Bagaimanakan ku mula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku
Aduhai,bagaimanakah insan daif ini dapat melengkapkan catatan yang
tertangguh sejak blog ini wujud…….
Terlalu banyak yang ingin dimuatkan tetapi dalam bentuk yang bagaimanakah
mesti saya persembahkan?
Wae Samae Wae Mat.
Demikian figura yang muncul di AlFalah pada tahun 1985, tepatnya 40 hari
selepas kematian Tuan Guru Haji Azizan bin Haji
Mustaffa, mudir Madrasah AlFalah,
Darat Kangkong [nama dan alamat asal sekolah agama rakyat itu – yang
diasaskan bersama adindanya, Almarhum Tuan Guru
Haji Ahmad Fauzi pada tahun 1955].
Wae Samae Wae Mat.
Demikian nama yang pertama kali saya lihat tertulis pada terjemahan passportnya, ketika dia masuk ke pejabat
sekolah pada hari pertama kemunculannya itu. Beliau memakai celana panjang
berwarna hitam dan berbaju biru muda dengan petak-petak besar berwarna biru
nila. Bersamanya adalah Tuan Haji Hussain
dari Batu 16, Padang Lumat, yang merupakan bapa saudara kepada Hajjah Asiah Haji Ibrahim [Maklong], isteri Ustaz Azizan.
Wae Samae Wae Mat.
Beliau merupakan saudara jauh kepada Haji Hussain, berasal dari wilayah
Pattani, Selatan Thailand. Pernah lama berguru di dua negara di Timur Tengah,
beliau diharapkan dapat mengisi kekosongan sebagai tuan guru di AlFalah
berikutan kematian Ustaz Azizan. Sejarah kemudian tertulis bahawa harapan tinggi itu berjaya
dipenuhinya, dengan cara tersendiri…….
Wae Samae Wan Mat.
Nama itu mungkin asing kepada pelajar AlFalah. Bagaimana dengan Osman Ahmad? Juga masih ada yang tidak begitu
mengenalinya. Kalau Ustaz Man? Kalau
pun bukan 100%, terlalu kecil amat peratusan pelajar AlFalah [dari tahun 1983 –
tahun pembukaan semula] yang tidak mengenalinya. Antara yang termasuk di dalam
kumpulan yang amat kecil ini adalah pelajar Tingkatan Tiga Akademik pada tahun
1983 dan 1984 yang terkandas di dalam peperiksaan Sijil
Rendah Pelajaran [SRP] serta pelajar Peralihan dan Tingkatan Satu
yang mungkin bertukar ke sekolah lain atau terus berhenti sekolah pada dua
tahun tersebut…
Ustaz Man.
Begitu sinonimnya beliau dengan AlFalah. Beliau mula bertugas dari tahun
1985 sehinggalah pada hari terakhir hayat AlFalah pada tahun 2002. Beliau menyaksikan
bangun jatuh, suka duka, ria lara dalam kehidupan sebuah sekolah rakyat……
Di mana dan bagaimanakah Ustaz Man kini?
Setahun setelah AlFalah ditutup, atas usaha masyarakat Kampung Perlis,
terutama dengan restu Paklang Mat [Ahmad Hj Md Alim],
yang memberikan tapak, sebuah rumah kecil didirikan untuk Ustaz Man. Letaknya
hanya terpisah sejarak luas jalan tar mini dengan surau kampung itu. Saiz rumah
yang mempunyai sebuah bilik itu tidaklah besar. Mirip pondok di sekitar kawasan
pengajian agama secara tradisional.
Ustaz Man tinggal berseorangan di situ. Isterinya, Kak
Jah, menetap di wilayah asal mereka - Pattani - bersama anak ketiga
pasangan tersebut – Saniah. Bushra, anak sulung telah berkahwin dan mengajar di
sekolah berhampiran Masjid Kersik yang
bersejarah itu, makala anak kedua, Nur, sedang
melanjutkan pengajian di Bangkok.
Banyak yang ingin saya tulis tentang ustaz bermisai lebat ini. Tetapi masih
belum siap sepenuhnya tinjauan rambang saya tentang rutin hariannya sepanjang
minggu. Masih mencari sudut pandangan yang sesuai bagi menggambarkan dai’ yang
istimewa dan dekat dengan hati bekas warga AlFalah ini.
Tunggulah. Ini sekadar muqaddimah mencungkil semula ingatan tentangnya. Akan
ada entri yang lebih khusus dan rinci. Insya Allah.
Bagi yang pernah mendengan laungan azan Ustaz Man, sesuatu yang anda perlu
tahu adalah: suara dan lenggok alunannya masih seperti dahulu….. Tidakkah ada
sekelumit rindu?
No comments:
Post a Comment