12 August 2012

Latiff, Maafkan Saya...



Ketika  saya selesai berurusan di Kedai Gunting Rambut Bob, betul-betul di Tebengau, saya terserempak dengan Abdul Latif Rahim. Saya menegurnya, bertanya khabar. Nampak gayanya dia baru datang dari masjid. Dia menjawab mesra namun di hujungnya dia bertanya, “Siapa ‘ni?”

Saya terkejut. “Takkan lupa kot?”

“Sungguh,”katanya,”lupa sungguh. Siapa ‘ni?”

“Kawan lama…” kata saya seraya memberi salam. Saya meninggalkan Latif yang terpinga-pinga di bawah pokok pukul lima di depan kedai gunting bersebelahan tali air itu.

Sebetulnya saya agak terkilan. Latif yang berserban putih bersih itu tidak mengenali saya?

Latif  dulu dia pernah belajar di AlFalah. Perkara pertama yang saya ingat tentangnya ialah dia yang rajin menjala ikan ketika waktu senggang antara jadual peperiksaan SRP 1983 di tali air depan sekolah itu. Kemudian dia menyiangnya lalu menggoreng atau menggulai di dalam kelas yang kami jadikan tempat tinggal sementara pelajar lelaki yangmenduduki peperiksaan. Kadangkala rakan-rakan yang habiskan sebelum dia sempat menjamah… Dan dia hanya tersenyum.

Latif  agak pendiam dan warak.

Saya teringat ketika kami pergi merobohkan bangunan sekolah Fajar Islam di Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam dulu. Setelah seluruh kayu dan bahan yang masih boleh digunakan siap tersusun, kami boleh berehat sekurang-kurangnya sehari sementara menunggu datangnya lori dari Kedah untuk mengangkut semua itu ke AlFalah.

Daripada membising sahaja di rumah Ustaz Azizan di situ, saya mencadangkan kami ke bahagian pulau, alang-alang sudah berada di bumi Tanjung, tepatnya sekitar Penang Road. [Barang diingat, waktu itu Jambatan Pulau Pinang masih di peringkat tanam cerucuk...] 

Selepas berjalan-jalan sekejap, pada pukul sebelas, kami singgah di satu pawagam mini. Ada di antara rakannya mencadangkan kami menonton di situ sementara menunggu waktu Zohor. Semuanya akur.

Masron Tamsi a.k.a Herman Tino
Menurut iklannya, hari itu adalah dijadualkan tayangan sebuah filem Indonesia. Hentam sajalah. Maka pada peringkat awal, dimainkan rakaman tv malam sebelumnya - sedutan persembahan penyanyi yang baru mengeluarkan album solo sulung, Herman Tino nama pentasnya, dengan lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir. Kemudian ditayangkanlah trailer filem-filem yang bakal muncul di situ dalam masa terdekat. Salah satu trailer itu adalah petikan dari sebuah filem dikategorikan sebagai berpalang x! Ketika yang lain [termasuk sang pencatat yang berumur 22 tahun 4 bulan....] teruja, Latif beristighfar. Agaknya semasa filem Indonesia berputar, fikirannya tidak tertumpu langsung.

Malam itu, di sebalik hilai riuh kawan-kawan, saya melihat lama Latif bersujud dalam solat sunat setelah solat Isyak. Selesai solat, saya menghampirinya, bertanya kenapa tentang sujud yang panjang itu. “Saya buat solat taubat”, katanya, “Mata saya berdosa siang tadi….” Saya menelan liur yang tiba-tiba berketul di halkum......

Sejak itu, saya cukup-cukup menghormatinya….
Kalau dia terlibat dalam majlis muhadhoroh, selalunya bahagian syarahan atau ceramah agama yang menjadi pilihan. Perlahan suaranya namun susun atur bahasanya menarik perhatian audien. Jika ada isi yang menyentuh, deras dia  mengalirkan air mata, mengundang sebak sebahagian pelajar lain.

Kami, guru-guru lelaki, cukup rapat dengannya. Kerap juga kami ke rumahnya yang dikelilingi pokok nipah di Kg Tebengau pada waktu malam. Berbekalkan sebungkus dua kacang goreng, kami meneguk bergelas-gelas nira, yang diusahakan ayahnya, Pakcik Rahim.

Dua lagi adiknya turut belajar di AlFalah –  Jamilah dan Abdul Rahman. Jamilah sempat menghabiskan enam tahun di AlFalah [sama lapis dengan Basri Zakaria, Rosli Hassan, Mohd Hizamy Azizan, Mohd Isa Saidin, Siti Norliza Abd Hamid, Siti Mariam Awang, Hazliza Ahmad dan lainnya – bermula kelas Peralihan pada tahun 1984 hingga SPM 1989], manakala Abdul Rahman tersekat setakat SRP, kalau tidak silap.

Demikianlah.

Maka, tentulah saya terkilan dan terkejut apabila dia tidak mengenali saya. Lama masa dia tidak berjumpa saya adalah sama dengan lama masa saya tidak berjumpa dengannya! Lalu, patutkah dia lupa sedangkan saya cukup mengingati wajahnya serta beberapa hal tentangnya?

Rupa-rupanya saya tersilap!

Memang bukan semua orang sama memorinya. Faktor masa biasanya menjadikan manusia boleh melupakan sesuatu atau sesiapa. Mungkin kerana hampir separuh umur saya di AlFalah dan kini masih berhubung dengan AlFalah, tidak banyak hakisan berlaku dalam memori saya tentangnya. Benarlah, serasa baru semalam mereka berada di depan saya. Sementelah mereka adalah antara peneroka semasa saya di situ.  Saya seakan boleh menggambarkan wajah dan nama sebahagian mereka dengan baik:
  • Abdul Latif Rahim
  •   Abdullah Hashim
  •   Ismail Hamid
  •   Mohd Fazil Bakar
  •   Mohd Fazli Hj Mahmud
  •   Mohd Kamal Bakar
  •   Saidin Saad
  •   Zakaria Nayan
  •   Zulkifli Basari
  •   Hafiza Saad
  •   Mariam Hj Hashim
  •   Roshadah Saidin
  •   Sharifah Ishak [arwah]
  •   Solehah Hj Abd Hamid
  •   Suharnie Hj Saad
  •   Zaini Haron
  • .......................
Bersama seorang sepupu arwah isteri, saya pernah ke rumah Solehah Hj Abd Hamid, di Kg Sala Kecil, kerana kebetulan suaminya bersepupu pula dengan sepupu tadi.  Lama Solehah merenung saya setiap kali dia muncul membawa minuman dan lainnya. Mungkin ingat-ingat lupa. Sebagai tetamu yang tidak diundang pada hari itu, saya hanya diam, manakala dua sepupu tadi rancak berbual. Ketika hampir keluar dari rumahnya barulah dia berani bertanya,”’Ni bukan pernah mengajar di AlFalah, ka?” Saya mengiyakan tapi terkesan dia tidak pun menyebut nama saya. Lupalah ‘tu………

Baru-baru ini saya berjumpa dengan seorang Budak Falah 1987, Ismail Yaakob. Dia tidak mengenali saya benar-benar, tetapi kehairanan ketika saya tanyakan khabar beberapa rakan terdekatnya semasa di AlFalah. Dia cuma beristighfar panjang setelah saya perkenalkan nama....

Mengingatkan demikianlah, saya kesal kerana bersangka buruk terhadap Latif Rahim, yang berserban putih bersih itu. Malah membiarkannya pula teraba-raba mencari siapa saya dengan meninggalkannya begitu. Bukan dia sengaja tetapi memang benar-benar terlupa. Lebih dua dekad kami tidak bersua kerana khabarnya selepas di AlFalah, dia keluar kawasan untuk menimba ilmu dan khabarnya lagi turut mendalami hafazan alQuran.

Jika berjumpa lagi, saya akan meminta maaf. Kalau dia tidak mengenali saya juga, tidak akan lagi saya terasa hati. Akan saya perkenalkan diri sebaik mungkin.

Manusia tidak terlepas dari lupa dan alpa. Apalagi dalam masa yang begitu lama. Sedangkan yang baru setahun berkahwin pun boleh terlupa status dirinya tatkala berfb dengan kenalan dari Nigeria…….

No comments: