2 March 2012

Saya? Jadi Cikgu?

Semasa saya belajar di SM Simpang Empat, Alfalah baru beroperasi semula setelah beberapa tahun di tutup. Saya terlalu mentah untuk ambil tahu siapa yang menguruskannya.

Sewaktu saya menuntut di SM Dato Syed Omar, penuntut di AlFalah menyusut semula.

Ketika saya mengambil STP, AlFalah ditutup lagi.

Selepas STP, saya ke Lembah Kelang sekejap. Ustaz Azizan membuka Restoran El Damina di Taman Tun Dr Ismail. Saya menjadi pekerja di situ. Kemudian berhenti. Restoran itu pula tak bertahan lama.

Suku ketiga 1982 saya bersama seorang rakan mencuba nasib menjadi pekerja di atas bot bilis di Tanjung Dawai, selepas habis musim menanam padi. Seronok juga jadi nelayan dan kata tukwan sayalah keturunannya yang tunggal pernah mengalaminya! Seminggu sekali, kami balik kampung dan ketika itulah saya tahu bahawa AlFalah sedang dalam proses dihidupkan semula. Tukwan memaklumkan bahawa saya dicadangkan oleh Ustaz Azizan untuk mengajar di situ. Saya? Jadi guru? Hari itu lebih awal dari biasa saya menaiki bas Mara ke Tanjung Dawai.

Sepanjang masa jaga di ofis, saya berfikir. Saya? Jadi guru? Masa tidur pula mimpi saya asyik dalam lingkungan yang sama juga. Anak-anak bilis panggil cikgu kepada saya! Kadang-kadang datang wajah tukwan yang memarahi saya kerana menolak pelawaan Ustaz Azizan.

1983. AlFalah dibuka. Ramai juga penuntutnya. Dua kelas Peralihan untuk bekas penuntut sekolah rendah. Dua kelas Tingkatan 3 untuk budak sekolah menengah yang gagal dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Waktu itu, yang gagal tidak akan dinaikkan ke tingkatan 4 seperti sekarang. Antara yang menghuni kelas mengulang itu ialah jiran saya, Zulkifli Basari, yang bersama saya membantu Ustaz Azizan menuai padi di Bukit Mertajam sebelum ini.

Saya masih terus mengajar anak-anak bilis di Tanjung Dawai. Setiap kali balik, tukwan akan mengulangi skrip sama: Ustaz Azizan ajak saya mengajar di AlFalah. Saya hanya diam dan diam-diam juga saya melintas tepi rumah Ustaz ketika berjalan ke perhentian bas, taku-takut terserempak dengan Ustaz!

Bulan Februari, saya buat ayat letak jawatan kepada tekong bot bilis. Dia nasihatkan saya supaya berfikir semula. Kalau ikutkan memang berat untuk meninggalkan rakan-rakan sejawat di Tanjung Dawai itu. Maklumlah, pendapatannya lumayan. Kalau dapat ikan tenggiri sesat ketika menarik pukat bilis itu, paling kurang kami dapat dua puluh ringgit bonus. Itu belum termasuk ketika tekong menjadi nakal - memukat ikan kembung dan memerintahkan kami dan pekerja bot memasak bilis mengunci mulut dari pengetahuan tauke. Seminggu 4 kali dapat bonus sudah memadai. Barangan tidak mahal ketika itu. Kaset asli pun tak sampai sepuluh ringgit. Kaset tiruan? Jangan tanya, sebab staff bot bilis tidak membeli yang local! (Malam terakhir di Tanjung Dawai, saya membeli kaset kumpulan Sweet September (Aduh Manisnya)yang baru popular ketika itu dengan lagu Hatiku Kau Guris Luka dan Nak Kahwin Duit Tak Ada. Lucunya di rumah, bukannya ada pemain kaset. Terpaksa pula ke rumah kawan untuk mendengarnya!)

Namun saya punya alasan yang kukuh. Ketika itu padi mula dituai. Tenaga saya diperlukan di kampung! Sedangkan sebenarnya saya dipanggil kawan-kawan untuk menarik padi. Masa itu mesin masih di luar jangkauan kami. Padi yang dibanting ditarik dengan anok kerbau hingga satu tempat. Dari situ kami gunakan basikal tua untuk membawa padi ke tempat di mana lori boleh sampai. Seguni seringgit. Setiap kali sampai kami akan menyimpulkan tali rafia di batang basikal, untuk dikira berapa guni kami tarik bagi setiap tuan padi. Seronok.


Satu hari kami menarik padi dari belakang AlFalah dan diletakkan di halaman sekolah kerana itulah saja tempat yang boleh dihampiri lori. Jalan dari AlFalah ke kampung kami masih bertanah hitam dan sempit. Becak dan berlorong bekas tayar basikal tua penarik padi seperti kami.


Setelah beberapa guni ditarik, saya tengok pelajar di hujung bangunan berhampiran jalan, memenuhi ruang tingkap memerhati ke arah kami. Riuh. Kami kehairanan. 


Zulkifli dan seorang rakannya menghampiri kami.


"Awat?" tanya seorang dari penarik padi.


Zulkifli yang kami panggil Adin tersengih. Dia menepuk bahu saya. "Ustaz kata hang nak mengajar kami"


Saya terpempan.


"Dah nak habis bulan dua. Cikgu Sains tak dak lagi......" Rakan Adin menokok.


Saya terpegun. Menoleh ke bahagian pejabat sekolah saya nampak kelibat Ustaz Azizan. Seseorang berhampiran pintu pejabat menggamit ke arah kami.


Saya pusingkan arah basikal dan memecut. Budak-budak di kelas tadi makin riuh. Allah saja yang tahu apa puncanya.


Saya? Jadi cikgu?