Tahun pertama [1983] tidaklah terasa sangat kerana ketika itu belum ada asrama. Pelajar yang sepatutnya tinggal di asrama, terpaksa tinggal di rumah arwah Paklong Awang [ayah Maklang/mertua Ustaz Azizan] dan rumah Hj Abdul Rahman Lebai Yahya [Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah]. Kholijah Awang (arwah), Rubiah Baharom dan Norhayati Che Rose tinggal di rumah Paklong Awang yang terletak bersebelahan pagar AlFalah arah utara - kini hanya tinggal bekas - manakala Ahmad Sofi Ahmad dan Junaidah Kassim tinggal di rumah Hj Abdul Rahman di Kampung Hj Jamal - kampung Cikgu Rahim Daud - yang terletak lebih satu kilometer dari sekolah. Saya tidak ingat bagaimana mereka berdua ini berulang-alik ke sekolah. Bertanyalah kepada mereka sendiri yang tentunya masih segar bersama kenangan ketika itu.
Bayangkan ketika kami berlatih berdrama - satu-satunya di sini- di bawah sinaran lampu gasolin! Bayangkan pelajar lelaki tingkatan tiga menghadapi SRP 1983 dengan tinggal di dalam bilik kelas di bawah cahaya lilin untuk mengulangkaji. Tidur di atas meja yang disusun rapat sambil menampar nyamuk yang berkenduri sakan dengan hidangan darah yang banyak....
Tahun 1984, memang telah ada asrama kerana kedatangan lebih ramai pelajar luar - terutama geng Gajah Mati iaitu Basri Zakaria, Rafida Md Saad, Mariam Awang, Norliza Abd Hamid dan Norhashimah Ismail - serta Rosli Hassan dari Sungai Tiang, Norliza Md Taib [Teluk Bagan] dan Hazliza Ahmad, adik Ahmad Sofi, dari Changlon. Selain itu, ada juga pelajar mengulang SRP/akademik yang ingin tinggal di asrama, seperti Mohd Shukeri Wahab dari Kola.............
Tahun permulaan era asrama itu juga bekalan elektrik masih tidak terjangkau. Gasolin, pelita karbaid dan lilinlah pemberi cahaya yang amat berjasa......
Saya tidak ingat bagaimana dan bila bekalan elektrik boleh ada di asrama dan AlFalah selepas itu. Maafkan memori saya yang tidak menyimpan dengan baik....
Namun tentang bekalan air, seingat saya hingga bertahun-bertahun selepas itu masih dengan masalah tersendiri. Penghuni asrama puteri beserta wardennya, arwah Cikgu Ramlah Johari, akan mandi dan membasuh pakaian di perigi yang terdapat di belakang rumah Paklong Awang, di kelilingi oleh hutan nipah. Pada musim kemarau, mereka terpaksa pergi ke tempat di mana terletaknya rumah keluarga saya. Di situ, terdapat paip yang meternya dicabut akibat tekanan air yang rendah. Di situlah tempat mereka mandi dan mencuci pakaian. Kerana keadaan yang terbuka, mereka akan ke situ pada menjelang senja atau awal pagi.
Bagi penghuni asrama putera pula, bab mandi tidaklah menjadi hal. Di tali air, terutamanya yang selepas jalan raya itulah yang paling popular. Kalau elok keadaannya, telaga yang berhampiran rumah Ustazah Rodziah di belakang asrama juga sudah bagus. Bagi yang sukakan adventure, sesekali mereka pergi berenang bersama-sama anak kampung di tali air di Kg Perlis yang lebih dalam airnya......
Pada satu peringkat, tekanan air paip di kampung kami amat rendah. Di rumah keluarga saya juga tiada air yang mencukupi untuk menyara keperluan keluarga, apalagi keluarga besar AlFalah. Maka rundingan diadakan oleh Ustaz Fairose dengan seorang warga kampung, iaitu Ramli Ahmad [arwah] yang kami panggil Wak. Beliau adalah ayah kepada Mohd Zaidi dan Mohd Nizam Ramli, pelajar AlFalah. Hanya setakat rumahnya ada air yang mengalir walau agak perlahan Pihak sekolah bersetuju untuk menjelaskan keseluruhan bil air setiap bulan. Maka, dari rumahnyalah kami menyambungkan paip getah hingga ke sekolah. Bayangkan berapa gulungan paip getah yang terpaksa digunakan melintasi kampung, parit dan sawah - dalam jarak 700-800 meter - agar air dapat digunakan oleh penghuni asrama. Mujurlah semasa itu, kegiatan vandalisme belum lagi menjengah ke kampung. Maka tiadalah kejadian memotong getah paip atau mencabutnya. Maklumlah melintasi kampung orang dan jalan orang dan sawah orang.....
Namun demikian, masalah tekanan air tetap berterusan hingga akhirnya bekalan dari rumah Wak juga tiada. Maka sekali lagi, penghuni asrama terpaksa melalui era lebih sukar. Masalah terbesar tentulah mendapatkan air untuk memasak dan minum. Bab mandi dan mencuci pakaian boleh lagilah menggunakan air telaga, yang semakin cetek dan agak berkarat....
Sebagai satu ikhtiar, dengan meminta sangat-sangat semua orang berhemat dan berjimat, saya membawa tong dan botol yang mampu muat ke Kg Pergam, Tebengau. Di situ, di tepi jalan raya utama, terdapat rumah Ahmad Sofi & Redzuan Ariffin, dua orang lagi pelajar AlFalah. Di rumah itulah, dengan izin ayahnya, saya memenuhkan bekas yang saya bawa, lalu membawa pulang ke asrama. Ketika itu, kawasan Tebengau naik hingga ke utaranya memang tiada masalah tentang tekanan air. Dibahagilah air tersebut antara dua asrama. Begitulah yang saya lakukan setiap lepas waktu sekolah dan cukuplah untuk kegunaan bagi tempoh 24 jam. Terima kasih kepada motorsikal kapcai ayah, KC 9443 nombor platnya, yang cukup bekerjasama dalam membawa beban itu setiap hari......
Lama melakukannya, walaupun motor tidak merungut, tetapi si penunggangnya tidak dapat bertahan. Sementelah penunggang itu juga yang akan ke Kedai Runcit Salleh, Kuala Kangkong, bagi membeli barang keperluan penghuni asrama yang senarainya diserahkan sebaik air dibawa dari rumah Pakcik Ariffin itu. Mujurlah ketika itu si penunggang berkenaan belum dikurniakan Allah walau seorang isteri.......
Bayangkan bentuk balang.... |
Satu malam, Allah memberi saya ilham. Ketika itu, padi sedang membesar. Air sawah pula jernih. Berdekatan rumah ayah saya, di jalan mini, ada laluan air yang memisahkan sawah dengan parit. Di situ sering orang menahan lukah dan bubu. Air sentiasa mengalir tenang dan banyak kerana kebetulan sawah itu agak dalam kerana asalnya dari sebuah alur.
[Ketika itu, tiada gondang emas atau lain-lain makhluk perosak padi. Kalau adapun penggunaan racun hanyalah ketika proses awal penyediaan tapak - ketika padi belum ditanam. Maka air yang mengalir atau menakung di dalam sawah adalah bersih dari pengaruh racun dan pencemaran. Ikan juga masih banyak bermain di dalamnya tanpa gangguan bahan kimia. Kalau air sawah masa kini.......entahlah.]
Saya membawa tong hitam itu ke tempat berkenaan. Mencedok ainya - sambil menyuluh agar tiada bunga padi yang luruh, sambil juga berdoa agar selamatlah sesiapa yang menggunakannya - sehingga penuh tong tersebut. Kemudian tong itu ditutup ketat dan direbahkankan lalu dengan bergilir kaki, melalui jalan mini, saya menolaknya hingga ke tepi pagar asrama. Di situ, secara perlahan, saya menyelak kawat pagar dan menolak tong tersebut hingga ke hadapan pintu asrama putera.
Contoh tong air |
Balik dari kelas malam itu, kedengaran riuh apabila mereka mendapati bekas yang ada penuh dengan air jernih. Masing-masing berebut mencapai gelas dan bekas air lalu mencedok dengan rasa syukur. Ketika mereka meneguknya, saya menahan senak di mata. Kalaulah mereka tahu...... Saya menanti juga jika terdapat rungutan rasa atau bau. Tiada. Paginya saya cuba mendapatkan pelajar asrama puteri, jika ada rungutan. Tiada. Kalaulah mereka tahu....
Malam berikutnya, perkara yang sama saya lakukan. Tiada rungutan juga.
Maka saya teruskanlah.
Tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa akan hal ini. Inilah kali pertama saya membongkarnya!
Kepada semua penghuni asrama era itu - tepatnya yang pernah meminum dan menggunakan air dari tong hitam tersebut, kini, dengan rendah hati saya memohon ampun. Itulah yang mampu saya ikhtiarkan. Maafkan saya kerana 'menipu' demikian. Apalah daya saya ketika itu.... [Ketika meniti Ramadan ini dan terbaca kes air minum, saya benar-benar teringatkan anda! Semoga semuanya sentiasa di bawah rahmat-Nya. Begitu pula arwah-arwah insan yang sudi membantu kita ketika itu. Amin.]
Ilham yang saya dapat itu saya manfaatkan sehinggalah tibanya musim padi masak dan sawah mula mengering. Selepas itu, terpaksalah semula mencari sumber air bersih lagi........
Saya tidak ingat bila pula masalah air ini selesai secara menyeluruh di AlFalah. Pernah ustaz membeli pam elektrik agar dapat menarik air lebih banyak, tetapi ia tidak memadai kerana tekanan memang rendah. Tambahan lagi yang bersedia untuk menggunakannya agak ramai.....
Ketika dibuat sebuah kolah besar berdekatan surau pun masalah air masih ada. Maka dihubungilah pihak JKA untuk membekalkan air ke kolah itu. Penyelesaian sementara itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penghuni asrama. Teringat ramai-ramai menjirus mandi atau membasuh sambil melagukan nasyid Asma ul husna yang terkenal itu....
Untuk asrama puteri, air turut diagihkan ke dalam kolah kecil di hujung blok dapur mereka. Walaupun tidak mencukupi pada penggunaan sepatutnya, mereka pandai berhemat.
Tidak lama kemudian dipasanglah paip air standard sekolah sebesar peha itu........dan air mula mengalir dengan kadar yang banyak...
Sayangnya, ketika itu, lapisan peneroka penghuni asrama, kebanykannya telah meninggalkan AlFalah. Lalu generasi selepas mereka tidaklah mengetahui akan derita krisis air tersebut. Mandi dan mencucilah mereka sepuasnya tanpa rasa tergugat ......
Sesekali saya membayangkan, demikianlah ceritera nasib pejuang kemerdekaan dan peneroka negara merdeka dengan anak-anak yang lahir selepas merdeka. Terlalu berbeza.......
1 comment:
Sedihhh
Post a Comment