27 August 2012

Selepas Hari Itu...

[i]

25 Ogos 2012.

Ada dua majlis kenduri kahwin yang saya hadiri.

Pertama, di Tokai. Rumah Kak Aishah Lazim. Jiran di Kampung Permatang Ibus ketika zaman daranya. Beliau merupakan bekas penuntut AlFalah era 70-an sebelum penutupan sementara, sebelum dibuka semula pada awal 80-an. Sepupu kepada Zaiton Natakhin Saad [pelajar generasi Mariam Ismail, Hamzah Yahya dan lain-lain] serta Abdul Mutalib Saad, abangnya, yang turut menjadi pelajar Peralihan 1983, kini menetap di Pahang. Mereka semua mempunyai seorang lagi sepupu yang belajar di AlFalah iaitu Salmiah Hassan, mungkin Peralihan 1986/87, dan kini masih menetap di Permatang Ibus beriparkan dua lagi pelajar Alfalah - salah seorangnya adalah Zulkifli Azizan, generasi Suhaimi Md Shah [geng Kola].

Sempatlah berbual seketika dengan Abdul Mutalib. Zaiton Natakhin dan Salmiah tidak pula sempat dijengah, maklumlah kami terpisah oleh kanopi berasingan....... Dengan Kak Aishah sendiri hanya nampak dari jauh, di pintu masuk rumahnya, sedang menunggu tetamu perempuan.

Kedua, di belakang SRIDA, Alor Setar. Rumah Cikgu Sakinah Abd Khohar, dulunya guru di SMA Ihya' Ul Ulum Diniah, Simpang Empat - dikenali di kalangan budak AlFalah sebagai Pondok Haji Talib. Beliau kini mengajar di SK Kebun Pinang, selepas diserapkan dari Sekolah Agama Rakyat [SAR] pada awal milennium baru, sama seperti Cikgu Siti Khadijah Osman dan Cikgu Maliki Zakaria [kedua-duanya dari AlFalah].

Ketika berjalan masuk melalui pagar SRIDA, saya bertembung dengan Ustaz Md Daud Daei. Kami beriring ke khemah jamuan dan duduk semeja ketika mengunyah nasi yang ditemani lauk ayam, daging dan daging. Nama masakan saya tidak pula sempat menyemak kepada pihak penyaji. Lama juga kami berbual. Berkisar tentang kedudukan semasa Alfalah. Ustaz Daud nampak bersemangat ketika mencadangkan dibuka semula AlFalah selepas selesai semua kemelut nanti. "Mulakan dengan kecil dulu," katanya."Sayang! Tempat 'tu elok 'dah!"

Kemudian kami sentuh pula tentang majlis hari raya di SK Taman Bersatu itu. Nampak riak kesal pada nada suaranya kerana tidak dapat ikut serta. Puncanya, dia terpaksa menghadiri beberapa kenduri yang diadakan oleh keluarga terdekat, yang tidak dapat ditolak atau dielak. Berdecit-decit dia mendengar cerita saya tentang kemeriahan majlis pada petang Khamis itu. Dia berjanji akan hadir, jika tiada aral, pada masa hadapan.

Perjalanan hidup yang rencam agaknya menghakis sedikit ingatannya terhadap petugas AlFalah. Selain Cikgu Non dan Cikgu Rahim, dia tidak mengingati langsung guru-guru lain yang saya sebut. "Kalau tengok muka, mungkin ana kenai...." katanya sambil meminta nombor telefon dua guru yang masih tersimpan di dalam memorinya itu.

[ii]

Petang dan malam itu, saya menerima banyak mesej. Sebahagiannya dari yang hadir dan mengangkat ibu jari atas perjalanan majlis. Mereka mengaku tidak pernah terfikir akan mampu mengelolakan begitu. Saya membalas dengan memberikan kredit kepada semua yang menjadi pengelola tetapi kerana saya tiada mempunyai rekod, terpaksalah saya hanya menyebut beberapa nama dengan tambahan 'dan gengnya' sahaja. Misalnya, Mariam /Zul dan gengnya. Maaflah kepada yang tidak secara khusus saya menyebut nama. Anda tetap wira di hati kami walaupun tidak sempat didendang!

Sebahagian lagi, yang tidak dapat hadir, selain dari menyatakan kekesalan dengan kekangan masing-masing, mencadangkan agar majlis lain kali akan diawalkan sehari dua - supaya masih sempat menyertai sekalipun dalam perjalanan pulang ke tempat masing-masing setelah hanya mendapat cuti yang minima....

Antara yang terawal menghantar mesej adalah Ishak Othman, bertanyakan kedatangan rakannya dari batch 1987. Saya tidak mampu menjawabnya kerana tidak sempat mengingati rekod tentang itu. Sekadar saya sebutkan nama beberapa yang hadir yang mungkin dikenalinya.

Suhaimi Md Shah pula walaupun sempat hadir sebelum bertolak ke Selangor pada petang itu juga, meluahkan rasa terharu kerana masih diingati dan dijemput  membuat ucapan selaku wakil pelajar. Dia berjanji akan sedaya mungkin mencarai rakan segenerasi bagi majlis tahun hadapan. Banyak yang saya bualkan dengannya termasuk kisah lara hati.....yang lebih hebat dari kisah-kisah yang saya pernah tahu tentang budak Falah. Nantilah, kalau diizinkannya dan diizinkan-Nya dan diizinkan sidianya, akan saya catat. Tangkap basah ....errr .... leleh punya tahapnya.

Menghadap fb malamnya, saya melayan hampir sedozen rakan Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah yang bertanya dan mengulas itu ini tentang majlis itu. Sesekali saya jengah ulasan dan catatan rakan setia alumni mengenai foto-foto yang dimuatkan.

Dalam khusyuk melayan itu, jam di skrin sudah menunjukkan pukul 1:45.

Menantu emak di bilik tidur menghantar mesej: Sembahyang Isyak 'dak lagi 'tu. Pakai ' nak tidur dengan bini 'tu ka?

Ada ka....?

Melawaklah tu.....

Saya perlahan-lahan terpaksa offkan bini yang dimaksudkannya. Meminta izin untuk beredar. Agaknya terkejut 4-5 orang rakan chat sebab saya hilang secara tiba-tiba tanpa pamitan. Paginya saya buka peti mesej, banyak lagi rupanya yang perlu saya jawab.

Maka terciptalah satu alasan kenapa tiada catatan saya untuk hari Ahad.......

No comments: