16 June 2012

Pawang Nujum Datang!

Karisma Seorang Pawang

15 Jun 2012.


Pawang Nujum [PN] memaklumkan dia berada di Sungai Tiang; ingin berjumpa pada petangnya. Saya tetapkan masa dan tempat lalu memanjangkan perkara itu pula kepada Cikgu Mohd Zainon Puteh dan Cikgu Abdur Rahim Daud. "Kita pekena mi goreng....." antara yang saya ingat kata PN di seberang talian.

Hari Jumaat. Petang. Sukar untuk mencadangkan gerai atau kedai kegemaran di sekitar Alor Setar kerana kebanyakan pengendalinya lebih suka berehat dan beramal. Maka dipilihlah gerai di kejiranan kami. Apa-apalah.

PN datang seorang. Belumpun habis kami bertukar mukadimah, Cikgu Rahim sampai. Selang dua tiga minit, muncul pula Cikgu Non.

Lebih 150 minit durasi perbualan kami. Kerana tuntutan komitmen lain, Cikgu Non hanya sempat selama 90 minit.

Apa lagi yang mampu membantu kami saling membina  frasa demi frasa ayat selain dari engkau, wahai Alfalah?

Kali terakhir kami berempat bertemu adalah pada majlis perkahwinan adik PN di Rancangan Felda Sungai Tiang, dua tiga tahun lalu. Jarak masa yang panjang itu memungkinkan kami bertukar cerita tentang perkembangan atau penguncupan diri. Namun yang wajib ada adalah sesi mengimbau kenangan semasa di AlFalah. Bertanya khabar kawan rakan yang mungkin diketahui. Berbual tentang duduk perkara Alfalah masa kini.

Tiada banyak perubahan pada PN berbanding ketika pertemuan terakhir dulu. Yang dapat saya kesan hanyalah kejayaannya menyaingi saya memiliki peratusan putih rambut yang tinggi di pundak.....

Kami memesan minuman dan makanan seragam - teh o ais dan mi rendang. Sah, masing-masing cuba mengawal diri. Saya tahu, minuman dan makanan kegemaran semua kami bukanlah yang diminta itu! PN sendiri mengakuinya. "Saja 'nak bagi panjang bersembang," katanya ketika seperti dipaksa-paksa menyuap mi. Mungkin ketidakadilan berlaku di sini. Tatkala dia baru menyuap empat lima kali, pinggan saya telah kosong. Alangkah tidak acinya penjual mi itu........


Sambil itu, bermulalah bauran nostalgia tentang AlFlah serta harapan untuknya.

PN kelihatan berhati-hati pada mulanya. Dia mungkin pembaca blog ini. Ketika hanya saya dan dia pada mulanya, dia bertanya tentang kuetiau yang kedengaran sedap. Sahlah merujuk entri saya tentang Nazri, Kuetiau Dan Budakfalah. Kemudian ada sekali ketika saya terkedu oleh satu hal, cepat saja dia menebak, "'Ni mesti fikir 'nak masukkan dalam blog...."

Setelah mendapat rentak, perbualan menjadi rancak. Termasuk juga perjumpaan alumni AlFalah Syawal nanti. Dia memohon maaf kerana bimbang saya dan Cikgu Non tersinggung atas ayat-ayat yang dimuntahkannya dalam fb. Kami tidak berasa apa-apa. Pertama, kerana ketika Cikgu Non memantau fb, selepas kehebohan itu, katanya, tiada apa yang memudaratkan. Kedua, kerana sepanjang tempoh kononnya ada perdebatan tanpa juri itu, saya mengharamkan jari mengelik dan membuka fb......Maka kami tidak berasa apa-apa. Malah sehingga kini saya tidak tahu sangat apakah yang diperdebatkan itu.....

Cikgu Rahim dan kami sepakat bahawa untuk meneutralkan keasidan di hati sesiapa juga, perjumpaan mesti diadakan dengan setiap sisi mesti datang dengan berdada lapang. Penambahbaikan setiap perjumpaan hanya akan berlaku sekiranya semua menyisihkan ego, lalu secara ikhlas ingin membina ukhuwah. Semuanya demi kebaikan bekas warga AlFalah. Jurang generasi mesti dinyahkan untuk saling mengenal serta merapatkan hubungan.

[Di celah perbualan, PN bangun memesan secangkir besar Nescafe o tarik. Minuman yang sepatutnya diminta awal tadi. Agar dia tidak terasa keseorangan dalam bab itu, saya memesan pula tambahan teh o ais....Cikgu Non dan Cikgu Rahim lainlah. Kalau tidak menyedut air, mereka boleh menyedut rokok....Tentang pesanan minuman tambahan itu, saya cukup faham. Inilah yang dikatakan imbas muka (foreshadow). Maknanya, akan ada separuh masa kedua perbualan ini....]

Sempat juga perkatakan beberapa subtopik sebelum Cikgu Non meminta diri sambil menitipkan pesan yang saya seratus peratus setuju:"Kalau 'nak rancak lagi, lain kali kena jumpa waktu malam.." Lain kali...itu yang saya setuju sangat-sangatKetika bersalam dengan Cikgu Non, PN sekali lagi memohon maaf atas kata-katanya dalam fb. Sekali lagi pula, kami sebenarnya tidak terasa apa-apa kerana tidak membaca apa-apa....

Perbualan diteruskan.

Masuk sesi ini, masing-masing menceritakan kelelahan mengharungi kehidupan serta kerenahnya. Ada juga sisi baru cerita lama kami. Bagaimana langkah-langkah survival Cikgu Rahim setelah meninggalkan AlFalah hingga menjadi agak berjaya kini.Betapa dia sentiasa mengingati sebuah sajak yang dipelajari semasa menghadapi SPM dulu: bahawa di Malaysia ini, kalau rajin, di mana-mana pun boleh hidup...Sajak itu bertajuk Dering Sen karya A Wahab Ali.

PN pula menceritakan perjalanan berliku dan panjangnya dari AlFalah > AlMasyhur > Pendang > Maktab Perguruan > Sarawak > Jerantut, Pahang. Bab berkenalan dan seterusnya berkahwin dimasukkan sebagai perencah cerita.

Saya pula menokok apa yang patut, meluahkan apa yang terbuku. Saya hanyalah Cipher.......

PN menjejak AlFalah pada tahun 1984. Datang secara solo dari Sungai Tiang. Kecil molek waktu itu. Boleh dan pernah didukung....Pertama kali berjauhan dari emak ayah, katanya.Rupanya kuat juga ingatan beliau.Tiga hari menjejak asrama, dia dikejutkan dengan perlakuan Siti Mariam Awang [Mak Yam] Maksudnya, di sini. Masih diingati, Ustaz Sakhawi Mohammad [arwah] yang sering membawa kamera ke dalam kelas..

PN hanya sempat empat tahun di AlFalah kerana ditawarkan ke AlMashur/AlMasyhoor, Pulau Pinang.

Meski pendek masanya di AlFalah dan telah dua puluh empat tahun meninggalkan kami, dia masih sudi berhubung dan bertanya khabar. Kau ada? He he he...

Nampaknya dia akan kekal di Jerantut. Pertamanya, dia telah lama kehilangan emak ayah tercinta di Kedah. Keduanya, kerana Allah menakdirkannya beristerikan orang Jerantut. Ketiganya, kerana anak-anaknya beribukan orang Jerantut. Keempatnya, ibu mertuanya berada di Jerantut. Kelimanyanya, kerana saya melihat salah satu foto profilnya bertulis JERANTUT KAMPUNGKU!

Budakfalah, bertebaranlah.....

Berdasarkan cerita PN, rupanya dia sama spesies dengan kami. Boleh bersembang hingga subuh kalau mahu.......Kepada yang mengingatkan saya dan rakan-rakan agar tahu diri dan tidak merasa masih bujang lagi, ini bukan soalnya. Sudah diklasifikasikan bahawa ada spesies manusia, bujang atau berkeluarga, yang boleh berjaga macam itu. Bukan salah kami.....Emak anak-anak kami pun faham!

Maka petang itu menjadi terlalu suntuk. Selepas Maghrib PN sudah berjanji untuk mengunjungi rakan-rakan ketika dia berkelana di Pendang selepas SPM 1989.Alang-alang sudah di Kedah, biarlah semua diredah! Lagi pula entah bila pula dia akan kembali. Kali ini pun pulangnya untuk menziarahi kakaknya yang dihimpit nestapa berikutan kematian suami pada hari Isnin lalu.


Dengan berat langkah dan hati, kami mencari noktah pertemuan ini. Dengan mengharap izin-Nya agar dipertemukan semula. Tahun ini, giliran Jerantut menjadi tempatnya menyambut Aidilfitri, maka tiadalah kelibatnya pada perjumpaan hari raya bekas warga Alfalah 23 Ogos nanti. Namun sokongannya, insya Allah, sepenuh hati. Berharaplah kita agar perjumpaan kali berikutnya, dapatlah saya perkenalkan Pawang Nujum kepada semua adik-adiknya...

Meski hampir suku abad meninggalkan AlFalah, PN masih menyimpan nama itu di hatinya dan tidak malu mengaku pernah berkubang di situ. Masih ada kerinduan berbaur luka pada AlFalah. Dulu, ketika ingin menziarahi saudara sekitar Mukim Tebengau, dia sanggup mengambil jalan jauh semata-mata ingin melintasi kawasan AlFalah dan menghirup sedekat mungkin aromanya. Kini, dengan keadaan Alfalah yang bukan seperti dulu, serasa ingin dihindari saja jalan itu......

Demikianlah.

Saya membelek foto dalam profilnya. Ada satu lagi bukti ingatan kepada AlFalah.... Saya tumpang bangga. Masih setia dalam kumpulan Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah meski dengan keadaan yang bercelaru dahulu, dia, yang menjadi admin sekumpulan lain dengan lebih 8,000 ahli, boleh saja angkat kaki......

Terima kasih Pawang Nujum, di atas ingatan berterusan.Terima kasih juga di atas kunjungan bermakna ke Simpang Empat kali ini. Meski singkat amat namun cukup untuk menjadi terapi rindu....

Siapakah Pawang Nujum atau pernah juga dikenali dengan Kuih Karas ini?

Saya membelek semula info fbnya. Peminat Manchester City FC ini [saya juga peminat MCFC sejak mereka menjuarai EPL...he he he], tidak pula menyebut nama penuhnya. Maka tidak bolehlah saya yang memberitahunya.....Kenalah mencarinya di Jerantut, kampungnya itu!



Pertemuan

Pertemuan berlaku
di penjuru matamu

yang ungu
lalu membiru


Pertemuan berlalu
di penjuru dadaku
yang sayu

lalu terharu


T. Alias Taib
Kuala Terengganu, 1974
(Dari antologi puisi "Di penjuru Matamu")

No comments: