![]() |
Foto koleksi Yusnita Mohd Yusof |
Dua pokok palma diraja (royal palm) yang menjulang di depan bangunan pejabat itu telah lama pergi. Pokok dari usaha Ustazah Rodziah Ahmad itu menyembah bumi sebaik sahaja AlFalah dijajah.....
Kesemua bangunan yang kelihatan itu masih ada, cuma yang di belakang bangunan pejabat itu [asalnya bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama pada bahagian atasnya], telah dirobohkan pada penghujung 1990-an dan diganti dengan bangunan setingkat, juga berperanan sebagai blok asrama.
Bangunan yang dirobohkan itulah yang menjadi fokus imbauan kali ini.....
Mula-mula kita fokus bahagian bawahnya.
Pada 1983, bahagian bawahnya dijadikan 2 kelas - untuk Peralihan A dan B. Di situlah juga digunakan sebagai dewan muhadhoroh dengan mengangkat dinding pemisah antara kelas yang sengaja dibuat tergantung. Setiap kali diadakan majlis, dinding berengsel itu akan ditolak ke atas dan diikat ke rasuk asrama.
Di dewan yang mulia itulah saya pertama kali berucap dalam majlis muhadhoroh dengan tajuk 'C'............ Imbasan muhadhoroh itu ada di sini.
Melalui tv itulah juga kami menonton pelancaran kereta nasional pertama Proton Saga pada tahun 1986... [Sebelum dibeli tv terpakai itu, pada malam-malam cuti, pelajar akan berduyun-duyun ke rumah Ustazah Rodziah untuk memberi peluang mata masing-masing bersenam sambil menonton].
Selain tv, bilik itu turut menempatkan mesin gestetner - mesin pencetak manual...
[Apabila bangunan surau didirikan berhampiran rumah Maklang/Maklong, terdapatlah pertambahan bilik kelas di bawahnya. Maka bilik tv di bangunan yang kita fokuskan sekarang, dicantumkan dengan bilik kelas bersebelahannya lalu membentuk pula bilik guru lelaki. Begitu flexiblenya AlFalah. Semasa itu blok yang rendah di hujung bangunan, jika dilihat dari rumah Maklong/Maklang, masih belum wujud. Tangga bangunan itu pun masih di bahagian menghadap matahari naik.]
Namun kenangan tentang bilik kecil itu tidak pernah padam.
Bilik tersebut pernah menjadi kelas untuk tingkatan Lima 1986/87 yang ketika itu seramai 4-5 orang anggotanya. Hal ini demikian kerana mereka adalah pelajar yang tersangkut semasa SRP 1983, lalu lulus pada tahun berikutnya. Asal mereka dari sekolah menengah biasa manakala pada tahun itu [1986] pelajar Alfalah yang mula memasuki Peralihan 1983 baru berada dalam tingkatan 3. Rujuk episod ini.
Pelajar kelas itu yang masih saya ingat adalah Zakaria Nayan [Seberang Alor], Rohaizee Azizan [Permatang Kangkong] dan Kalsom Yaakob [Kg Hj Jamal]. Zakaria [Pakya] adalah pelajar lelaki paling kacak dalam kelas itu kerana beliaulah satu-satunya berjantina begitu! Beliau juga antara yang kelihatan agak mewah kerana datang ke sekolah dengan menunggang motosikal Suzuki RC berwarna maroon.
Kelas ini menjadi seperti satu keluarga yang akrab. Seperti adik beradik. Maklumlah guru dan pelajar berbeza umur sekitar 5-6 tahun sahaja. Apatah lagi dengan kemunculan seorang guru baru matematik ketika itu. Dia sebaya malah sekelas dengan Kalsom Yaacob semasa belajar di Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz] dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Maka tidak hairanlah ketika pertama kali guru itu masuk untuk mengajar di dalam kelasnya, sesuatu yang tidak akan mungkin berlaku di mana-mana sekolah dan kepada mana-mana pelajar atau guru, apabila boleh pula si Kalsom berkata, "Laaa.... hang ka, Non!"
>bersambung<
No comments:
Post a Comment