8 April 2014

Sekitar Satu Kitar...



Mula-mula mengajar di AlFalah, saya hanya mengajar subjek Sains. Cikgu Rahim mengajar BM dan subjek kegemarannya, Sejarah. Cikgu Ramlah mengajar Matematik dan – kalau tidak silap – Geografi. Ustaz Fairose – selain mengajar bahagian jawi dan Arab – mengajar BI.  Itulah pun pelajaran akademik yang ada. Tentang pelajaran agama dan bahasa Arab, adalah khusus buat Ustaz Azizan, Ustazah Rodziah, Ustaz Zubaidi serta Ustaz Fairose sendiri. Lagi pula, hanya ada dua kelas Peralihan serta dua kelas Tingkatan Tiga [Akademik], yakni pelajar yang mengulang mengambil Sijil Rendah Pelajaran , yang mereka kandas di sekolah menengah biasa.

{Maaflah dengan pengulangan info tentang tingkatan tiga ini. Ramai yang masih keliru kenapa sekolah agama ada kelas tingkatan tiga akademik. Barang diingat, dahulu dasar pelajaran lain sedikit: tidak lulus tingkatan tiga [SRP] tidak naik tingkatan empatlah jawabnya. Bukan macam sekarang, tidak tahu membaca pun, boleh naik sehingga tingkatan lima [SPM}, kalau mahu! Maka terpaksalah yang gagal SRP pada era itu mengambil ulang peperiksaan tersebut, samada di sekolah swasta atau kalau bernasib baik – sedikit sangat peratusnya – mengulang setahun lagi di sekolah menengah yang sama. Yang datang ke AlFalah itu pula mungkin untuk bertukar angin berikutan penjenamaan semula sekolah agama rakyat itu, dengan yuran tahunan yang murah berbanding sekolah swasta di Alor Setar dengan yuran bulanan yang boleh tahan juga harganya, ditambah kos tambang bas lagi.. Lagi pun kebanyakan pelajar terdiri daripada anak warga sekitar – mukim Tebengau dan Kangkong}.

Tahun pertama [1983] itu, terlalu banyak kenangan manis. Terlalu banyak masa senggang. Tidak banyak cabaran di segi pengajaran, tetapi cukup tercabar untuk menjadikan AlFalah ‘hidup’. Banyak yang telah saya catatkan tentangnya dan banyak lagi yang bakal diungkit…

Tahun kedua [1984], barulah cabaran di bilik kelas bermula. Ada kelas Peralihan baru, manakala anak Peralihan tahun sebelumnya kini naik ke Tingkatan Satu. Selain ada Tingkatan Tiga baru, ada pula Tingkatan Empat, hasil keputusan peperiksaan SRP yang agak memberangsangkan. Semuanya adalah 6-7 kelas.

Selain subjek Sains dalam semua kelas itu, saya diminta mengajar pelajaran Kesusasteraan Melayu. Tercabar memanglah kerana saya yang asalnya dari aliran sains, tidak pernah belajar subjek itu pada peringkat SPM. Cuma pada dua tahun di tingkatan enam, sempatlah belajar sedikit subjek berkenaan. Alhamdulillah, cabaran berjaya diatasi. Sehingga hampir dua dasawarsa di AlFalah, subjek itu seperti  subjek Sains juga, melekat kepada saya, selain tambahan  subjek BM, terutama peringkat tingkatan Empat dan Lima, setelah ketiadaan Cikgu Rahim yang meninggalkan dunia perFalahan. [Semasa ketiadaan Cikgu Rahim, sebelum ada pengganti tetap, saya dan Cikgu Non yang juga dari aliran sains pernah mengajar subjek Sejarah – satu lagi subjek yang tidak kami pelajari di peringkat SPM. Cikgu Non malah pernah mengajar Pengetahuan Agama Islam untuk calon SPM! Sekadar untuk menyatakan, bukan sesuatu yang pelik guru sekolah agama rakyat ketika itu kena mengajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima dalam dua tiga subjek… Banyaknya yang perlu dirujuk sebagai persediaan masuk ke kelas…]

Saya terkenang salah satu daripada tahun –tahun terawal di AlFalah. Hanya terkenang. Tiada agenda lain…

Bangunan melintang menghadap matahari jatuh dan naik, MPB multi purpose block [building] – dibahagikan kepada tiga kelas. Yang berhampiran pagar dan jalan, menjadi kelas Tingkatan Empat. Dua kelas selebihnya adalah untuk tingkatan yang sama, A dan B. Kalau tidak silap tingkatan satu 1985 atau 1986. Kalau tidak silaplah…

Oleh kerana setiap kelas hanya dipisahkan oleh pemidang mudahalih – bagi tujuan menukarkan kepada dewan muhadhoroh atau dewan peperiksaan – suara pelajar yang agak kuat di satu kelas hujung boleh didengar oleh pelajar pada kelas yang satu hujung lagi. Malah, bukan setakat suara. Kata seorang bekas pelajar era tersebut, ketika bertemu baru-baru ini, kalau kena waktu baiknya, kentutan pelajar kelas hujung boleh didengari oleh pelajar kelas hujung satu lagi itu!
 
Suara guru pula? Seperti itulah juga, kalau kena guru yang versi suaranya ketika mengajar seperti saya, atau seperti Cikgu Rahim, atau lebih-lebih lagi,Cikgu Non [yang muncul di AlFalah pada tahun 1987]. Jelah! Sebiji-sebiji dapat didengar, kata bekas pelajar tadi.

Oleh kerana ada kelas Peralihan, sukatan pelajaran untuk Tingkatan Satu dapat dibahagi kepada dua tahun! Panjanglah yang boleh dihurai. Hanya 6-7 bab setahun, kalau berdasarkan subjek Sains.

Kalau saya mengajar di kelas A, tentulah  selang sehisah dua, akan berkumandang suara saya dalam tajuk yang sama di kelas B pula. Begitu juga sebaliknya. Kalau saya bercerita di satu kelas, pelajar kelas sebelahnya sudah dapat mendengar. Kerap juga sengaja saya tidak mengulang cerita yang sama pada kelas sebelah kerana yakin mereka telah pun mendengarnya …. Kena cerita menarik, kerap juga kelas yang kemudian itu meminta saya bercerita juga. Terpaksal;ah diulang dengan sedikit pengubahsuaian…

Itu kalau cerita menariklah. Dengan mood gurunya yang baik pula. Tetapi kalau kelas pertama kena leter, seingat saya,  tidak pernah kelas yang kedua pula meminta saya meleteri mereka sama….

Satu hari, pada tahun yang saya terkenang itu, saya mengajar Sains di bawah tajuk KITAR HAID. Menunduk kebanyakan pelajar perempuan malah beberapa pelajar lelaki apabila dengan bersemangat dan lantangnya saya menghuraikan perjalanan atau pusingan haid. Kelas sebelahnya terdiam! Saya pula lagilah teruja. Apalagi, pernah sekali saya mendengar seorang rakan setugas mengajar  bab Istinja’ dengan penuh sopan. Asyik sebut ‘tang tu’ dengan ‘yang tu’ merujuk kepada benda yang bukanlah tidak bernama! Saya cuba memecah tembok itu dengan menyebut secara sopan juga tetapi dengan istilah bahasa dan sains. Makin tersipulah para pelajar yang menunduk tadi, dengan tundukan pula makin menurun darjahnya… Selepas menghurai, saya beri pula nota, yang kalau pelajar kelas sebelah terfikir – dan diizinkan oleh masa atau guru ketika itu - boleh ikut mencatat sama!

Cukup masanya saya keluar dengan puas. Pertama kali saya boleh mendiamkan dua kelas serentak. Sunyi sepi. Kata orang, kalau jarum jatuh ke atas lantai pun boleh didengar. Itu kata orang. Kata saya, kalau ada kutu merayap atas kulit kepala pun boleh didengar pergerakannya!

Selepas rehat, berselang satu hisah, saya akan mengajar pelajaran yang sama di dalam kelas bersebelahan pula.

Blok 'itu'
Tanpa saya jangka, semasa rehat, dua pelajar kelas yang bakal saya masuk nanti, telah menemui Cikgu Ramlah di atas asrama. [Ketika itu, Cikgu Ramlah menjadi warden asrama puteri yang terletak di atas satu-satunya blok dua tingkat AlFalah, bersebelahan bangunan terletaknya pejabat urusan sekolah. Dua pelajar tadi adalah penghuni asrama berkenaan] Mereka telah meminta pertolongan Cikgu Ramlah yang berjanji untuk mencuba memanjangkannya kepada saya.

Malang bagi mereka, Cikgu Ramlah tidak menjumpai saya sehinggalah loceng manual sekolah berbunyi.

{Loceng sekolah ketika itu adalah sebatang keratan besi tebal sepanjang satu setengah kaki yang mempunyai empat lima lubang sebesar syiling sepuluh sen. Pada satu lubang itu diikat dengan kembaran tiga urat dawai lalu digantung pada hujung galang geta di hujung blok pejabat, berhampiran tangga asrama puteri. Pada satu lubang lain terdapat satu rod besi berbentuk silinder [mudahnya: batang skru sepanjang sekaki] Apabila masuk sesuatu waktu, seseorang guru atau pelajar akan menggunakan rod tersebut bagi memalu keratan besi tadi beberapa kali. Akan terhasillah satu bunyi yang lantang. Lebih lantang bunyinya jika dibunyikan pada waktu mahu pulang. Paling lantang dan lama pukulannya jika dibunyikan pada waktu pulang pada hari Khamis terakhir sesuatu penggal…}

Ketika saya masuk ke kelas berkenaan, suasana sepi.  Itu sudah bagus… Kemudian saya mencapai kapur, melambungnya tiga empat kali, kemudian menulis besar-besar pada papan hijau: KITAR HAID.

Ketika itulah dua pelajar perempuan berdiri hampir serentak.

“Cikgu Ramlah ada cakap apa-apa tak dekat cikgu?” tanya SooYoung [bukan nama sebenar].

“Cakap apa?” saya membalikkan pertanyaan.

“Apa-apa pun la….”sampuk  SeohYun [pun bukan nama sebenar…]

“Tak ada apa-apa pun!” kata saya, separuh hairan.

“Cikgu jumpa dak dengan Cikgu Ramlah?” kali ini SeohYun pula yang bertanya.

“Dak aih. Saya mana masuk pejabat. Tadi saya balik rumah, layan fb… [Sah! Ini pula nampak sangat autanya. Ini bukan alasan sebenarnya ketika itu. Sebenarnya saya lupa apa alasan itu dulu. Tapi saya memang balik ke rumah emak ayah yang hanya 150 meter dari pintu pagar kecil sekolah…]

“Hallamakkkkk!!!” berkata pula SooYoung dengan lantang sambil melepaskan tumbukan tangan kanan ke atas tapak tangan kiri.

“Awat?” kali ini bukan separuh lagi. Sepenuhnya saya hairan!

“Takdak apa-apa. Takdak apa-apa…” seperti berduet tetapi dengan pitching yang tidak sama, kedua-dua pelajar tadi menjawab. Mereka terus duduk dan tunduk. Hampir serentak pula.

Saya mengangkat bahu dan membuka kedua-dua tangan lalu kembali kepada tajuk yang ditulis tadi.

Seperti di kelas sebelah sebelum rehat tadi, kali ini juga ramai yang menunduk tersipu ketika saya menghuraikan pusingan haid. Paling rendah tundukan adalah pundak SooYoung dan SeohYun…

Seperti sebelumnya, saya juga memberi nota, selepas huraian. Lantang dan bersemangat. Kalau pelajar kelas sebelah tidak sempat mencatat sempurna tadinya – dan diizinkan oleh masa atau guru ketika itu - boleh ikut mencatat semula!

Loceng manual berbunyi. Saya keluar dari kelas.

Di pejabat saya terserempak dengan Cikgu Ramlah yang baru bangun untuk ke kelasnya.

“Din masuk dak lagi ajaq Sains Tingkatan 1*#?”tanyanya.

“Ni baghu keluaq la …” itu jawaban untuknya.

“Takdan nak jumpa Din tadi….” Sambung Cikgu Ramlah.

“Awatnya?” saya mengulang soalan yang tidak terjawab di dalam kelas tadi dengan penambahan imbuhan ‘nya’…

Akhirnya, saya tahu duduk perkara.

Dua pelajar tadi telah berjumpa Cikgu Ramlah, memintanya memberitahu saya: kalau boleh tidak payahlah saya mengajar bab haid di dalam Tingkatan 1*#. Alasannya? Biasa-biasa sahaja: Malu. Segan.  Serta sudah mendengarnya ketika saya mengajar di kelas sebelah.

Laa…

Itu cerita pertengahan dekad 80-an. Sekarang, bab-bab sebegitu bukan lagi taboo bagi peringkat awal remaja. Siap dibincangkan di laman sosial. Malah ada iklan yang dengan terang mengisahkan keselambaan menghadapi kitar haid. Ada satu iklan meletakkan dua biji tembikai di belakang Adibah Nor yang menjadi duta tuala wanita Libresse. Ada seorang jiran saya sampai sekarang tidak sanggup memakan tembikai merah. Apa sebabnya, hanya dia dan Allah yang tahu….

Akan SooYoung dan SeohYun, setelah subjek Sains bertukar satu dua tajuk barulah tidak lagi tersipu ketika berselisih dengan saya. [Mereka malu kerana telah tahu bahawa saya telah tahu apa yang mereka beritahu kepada Cikgu Ramlah agar memberitahu saya pada hari  berkenaan..]Lagi pula, kami sama-sama sedar, mana boleh lama-lama cuba mengelak bertembung. Kami sama-sama tinggal di asrama, cuma diasingkan mengikut gender… Setiap malam selepas belajar  atau membuat kerja asrama [bukan lagi kerja rumah]atau tidur berbantal lengan di atas meja, semua pelajar asrama akan berkumpul di kelas bersebelahan pejabat mendengar khutbah saya atau menyertai majlistimbang tara yang saya kendalikan dalam menangani gejala tidak sihat di asrama [jika ada dan berkenaan].
 
Satu lagi, yang cukup penting, dalam setiap kitaran ‘itu’ [meminjam cara huraian rakan setugas tadi], walaupun belum ada  jenama Libresse, mereka perlukan juga yang berjenama Sanita, Stayfree, Kotex dan seangkatannya. Kepada siapa akan mereka serahkan senarai barang yang turut mengandungi keperluan tersebut, kalau bukan kepada pacal ini….

Oh kenangan. 

Salah seorang dari dua pelajar itu kini menjadi guru sekolah rendah. Terlepaslah agaknya dari mengajar bab yang dia tidak suka dengar itu...

No comments: