1 September 2014

Tiga Jam Di Sisi Marina



Dua tiga malam setelah Zairi balik ke Lembah Kelang, bersama sekotak stok lauk segar dari laut, selepas tercetusnya peristiwa laksam Pulau Gezambo, Cikgu Non, Nazri dan Malek serta Jasni bersidang di Restoran Awie. Mengelilingi meja yang sering kami gunakan – menghadap skrin besar di dinding arah timur.

Nazri yang bakal bertolak ke Madinah dan Makkah pada 27 Ogos, akan mengadakan bacaan doa selamat di kediaman lamanya di kuarters IKBN Dusun Tua, (H)ulu Langat pada hari Jumaat, 22 Ogos.

Maka untuk rakan taulan di P10 [Kuala Kedah], dicadangkanlah keraian santai di pantai pada malam Khamis, sebelum Nazri balik ke Selangor. Ada bakar-bakar… Ajak rakan taulan berdekatan…

Agaknya demikianlah isi sidang berkenaan. Oleh kerana saya tiada bersama mereka waktu itu, saya pakai gamak-gamak sahaja. Peratusan betul gamakan itu besarlah juga, gamaknya…
Tiba-tiba naik di WhatsApp nama saya. Sesiapa yang boleh hadir sila maklumkan kepada Cikgu Din. Tulis Nazri setelah memaklumkan adanya acara berkenaan pada tarikh tersebut. Gamaknya, itu pun termasuk dalam agenda sidang.

Sedang terpinga-pinga lagi, saya terus mendapat panggilan dari seorang sahabat. Terpaksalah saya mengaku akan kewujudan acara itu walaupun tidak tahu duduk perkara. Itu majlis Tan Sri, takkanlah ada kong kali kong pula…

Saya cuba hubungi Nazri tetapi hanya setiausahanya yang menjawab. Tan Sri sedang sibuk.

Saya beranikan diri menghubungi Cikgu Rahim Daud untuk memaklumkan acara berkenaan. Dia memang berminat dan meminta saya mengingatkannya semula pada hari acara.

Cikgu Rahim tidak dapat datang pada perjumpaan raya baru lalu kerana berada jauh dari P10 dan tidak sempat sampai ketika acara kemuncak kerana kesesakan jalan raya….

Saya hubungi seorang lagi yang cukup ingin berjumpa BF pada 4 Syawal lalu, tetapi ada lintangan aral – Cikgu Siti Khadijah Othman. Dia pun berminat dan bercadang untuk hadir walaupun sekejap, kerana anaknya perlu menghadiri kelas tuisyen.

Saya menghubungi Shabani Salleh. Dia sudah mengetahui tentang acara itu melalui WhatsApp dan berjanji untuk cuba datang.

Saya hubungi Abby Zek, tauke belacan Alor Ibus dari Tebengau. Dia yang baru kehilangan ibu mertua di sekitar Kola juga, sekadar menyebut Insyaallah akan cuba datang. [Malangnya saya terlupa untuk mengingatkannya semula pada petang hari berkenaan…]

Siapa lagi?

Kecuali Zairi, semua yang datang menyerang Pulau Gezambo pada 13 haribulan lalu tentu tidak bermasalah untuk tahu dan datang…

Bagaimanapun, bagi mendapatkan kepastian, saya hubungi Husin manakala Wira menghubungi Babuji. Husin akan muncul manakala Babuji sedang berkursus di Alor Setar…

Yang lain? Boleh kut… Helwi, dan Zulkifli serta samatuanya, Mariam sahaja. Malek dan Jasni, tentulah tidak payah ditanya kerana sudah termasuk sebagai ahli yang bersidang…

Mariam memberitahu Sharifah Maryani akan datang dari Kuala Sala tetapi tidak pasti dengan rakan sejenis yang lain, yang berada di sekitar Kola.

Maka, di dalam grup diceritakanlah tentang idea spontan itu. Dinyatakan menu dengan masing-masing mencadang dan menokok. Zairi ikut serta perbincangan walaupun tidak dapat hadir. Pasangan dari Mantin pun, terutamanya yang berperanan sebagai isteri itu. Tahap kejakiannya kerana tidak dapat hadir sudah mencapai taham maksimum. Disokong pula oleh seorang sekutunya yang hanya tinggal di Sungai Petani, yang juga tidak dapat hadir atas sebab-sebab keselamatan negara. Hingga satu peringkat meminta hujan menenggelamkan lokasi acara…Mujurlah, sesekali Farihah mencelah, mengharapkan majlis berjalan lancar.

Zairi meramalkan agak kurang meriah majlis kerana ketiadaan Babuji yang menjadi pokok perhatian semasa di Pulau Gezambo dahulu. Tetapi saya yakin akan ada kemeriahan dalam bentuk lain dari orang lain pula. Kini ada pula kelibat Cikgu Non dan Cikgu Khadijah serta Cikgu Rahim juga Sharifah Maryani dengan Shabani…

Saifol Adly, si Budak Taman Bersatu, pula, seperti minggu sebelumnya, tidak dapat bersama pada malam berkenaan kerana tuntutan tugas.

Saya yang mula menjangkakan sekitar 10 orang, akhirnya dengan penyertaan Cikgu Rahim dan Cikgu Khadijah [mungkin bersama pengiring masing-masing] menukar angka kepada 15 orang. Itupan sudah maksimum. Saya umumkan angka akhir itu di dalam grup.

Dan satu ketika Nazri menelefon. “Berapa orang yang dijangka, cikgu?”

Lima belas, kata saya. Maksimum. “Cikgu Non habaq dak lagi?”tanya saya.
“Dia tahu dah….”kata Nazri sambil tertawa. Pasti tertutup rapat matanya ketika tertawa begitu. Tidak pula dimaklumkannya bahawa acara itu sudah dibincangkan dengan Cikgu Non.

“Senang saya nak beli kambing….”kata Nazri ketika bertanyakan jumlah yang akan hadir itu.

Maka menjelang hari yang ditetapkan, selain riuh di dalam grup, ada beberapa hal berkaitan telah terjadi.

Entah di mana fikiran dan hatinya, Nazri menyangkakan majlis itu berlangsung pada Selasa malam Rabu, lalu siap membeli kambing. Sedangkan dia yang memaklumkan dari awal bahawa sidang memutuskan acara berlaku pada hari Rabu malam Khamis. Gelabah juga saya terutama telah memaklumkan hari kepada dua bekas guru yang memang tidak menyertai kumpulan WhatsApp. Saya ingatkan Nazri bahawa ketika dia menelefon saya itu, Malek serta Jasni sedang berniaga ikan di pasar malam Tandop… Ya ka?, tanyanya dalam mamai itu…

Helwi menelefon saya bertanyakan betul tidaknya acara itu dan bertanyakan sumber dana. Saya sahkan serta menyatakan penaja telah tersedia, walaupun sebetulnya saya tidak tahu siapa dan berapa.

Shabani keliru samada jadi atau tidak majlis kerana ada percanggahan di ruang WhatsApp, dek kerenah orang Mantin. Saya tegaskan supaya menghubungi pihak berautoriti seperti Cikgu Non atau Malek.

Tengah hari Rabu, Malek muatkan foto udang, sotong dan ikan yang bakal menjadi mangsa pada malamnya. Pelbagai reaksi muncul. Yang negatif pasti datangnya dari Mantin dan disokong oleh wakil SP…

Dalam chat grup itu juga, saya bercadang untuk membawakan sama ketupat, sempena masih musim raya, dan mengimpikan serunding Mariam sebagai pelengkapnya. Kemudian baru saya teringat, Mariam sedang ada kelas tahsin di Alor Setar. Mujurnya sebaik pulang dia sempat menjeling sembang grup lalu bertanya samada betul saya mahu membawa ketupat, sebab dia mahu mengacau serunding. Saya akui dan menjelang Maghrib serunding itu pun siap. Cekap dan cepat sungguh proses penyediaan serunding oleh Mariam… Patutlah samatuanya cool dan steady sepanjang waktu…

Malam.

Saya hubungi Cikgu Non untuk memberitahu saya perlu pergi dahulu untuk mengambil ketupat yang saya tempah, sana dengan yang saya bawakan pada dua perjumpaan raya yang lalu. Namun telefon jiran saya itu tidak berangkat. Mungkin ada urusan. Panggilan kali kedua pun begitu juga keadaannya. Mungkin dia akan lewat sedikit kerana menguruskan ibunya yang sedang uzur.

Saya ke tempat ketupat diproses. Saya klik dua foto – daun palas yang baru dibuka serta ketupat yang telah siap direbus. Asap masih berkelun….

Bagai dijangka serangan jaki pun semakin hebat dari Mantin. Apa sahaja yang dimuatnaik selepas itu dikondemnya dengan penuh iri. Hinggakan keupayaan kamera kami pun direndahkan tarafnya kerana menghasilkan foto yang kelabu di matanya yang juga sedang kelabu… Disokong oleh wakil SP, mereka berdualah yang mengulas setiap foto yang dimunculkan di grup sehingga majlis tamat…
Biarkanlah si Luncai terjun dengan labu-labunya…

Melepasi Teluk Bagan, saya cuba hubungi Nazri. Setiausaha juga yang menjawab. Namun selepas beberapa ketika, Nazri membuat panggilan balas bertanyakan lokasi saya. Dia meminta saya ke rumah keluarganya untuk mengambil daging kambing siap berperap kerana dia mungkin lambat sedikit ke acara.

Saya menghubungi Cikgu Rahim, mahu mengingatkan acara nanti. Sayangnya, sekali lagi, bekas guru Sejarah dan BM AlFalah itu terpaksa melangsaikan kerja di satu tempat yang jauh dari Kola… Tak apalah. Akan ada lain kalinya, Insyaallah.

Saya masuk ke kampungnya, memarkir motor di sisi sebuah kereta. Iparnya muncul lalu memanggil Nazri yang sedang mandi di bilik air di luar rumah. Nazri kemudiannya keluar, membawakan bungkusan daging kambing dan masuk dua kali lagi untuk mengambil dua jenis sos – sos lada hitam dan sos perapan. Dia akan lambat kerana ada tetamu – bapa saudaranya dari Kulim – yang datang menziarahinya.

Saya menggunakan jalan ban berturap cantik dari Kg Alor Ibus hingga ke Taman Bersatu dan Taman Marina sebelum sampai ke jalan utama menuju ke Kola. Melatam jalan itu pula sehingga sampai Jambatan Tok Pasai, membelok ke kiri, melintasi jambatan berhampiran jeti nelayan, dan seterusnya menghala ke Marina Harbour. Tidak sukar mencari khemah yang didirikan oleh Malek dan Jasni serta rakan-rakan di sebelah marina. Khemah biru dengan limpahan cahaya lampu dari sumber tenaga generator mudahalih. Bagaimana pun saya terkejut juga melihat deretan tiga kereta serta ramai anak-anak di dalam khemah sedang Malek dan Jasni berada di dalam gelap menyelia bara api. Saya tidak tahu Malek, Jasni dan seorang rakan mereka membawa anak isteri ke acara itu. Isteri masing-masing berada di dalam kereta kerana tidak ada lagi kelibat Mariam serta rakan segender…

Saya melihat Malek membelek WhatsApp di dalam kelam itu, lalu bertanya “Dok tang mana?” hehehe. Entah ada jawapannya atau tidak, tidaklah saya peduli kerana tidak pula saya melihat skrin telefon lagi kerana telah tahu grup sedang dikuasai oleh dua insan tadi…

Saya melangkah pagar jalan sambil membawa daging kambing, ketupat dan botol-botol sos. Anak-anak tadi turut membantu. Saya letakkan semuanya di atas meja kembar dua yang di atasnya telah ada sebekas minuman, seperiuk nasi, sebeg plastik buah dokong dan dua talam – satu berisi pasca -bakaran manakala satu lagi pra-bakaran. Ada bekas berisi sotong, ikan dan udang bersama tiga empat pemanggang biasa – bukan pemanggang yang kononnya ajaib itu..

Jauh sedikit, di luar khemah, di atas pasir pantai, ada dua bekas bara dipisahkan oleh kotak besar polisterin berisi ikan kembung. Acara pembakaran telah bermula awal lagi dan anak-anak telah mula meratahnya pada setiap kali pemanggang berisi hidupan laut yang siap masak di bawa ke talam pasca-bakaran. Meriah sekali. Dan saya menumpang semulut. Mengoyak isi ikan yang mengekluarkan asap dan aroma yang aduhai lalu memasukkan ke dalam mulut… Fuh…panas! Kali kedua saya benamkan isi ikan ke dalam sos .. fuh…fuh..fuh.. Panas dan lemak dan manis…

Daging kambing berperap tadi saya letakkan ke dalam talam. Masih melekat kepingan daging itu kerana baru dikeluarkan dari freezer di rumah keluarga Nazri. Lagi pula ia telah dua malam terperap lantaran kemamaian Nazri. “Saja aku bagi payah sikit, takut takdan kat aku….”kata Nazri ketika datang hampir sejam kemudian. Matanya terpejam dalam kelam ketika berkata begitu…

Kepayahan meleraikan seluruh isi kambing itu membuatkan Malek menghubungi Mariam yang baru mahu bertolak dari Pulau Gezambo, agar membawa sama pisau. Sambil itu, yang berjaya dileraikan, kami letakkan di dalam pemangggang, diletakkan ke atas bara api, diletakkan ke dalam talam pasca-bakaran, diletakkan ke dalam tapak tangan, diletakkan ke dalam mulut dan akhirnya tenang diparkir ke dalam usus…. Meraung kerongkong bersebelahan esofagus, kepanasan, semasa proses peristalsis.
Bakaran kambing juga dibawa kepada para isteri di dalam kereta, yang sabar menunggu, memerhati kelaku suami dan anak-anak masing-masing. Saya mencadangkan agar semua diajak turun bagi memenuhi ruang di bawah khemah. Tidak perasan pula siapa yang dulu turun. Mungkin setelah melihat kelibat Mariam a.k.a Yam yang datang bersama The Only Zulkifli a.k.a Zul

Kemudian, tidak secara tertib susunannya, muncullah Wira, Helwi, Shabani, Sharifah Maryani a.k.a Pah dan Cikgu Non. Pasangan Yam-Zul membawa anak-anak mereka. Demikian pula dengan Pah.

Bakaran berterusan. Masak sahaja, terus disambar tangan-tangan halus dan tangan-tangan kasar…

Riuh rendah ketupat di dalam bekas yang saya bawa apabila melihat Yam mengeluarkan pasangan mereka – serunding ikan. Pasangan itu pun disandingkan di atas dua kerusi agar dapat dilihat oleh semua tetamu… Jauh sedikit dari meja berkembar tadi. Peminat ketupat pun tidak melepaskan peluang. [Lebih 12 jam kemudian baru saya tahu bahawa Helwi tidak perasan akan kehadiran pasangan mempelai tersebut…dan tidaklah dapat meraikan mereka…]

Cikgu Khadijah menghubungi saya. Dia yang bersama guru sekolahnya yang membawa beberapa anak yatim sekolah menghadiri acara di pusat bandar, bertanyakan jalan ke Marina Harbour. Dia menyatakan keinginan untuk hadir sekejap tetapi rasa takut memikirkan waktu pulang nanti. Saya katakan: Kola aman dan terang benderang. Pulang nanti lalauilah jalan semasa datang. Insyaallah selamat….

Nasi yang mulanya terasa dipinggirkan, akhirnya dirasmikan oleh Cikgu Non. Saya yang mulanya mahu meratah sahaja ikut mengambil nasi dua tiga senduk. Beberapa yang lain mengikut.

Udang kami koyak, sotong kami koyak, ikan kami koyak. Asap kesan bakaran berkelun menerawang ke udara tempat yang bernama Pantai Leman itu. Bersaksikan marina yang hanya 200 meter dari tapak khemah, semua koyakan tadi kami benamkan ke dalam nasi, lalu dihantar ke mulut untuk proses lanjutan. Kuah? Mana ada! Sedikit calitan sos serta adunan bahan perapan masing-masing telah amat menyelerakan untuk kami langsung tidak bertanya “adakah kuah…” Cikgu Non mengaku menambah nasi tiga kali, saya pula dua kali. Yang lainnya tidak sempat saya ambil pengakuan masing-masing…

Satu hal yang saya perasan, kebanyakan yang mengambil bakaran daging kambing tidak pula memakannya bersama nasi. Lebih senang diratah begitu sahaja. Agaknya untuk lebih menikmati rasa serta menghayati tekstur daging tunggal bukan dari laut pada malam itu… Tidak tahulah ada atau tidak yang kempunan, kerana sehingga datangnya Nazri, bakaran daging kambing masih ada.

Sedang riuh dan bersaing untuk memenuhkan tembolok itulah Cikgu Khadijah sampai bersama anak bongsunya. Diparkir keretanya berdekatan deretan kereta lain di pinggir jalan berdekatan khemah. Sangkanya boleh melintas begitu sahaja. Tetapi ada hadangan. Pagar jalan setinggi tiga kaki lebih. Kami menyuruhnya meronot tetapi dia enggan. Pada zaman kemuncaknya dulu, rasanya untuk melompat halangan setinggi itu bukanlah masalah besar kepada cikgu dari Kg Alor Gandak itu. Akhirnya dia dan anak terpaksa mengambil jalan jauh, mencari kawasan tidak berpagar untuk sampai ke khemah.

Wira yang sebelumnya aktif makan dan berebut tiba-tiba menjadi aktif pula memegang hapenya. Tidak seperti selalu mengambil foto pegun, kali ini Wira menggunakan kemudahan kamera ‘hidup’. Rajin pula dia mengambil foto sekeliling, tetapi fokusnya bermula dan berakhir pada Cikgu Jah. Buktinya terpancar pada salah satu klip yang dinaikkannya ke dalam grup WhatsApp dan fb.

“Cikgu Jah…..” terdengar suara Wira, bapa yang masih dalam pantang itu.

“Sudahlah aih…”balas si cikgu yang difokus. Jurugambar tertawa sebelum menghalakan lensa ke arah lain…

Maka teruslah kami bermakan-makan…

“Kat Lan habaq dak?” tanya Helwi sebelum keriuhan menyambut Cikgu Jah itu.

“Lan mana?”tanya saya kembali.

“Lan…Ustaz Mazlan Mansor…” balas Helwi.

Saya menyatakan tidak. Tepatnya saya terlupa langsung ustaz yang tinggal berdekatan Masjid Tunku Tajuddin di mana Babuji menjadi imam itu.

Sedang gigi dan lidah saya selesa memisahkan biji buah dokong dari isinya yang manis, bahu saya dicengkam dari belakang. Sodap… Saya menoleh. Ustaz Mazlan segak berbaju biru tersenyum. Kiranya selepas bertanya tadi, Helwi terus menghubungi rakan sekelasnya semasa di AlFalah itu.

Makin meriahlah jadinya walaupun seperti Shabani, Mazlan juga bukan spesies suka berebut seperti saya dan geng seminat… Sekurang-kurangnya, mereka ikut meramai dan memeriahkan majlis dengan berbual bersama kawan rakan.

Nazri muncul selepas itu dengan terus memanggil binatang kesayangannya. “Kambing…mana kambing….” Setelah dijumpai, respons pertamanya adalah: “Mujoq kambing tu beku sikit… kalau tidak, takdan kat aku…” Insan yang diraikan itu pun menggunakan giginya menyiat daging kambing setelah mata terpejam selepas ucapan itu terbuka semula…

“… kata lima belas orang saja…” katanya separuh berbisik kepada saya sambil menunggu kunyahannya dibawa ke usus.

“Mana saya tau. Ingatkan macam makan laksa di Pulau Gezambo minggu lepas. Tak sangka budak-budak pun ada…”balas saya sambil melihat Nazri menyuap lagi bakaran daging kambing ke mulutnya.

“Kalau tau, saya beli banyak lagi…”katanya sambil mengunyah. “Tah tak cukup apa….” Sambungnya lagi, seolah-olah bimbang.

“Cukup aih. Ikan pun banyak. Hak Malek bawa dah ada. Yam pun bawa mai juga. Paling takdak pun kita makan temenung bakaq…”balas saya, cuba menenangkannya yang melingas mata berkeliling melihat tetamu yang lebih dari jangkaan.

Maka makan dan bersembanglah kami sepuasnya. Hanya saya dan Wira mengelik mengambil foto dengan sesekali disertai oleh Helwi. Kami naikkan ke dalam grup WhatsApp untuk kemudiannya diulas secara negatif oleh dua BF yang telah berpakat untuk menafikan hakikat… Lucunya, apabila terlihat foto Cikgu Jah, sekutu orang Mantin di SP seperti menjerit, “Cikgu Jah!” Mungkin dia tidak menyangka kemunculan bekas gurunya itu. Tetapi segera pula diingatkan oleh orang Mantin, bahawa mereka berdua sekarang berperanan sebagai antoganis – mesti nafikan semua, negatifkan semua….

Acara makan berterusan ketika ada di antara kami berbual-bual di tepi pantai itu. Hujan renyai menyejukkan suasana, dan menyuruh kami berkumpul seketika di bawah khemah. Helwi dan Cikgu Non berlindung sekejap di belakang kedai berhampiran Marina Harbour disertai seorang dua lagi yang tidak dapat saya cam kerana kelamnya kulit mereka dan suramnya cahaya serta kaburnya pandangan… Tetapi tidakjlah lama. Cukuplah untuk Cikgu Non menghabiskan sebatang rokok sekerit [cigarette].

Kemudian kami berbual semula di luar khemah sambil membiarkan yang mahu meneruskan mengisi tembolok berada di bawah khemah… bersama-sama kaum sejenis Yam yang membawa anak kecil dan besar. Lama sedikit barulah Nazri yang diraikan berada di atas kerusi di bawah khemah ditemani Wira dan Malek pada satu ketika manakala pada ketika lain bersama Cikgu Non yang ditemani Malek.          

Saya sendiri, selain bersama Nazri itu, sempat juga berbual serba sedikit dengan semua BF yang hadir itu. Orang lain tak taulah apa yang mereka bualkan tanpa kehadiran telinga saya. Kalau mereka ada blog, anda rujuklah di situ……

Saya sempat mengusik Shabani agar segera dapatkan samatua baru sedang tauke butik pengantin itu banyak bercerita tentang perjalanan bisnesnya. Sempat perkenalkan tauke itu kepada Cikgu Jah yang mulanya tidak teringatkan kelibat Shabani semasa di AlFalah. Tokoh Pemuda itu sentiasa tersenyum dan makan sedikit sahaja. Patutlah perut saya dan perut Nazri, terutamanya, asyik memandang ke arah perutnya… rata dan datar.

Sempat bertanyakan khabar samatua Pah yang tidak hadir kerana menguruskan perniagaan pakaian bundle di Kuala Sala, sepulangnya dari mengajar. Hebat Pah datang bersama anak-anak membelah kelam malam. Helwi bercerita tentang Pah yang merupakan sepupunya. Kata Helwi, arwah Borhanuddin Talib dahulu hairan melihat rapatnya hubungan dua  rakannya itu. Rupanya mereka bukan orang. Sepupu. “Dia tak tahu kami dok bermain sekali dari kecik-kecik dulu…” kata Helwi. Terlupa pula bertanyanya apa permainan semasa berada di negeri tercantik* itu. Main macak-macak** atau main tawin-tawin***…. Cuma sempat ditanya kenapa Helwi bukan bernama penuh Syed Helwi Shahril…sedangkan Pah berpangkal nama Sharifah berayahkan Syed. Saya lupa jawapannya, tetapi rasanya samada ayah @ emak Helwi dua beradik dengan emak Pah yang bukan berpangkal nama Sharifah…

 Tiba-tiba kami teringatkan arwah Borhanuddin [panggilannya Borhan] yang sentiasa bersongkok dan tersenyum manis itu. “Dah dua puluh tahun nooo…” kata saya. “Ya….dah dua puluh tahun….” Kata Helwi pula merujuk kematian Borhanuddin ketika mereka menunggu keputusan SPM dua dekad lalu…{Kerongkong saya senak. Tidak saya zahirkan kepada Helwi bahawa ketika itu saya sedang berfikir, andai ada hayat hingga kini, taraf manakah Borhanuddin yang cukup cemerlang dalam peperiksaan SPM itu….Saya masih ingat mengalir airmata melihat keputusan peperiksaan cemerlang itu selepas 4-5 bulan kematiannya….]

[Ada sekali dua kami teringatkan Husin Lateh dan Yusri Haron .a.k.a Babuji yang tidak hadir.

Husin letih kut bertukang, kata seorang rakannya. Tetapi dia memaklumkan dua hal bercanggah di dalam WhatsApp dan telefon. Pertama, dia ingat kut tak jadi…. Kedua, ditulisnya baru balik mengunjung…Entahlah yang mana betul atau kesemuanya betul…

Akan Babuji pula memang tidak dapat meninggalkan kursus yang dihadirinya, walaupun pada satu peringkat, kata Wira, sebaik dimaklumkan ada kambing bakar, dia menyatakan untuk cuba ‘loncat pagar sat’….

Saya tersenyum apabila Helwi mengulang kalimat Babuji mahu menyimbah Wira dengan kuah laksam Yam pada pertemuan di Pulau Gezambo dahulu. Rupanya, ramai yang masih segar mengingati ‘acara’ itu malam berkenaan. Saya telah siap catatkannya di dalam entri Penangan Laksam Pulau Gezambo, Cuma belum dinaikkan ketika itu di dalam blog. Masih di dalam fail. Esoknya barulah saya bercadang mahu naikkan. Sebabnya? Saya tidak mahu BF yang hadir di Pantai Leman membacanya lagi. Tidak mahu mereka membincangkan atau mengulasnya. Takut mereka tidak beraksi secara natural… Bukan sekali dua saya menjumpai BF yang enggan beraksi atau bercakap di hadapan saya di dalam sesuatu pertemuan. “Nanti cikgu tulis di dalam blog’” “Tu dok pikiaq nak tulih la tu….” Itu lazim saya dengar. Macamlah saya tidak ada langsung self-censorship dalam taman hati…. Contohnya, Nazri. Dia paling kerap terdiam ketika nampak saya tatkala sedang riuh memperkatakan sesuatu. Ini terutamanya berlaku pada awal kemunculan blog ini dahulu. “Tu nak tulih apa pulak tu….”katanya sambil mata dipejamkan. Setiap diam saya dikiranya sedang menyimpan maklumat. Pernah sekali di dalam kereta dia terlajak mengulas tentang satu isu. Segera dibreknya lidah. “Cikgu jangan tulih hak tu na….”katanya. Apalah yang dapat saya lakukan selain dari mengangguk dan tersengih….]

Sempat bertanyakan khabar Encik Mansor, ayah kepada Maizura, Mazlan, Mazni dan Mazliana yang uzur kerana terjatuh tidak lama dahulu dari Ustaz Mazlan sendiri. Selain tentang itu, saya sempat mendengar Ustaz Mazlan bercakap tentang kematian mudah, termasuk yang terbaru [sepupu Wira – yang ikut mendengar dan mengesahkannya] sehari sebelum itu. Intipatinya ialah bahawa mati itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan masa dengan lapik sebab yang biasa-biasa…   Saya bertanyakan Mazlan bila agaknya bakal mengerjakan haji seperti Nazri. Terlupa saya bahawa guru J-QAF itu pernah memberitahu dahulu bahawa dia telah menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun 2002, ketika masih menuntut di Mesir. Beruntungnya Haji Mazlan…

Sempat memperkenalkan Malek yang memang Cikgu Jah tidak kenali kerana mereka berselisih tahun semasa hadir di AlFalah. Tetapi atas nama AlFalah, mereka boleh berbual panjang juga malam itu. Malek bersedia jika Cikgu Jah perlukan udang, ketam sotong dan ikan kembung sekali pun dalam kuantiti banyak…   Semoga akan ada satu hari dapat kami menyerbu Alor Gandak untuk menikmati laksa Cikgu Jah pula…

Cikgu Jah meminta diri paling awal berbanding yang lain. Niatnya untuk datang ‘jenguk-jenguk sat’ sebelum pulang menyertai rakannya di ibu negeri tidak kesampaian. Dia berlama di Pantai Leman itu, malah sudah malas untuk ke tempat berkumpulnya anak-anak yatim dan miskin tadi. Dia mahu terus balik ke rumah.

Ada lagi ikan di dalam tong polisterin. Siap disiang oleh Malek & Geng. Yang di atas bara juga boleh tahan banyaknya. Kami tawarkan ikan di dalam tong kepada Cikgu Jah, manakala ikan yang siap berbakar kami faraidkan kemudiannya kepada beberapa orang, termasuk saya. Ketupat difaraidkan juga, termasuk kepada Cikgu Jah. “Untuk samatua…”kata saya ketika menghulurkan bungkusan ketika Cikgu Jah hampir ke keretanya. Dia tergelak sambil tidak lupa berterima kasih dua tiga kali.

Mulanya meronta-ronta juga ketupat-ketupet apabila mengetahui mereka akan dipisahkan - menuju ke Alor Gandak, Simpang Empat, Pulau Gezambo serta Taman Harapan [rumah Jasni]. Saya tahu bagaimana memujuk mereka. Mengekek gelak mereka apabila dijanjikan akan dibawa pergi bersama serunding. Yang akan dibawa ke Pulau Gezambo lagilah teruja. “Ada lebih lagi serunding di rumah…” kata Yam. Tidak kami tahu bahawa Helwi tidak pun terhidu kehadiran ketupat dan serunding pada malam itu…


Zul yang sibuk di bahagian dapur sejak waktu sampainya ke situ, hampir tidak sempat saya sapa. Ada sekali dia pulang menghantar anaknya yang mengantuk. Datang semula, masih sibuk di bahagian tadi. Mujurlah, sebelum balik, sempat berbual sedikit. Disertai Wira dan semestinya juga ada samatuanya, Yam. Seperti dulu, Zul cukup cool, mendengar dengan baik serta amat jarang menyampuk.  Wira bercerita betapa dia seperti raja di rumahnya. Semua permintaan hatta segelas teh tarik akan disediakan mertuanya. Dia hanya duduk di kerusi. Pernah sekali kedua-dua mertua melayannya mendapatkan teh.. Bukan di Batas Paip sahaja. Di Ketereh pun layanan serupa diterimanya. Saya bertanya adakah lagi adik iparnya yang masih solo. Ada dua tiga orang, kata Wira. “Nak buat apa?”tanyanya pula. “Kira bagi kat Zul sorang. Dia pun teringin ada mertua macam tu…”balas saya merujuk kata Yam sebelum itu:“bertuah punya menantu”, kepada Wira. Yam tertawa. Zul? Dia tetap cool. Senyum bagaikan dipatenkan ke wajahnya. Dalam pada itu, berkali- kali Yam mengajaknya berundur kerana anak telah lama ditinggalkan di rumah. Zul seperti serba-salah untuk meninggalkan kami yang masih ramai di tepi pantai. Atau segan untuk berlalu dengan khemah masih belum dipunggah dan peralatan lain belum dikemaskan. Saya faham keserbasalahan Zul yang masih ingin membantu. Dibiarkan ajakan Yam itu berlalu dibawa angin ke arah Restoran Anjung Kuala lalu dikirim ke Selat Melaka. Akhirnya, saya ambil tangan Zul untuk bersalam dan menyuruhnya balik! Barulah selesa sedikit untuk Zul kemudian bersalam dengan rakan-rakan lain, meminta diri. Yam tergelak besar.

Sedang kami berbual seterusnya, khemah dipunggah, peralatan dikemaskan oleh Malek & Co. Malek serta rakan-rakannya, termasuk Jasni, memang patut diberikan penghargaan tinggi. Tidak hanya pada malam itu, sebetulnya mereka telah mula beroperasi semenjak pagi: mendapatkan bekalan ikan, udang, sotong [termasuk menyiang dan memerap apa yang patut diperap], menentukan tapak khemah [termasuk mendapatkan kebenaran pihak Marina Harbour awalnya], mendirikan khemah, menyediakan peralatan memanggang dan membakar, menghidupan api, menyediakan bara, memasak nasi dan membancuh air, ikut membakar dan memanggang sehingga akhirnya memastikan tapak perkhemahan itu kembali seperti sebelumnya… Ketika yang lain terus balik ke rumah sambil menggosok perut dan tekak, Malek dan gengnya membawa balik peralatan tadi – terutamanya talam, tray dan bekas plastik untuk dibasuh. Fuh…. bukan calang-calang orang yang bersedia melakukan kerja itu. Tiada rungutan. “Seronok macam tu,” kata Jasni di dinihari itu ketika melepaskan lelah di Restoran Awie.

Ya, selepas semua pulang, Wira, Cikgu Non, Nazri dan saya singgah di restoran yang cukup intim dengan Malek itu. Jasni dan Malek hanya datang selepas tugasan membasuh tadi selesai. Ada kelelahan ketara pada wajah mereka tetapi berbalut kepuasan. “Tak reti dok saja. Kena sambil buat kerja…”sambung Jasni. Walaupun bukan BF, tetapi kemesraannya dan dua lagi teman, yang saya terlupa nama mereka, bagaikan budak dari sekolah agama rakyat itu juga. Seperti tiada sempadan. Berbual dan bersenda.

Saya mewakili semua BF malam itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka. Allahlah sahaja yang dapat membalas budi dan jasa mereka.

Kami hanya minum sambil berbual. Ada seperti post-mortem sedikit tentang acara tadinya. Akan ada penambahbaikan untuk lain kali. Insyaallah. Nazri masih tidak lupa tentang jangkaan tetamu yang saya sebutkan. Ada sedikit kesal, kalau-kalau tetamu tidak puas, tetapi kami yakinkan bahawa makanan sememangnya cukup.

Cikgu Non paling awal meminta diri dahulu. Sesuatu yang hampir jarang berlaku sebelum ini. Kami faham keletihannya yang baru sahaja selesai berurusan membawa pasukannya menjuarai acara pingpong Sukan Sekolah-Sekolah Agama Seluruh Malaysia.

Nazri pula menurutinya sebentar kemudian. Bintang utama malam itu akan bertolak ke H[u]lu Langat malam berikutnya. “Jumpa lagi minggu depan,”katanya. Namun sehingga dia bertolak ke Madinah, saya tidak menjumpainya lagi…  Semoga dia dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna, pulang dalam keadaan sihat walafiat.

Wira pun mahu berundur. Tetapi apabila Malek dan Jasni meminta minuman kedua, dia ikut meminta sama. Entah hingga pukul berapa pula mereka bersidang, kerana saya terlebih dahulu pamit – melatam lagi jalan beraspal lembab sambil mencongak-congak isi entri tentang tiga jam di pinggir Marina Harbour itu…

“Nanti kita bakaq unta pula….”

Saya teringat kata-kata Nazri di Pantai Leman tadi, setelah memakan bakar daging kambing…. Saya tersenyum mengingati bagaimana seorang sahabat meminta Nazri jangan berjanji lagu ‘tu….. Fokus untuk mengerjakan haji sahaja bersama samatuanya….

Ah, Nazri…

Saya terus membelah kabus….atau sebenarnya gerimis dinihari…..

* Negeri Tercantik – tajuk puisi Nahmar Jamil [rujuk di bawah]
** main masak-masak
*** main kahwin-kahwin        



Negeri Tercantik

Tahukah
negeri tercantik dan sayu
ialah negeri yang kita tinggalkan
semasa menjadi kanak-kanak dan dibesarkan alam

Sebuah negeri yang menyimpan pengalaman
negeri yang menyanyikan keharuan
negeri yang menyambut kepulangan
ketika kita tua, lelah dan kebosanan

Ia terbenam di celah-celah kenangan
ditelah masa, disisih kehidupan
ia adalah negeri tercantik dan sayu
apabila kita pulang dengan mimpi dan rindu.

1985

- NAHMAR JAMIL

1 comment:

pawangnujum said...

alangkah nikmatnya dan manisnya malam itu...namun dari kejauhan......