12 March 2012

Budak Falah 1956-61

Dia antara pelajar terawal AlFalah, tergolong berotak cair dan disayangi ustaz, petah berpidato. Namun, sebagai perempuan, era dan suasana tidak memihak kepadanya. 


Bayangkan ketika itu dalam kelas terdapat pemidang papan lapis untuk memisahkan tempat duduk pelajar lelaki dan perempuan. Waktu di luar kelas pula mereka terpisah oleh dinding zink. Hanya anak-anak nakal lelaki akan menebuk pemidang atau dinding itu bagi mengintai wajah pelajar perempuan.


Jika di dalam kelas dan kawasan sekolah demikian suasananya, mudahlah untuk saya memahami mengapa pelajar seperti dia akhirnya sepenuh masa menjadi suri rumah. Jangan bercakap soal potensi. Lupakan soal kecemerlangan.


Sesekali sesalannya dizahirkan kepada anak-anak. Nadanya seakan iri kepada luasnya peluang yang ada untuk pelajar kini. Kalaulah peluang itu wujud pada zaman persekolahannya......Dia pernah berhalusinasi. Tapi segera pula dia terjaga. Ketentuan Ilahi mesti tabah dihadapi. Setiap insan mempunyai zaman berbeza. Demikian juga dengan keberuntungan. Semuanya telah ditakdirkan.


Dengan ilmu yang diperolehi di AlFalah, Tuhan menakdirkan dia diberi peluang beberapa tahun menyebarkannya di sekitar Tebengau, Sungai Papan, Kota Sarang Semut, Batu Lima, Batu Sembilan, Seberang Alor, dan lainnya serta tidak ketinggalan kepada budak asrama AlFalah pada hujung 80-an dan awal 90-an. 


AlFalah terlalu dekat di hatinya. Tidak secara langsung dia pernah melahirkan kegembiraannya kepada saya kerana seorang anak pernah mengajar manakala dua anak lagi menamatkan pengajian menengah rendah di situ. Malah dia hampir bermenantukan alumni AlFalah!


Pertambahan usia bererti pengurangan jangkahayat manusia. Demikian hakikat untuk semua. Dia tentulah tidak terkecuali. Sakit adalah sekadar penyebab. Setelah lama terlantar dan diuji, pada 8 Mac 2012, jam 1:45 petang Khamis dia menghembuskan nafas terakhir, disaksikan anak sulung dan kedua dari sembilan beradik. Selamatlat dia menjejak suaminya yang meninggal pada tahun 1997. Hayatnya terhenti selepas dua bulan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-70. 


Tiap yang hidup pasti merasai mati.


Sebahagian petang hujan mencurah. Demikian juga ketika mayatnya dikafankan dan dibawa.
Dia disembahyangkan di Masjid Alor Pulai pada pukul 9:15 malam dengan diimamkan oleh Ustaz Wan Semae Wan Mat (Ustaz Man), bekas guru AlFalah. Dia dikebumikan sekitar jam 9:40 malam Jumaat itu berhadapan tingkap bahagian kiri masjid. Bacaan talkin, di tengah titisan hujan, disempurnakan oleh Imam Masjid Alor Pulai, Tuan Hj Hisham Ahmad dan Ustaz Man.


Dia telah pergi. Meninggalkan sembilan anak dan enam belas cucu. Tiada lagi kertukan di lantai rumah mengejutkan anak-anak yang berselimut mimpi, segera bangun untuk solat Subuh. Tiada lagi suara perlahan mengingatkan anak membaca Yaa Sin (sekurang-kurangnya) pada malam Jumaat -- gesaan yang kerapkali pula tak diendahkan. Tiada lagi nasi rendang yang enak. Tiada lagi amarah berbalut amaran atas setiap tingkah anak cucu yang khilaf. Tidak akan terdengar lagi bacaan al qurannya pada setiap kali selesai solat. Tiada lagi kelibatnya menghadap tv dengan Tafsir Ar Rahman di ribaan sambil mencatat sesuatu ketika rancangan Tanyalah Ustaz atau al Kuliyyah. Hilang juga pertanyaan paling lumrah, "sembahyang dak lagi 'ni?" setiap kali melintasi belakang anak dan cucu yang asyik menghadap tv atau komputer......


Dia telah pergi. Meninggalkan bimbingan yang bukan sedikit kepada anak-anak. Memendam segala luka, menghadam setiap duka. Demi anak dan keluarga. Demi Tuhan.


Dia telah pergi. Dialah ibu kami dunia dan akhirat, Habsah@Khatijah binti Sahak (1942 - 2012)


(Sesiapa juga yang pernah mengenali dan bergaul dengannya - walau sekejap - sudilah kiranya memaafkan jika terdapat tingkah dan bicara yang mengguris serta menghalalkan yang termakan dan terminum. Kepada Allahlah kami berserah) 
######################################




IBU AKU MOHON  MAAF 



Dan pohon kemuning akan segera kutanam
Satu saat kelak dapat jadi peneduh
Meskipun hanya jasad bersemayam di sini
Biarkan aku tafakkur bila rindu kepadamu

Walau tak terucap aku sangat kehilangan
Sebahagian semangatku ada dalam doamu
Warisan yang kau tinggal petuah sederhana
Aku catat dalam jiwa dan coba kujalankan

Meskipun aku tak dapat menungguimu saat terakhir
Namun aku tak kecewa mendengar engkau berangkat
Dengan senyum dan ikhlas aku yakin kau cukup bawa bekal
Dan aku bangga jadi anakmu

Ibu aku berjanji akan aku kirimkan 
Doa yang pernah engkau ajarkan kepadaku
Setiap sujud sembahyang engkau hadir terbayang
Tolong bimbinglah aku meskipun kau dari sana

Sesungguhnya aku menangis sangat lama
Namun aku pendam agar engkau berangkat dengan tenang
Sesungguhnyalah aku merasa belum cukup berbakti
Namun aku yakin engkau telah memaafkanku

Air hujan mengguyur sekujur kebumi
Kami yang ditinggalkan tabah dan tawakkal

Ibu aku mohon maaf atas keluputanku 
Yang aku sengaja maupun tak kusengaja
Tolong padangi kami dengan sinarnya sorga
Teriring doa selamat jalan buatmu ibu tercinta


>diubah dari Ebiet G Ade (Ayah Aku Mohon Maaf)