak tau rumah budak tu? Nanti aku tunjuk….”


Suratan atau kebetulan?
Bagi yang malas membaca entri ‘Cinta Pantai Murni’ biarlah saya catatkan sedikit peristiwa pada tahun 1987atau 1988 itu. {Saya pasti antara dua tahun itu kerana 1987 tahun Cikgu Non mula berada di AlFalah, serta tahunnya pencabar kami masih belajar di AlFalah – sehingga SPM 1988}.

Kami – sekumpulan guru dan pelajar – sedang dalam perjalanan pulang dari lawatan ke Lembah Bujang anjuran guru Sejarah, Cikgu Abdur Rahim Daud. Selepas melihat candi-candi dan bahan sejarah lain di situ, kerana hari masih awal, kami pergi ke Tanjung Dawai sebentar.  Sebentar kerana tiada yang begitu menarik di kawasan perkampungan nelayan itu kepada kebanyakan ahli rombongan. Sebelum pulang ke sekolah kami singgah pula beberapa ketika di Pantai Murni, Yan. Pemandu bas juga sanggup menunggu, mungkin merasakan belum berbaloi masa dan jarak yang telah dilalui setakat ini, dengan bayaran yang diterimanya.
Setelah puas berjalan di sekitar pantai berselut dengan air laut yang kelabu, termasuk menapak di atas jeti yang agak uzur serta makan-makan di gerai berhampiran pantai, kami naik ke atas bas, sambil menunggu semua pelajar selesai makan dan bersiar. 
Ketika inilah datangnya cabaran dari tiga murid perempuan – diketuai oleh Junaidah Kassim – agar kami [Cikgu Rahim, Cikgu Non dan saya] dapat mengurat tiga gadis yang sedang duduk di salah satu bangku di tepi Pantai Murni itu. Junaidah bersama Rubiah Baharom dan Norhayati Che Rose menjanjikan  makan percuma untuk kami jika cabaran itu berjaya kami laksanakan.
Mereka tahu kami memang masing-masing masih solo. Tidak pernah ada gossip di akhbar atau majalah bahawa kami sedang berpacaran dengan mana-mana artis….hehehe. Sebab itulah mereka beria-ia menggiat kami, apalagi dengan sokongan Cikgu Ramlah yang baru saja naik ke atas bas rombongan – tempat kami berbual itu.
Tapi mereka tersilap dalam satu perkara. Sepatutnya jangan mencabar ketiga-tiga serentak. Kalau dicabar seorang saja, terutama saya, pastilah awal-awal lagi, saya mengaku kalah. Saya ingat pesan emak sejak mula baligh dulu – jangan kacau anak dara orang, nanti dahi berbekas dengan pelepah kelapa atau kayu panjang dengan lebar x tebalnya adalah 3” x 1½” [bahasa kampungnya kayu tiga tengah dua]!
Apabila dicabar serentak begitu, kami saling menumpang berani lalu membentuk satu keyakinan yang jitu. Membusung dada kami dibuatnya…
Kami melangkah turun dari bas dan terus menghampiri tiga gadis yang sedang memandang air Selat Melaka yang keruh itu. Mereka terkejut dan cuba bangun. Namun, kerana niat kami ikhlas, agaknya [hehehe], mereka rela ikut berlakon, setelah tahu bahawa kami menerima cabaran dari sekumpulan murid yang sedang memerhati kami dari atas bas. Para pencabar tadi bukan dengar pun apa yang kami bualkan…..
Maka berbuallah kami berenam. Tak ingat pula sama ada dialog seperti Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok : ‘Agak-agaknya di negeri China sekarang musim……’ ikut dilafazkan atau tidak. Tetapi sempatlah bertanya asal-usul mereka bertiga. 
Seorang daripadanya memberitahu bahawa rumahnya di sekitar Sungai Udang, Yan. Apabila disoal lebih lagi oleh Cikgu Non yang sememangnya mempunyai bapa saudara di sekitar itu juga [ dan saya pernah sekali dibawa ke situ], ternyata gadis itu adalah puak laghak Cikgu Non![puak laghak sering digunakan oleh cikgu Matematik dan Sains itu, bagi merujuk kepada kaum kerabat atau adik-beradik]. Apa lagi, siap dengan nombor telefon rumahnya kami perolehi…{barang diingat pada hujung dekad 80-an itu, tak bolehlah kami sebut dapat nombor telefon bimbitnya, nampak sangat pembohongnya, kerana era telefon bimbit  masih jauh lagi….Bekas air berbentuk telefon bimbit pun belum ada!}
Kesempatan duduk berlama bersama tiga gadis itu diperhatikan oleh pencabar kami di atas bas. Makin sah lagi apabila kami mampu memperagakan nombor telefon salah seorang anak dara itu….. Maka makan percumalah kami pada petang nan murni itu….
Demikianlah.
“Hang nak tau rumah budak tu? Nanti aku tunjuk….”
[Saya menyangka dalam perjalanan pulang nantilah akan ditunjukkan rumah puak laghak Cikgu Non di sekitar Sungai Udang, berhampiran bengkel Bas MARA, di jalan utama Yan – Guar Chempedak itu. Rumah yang nombor telefonnya sempat kami minta semasa dio Pantai Murni dahulu].
Semasa kereta berpusing balik itu, saya nampak tapak tempat bas kami diparkir sekitar suku abad dahulu. Lapang dan sunyi. Saya terkenang kepada sekumpulan budak Falah yang ikut serta ketika itu, terutamanya tiga pencabar tadi – Junaidah yang kini menetap di Melaka dan Rubiah yang kini berada di Kelantan serta Norhayati yang tinggal di Negeri Antah Berantah... Dan pastilah - paling jelas - muncul juga wajah arwah Cikgu Ramlah…
Cikgu Non memperlahankan kereta ketika menghala semula ke arah jalan besar. Sebelum bertemu semula Dewan Dato’ Madi tadi, makin perlahan pergerakan kereta itu.
“Tu rumah dia…..”kata Cikgu Non sambil menunjuk ke arah kanan, pada sebuah rumah yang pintu pagarnya terbuka dan lampu porchnya bernyala terang. Kami semua memerhati rumah tersebut.Seorang lelaki sedang memarkir motor di bawah porch itu, mungkin baru balik dari kedai.
“Tu laki dia…” kata Cikgu Non lagi. Saya yakin Cikgu Non kenal dengan lelaki tersebut, maklumlah itu suami puak laghaknya, pupu-poyangnya juga.
Maha Suci Allah. Kebetulan sekali kami melintas tempat tersebut dan peristiwa lama itu serasa masih baru. Bagaimana agaknya rupa gadis itu sekarang? Pastilah telah menjadi ibu kepada beberapa orang anak dalam usianya sekitar 40 tahun kini…  Masihkah dia ingat lagi…
Cikgu Non membelok ke kanan, sebaik sampai ke jalan utama – pastilah menuju ke Tanjung Dawai.
Jalan terus sunyi. Kereta sesekali dipecut. Ada hati menjadi sedikit kecut… Cikgu Non tertawa apabila menjeling ‘jirannya’ menggenggam pemegang pada sisi bumbung kereta…
Kami terus berbual…. Kliselah ayat ini di dalam blog saya, kan?. Memanglah kami terus berbual. Kami bukannya pendatang asing di dalam kereta dalang pembawa masuk tenaga kerja tanpa permit yang takut dengan sekatan polis atau pihak imigresen, takut pula bersuara malah takut juga untuk bernafas kuat atau melepaskan angin dengan kuat!
Sepanjang perjalanan tadi pun banyak yang kami bualkan. Tetapi tidaklah dapat saya catat semuanya. Saya bukan kamera video, bukan juga perakam kaset. Yang terlintas ketika mengetuk papan kekunci, itulah yang dapat anda baca…
Kami bercakap tentang kerja buat Nasir di sebuah rumah di kampung kami, tentang pertemuan tidak terancang Saiful dan Nasir dengan Shukeri Sasuke dan Jauhar Amir di Permatang Pauh, tentang 10 tahun kematian Ein – Syazriel Azenan, tentang Cikgu Non bermula dengan berkain pelikat dan mahu makan nasi lemak di Guar tetapi rupanya perjalanan itu membawanya hingga ke Johor Baharu! Tentang Ustaz Husin bersama Babuji berkain pelikat boleh sampai ke Kuala Perlis pada satu malam, hanya setelah dirungutkan di dalam kereta Cikgu Non ‘lama tidak makan ikan bakar’…. 
Macam-macam lagilah. Pendek kata, sepanjang perjalanan itu banyak bab yang disentuh. Paling koman pun tentang rumah tinggi di kaki Gunung Jerai yang sedang kami lintasi……
Beberapa minit setelah membelok lagi pada simpang antara Singkir – Tanjung Dawai, tajuk dan nada sedikit berubah. 
Sebaik nampak sebuah restoran yang lengang, Cikgu Non memperlahankan kereta. “Tak buka..apa…” katanya, tercari-cari restoran yang biasa dikunjungi.
Jalan sunyi. Beberapa kedai makan/restoran yang kami lintasi kelihatan tidak bermaya. Pelanggan tidak ramai. Demi maruah, seperti kata Cikgu Non, kita kena cari kedai yang ramai pelanggan….hehehehe
“Tak buka… apa…” kata Cikgu Non lagi. Saya tidak tahu restoran mana yang dicari dan dimaksudkannya.
Jalan sunyi.
Kemudian baru terjumpa batu penyata jarak. Tanjung Dawai 2KM. 
“Ni baru sampai….” Kata Cikgu Non, kembali bersemangat. Ada satu simpang ke Kg Nelayan di kiri jalan dan kami Nampak cahaya lampu kalimantang berbalut plastik hijau dari jauh, dalam 200 meter.
“Tuuuu!” kata kami serentak.
“Bukan yang ni….” Kata Cikgu Non apabila menghampiri restoran tersebut. Dia terus memandu perlahan. Sehingga kemudian dijumpai restoran yang dicarinya. Kereta dibelokkan ke kanan dan diparkir betul-betul di gigi laut.
“Tunggu lagi!?” saya bersuara sambil membuka pintu. Deburan ombak memukul pantai seakan mengucapkan selamat datang kepada kami …. Angin dan aroma lautnya… aduhai!
Beberapa orang kanak-kanak yang baru selesai makan bermain di sekeliling kami. Kami memilih sebuah pondok untuk duduk bersidang.
“Hang tengok kerusi tu….” Kata Cikgu Non kepada Saiful atau BBP. Kami memerhati kerusi kuning bersusun pada setiap meja di dalam restoran, sedang kami bersila di atas pondok yang terletak di antara bangunan utama restoran dengan gigi laut…
“Tu baru ada maruah….” Saya tidak ingat siapa yang berkata, merujuk kepada kerusi yang dimaksudkan Cikgu Non tadi. Semua tersenyum.
Seorang gadis datang menanyakan pesanan. 
Barli ais – Nasir
Jus Epal – BBP
Jus Tembikai + Laici – Saiful
Teh Tarik Halia – Cikgu Non
Limau ais – penulis….
“Tak kan limau ais saja, mai jauh-jauh ni….” Tanya seseorang, kalau tidak silap salah seorang yang meminta jus tadi...
“Jadilah, nak potong lemak….”
Makan? 
Belum ada keputusan. Cikgu Non tidak mahu makan kerana baru sahaja mengunyah mi dari sebuah bandar di pulau Jawa – Bandung – bersama anak-anaknya di rumah tadi. Yang lain masih malu-malu…. Cikgu Non bertanya makanan ringan seperti keropok, tetapi yang paling ringan di situ adalah sotong goreng tepung…Akhirnya saya menyuruh gadis itu beredar dahulu, sementara keputusan dibuat nanti oleh majlis timbangtara…
Maaf, saya mahu taip sekali lagi: Kami pun terus berbual…..
Mengimbas beberapa perkara. Mengulas beberapa peristiwa. Asalkan boleh dinamakan perbualan. Malah soal nama pun dibangkitkan. 
Kata Saiful, hanya tiga orang yang memanggilnya Adly. Salah seorang adalah Cikgu Non. [“Baguslah, ada kelainan” ulas Cikgu Non.] Di kejiranannya, dia dipanggil Pun/Pul, manakala rakan sekolah memanggilnya Pak Ali. “Pasai apa panggil Pak Ali?” tanya BBP, entah sama ada memang tidak tahu atau sekadar mencelah perbualan. “Dari Adly, depa tukaq ke Ali” jawab BTB.
Muhyiddin ...err..Nasir dan BBP
“Nasir lagi lain. Di kampung orang panggil Muhyiddin….” Kata Saiful lagi. Muhyiddin …err... Nasir pun terangguk-angguk sambil tersenyum. Saya sendiri dulunya menyangka Nasir anak kepada Hassan Tipah, seorang sepupu-sepapat Nasir yang tinggal di kampung kami. Kebetulan hanya itulah seorang Hassan yang saya tahu ada di situ. Tidak diketahui bahawa ayah Nasir yang bernama Hassan itu rupanya di kampung dikenali sebagai Md Udi…. 

Macam-macam.
“Hang?” tanya Saiful kepada BBP.
“Tak berubah. Nama ‘tu jugak..” balas BBP. Perlahan sahaja.
Minuman sampai. Pelayan berlalu.
“Oi, hangpa tak mahu makan apa-apa ka?” tanya Cikgu Non. Kami saling berpandangan. Saya mencadangkan diminta sebarang makanan dibuat sepinggan besar dan dimakan beramai-ramai, kalau sudah semuanya enggan makan yang berat-berat…
Pelayan dipanggil. Cadangan saya tadi tidak diterima secara lisan… Saiful meminta nasi goreng. Cikgu Non bertanya nasi goreng apa yang sedap… “Nasi goreng Cina, nasi goreng Thai, nasi goreng kampung…. Semua sedap…”balas gadis pelayan. 
Biasalah. Nama mungkin sama tetapi lain kedai lain sedap dan rasanya. Sedap ‘kan sesuatu yang subjektif? Sedap di lidah Aswad Lorongmayat, misalnya, belum tentu begitu kepada Zamri Zain. Demikianlah seterusnya.
Saiful meminta nasi goreng Thai dengan telur mata lembu. Nasir menurut. Saya meniru, biar boleh makan secara berjemaah tiga orang. Satu lagi menolong memudahkan tukang goreng di dapur... BBP meminta sup sayur tanpa nasi. Sejak bila dia menjadi vegetarian, tidaklah saya tahu. Berkali-kali pula pelayan itu terpaksa meminta kepastian, betulkah tidak dikehendaki nasi putih…
Sekali lagi mahu ditaipkan: Kami terus berbual. Hehehehe.
Dalam keasyikan berbual sambil minum dan menghirup udara laut itu, tidak kami sedari, sekitar 5 meter dari situ – di pondok lain – ada sepasang mata menoleh memerhatikan kami. 

Agaknya suara atau tawa kami telah menarik perhatian telinga dan kemudian mempengaruhi mata. Sepasang mata itu berbisik pula kepada sepasang mata di depannya yang kemudian turut memerhatikan kami…
Sekali lagi: Suratan atau kebetulan?

Lama agaknya dia memerhatikan kami. Mungkin semenjak kami mula mendarat di pondok berdekatan pondok yang didudukinya bersama isteri dan dua anak. Memang kami tidak pedulikan keliling ketika berbual itu – cuma adalah sekali apabila dua orang seakan artis Malaysia melintas…. Bukan seiras, ya. Seakan – di segi gayalah…
Dia menunggu sehingga selesai makan, barulah datang menyapa kami. Di atas dukungan ada anak kecil yang katanya baru terjaga dari tidur.
Dialah Mohd Sayuti Abd Rashid, budak Kg Padang Jambu, semasa di AlFalah dahulu.
Dia menghulurkan tangan, menyalami kami. “Takkan minum ayaq saja…?”katanya di tengah-tengah sapaan itu, agaknya melihat meja di hadapan kami yang masih bersih.
Dia dan kakaknya, Norhayati pernah belajar di AlFalah. Adiknya pernah belajar di SMA Ihya’ Al Ulum Ad Diniah, Simpang Empat [Pondok Hj Talib]. Adiknya yang lain pernah pula belajar di SMA Sungai Limau. Kebetulan semasa adik-adiknya belajar di dua sekolah itu, Cikgu Non juga mengajar di sekolah-sekolah tersebut.
“Depa ‘ni unik sikit, “kata Cikgu Non, “orang lain tak boleh tiru…..”
Ahmad Sayuti tersengih manakala Nasir dan BBP serta BTB menunggu apa yang tidak boleh ditiru itu.
“Dia dengan kak dia belajar di Falah. Saya pindah pi Ihya’ adik dia pula ada di situ. Saya balik Falah sat. Lepas ‘tu saya mengajar di Sungai Limau, adik depa pula ada lagi di situ….” Demikian panjang Cikgu Non berkisah.
Dengan kata lain, di sekolah mana Cikgu Non mengajar, di situ ada anak Lebai Rashid [panggilan orang kampung kepada ayahanda Sayuti]. Atau, di mana ada anak Lebai Rashid, di situlah Cikgu Non diarahkan mengajar! Pilihlah frasa  mana yang anda suka… 
Sempatlah Cikgu Non bertanya khabar akan semua adik beradik Sayuti merangkap semua anak muridnya dari keluarga Pak Lebai Rashid.. Ada yang kini bermastautin di Johor dan Sarawak. Kami hanya menumpang mendengar. Yang saya kenal pun hanya Sayuti dan Norhayati, walaupun adiknya yang belajar di Ihya’ dahulu pernah saya jumpa beberapa kali ketika berkunjung ke sekolah yang kini telah mendapat taraf sekolah agama bantuan kerajaan [SABK] itu 
Sayuti tinggal di Gurun manakala kakaknya, Norhayati [petugas MBAS] menetap di Kepala Batas. 
Sayuti juga merupakan bekas rakan sekerja Saiful di bahagian pengedaran Roti Gardenia dan masih di situ manakala BTB itu telah pun berhenti untuk menjalankan bisnes sendiri… Sempatlah pula mereka berdua bertukar khabar tentang rakan-rakan sekerja dahulu serta perkembangan terkini masing-masing. Sekali lagi, kami yang lain hanya menumpang mendengar.
Sayuti sekeluarga
Apabila isterinya selesai makan – yang mungkin terganggu sedikit kerana melayan karenah si anak tadi – Sayuti pun meminta dirinya dilepaskan…. Cikgu Non sempat lagi mempromokan jamuan raya tahun depan di Taman Bersatu “ jangan lupa noo, raya keempat!” disambut dengan kata Insyaallah oleh Sayuti. 
Jamuan raya! Perjumpaan raya!
Teringat hal itu, kami berbual sedikit tentangnya. Tempat memang asalnya mahu dikembalikan ke Dewan SK Taman Bersatu – seperti perjumpaan kali kedua dahulu – tapi masih dalam perundingan [yang kata BBP sedang diuruskan oleh Hesba Tgb]. 

Bagaimanapun, tempat seperti dewan kecil bersebelahan majid itu dijadikan sebagai alternatif jika ada aral di dewan sekolah. Maklumlah, khabarnya sewa meningkat banyak dari kali pertama dahulu, tanpa kerusi pula. Sewa dewan, takkanlah mahu disuruh bekas pelajar Alfalah yang telah menjadi tokoh-tokoh itu bersila. Ada kos tambahan untuk menyewa pengangkutan pergi-balik dan sewa kerusi juga…. Sedangkan kos tersebut elok dijadikan bahan yang dapat dimasukkan ke dalam perut tetamu nanti…. Entahlah. Biarkan BBP serta Saiful berbincang dengan panitia penganjur yang lain. Saya dan Cikgu Non bukan pelajar Alfalah pun … Bagi saya, niat semua cuma mahu berjumpa rakan-rakan lama bagi mengeratkan silaturrahmi. Tempatnya, kalau di dewan PKM pun jadi….Hehehehe.. Ini pandangan saya sebagai orang luarlah….. Ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya… hehehehe. Nak lagi? Pakai baju merah, masuk khemah warna koko, tetap merah baju itu….hehehehe. Jangan takut!
Melalutlah pula…

Kami berbual terus waimma telah sampai di depan kamai makanan yang dipesan. Sambil makan kami berbual, dan sambil berbual kami makan.

Sambung lagi tentang perjumpaan BTB dan Nasir dengan kawan-kawan di BM. Betapa mereka bercadang untuk menawan puncak Gunung Jerai pada bulan Disember nanti – sengaja membangkitkan nostalgia semasa zaman perFalahan dahulu…

Entah macam mana timbul bab majalah kartun yang popular dolu-dolu. Mungkin apabila terbual tentang nama Shukeri Sasuke yang mengambil satu watak kartun kegemarannya [Terkait tentang nama ini ialah Aziz yang menjadi Sazaziz kerana mintanya yang tegar terhadap jaguh bina badan, Sazali Samad…].

Kami bernostalgia tentang majalah Gila-gila, Gelihati sehinggalah Ujang yang mengalmi metamorfosis menjadi Lanun… Terpetik beberapa nama kartunis serta karya mereka…. Ujang dengan Aku Budak Minang dan Aca, Gayour dengan Bersama Selamanya, Nud’s dengan kartun bisunya....
Sempat dikenang tiga kali raya majalah Gila-gila dengan cover budak nakal bermain mercun – kali pertama putus tangan sebelah, kali kedua putus kedua-dua tangan dan kali ketiga mencucuh mercun/meriam buatan sendiri dengan kaki pula….
Saya juga teringat [lalu menceritakan] satu kartun di dalam majalah Gelihati yang Cikgu Non cukup suka. Tajuknya ‘jika lelaki boleh mengandung’ betapa seorang lelaki bermisai tebal melintang, bermuka sedih, dengan perut memboyot dalam pakaian mengandung, ditanya oleh ibunya , lebih kurang, “Cakap, perempuan mana punya kerja ni..?”
Dulu, kalau di atas meja kuih kalau tidak ada majalah-majalah edisi bumper raya memanglah tidak sah…..
Di atas pondok, di bawah hembusan angin laut itu juga, saya mencungkil kisah Zamri Zain yang mengejutkan Ustaz Man. [Baca sini -versi saya].[Zamri yang saya temui pada malam raya haji terkenang kisah itu]. Maka malam itu Cikgu Non pun membuka cerita itu dengan versi asalnya. Masih juga mengundang tawa mengingat suara Ustaz Man menyebut : Mu Jahil…. beberapa kali…Marahlah 'tu....
Ada banyak lagilah yang kami bualkan mengikut persimpangan yang dipandu oleh sesiapa juga. Keluar saja dari mulut seseorang, akan adalah yang menokok atau yang menyoal. Tentang lesen keluar malam…. tentang rakan-rakan yang berjaya ditemui.. tentang…. Banyaklah!
Ada lagi yang kautinggalkan
Ada lagi yang aku simpan
Kenangan berlalu
Mana mungkin kulupakan
Aduhai saudara…..
Ada yang saya ingat tetapi tidak dapat dihadirkan dalam catatan ini. Ada yang agak sensitif, takut kena saman…. 
Akhirnya, saat beredar pun sampai…. 
Kereta Cikgu Non keluar dari kawasan restoran itu pada pukul 11:52 malam.
“Hang nak balik cepat, ’kan?” tanya si supir. “Jangan laju sangat….” Kata si jirannya di bangku hadapan…
140km/h.
Kami yang bertiga  - Nasir sudahpun menyertai kami di bangku tengah -di belakang hanya memerhati meter. Jalan berliku, bang oi… 
Bertanyalah BBP tentang rumah di atas kaki gunung lagi, tentang itu ini. Atau dia sendiri bercerita tentang perjalanannya balik ke rumah besan emaknya di Kelantan. Semuanya itu mengundang ulasan dari Cikgu Non yang sesekali memperlahankan pergerakan keretanya.
BBP memainkan peranan yang nampaknya dikesan oleh BTB. Setiap kali jarum menghampiri angka 140 itu, BBP akan bertanya sesuatu pada sang supir. BTB tertawa walau dalam hati mungkin berterimakasih.  Setiap pertanyaan BBP akan memerlukan Cikgu Non menjawab, sekali gus menurunkan bacaan pada meter…. Tetapi cara itu pun cuma kadang-kadang berjaya. Adakala Cikgu Non menjawab sambil terus memecut…
Cikgu Non bercerita bagaimana pelajarnya lebih rela menaiki kereta guru lain untuk ke Sungai Petani atau Kulim [saya tidak perasan] apabila sekali menumpangnya dan merasai menaiki kereta dari Sg Yan ke Sg Limau dalam masa dua minit setengah!
Apabila sampai di Sungai Yan, Cikgu Non memecut sambil kami berbual tentang satu dua hal. Satu dua hal? Ya. Hanya itu yang sempat buat seketika kerana sekitar dua minit kemudian kami benar-benar berada di depan SMA Sungai Limau…
Selepas itu barulah kami berbual banyak hal lain…
Sekitar jam 12:32, kami sampai di depan rumah Cikgu Non. BBP turun membuka pintu pagar manakala kami yang bertiga di belakang ikut turun membetulkan pinggang dan perut.  Cikgu Non memarkir kereta di dalam garaj.
“Kita balik kut nooo…” kata BTB sambil menggeliat sedikit lagi.
 “Kita masuk dulu, pekena kopi…” itu bukan suara Cikgu Non, tapi suara BBP yang tidak didengari oleh cikgunya itu.

“Kacau bini dia tidoq…” balas BTB pula.

“Kacau apa. Bukan bini dia bancuh…Fuh! Sedap ooo” balas lagi sakan oleh BBP. Sah dia masih terkenang hirupan kopi o pekat pada dua tiga kunjungannya sebelum ini.

Saya, dan lebih-lebih lagi Nasir, hanya tersenyum mendengar.

“Jom masuk dulu. Alah, kira apa… awai lagi…” itu barulah suara Cikgu Non yang baru keluar dari keretanya.

Kami masuk. BBP paling depan, di belakang tuan rumah.

Duduk di sofa, Cikgu Non membuka lappynya, menyatakan kerinduan pada bab FOREX yang ditinggalkan hampir tiga jam. Dia memerhati skrin lappy sambil kami yang lain memerhati skrin tv. Ada perlawanan bolasepak peringkat baru baligh Piala Dunia di Dubai.
BBP membuka telefon cerdiknya buat pertama kali pada malam itu. Sayangnya tiada sambungan dengan internet, ‘kerana masalah teknikal’. Cikgu Non memberikan broadbandnya, sayang juga liang untuk usb BBP pula sedikit kecil…

Saya dan Saiful melihat tv. Nasir yang mendapat pelapik empuk meniarap membaca komik/buku  anak Cikgu Non. Menurut rakan sekelasnya – itulah hobi Nasir dari zaman perFalahan, yakni membelek majalah/komik.
BBP? Sambil ikut membelek tv, matanya sesekali memandang antara muka dapur dan muka Cikgu Non….

Siaran tidak begitu elok dari tv yang juga menggunakan talian internet itu. Buffering memanjang….. Cikgu Non menukar ke beberapa siaran tetapi tiada yang menarik pun kecuali siaran langsung bolasepak itu. Maka, apakah pilihan yang ada selain menyaksikan juga perlawanan bola budak-budak Sweden dengan budak-budak Nigeria di atas padang pasir itu?

Saya tidak perasan sangat bila Cikgu Non masuk ke dapur dan datang semula bersama sedulang berisi setekoh kopi dan lima cawan serta empat pelapiknya.

Tunggu lagi!?

BBP menuang kopi ke semua cawan. Mencapai satu cawan, dia membuat hirupan kuat yang kalau didengar oleh pengeluar kopi, tidak lena kerana bangganya… Dua kali pula!

Kami yang belum menyentuh cawan hanya tergelak memerhati BBP kemudiannya bersandar kepuasan di sofa…

Tunggu lagi!

Kami pun mencapai cawan masing-masing. Meneguk kopi yang hitam sepekat malam yang baru saja berlalu bagi memberi ruang kepada pagi yang baru…

Balik?

Huarghhh.....

Itu pun kena catatkah?

Zzzzzz..........