8 April 2014

Sekitar Satu Kitar...



Mula-mula mengajar di AlFalah, saya hanya mengajar subjek Sains. Cikgu Rahim mengajar BM dan subjek kegemarannya, Sejarah. Cikgu Ramlah mengajar Matematik dan – kalau tidak silap – Geografi. Ustaz Fairose – selain mengajar bahagian jawi dan Arab – mengajar BI.  Itulah pun pelajaran akademik yang ada. Tentang pelajaran agama dan bahasa Arab, adalah khusus buat Ustaz Azizan, Ustazah Rodziah, Ustaz Zubaidi serta Ustaz Fairose sendiri. Lagi pula, hanya ada dua kelas Peralihan serta dua kelas Tingkatan Tiga [Akademik], yakni pelajar yang mengulang mengambil Sijil Rendah Pelajaran , yang mereka kandas di sekolah menengah biasa.

{Maaflah dengan pengulangan info tentang tingkatan tiga ini. Ramai yang masih keliru kenapa sekolah agama ada kelas tingkatan tiga akademik. Barang diingat, dahulu dasar pelajaran lain sedikit: tidak lulus tingkatan tiga [SRP] tidak naik tingkatan empatlah jawabnya. Bukan macam sekarang, tidak tahu membaca pun, boleh naik sehingga tingkatan lima [SPM}, kalau mahu! Maka terpaksalah yang gagal SRP pada era itu mengambil ulang peperiksaan tersebut, samada di sekolah swasta atau kalau bernasib baik – sedikit sangat peratusnya – mengulang setahun lagi di sekolah menengah yang sama. Yang datang ke AlFalah itu pula mungkin untuk bertukar angin berikutan penjenamaan semula sekolah agama rakyat itu, dengan yuran tahunan yang murah berbanding sekolah swasta di Alor Setar dengan yuran bulanan yang boleh tahan juga harganya, ditambah kos tambang bas lagi.. Lagi pun kebanyakan pelajar terdiri daripada anak warga sekitar – mukim Tebengau dan Kangkong}.

Tahun pertama [1983] itu, terlalu banyak kenangan manis. Terlalu banyak masa senggang. Tidak banyak cabaran di segi pengajaran, tetapi cukup tercabar untuk menjadikan AlFalah ‘hidup’. Banyak yang telah saya catatkan tentangnya dan banyak lagi yang bakal diungkit…

Tahun kedua [1984], barulah cabaran di bilik kelas bermula. Ada kelas Peralihan baru, manakala anak Peralihan tahun sebelumnya kini naik ke Tingkatan Satu. Selain ada Tingkatan Tiga baru, ada pula Tingkatan Empat, hasil keputusan peperiksaan SRP yang agak memberangsangkan. Semuanya adalah 6-7 kelas.

Selain subjek Sains dalam semua kelas itu, saya diminta mengajar pelajaran Kesusasteraan Melayu. Tercabar memanglah kerana saya yang asalnya dari aliran sains, tidak pernah belajar subjek itu pada peringkat SPM. Cuma pada dua tahun di tingkatan enam, sempatlah belajar sedikit subjek berkenaan. Alhamdulillah, cabaran berjaya diatasi. Sehingga hampir dua dasawarsa di AlFalah, subjek itu seperti  subjek Sains juga, melekat kepada saya, selain tambahan  subjek BM, terutama peringkat tingkatan Empat dan Lima, setelah ketiadaan Cikgu Rahim yang meninggalkan dunia perFalahan. [Semasa ketiadaan Cikgu Rahim, sebelum ada pengganti tetap, saya dan Cikgu Non yang juga dari aliran sains pernah mengajar subjek Sejarah – satu lagi subjek yang tidak kami pelajari di peringkat SPM. Cikgu Non malah pernah mengajar Pengetahuan Agama Islam untuk calon SPM! Sekadar untuk menyatakan, bukan sesuatu yang pelik guru sekolah agama rakyat ketika itu kena mengajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima dalam dua tiga subjek… Banyaknya yang perlu dirujuk sebagai persediaan masuk ke kelas…]

Saya terkenang salah satu daripada tahun –tahun terawal di AlFalah. Hanya terkenang. Tiada agenda lain…

Bangunan melintang menghadap matahari jatuh dan naik, MPB multi purpose block [building] – dibahagikan kepada tiga kelas. Yang berhampiran pagar dan jalan, menjadi kelas Tingkatan Empat. Dua kelas selebihnya adalah untuk tingkatan yang sama, A dan B. Kalau tidak silap tingkatan satu 1985 atau 1986. Kalau tidak silaplah…

Oleh kerana setiap kelas hanya dipisahkan oleh pemidang mudahalih – bagi tujuan menukarkan kepada dewan muhadhoroh atau dewan peperiksaan – suara pelajar yang agak kuat di satu kelas hujung boleh didengar oleh pelajar pada kelas yang satu hujung lagi. Malah, bukan setakat suara. Kata seorang bekas pelajar era tersebut, ketika bertemu baru-baru ini, kalau kena waktu baiknya, kentutan pelajar kelas hujung boleh didengari oleh pelajar kelas hujung satu lagi itu!
 
Suara guru pula? Seperti itulah juga, kalau kena guru yang versi suaranya ketika mengajar seperti saya, atau seperti Cikgu Rahim, atau lebih-lebih lagi,Cikgu Non [yang muncul di AlFalah pada tahun 1987]. Jelah! Sebiji-sebiji dapat didengar, kata bekas pelajar tadi.

Oleh kerana ada kelas Peralihan, sukatan pelajaran untuk Tingkatan Satu dapat dibahagi kepada dua tahun! Panjanglah yang boleh dihurai. Hanya 6-7 bab setahun, kalau berdasarkan subjek Sains.

Kalau saya mengajar di kelas A, tentulah  selang sehisah dua, akan berkumandang suara saya dalam tajuk yang sama di kelas B pula. Begitu juga sebaliknya. Kalau saya bercerita di satu kelas, pelajar kelas sebelahnya sudah dapat mendengar. Kerap juga sengaja saya tidak mengulang cerita yang sama pada kelas sebelah kerana yakin mereka telah pun mendengarnya …. Kena cerita menarik, kerap juga kelas yang kemudian itu meminta saya bercerita juga. Terpaksal;ah diulang dengan sedikit pengubahsuaian…

Itu kalau cerita menariklah. Dengan mood gurunya yang baik pula. Tetapi kalau kelas pertama kena leter, seingat saya,  tidak pernah kelas yang kedua pula meminta saya meleteri mereka sama….

Satu hari, pada tahun yang saya terkenang itu, saya mengajar Sains di bawah tajuk KITAR HAID. Menunduk kebanyakan pelajar perempuan malah beberapa pelajar lelaki apabila dengan bersemangat dan lantangnya saya menghuraikan perjalanan atau pusingan haid. Kelas sebelahnya terdiam! Saya pula lagilah teruja. Apalagi, pernah sekali saya mendengar seorang rakan setugas mengajar  bab Istinja’ dengan penuh sopan. Asyik sebut ‘tang tu’ dengan ‘yang tu’ merujuk kepada benda yang bukanlah tidak bernama! Saya cuba memecah tembok itu dengan menyebut secara sopan juga tetapi dengan istilah bahasa dan sains. Makin tersipulah para pelajar yang menunduk tadi, dengan tundukan pula makin menurun darjahnya… Selepas menghurai, saya beri pula nota, yang kalau pelajar kelas sebelah terfikir – dan diizinkan oleh masa atau guru ketika itu - boleh ikut mencatat sama!

Cukup masanya saya keluar dengan puas. Pertama kali saya boleh mendiamkan dua kelas serentak. Sunyi sepi. Kata orang, kalau jarum jatuh ke atas lantai pun boleh didengar. Itu kata orang. Kata saya, kalau ada kutu merayap atas kulit kepala pun boleh didengar pergerakannya!

Selepas rehat, berselang satu hisah, saya akan mengajar pelajaran yang sama di dalam kelas bersebelahan pula.

Blok 'itu'
Tanpa saya jangka, semasa rehat, dua pelajar kelas yang bakal saya masuk nanti, telah menemui Cikgu Ramlah di atas asrama. [Ketika itu, Cikgu Ramlah menjadi warden asrama puteri yang terletak di atas satu-satunya blok dua tingkat AlFalah, bersebelahan bangunan terletaknya pejabat urusan sekolah. Dua pelajar tadi adalah penghuni asrama berkenaan] Mereka telah meminta pertolongan Cikgu Ramlah yang berjanji untuk mencuba memanjangkannya kepada saya.

Malang bagi mereka, Cikgu Ramlah tidak menjumpai saya sehinggalah loceng manual sekolah berbunyi.

{Loceng sekolah ketika itu adalah sebatang keratan besi tebal sepanjang satu setengah kaki yang mempunyai empat lima lubang sebesar syiling sepuluh sen. Pada satu lubang itu diikat dengan kembaran tiga urat dawai lalu digantung pada hujung galang geta di hujung blok pejabat, berhampiran tangga asrama puteri. Pada satu lubang lain terdapat satu rod besi berbentuk silinder [mudahnya: batang skru sepanjang sekaki] Apabila masuk sesuatu waktu, seseorang guru atau pelajar akan menggunakan rod tersebut bagi memalu keratan besi tadi beberapa kali. Akan terhasillah satu bunyi yang lantang. Lebih lantang bunyinya jika dibunyikan pada waktu mahu pulang. Paling lantang dan lama pukulannya jika dibunyikan pada waktu pulang pada hari Khamis terakhir sesuatu penggal…}

Ketika saya masuk ke kelas berkenaan, suasana sepi.  Itu sudah bagus… Kemudian saya mencapai kapur, melambungnya tiga empat kali, kemudian menulis besar-besar pada papan hijau: KITAR HAID.

Ketika itulah dua pelajar perempuan berdiri hampir serentak.

“Cikgu Ramlah ada cakap apa-apa tak dekat cikgu?” tanya SooYoung [bukan nama sebenar].

“Cakap apa?” saya membalikkan pertanyaan.

“Apa-apa pun la….”sampuk  SeohYun [pun bukan nama sebenar…]

“Tak ada apa-apa pun!” kata saya, separuh hairan.

“Cikgu jumpa dak dengan Cikgu Ramlah?” kali ini SeohYun pula yang bertanya.

“Dak aih. Saya mana masuk pejabat. Tadi saya balik rumah, layan fb… [Sah! Ini pula nampak sangat autanya. Ini bukan alasan sebenarnya ketika itu. Sebenarnya saya lupa apa alasan itu dulu. Tapi saya memang balik ke rumah emak ayah yang hanya 150 meter dari pintu pagar kecil sekolah…]

“Hallamakkkkk!!!” berkata pula SooYoung dengan lantang sambil melepaskan tumbukan tangan kanan ke atas tapak tangan kiri.

“Awat?” kali ini bukan separuh lagi. Sepenuhnya saya hairan!

“Takdak apa-apa. Takdak apa-apa…” seperti berduet tetapi dengan pitching yang tidak sama, kedua-dua pelajar tadi menjawab. Mereka terus duduk dan tunduk. Hampir serentak pula.

Saya mengangkat bahu dan membuka kedua-dua tangan lalu kembali kepada tajuk yang ditulis tadi.

Seperti di kelas sebelah sebelum rehat tadi, kali ini juga ramai yang menunduk tersipu ketika saya menghuraikan pusingan haid. Paling rendah tundukan adalah pundak SooYoung dan SeohYun…

Seperti sebelumnya, saya juga memberi nota, selepas huraian. Lantang dan bersemangat. Kalau pelajar kelas sebelah tidak sempat mencatat sempurna tadinya – dan diizinkan oleh masa atau guru ketika itu - boleh ikut mencatat semula!

Loceng manual berbunyi. Saya keluar dari kelas.

Di pejabat saya terserempak dengan Cikgu Ramlah yang baru bangun untuk ke kelasnya.

“Din masuk dak lagi ajaq Sains Tingkatan 1*#?”tanyanya.

“Ni baghu keluaq la …” itu jawaban untuknya.

“Takdan nak jumpa Din tadi….” Sambung Cikgu Ramlah.

“Awatnya?” saya mengulang soalan yang tidak terjawab di dalam kelas tadi dengan penambahan imbuhan ‘nya’…

Akhirnya, saya tahu duduk perkara.

Dua pelajar tadi telah berjumpa Cikgu Ramlah, memintanya memberitahu saya: kalau boleh tidak payahlah saya mengajar bab haid di dalam Tingkatan 1*#. Alasannya? Biasa-biasa sahaja: Malu. Segan.  Serta sudah mendengarnya ketika saya mengajar di kelas sebelah.

Laa…

Itu cerita pertengahan dekad 80-an. Sekarang, bab-bab sebegitu bukan lagi taboo bagi peringkat awal remaja. Siap dibincangkan di laman sosial. Malah ada iklan yang dengan terang mengisahkan keselambaan menghadapi kitar haid. Ada satu iklan meletakkan dua biji tembikai di belakang Adibah Nor yang menjadi duta tuala wanita Libresse. Ada seorang jiran saya sampai sekarang tidak sanggup memakan tembikai merah. Apa sebabnya, hanya dia dan Allah yang tahu….

Akan SooYoung dan SeohYun, setelah subjek Sains bertukar satu dua tajuk barulah tidak lagi tersipu ketika berselisih dengan saya. [Mereka malu kerana telah tahu bahawa saya telah tahu apa yang mereka beritahu kepada Cikgu Ramlah agar memberitahu saya pada hari  berkenaan..]Lagi pula, kami sama-sama sedar, mana boleh lama-lama cuba mengelak bertembung. Kami sama-sama tinggal di asrama, cuma diasingkan mengikut gender… Setiap malam selepas belajar  atau membuat kerja asrama [bukan lagi kerja rumah]atau tidur berbantal lengan di atas meja, semua pelajar asrama akan berkumpul di kelas bersebelahan pejabat mendengar khutbah saya atau menyertai majlistimbang tara yang saya kendalikan dalam menangani gejala tidak sihat di asrama [jika ada dan berkenaan].
 
Satu lagi, yang cukup penting, dalam setiap kitaran ‘itu’ [meminjam cara huraian rakan setugas tadi], walaupun belum ada  jenama Libresse, mereka perlukan juga yang berjenama Sanita, Stayfree, Kotex dan seangkatannya. Kepada siapa akan mereka serahkan senarai barang yang turut mengandungi keperluan tersebut, kalau bukan kepada pacal ini….

Oh kenangan. 

Salah seorang dari dua pelajar itu kini menjadi guru sekolah rendah. Terlepaslah agaknya dari mengajar bab yang dia tidak suka dengar itu...

7 April 2014

Tiga Jalan Di Pulau Pinang



Bukan sekali dua AlFalah menganjurkan rombongan ke Pulau Pinang. Kerap. Maklumlah tahun berganti bererti pelajarnya juga berganti. Lagi pula banyak rasionalnya mengapa tempat itu menjadi pilihan: boleh balik hari, tambang tidak terlalu tinggi dan itulah destinasi pilihan pelajar.

Ke KL, Melaka, Kelantan malah Pulau Pangkor pun pernah dianjurkan, tetapi tidaklah seacap ke Pulau Mutiara itu.

Dalam semua lawatan itu, setakat yang saya turut serta beberapa kali, ada TIGA peristiwa yang cukup saya ingat.

Pertama:

Tahunnya 1983. Menjelang cuti hujung tahun.

Dua buah bas disewa. Banyaklah tempat yang kami lawati. Tidak perlulah saya sebut satu demi satu.

Acara solat Zohor.
 
Tengah harinya, kami singgah di Masjid Negeri untuk bersolat serta melihat masjid yang katanya tercantik di utara semenanjung itu.

Kami sampai ketika solat jemaah biasa telah selesai. Sekitar pukul dua. Maka bersolatlah kami pada sudut dan masa sendiri di dalam masjid itu. Empat puluh lima minit diberikan oleh ketua rombongan. Saya tidak ingat ketuanya, sama ada Cikgu Rahim atau arwah Cikgu Ramlah.

Ada yang mengambil peluang meronda kawasan sekitar dahulu, ada yang memakan bekalan di luar masjid, dan ada yang terus berwuduk dan bersolat.

Saya dengan Cikgu Rahim mengambil pilihan ketiga. Lagi pula tiada apa yang mahu kami lihat di sekitar masjid. Makan bekal? Kami mana ada bawa bekal! Selain yang Cikgu Ramlah dan Ustazah Rodziah bawa, semua bekal yang dibawa pelajar adalah bekalan kami! Di atas bas lagi telah banyak yang kami makan…

Selesai solat, kami menunggu dan berbual di tangga masjid. Lama di situ, entah cadangan siapa, kami bergerak ke arah bas di tempat parkirnya. Kami menaiki bas yang satu lagi, bukan bas yang kami naiki sebelumnya, kerana di situ ada kelibat orang. Pelajar  perempuan.

Sebaik kami melangkah naik, empat lima orang yang mulanya duduk di kerusi masing-masing bergerak berkumpul di bahagian belakang bas. Kami menegur dua tiga pelajar tetapi mereka seperti segan untuk bersuara. Mereka semua pelajar kami. Semuanya spesies peramah. Tapi gaya mereka menyambut kami  di atas bas itu amat berbeza berbanding semasa di dalam kelas di sekolah.

Kerana dinginnya sambutan, maka kami berbual berdua semula. Lama sedikit, kami bercadang untuk kembali ke bas asal kami. Sambil melangkah turun mulut saya secara tanpa maksud berkata, “ Kami nak pi kat bas nu pulak…. Bas ni macam tak selesalah…rimas!”

Tidak disangka, ayat itu membuat salah seorang pelajar tadi menjerkah, “Pi lah. Pi lah kat bas nu! Bas ni memang tak selesa! Mai naik buat apa?”

Saya tepilanjat! Tak tahulah dengan Cikgu Rahim.

Kawanna, apa pasat itu amoi jali itu maciam??

Di atas bas, dalam perjalanan ke tempat lain, barulah saya faham. Itu pun dari Cikgu Ramlah, yang sempat berbual dengan mereka sebelum itu berikutan sedikit keriuhan semasa berkumpul semula semuanya di tempat bas diparkir.

Itu amoi aaa, talak boleh semayang punya olang. Ala ujur. Lapat cuti. Pelempuan punya hat la. Bila saya cakap itu maciam, lia punia ati ala telasa ooo. Mana saya tahu. Selangkan masa saya cakap aaa,saya ati punya lalam, talak apa-apa niat woo….

Balik ke sekolah, lama juga masa yang kami perlukan untuk hubungan kembali normal…

Entah di mana dia sekarang…

Kedua:
 
Tahunnya saya lupa. Paling awal 1985 berdasarkan tahun guru nan seorang ini masuk mengajar. Guru perempuan. Namanya? Yang ada bersamanya di dalam rombongan ke Pulau Pinang ketika itu tahulah. Yang lain kenalah tanya kepada yang pergi itu….hehehe. [Kalau tidak silap Sofiahmad Din ada dalam rombongan itu…]

Bukan apa sangat, saja teringat.

Kami di Lapangan Terbang Antara Bangsa Bayan Lepas. Bukanlah nak tengok bot atau kereta kebal di situ.  Saja, memenuhkan masa lawatan.

Acara naik escalator. Tangga karan, kata budak Falah.

Entah di mana silapnya, hujung kain guru perempuan itu tersangkut pada tangga yang sedang bergerak. Apalagi, gelabahlah semua yang ada. Mujurlah ada wira penyelamat. Saya tidak tahu sangat bagaimana usaha penyelamatan tersebut sebab tidak berada di lokasi kejadian. Saya serta beberapa ahli rombongan telah lebih awal berada di tingkat atas, ternganga melihat tangga kapal terbang rupanya dibawa oleh sebuah lori…

Cuma yang tidak akan saya lupa hingga hari ini adalah wajah pucat guru perempuan berkenaan ketika saya sampai di situ setelah diberitahu oleh seorang pelajar. Selalu saya dengar kalimat ‘kalau ditoreh pun tidak berdarah’ bagi menunjukkan pucatnya wajah seseorang.

Pada hari berkenaanlah kali pertama saya melihat bagaimana wajah yang kalimatnya sering diulang itu!

Ketiga:

Tahunnya 1987, kalau tidak silap...

Dua biji bas juga. Ada budak kelas akademik sama. Tidak ada yang menarik bagi saya. Namun ada insiden yang tak terjangkau mata dan akal saya.
 
Acara mandi di air terjun.

Yoona [memang bukan nama sebenar] adalah pelajar perempuan AlFalah. Mungkin antara 10 tercantik di mata. Senyumnya manis, kulit wajahnya tidaklah melepak tetapi masih dalam kategori putih. Pelajarannya tidaklah jauh dari 15 teratas, kut. Datang ke sekolah dengan menaiki bas. Rumahnya di Kampung Boy [bukan nama sebenar], lima enam kupang juga tambangnya dari AlFalah. Itu saja yang saya tahu.

Di pulau yang masih berketuamenterikan Lim Chong Eu masa itu, dia telah melakukan sesuatu yang cukup dikesalnya berminggu-minggu kemudian. Semasa mahu berendam [agaknyalah, kerana saya kurang periksa] bersama kawan-kawan, dia telah membuka tudungnya. Terserlahlah keayuannya, gamaknya. Jauh lebih manis dari tatkala bertudung putih dalam seragam sekolah setiap hari di AlFalah.

JungYongHwa [JYH] [lagilah bukan nama sebenar] entah secara kebetulan atau memang berniat di hati telah memandang Yoona tanpa bertudung itu. Hatinya terus terpikat….

Adalah ayat usikan, gamaknya. Sekejap sahaja Yoona terus memakai tudung, merasa sedikit lalai. Tetapi JYH, budak lelaki asalnya sekampung saya mula mengigau.

Dipendekkan cerita, hingga pulang ke sekolah JHW terus mengacau Yoona. Dia mengaku telah terpana melihat wajah dan rambut Yoona. Dia tidak malu mengakuinya;  tidak hanya kepada teman-teman malah kepada ayah dan ibunya.

Saya yang tidak tahu apa-apa hatta sejak di Tanjung Bunga akhirnya diberitahu. Puncanya, JYH sampai mengganggu Yoona di perhentian bas serta sepanjang jalan ke situ, selain dari setiap hari di dalam kelas.

Satu hari, Yoona, dengan ditemani oleh dayang-dayangnya terpaksa berpatah balik ke sekolah untuk mendapakan bantuan. Sehingga teresak-esak Yoona bercerita kepada saya yang kebetulan masih berada di dalam pejabat sekolah bersama Ustaz Fairose. Setelah tahu duduk perkara, diceritakan dari awal hingga terkini, saya diminta menasihati JYH serta bertemu ayah dan ibunya, yang kebetulan agak rapat dengan saya.

Dengan JYH saya bertegang uratlah juga terutama di bawah pokok pukul lima di luar pagar sekolah, pada hari yang sama, ketika dia menunggu Yoona keluar semula ke perhentian bas. Ada maki dan carut yang dihadiahkannya. Kalimat betapa saya [dan Ustaz Fairose] cemburu tidak terhitung banyaknya. Menyedari diri yang masih belum berstatus menantu sesiapa membuatkan saya menahan sebak. Betapa kecilnya diri ini. Tetapi kecil-kecil pun, saya dapat melihat jauh lebih kecil JYH ketika itu. Tetapi apakan daya, hati kecil saya telah menghalang makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan daripada terus memperagakan tubuh JYH yang dilihat kecil dan boleh dicarik-carik itu…

Petangnya, saya ke rumah keluarga JYH. Dia sendiri berada di depan rumah ketika saya sampai sambil menjegil ganas. Tapia apa nak dihairankan, saya datang sebagai duta sekolah yang perlu berdiplomasi…

Sangka saya, ayah ibunya belum tahu, tetapi sebaik saya memulakan bicara, keduanya macam merestui kehendak anak mereka. Hah, kacau! Seperti saya, mereka juga tahu anak mereka tidak boleh sangat dalam soal pelajaran. “Kalau depa nak menikah pun, kami takdak halangan, Deen oi ….” Kata si ibu dengan  selambanya. Si ayah hanya menambah kopi ke dalam cawannya sendiri…

 Laaa…

Depa? Depa kena ada dua pihak.  Sedangkan….

Kesimpulannya, saya gagal menyelesaikan perkara itu.

Saya beritahukan kegagalan itu kepada Ustaz Fairose. Saya tidak ingat lagi siapa yang menyelesaikan hal tersebut. Atau mungkin selepas itu cuti hujung tahun, tahu-tahu JYH tidak lagi belajar di AlFalah.

Lama kemudian, JYH dengarnya telah berhijrah mencari kerja lalu berkahwin dengan orang luar negeri dan menetap di sana sehingga kini. Sesekali apabila pulang dan terjumpa saya,  sedapat mungkin dia cuba mengelak. Tidak tahulah kerana segan atau masih marah terhadap saya. Saya pun tahu diri, cuba jugalah untuk tidak bertembung dengannya, walaupun di dalam hati teringin bertanya khabarnya serta mengenali isteri yang dari luar negeri itu. Ingin mendengar bagaimana kehidupannya di negeri orang.

Akan Yoona, sempat juga menghabiskan pengajian sehingga SPM. Tidak lagi pernah saya berjumpanya sejak  meninggalkan AlFalah. Khabarnya, dia telah lama berkahwin dan kini menetap di luar negeri juga.

Mungkin sesama mereka pun tidak bertemu, maklumlah negeri tempat tinggal mereka tidak sama walaupun sama-sama berada dalam Wilayah Koridor Utara  - seperti juga Kedah…