17 February 2014

Dah Lama Dah...



Budak Falah, berapa lama anda di AlFalah? Bermula dari tahun berapa hingga tahun berapa? Pernah tinggal di asrama?

Tidak kisahlah berapa lama, pada tahun bila, tinggal di asrama atau tidak.

Pernah dengar aiskrim Malaysia selama berada di AlFalah? Pernah menikmatinya? Jangan bohong...

Bagi pembaca dari planet lain, aiskrim Malaysia adalah nama khas bagi ais yang asalnya bancuhan sebarang perisa lalu dimasukkan ke dalam sarung plastik bersaiz dua jari, diikat kemas di hujungnya, dibekukan di dalam freezer atau peti ais.

Di kejiranan AlFalah, entah sejak bila, ais Malaysia dibuat dan dijual oleh Makcik Besah. Nama penuhnya Habsah Bt Hj Ahmad. Panggilan Makcik ini bukan saja-saja kerana dia warga emas. Ini Makcik tulen. Makcik adalah panggilan bagi anak-anak saudara sebelah suaminya yang berpangkat Pakcik pada susunan keluarga mereka..Saya dan adik-adik memanggilnya Makngah, kerana kami dengannya bukan orang pada satu sisi.

Salah seorang adik Makcik Besah [saya sebut Makcik kerana ia merupakan panggilan majoriti] adalah Mohd Nasir Haji Ahmad. Emak mereka Tok saudara saya. Mereka sepupu dengan Zawawi Hj Ali kerana Hj Ali itu adik kepada emak mereka, Hajah Om. Haji Ahmad, ayah mereka adalah datuk saudara [Tokcik panggilannya]kepada Roshadah dan Md Isa Saidin, Zyuhiroh dan Hafizoh Aziz, Mohd Zaini Azhari, Haslina Haron dan Salmah Saad [semua ayah mereka ini anak saudara Hj Ahmad]. Fauziah dan Mohd Zaini Salleh adalah anak kakak kepada Roshadah dan Md Isa. Tak tahulah apa pula panggilan mereka kepada Haji Ahmad. Kalau dalam bahasa omputih, grand Tokcik lah….

Di sebelah suaminya, selain anak-anak: Hafizoh, Ayob dan Rozinatulhanim Talib, anak-anak saudaranya adalah Zulkifli, Rosli dan Zabuti Basari serta Mariam dan Ahmad Hj Hashim. Rosli Jasin juga menyertai keluarga besar ini apabila berkahwin dengan Rozinatul Hanim.

Itu mukadimahnya…

Akan aiskrim Malaysia itu, terdapat dalam pelbagai rasa. Lazimnya, asam [asam ko?], oren dan sirap bandung serta Milo. Sesekali ada perisa anggur, laici, sarsi dan tidak ketinggalan kacang [dari bubur kacang?]

Mana satu pilihan anda. Terserahlah. Tidak cukup satu, ada yang menggonggong dua atau tiga batang.

Ada bermacam cara anda mula menikmatinya.

Ada yang menggigit simpulan plastik ais lalu dipusingkan batangnya hingga terputus simpulan tersebut. Bagi yang tidak berhati-hati – kena pula ais tidak beku sepenuhnya – menyemburlah air ais itu ke atas bahagian hadapan  baju. “Hang loklaq!” kata seorang kawan anda. Kawan anda yang tidak loklaq ini mungkin bersabar seketika sehingga terjumpa pisau atau gunting bagi memotong simpulan…

Ada yang tidak memutuskan di bahagian simpulan, sebaliknya menggigit pada bucu bawah plastik. Kalau perisa asam ko, kena tengok juga di mana kedudukan asam konya. Kalau ada di bahagian atas, bolehlah gigit bahagian bucu bawah. Kalau asam konya ada di bahagian bucu, gigit pula bahagian itu, hilanglah umphnya – asam ko habis dahulu dari ais… Asam ko ini pun bukan boleh diatur-atur. Ikut kedudukannyalah semasa dibaringkan di dalam freezer. Begitu juga dengan perisa bubur kacang. Semasa berbaring, sebelum beku,ia akan mendap…

Biasanya, ada tiga pula cara untuk menikmati aiskrim Malaysia. Terserahlah yang mana pilihan anda. Ini negara demokrasi…

Pertama, ais masih keras. Dinyonyotlah ais itu sebaik dipotong simpulannya.

Kedua, ais yang masih keras dipicit, diketuk malah dikarate seluruhnya supaya hancur seluruhnya sebelum dihisap.

Ketiga, ais dibiarkan cair. Mahu lebih cepat cair, rendamkan ke dalam koleh berisi air biasa. Mahu cepat lagi, sambil mandi atau membasuh pakaian, letakkan sahaja ais itu ke dalam kolah. Terserahlah mahu koleh atau kolah! Selepas, cair keseluruhan atau sebahagian besarnya, maka…. Haiya, lagi mau tanya ka?

Waktu untuk menikmati aiskrim Malaysia juga bebas. Ini negara demokrasi…

Boleh saja sambil berjalan ke pondok menunggu bas, sambil  menunggu bas, sambil membuat latihan di dalam kelas, sambil menunggu Ustaz Man naik ke surau untuk mengimami solat, sambil menunggu bola sampai ke kaki di dalam perlawanan bola harian di stadium AlFalah, sambil menjaga pintu gol yang tiangnya adalah dua pasang selipar jepun…., sambil membaca buku [samada secara duduk di kerusi atau meniarap di atas katil] pada waktu siang atau malam, sambil menunggu nasi masak, sambil menyental pakaian di bilik mandi, sambil menyeterika pakaian, sambil mandi, sambil menumbuk sambal dan pendeknya sambil menyambil perkara lain.

Begitu mudahnya menikmati aiskrim Malaysia kerana kekhasannya mempunyai plastik untuk digonggong...

Malah ada satu sambil lagi yang tidak dapat tidak kena juga saya catatkan. Jangan nanti diperkononkan! Atau ada pembaca [terutama bekas penghuni asrama] yang akan menyuruh saya menyebutnya juga nanti… Daripada kena edit semula, baiklah saya catatkan terus. Jangan marah aaaa!

Sambil melepak di dalam tandas!

Bukan sekali dua saya mendengar ‘haram jadah’ dari rakan yang membuka pintu tandas yang tidak berselak dan mendapati selain menunggu gugurnya sesuatu yang berada di hujung rektum, ada sahabat yang di mulutnya ada plastik berisi aiskrim Malaysia!

Ada beberapa kemungkinan.

Pertama, takut aiskrim itu hilang jika ditinggalkan di dalam asrama sedang dia berkelana sementara di dalam tandas. Kedua, tidak mahu mempersiakan waktu tanpa aktiviti menguntungkan. Ketiga, bauran aroma di situ lebih membuka selera, siapa tahu? Keempat, kelima, hatta hingga keberapa pun anda cari atau cubalah sendiri…

Tapi dua kemungkinan berikut ini tidak boleh dikesampingkan:
a] Bekas yang daripada sarung plastik itu amat fleksibel. Boleh dibawa ke mana-mana, baik secara dijinjing, diletakkan di dalam poket baju atau di dalam gulungan kain, dikepit di celah ketiak, diselit di celah lingkaran tuala atau kain basahan, di celah getah pinggang seluar sukan dan… digonggong di mulut.

b] harganya yang murah, maka ke tempat semurah mana pun tidak kisahlah dibawa…

Sekupang. Sepuluh sen.

Itulah harganya bagi sebatang aiskrim Malaysia.

Harga dekad 80-an. Harga dekad 90-an. Harga dekad awal millennium baru [2000 – 2010].  Harga awal dekad kedua millennium baru [2011 - ].Harga semasa orang heboh tentang kenaikan harga gula tahun lalu.

Adakah aiskrim Malaysia di tempat lain seharga itu? Sekupang. Entahlah, kalau Hasmah Hassan, Rafidi Romli, Anuar Ismail, atau Mohd Nazri Aziz boleh menjumpainya di sekitar pekan Kupang, Baling….

Walaupun telah lebih sedekad AlFalah ditutup, Makcik Besah tetap membuat aiskrim Malaysia. Tetap dengan pelbagai perisa. Malah telah dibeli satu lagi peti ais. Jualan untuk orang terutama kanak-kanak di kejiranan kami.

Anak cucu emak ayah, kalau berkumpul, tidak pernah lupa akan aiskrim Malaysia Makcik Besah. Kadang beramai-ramai mereka menghulurkan salam kepada Makcik Besan di muka pintu dapurnya untuk membeli 40-50 batang aiskrim Malaysia. Eleh, sebanyak itu, baru berharga RM4 atau RM5…. Dengan harga sekotak rokok Dunhill, senang-senang kami boleh dapatkan 120 batang aiskrim Malaysia Makcik Besah. Tidak jarang, ada sedekah tiga empat batang pula kerana membeli dengan skala yang banyak!

Maka menyonyotlah anak cucu emak ayah akan aiskrim Malaysia itu. Semua cara yang saya catat di atas digunakan. Agaknya, semua sambil menyambil yang saya catat juga berlaku kecuali yang satu itulah – yang di tandas…

Dua minggu lepas, ketika Fahrulruzi dan Norhafizah Mohd Jusoh bercuti seketika di kampung, anak-anak mereka empat kali berarak ke rumah Makcik Besah. Dari pertengahan pagi hingga lah awal petang. Malangnya hingga Fahrul bertolak pulang, Makcik Besah masih belum pulang dari ikut ‘bercuti’ ke rumah anaknya bersama Rosli Jasin dan Rozinatul Hanim… Terbayang kekecewaan mereka setiap kali pulang dengan renik peluh di dahi…

Minggu ini, saya menemani anak Norhafizah yang berusia empat tahun, melangkah parit kontang yang memisahkan kampung tokwan dengan kampung keluarga Makcik Besah. Bahang kemarau yang masih kuat melajukan pergerakan halkum atas bawah apabila membayangkan dapat membasahkannya kelak dengan aiskrim Malaysia Makcik Besah.

Anak saudara yang telah sering ke rumah itu setiap kali pulang bercuti, laju saja menuju ke bahagian dapur. Tetapi saya disapa Makcik Besah di bahagian depan rumahnya. Ibu tunggal itu sedang menunggal di rumah. Tiada anak atau cucu. “Lama hang tak mai. Mai la bersembang dulu..” katanya. Bukan tak mahu bersembang, tetapi insan yang datang bersama saya bukan lulus lagi ujian lisan BM… Sebentar sahajalah saya bersembang dengan orang yang saya panggil Makngah itu. Bab keluarga. Hangpa tak boleh tau. Off record.
 
Saya meminta 20 batang ais. Saya mengekorinya ke dapur, tempat terletaknya peti ais juga tempat pra-produksi aiskrim Malaysia. Saya membuka peti ais. Tu dia! Penuh sesak aiskrim berbaring tertib mengikut warna masing-masing. Pilihan hari itu: bandung, Milo, anggur dan oren. Bubur kacang? Pun ada. Pun ada. Tapi masih baru lagi dimasukkan. Suhunya pun masih pada suhu bilik…

Sambil itu, acara bersembang kami teruskan. Dapatlah lagi dua tiga maklumat…

Saya memilih 10 batang ais dengan perisa Milo, anggur  dan bandung .

Kemudian, setelah membayar dan menyambar empat biji buah mempelam di atas meja, yang Makcik Besah pelawa, saya pun beredar. Anak buah mahukan satu ais untuknya tetapi saya mengisyaratkan supaya tunggu sehingga sampai di rumah…

Musim kemarau. Angin kering. Atap zink. Ada aiskrim Malaysia. Fuh! Apa nak dikata…

Saya kehabisan kata-kata!

Bilakah kali terakhir anda menikmati aiskrim Malaysia?

Kalau tidak terjumpa di mana-mana, datanglah ke kejiranan kami. Sambil itu bolehlah juga jeling-jeling bekas AlFalah…

Ops!

Satu lagi, mulai hari saya membeli itu, harga aiskrim Malaysia Makcik Besah bukan lagi berharga sekupang atau sepuluh sen. Sudah menjadi dua kupang. Dua puluh sen.

Apakah rasionalnya kenaikan harga sampai seratus peratus? Kalau penguatkuasa KPDNHEP tahu peatus kenaikan yang melampau ini, mampus! Hehehehe.

Saya jangkakan tentulah Makcik Besah akan menjawab kerana kenaikan harga kandungan utama iaitu gula. Tetapi saya tersilap. Tiada sangkut paut pun.

“Sajala. Anak-anak kata ‘dah lama ‘dah mak dok juai harga sekupang…” kata Makcik Besah, selamba.

Laa…

Tapi ya tak ya juga. Sudah lama mengenakan harga yang ketinggalan zaman itu - sudah dekat  tiga dekad. Apa salahnya Makcik Besah menggunakan pula harga baru!


Eleh, kalau anda korbankan harga 20 batang rokok Dunhill perisa gangren, atau perisa kanser kerongkong  atau perisa bayi pra-matang itu, anda masih boleh mendapat 60 batang aiskrim Malaysia Makcik Besah. Plus sedekah lagi dua tiga batang. Bermacam-macam perisa pula…


Mau?

Mai la…