28 April 2013

Reuni SMA


Pernah mendengar perkataan sewindu?

Di dalam lagu Gubahanku - dari filem Lagu Untukmu {1973}- nyanyian asal Broery Marantika dan Anna Mantovani, perkataan itu digunakan. Apabila dilagukan oleh penyanyi dari Singapura dan Malaysia, sewindu itu, sedap-sedap sahaja diubah menjadi serindu. Alangkah berbeza maksudnya....

Sewindu ertinya lapan tahun mengikut edaran tahun di dalam bahasa Jawa.  Lirik lagu Gubahanku:

Setahun kita berpisah
Sewindu terasa sudah...


Maknanya walaupun baru setahun berlalu, terasa seperti sudah lapan tahun. Masakan setahun berpisah baru terasa rindu..... [Apologi untuk peminat Dato' Siti....]

Sengaja saya bangkitkan ini dengan dua maksud: pertama supaya tidak sesiapa lagi diperkonon dan keduanya, saja-saja mahu memanjangkan entri ini....

Saya terjumpa satu lagu dari negara seberang.Ciptaan dan nyanyian Dadang S Manaf.


Judul Album : Reuni SMA
Penyanyi : Dadang S. Manaf

Music Director : Herman Gelly Effendy

Tahun Produksi : 1987

Produser : Hartono Hendra

Produksi : Akurama Records

Dadang merupakan komposer terkenal tetapi sebagai penyanyi, dia boleh dikatakan tidak menyerlah. Saya cuma tertarik pada lagu yang menjadi jodol album ini - Reuni SMA. Sekali lagi, supaya tidak diperkonon, SMA kepada Dadang dan warga negaranya, bermaksud Sekolah Menengah Atas [bermula dari tingkatan empat...] BUKAN Sekolah Menengah Agama seperti di Malaysia.

Saya teringat reuni SMA AlFalah..........Bagaimana cerita dan sambutannya untuk tahun ini?

Sementara itu, sambil mendengar lagu ini, kita bayangkanlah reuni SM AlFalah melalui liriknya. [Lagu di dalam klip di atas diulang supaya puas hati dapat menampilkan wajah rakan persekolahan. Maka lagu yang sepatutnya tiga minit lebih, menjadi sepuluh minit]

Sampai pada baris:

Ku masih ingat suasana di SMA
Penuh canda dan tertawa ria

Ada cinta di antara kita


saya tersenyum.Maafkan saya. Tetiba teringat kepada beberapa pasang pelajar dari tahun-tahun yang berbeza. Entah hantu mana yang memaksa urat senyum aktif....hehehehe


REUNI SMA

Sewindu tiada berjumpa
Rindu rasanya

Ku masih ingat suasana di SMA

Penuh canda dan tertawa ria

Ada cinta di antara kita


Gagasanku datang jua bernostalgia

Jumpa kawan di SMA

Bergembira dan cerita kisah kita

Waktu lulus SMA bagaimana

Reuni SMA oh..

Reuni SMA kita jumpa

Saat kita berjumpa senyummu dewasa

Namun tetap ceria bagaikan dulu

Kawan, kurindu kamu


Reuni SMA oh.. Reuni SMA

Reuni SMA, kagum ku jadinya

Hampir aku lupa denganmu 
Oh kawan lama

Kalian, kurindu kamu...... hehehehe

26 April 2013

Digigit Digit-digit

Di hujung kampung saya, tiba-tiba muncul sebuah kereta kebal! Di kejiranan anda mungkin wujud juga benda alah ini, ditempatkan secara strategik. Kalau bukan jenis itu, mungkin kapal selam, kapal terbang, kapal angkasa atau wau raksasa........Ada dua warna utama - biru dan hijau. Meriah sungguh. Bersemangat sungguh. Maklumlah, musimnya hanya muncul empat lima tahun sekali.......

Membelek kereta kebal itu, saya terkesan pada nombor plat yang dilekatkan - PRU 13.

Berada di rumah, menghadap komputer, membuka blog-blog sendiri, melihat-lihat statistik gambaran keseluruhan bacaan - setelah hampir dua pekan bercuti - saya kembali teringat kepada nombor plat tersebut. PRU 13. Abjad dan digit putih di atas kepingan plastik hitam yang tebal......

Saya diajak ke AlFalah......

Pertama sekali saya nampak WJ 53, nombor plat kereta BMW yang pernah Ustaz Fairose gunakan. Lama juga melihat diri sebagai penumpang pergi ke beberapa tempat....

Keluarga ustaz berambut keriting dan sering tersenyum itu gemar bertukar kereta seperti yang pernah saya catat lebih awal. Volvo, Honda Accord, Volkswagen Kombi dan Beetle, Mercedes, Suzuki......... Namun hanya dua daripadanya yang masih saya ingat nombor platnya. Volvo berwarna biru muda peninggalan arwah Ustaz Azizan - PN 1638 dan van Suzuki baru model 1988 - KU 5116. [Ada cerita tentang van ini tetapi di lain entrilah, Insyaallah]

Cikgu Rahim, pada peringkat awalnya menggunakan motor bernombor plat BBD 9670. Dengan motor ini, banyaklah juga tempat yang pernah kami bersama kunjungi. Setelah beberapa tahun, pakar sejarah AlFalah ini bertukar kepada motor baru dengan mengekalkan jenamanya - nombor pendaftaran KQ 364. Seperti sebelumnya, banyaklah juga tempat yang pernah kami bersama kunjungi dengan mengenderai motor tersebut......

Kemudian muncul KL 6285 - nombor plat motor Cikgu Non. Saya nampak diri ini duduk di bahagian penumpang, dengan kerapnya bersama si pemandu ke Kuala Kedah dan ke Alor Setar untuk makan angin atau saja-saja meronda...atau ke Maktab Mahmud untuk berkursus,... Hal yang sama kami lakukan setelah Cikgu Non menukar jenama motornya dengan nombor pendaftaran KAF 4149. Yang terakhir ini masih ada digunakan meski tuannya juga telah mempunyai beberapa motor bertayar empat ........
 
Saya nampak Ustaz Zahari Ahmad muncul di Alfalah pada setiap pagi hari persekolahan bersama motor kesayangannya, bernombor plat KM 9317. Sepanjang berkhidmat di AlFalah, itulah kenderaan rasmi ustaz dari Taman Impian, Kota Sarang Semut tersebut. Dan ketika bertanya khabar tentangnya pada satu perjumpaan - setelah beliau bertukar ke SMA Sungai Limau dan mengenderai motor bertayar empat - ustaz memberitahu keadaan motor tersebut: masih ada dan telah diperindahkan oleh anak lelakinya yang cukup berbakat sehingga ustaz sendiri berasa sayang untuk menunggangnya......

Timbul pula wajah Ustaz Mohammad Abdullah. Setiap pagi, dengan bahagian luar toreksnya dibaluti baju tebal berwarna merah pudar yang diimportnya dari negara China - berdasarkan tulisan kecil pada kiri dada -
beliau memasuki kawasan Alfalah bersama kenderaan kesayangannya. Motor kelabu bernombor plat BBD 4876. Jauh perjalanan yang ditempuhnya untuk sampai ke AlFalah. Melintasi beberapa mukim dari rumahnya di Paya Nekong, beberapa kilometer dari pekan Kubor Panjang. Saya mengetahui sejuknya membelah embun pagi dalam jarak begitu kerana takdirnya mempunyai mertua yang tinggal empat lima kilometer sahaja dari rumah Ustaz Mat ...... Waktu balik pada tengah harinya pula..............ah, lain kalilah ceritanya.

KC 9443. Itu nombor motor ayah. Untuk entri ini, saya tidak dapat tuliskan apa-apa. Hati diserang sayu... Banyak yang boleh diungkapnya kalau 'dia' bisa ngomong....... Nantilah.

Ada beberapa motor pelajar yang masih dikenang jasanya kepada saya namun malangnya tidak mampu diingat lagi akan  nombor plat masing-masing. Begitu juga kenderaan - baik motor atau kereta - guru-guru lain. 

Yang masih tersimpan baik di ingatan adalah motor Zakaria Nayan [Pakya] dan motor Ustaz Man - seperti yang pernah saya catat dahulu. Model RC 80 KS 8500 milik Pakya sering saya pinjam untuk ke Simpang Empat terutamanya bagi membeli akhbar pada pagi Ahad... Motor Ustaz Man pula, tanyalah kepada Babuji [Imam Masjid Lorong Mayat] kerana  mengikut katanya, hanya dia yang pernah diberi izin oleh tuan motor untuk menunggang ke kedai tatkala tinggal di asrama dahulu. Dua buah motor pernah digunakan ustaz dari Pattani itu selama berada di AlFalah. Yang kedua - dan masih utuh digunakannya - dibeli dari Hasbullah Morad, pelajar AlFalah dari Kampung Perlis. Nombor platnya: PAX 7857.

Demikianlah.

Ops, ada satu lagi.

Pemandu AX 5253
Sekitar tahun 1993/94 muncul sebuah motor menguasai jalan sepi Batas Paip - Yan. namun sering mengalah kepada bas MARA. Dengan baju baseball membaluti bahagian toreksnya, dia menunggang dengan ranggi ke sekolah - dicemburui oleh kebanyakan rakan sekelas yang sejenis dengannya. Rakan sekelas yang bukan sejenis pula khabarnya tidak tertarik langsung kepada mat motor itu. Hanya mereka yang tahu sebabnya.... Nombor plat motor model Honda 100 itu: AX 5253.


Tentang sifat mengalahnya wira tersebut kepada bas MARA pernah dizahirkannya secara jujur di laman facebook: dulu..jln yan sempit.....klu bas mara lalu dari blkg...selisih aku....melelong kena angin...punya la lagu....pas tu dah tau pasai nmpak ja bas kat blkg....terus turun dari jln tar...biar bas potong dulu....punya berhemah...hehe