26 March 2012

Sebatang Lidi: Ismail Teluk Bulang

Malam tadi, di simpang Teluk Bagan, sambil minum dan menunggu tempahan kuetiau kerang siap, saya didatangi Ismail. Lama kami tidak berjumpa walau pun tinggal di kawasan kejiranan. Katanya dia kini bekerja rencam dan tinggal di jalan masuk ke Sungai Nonang. Pindah ke situ dari Teluk Bulang.

Rancak bercerita tentang anak sulungnya yang kini di Tingkatan Dua SMKDSO, sekolah saya dulu. Dalam aliran agama. Sifat keayahannya terpancar kepuasan berbalut syukur. Dibisikkan harapan terhadap anak-anak yang empat (setakat ini).

Kemudian meleret pula bertanya khabar rakan-rakannya semasa di AlFalah. Antara yang disebutnya The Only Md Rautin dan Fazli Budak Baling. Ada nada kerinduan pada getar suaranya. Katanya, rumah Fazli di Baling pernah dijengahnya semasa belajar dulu. Namun sejak bergelar bekas penuntut dan ditambah kekangan masa, tidak pernah lagi mereka bertemu. Hanya berjumpa rakan-rakan persekolahan dari kawasan sekitar Parlimen Kuala Kedah.

Saya memberitahu secara lebar tentang Rautin kerana baru saja saya dan Cikgu Rahim dijemput makan kenduri di rumahnya di Gajah Mati. Tentang dia yang kini menjadi Tuk ayah (he he he)di situ. Tentang bilangan anak dan tentu juga bilangan isteri....... (Setakat ini masih satu - orang Kelantan).Tentang keadaan rakan-rakan lain yang masih berhubung dan diketahuinya.... etcetera-etcetera.

Tentang Fazli Tahir, setahu saya kini menjadi mata-mata di Simpang Ampat, Tasek, Seberang Perai. Itu saja maklumat yang ada.

Ismail (saya lupa binnya) berdecit-decit. Memandang kereta yang melintasi di depan kami. Saya mengesan rindu itu lagi pada helaan nafasnya. "Nak buat macam mana cikgu no," katanya, " kita semua kalut..."

Menjelang lena, terimbas kembali kelas Ismail di AlFalah. Antara kelas paling riuh terutama semasa mereka di Tingkatan Tiga.

Ismail pernah saya jerkah di depan ramai pelajar kerana mengganggu seorang rakan yang sedang berhadapan saya di dalam kelas di bawah surau. Ketika itu saya sedang menjalankan ujian pendengaran dan lisan Bahasa Malaysia untuk peperiksaan SRP/PMR. Tak tahu adakah lagi ujian seperti itu sekarang di mana pelajar akan diperdengarkan sesuatu dari pemain kaset dan diminta menjawab beberapa soalan berkaitan secara perseorangan. Ada juga soalan lisan.

Dalam keadaan tertekan untuk menghabiskan sesi itu untuk setiap pelajar, Ismail buat hal. Apa lagi. Meletuplah suara saya. Seluruh pelajar diam. Ismail tertunduk. Lupa pula nak tanya tunduk malu atau kesal atau geram.

Tapi saya yakin tidak tersimpan apa-apa dalam hatinya. Yakin sangat. Kalau dia masih berdendam masakan saya dapat bangun dari meja malam tadi tanpa perlu bayar sesen pun.........

Ismail Teluk Bulang. Dia salah satu lidi yang bergabung dengan lidi-lidi lain membentuk penyapu yang besar di AlFalah....

No comments: