Budak Falah, berapa lama anda di AlFalah? Bermula dari tahun
berapa hingga tahun berapa? Pernah tinggal di asrama?
Tidak kisahlah berapa lama, pada tahun bila, tinggal di asrama
atau tidak.
Bagi pembaca dari planet lain, aiskrim Malaysia adalah nama
khas bagi ais yang asalnya bancuhan sebarang perisa lalu dimasukkan ke dalam
sarung plastik bersaiz dua jari, diikat kemas di hujungnya, dibekukan di dalam freezer atau peti ais.
Di kejiranan AlFalah, entah sejak bila, ais Malaysia dibuat
dan dijual oleh Makcik
Besah. Nama penuhnya Habsah Bt Hj Ahmad. Panggilan Makcik ini bukan saja-saja kerana
dia warga emas. Ini Makcik tulen. Makcik adalah panggilan bagi anak-anak saudara
sebelah suaminya yang berpangkat Pakcik pada susunan keluarga mereka..Saya dan
adik-adik memanggilnya Makngah, kerana kami dengannya bukan orang pada
satu sisi.
Salah seorang adik Makcik Besah [saya sebut Makcik kerana ia
merupakan panggilan majoriti] adalah Mohd Nasir
Haji Ahmad. Emak mereka Tok saudara saya. Mereka sepupu dengan Zawawi Hj Ali kerana Hj Ali itu adik kepada emak
mereka, Hajah Om. Haji Ahmad, ayah mereka adalah datuk saudara [Tokcik
panggilannya]kepada Roshadah dan Md Isa Saidin, Zyuhiroh
dan Hafizoh Aziz, Mohd Zaini Azhari, Haslina
Haron dan Salmah Saad [semua ayah
mereka ini anak saudara Hj Ahmad]. Fauziah
dan Mohd Zaini Salleh adalah anak kakak
kepada Roshadah dan Md
Isa. Tak tahulah apa pula panggilan mereka kepada Haji Ahmad. Kalau
dalam bahasa omputih, grand Tokcik lah….
Di sebelah suaminya, selain anak-anak: Hafizoh, Ayob dan Rozinatulhanim Talib, anak-anak saudaranya adalah Zulkifli, Rosli
dan Zabuti Basari serta Mariam dan Ahmad Hj
Hashim. Rosli Jasin juga menyertai
keluarga besar ini apabila berkahwin dengan Rozinatul
Hanim.
Itu mukadimahnya…
Akan aiskrim Malaysia itu, terdapat dalam pelbagai rasa.
Lazimnya, asam [asam ko?], oren dan sirap bandung serta Milo. Sesekali ada
perisa anggur, laici, sarsi dan tidak ketinggalan kacang [dari bubur kacang?]
Mana satu pilihan anda. Terserahlah. Tidak cukup satu, ada
yang menggonggong dua atau tiga batang.
Ada bermacam cara anda mula menikmatinya.
Ada yang menggigit simpulan plastik ais lalu dipusingkan
batangnya hingga terputus simpulan tersebut. Bagi yang tidak berhati-hati –
kena pula ais tidak beku sepenuhnya – menyemburlah air ais itu ke atas bahagian
hadapan baju. “Hang loklaq!” kata seorang kawan anda. Kawan anda yang tidak loklaq ini
mungkin bersabar seketika sehingga terjumpa pisau atau gunting bagi memotong
simpulan…
Ada yang tidak memutuskan di bahagian simpulan, sebaliknya
menggigit pada bucu bawah plastik. Kalau perisa asam ko, kena tengok juga di
mana kedudukan asam konya. Kalau ada di bahagian atas, bolehlah gigit bahagian
bucu bawah. Kalau asam konya ada di bahagian bucu, gigit pula bahagian itu,
hilanglah umphnya – asam ko habis
dahulu dari ais… Asam ko ini pun bukan boleh diatur-atur. Ikut kedudukannyalah
semasa dibaringkan di dalam freezer.
Begitu juga dengan perisa bubur kacang. Semasa berbaring, sebelum beku,ia akan mendap…
Biasanya, ada tiga pula cara untuk menikmati aiskrim Malaysia.
Terserahlah yang mana pilihan anda. Ini negara demokrasi…
Pertama, ais masih keras. Dinyonyotlah ais itu sebaik dipotong
simpulannya.
Kedua, ais yang masih keras dipicit, diketuk malah dikarate
seluruhnya supaya hancur seluruhnya sebelum dihisap.
Ketiga, ais dibiarkan cair. Mahu lebih cepat cair, rendamkan
ke dalam koleh berisi air biasa. Mahu cepat lagi, sambil mandi atau membasuh
pakaian, letakkan sahaja ais itu ke dalam kolah. Terserahlah mahu koleh atau
kolah! Selepas, cair keseluruhan atau sebahagian besarnya, maka…. Haiya, lagi
mau tanya ka?
Waktu untuk menikmati aiskrim Malaysia juga bebas. Ini negara
demokrasi…
Boleh saja sambil berjalan ke pondok menunggu bas, sambil menunggu bas, sambil membuat latihan di dalam
kelas, sambil menunggu Ustaz Man naik ke surau untuk mengimami solat, sambil
menunggu bola sampai ke kaki di dalam perlawanan bola harian di stadium AlFalah, sambil menjaga pintu
gol yang tiangnya adalah dua pasang
selipar jepun…., sambil membaca buku [samada secara duduk di kerusi atau
meniarap di atas katil] pada waktu siang atau malam, sambil menunggu nasi
masak, sambil menyental pakaian di bilik mandi, sambil menyeterika pakaian,
sambil mandi, sambil menumbuk sambal dan pendeknya sambil menyambil perkara
lain.
Begitu mudahnya menikmati aiskrim Malaysia kerana kekhasannya
mempunyai plastik untuk digonggong...
Malah ada satu sambil lagi yang tidak dapat tidak kena
juga saya catatkan. Jangan nanti diperkononkan! Atau ada pembaca [terutama
bekas penghuni asrama] yang akan menyuruh saya menyebutnya juga nanti… Daripada
kena edit semula, baiklah saya catatkan terus. Jangan marah aaaa!
Sambil melepak di dalam tandas!
Bukan sekali dua saya mendengar ‘haram jadah’ dari rakan yang
membuka pintu tandas yang tidak berselak dan mendapati selain menunggu gugurnya
sesuatu yang berada di hujung rektum,
ada sahabat yang di mulutnya ada plastik berisi aiskrim Malaysia!
Ada beberapa kemungkinan.
Pertama, takut aiskrim itu hilang jika ditinggalkan di dalam
asrama sedang dia berkelana sementara di dalam tandas. Kedua, tidak mahu
mempersiakan waktu tanpa aktiviti menguntungkan. Ketiga, bauran aroma di situ
lebih membuka selera, siapa tahu? Keempat, kelima, hatta hingga keberapa pun
anda cari atau cubalah sendiri…
Tapi dua kemungkinan berikut ini tidak boleh dikesampingkan:
a] Bekas yang daripada sarung plastik itu amat fleksibel.
Boleh dibawa ke mana-mana, baik secara dijinjing, diletakkan di dalam poket
baju atau di dalam gulungan kain, dikepit di celah ketiak, diselit di celah
lingkaran tuala atau kain basahan, di celah getah pinggang seluar sukan dan…
digonggong di mulut.
Sekupang. Sepuluh sen.
Itulah harganya bagi sebatang aiskrim Malaysia.
Harga dekad 80-an. Harga dekad 90-an. Harga dekad awal
millennium baru [2000 – 2010]. Harga
awal dekad kedua millennium baru [2011 - ].Harga semasa orang heboh tentang
kenaikan harga gula tahun lalu.
Adakah aiskrim Malaysia di tempat lain seharga itu? Sekupang.
Entahlah, kalau Hasmah Hassan, Rafidi Romli, Anuar
Ismail, atau Mohd Nazri Aziz boleh
menjumpainya di sekitar pekan Kupang, Baling….
Walaupun telah lebih sedekad AlFalah ditutup, Makcik Besah
tetap membuat aiskrim Malaysia. Tetap dengan pelbagai perisa. Malah telah
dibeli satu lagi peti ais. Jualan untuk orang terutama kanak-kanak di kejiranan
kami.
Anak cucu emak ayah, kalau berkumpul, tidak pernah lupa akan
aiskrim Malaysia Makcik Besah. Kadang beramai-ramai mereka menghulurkan salam
kepada Makcik Besan di muka pintu dapurnya untuk membeli 40-50 batang aiskrim
Malaysia. Eleh, sebanyak itu, baru berharga RM4 atau RM5…. Dengan harga sekotak
rokok Dunhill, senang-senang kami boleh dapatkan 120 batang aiskrim Malaysia
Makcik Besah. Tidak jarang, ada sedekah
tiga empat batang pula kerana membeli dengan skala yang banyak!
Maka menyonyotlah anak cucu emak ayah akan aiskrim Malaysia
itu. Semua cara yang saya catat di atas digunakan. Agaknya, semua sambil menyambil yang saya catat juga
berlaku kecuali yang satu itulah – yang di tandas…
Dua minggu lepas, ketika Fahrulruzi
dan Norhafizah Mohd Jusoh bercuti seketika
di kampung, anak-anak mereka empat kali berarak ke rumah Makcik Besah. Dari
pertengahan pagi hingga lah awal petang. Malangnya hingga Fahrul bertolak
pulang, Makcik Besah masih belum pulang dari ikut ‘bercuti’ ke rumah anaknya
bersama Rosli Jasin dan Rozinatul Hanim… Terbayang kekecewaan mereka
setiap kali pulang dengan renik peluh di dahi…
Minggu ini, saya menemani anak Norhafizah
yang berusia empat tahun, melangkah parit kontang yang memisahkan kampung
tokwan dengan kampung keluarga Makcik Besah. Bahang kemarau yang masih kuat
melajukan pergerakan halkum atas bawah apabila membayangkan dapat
membasahkannya kelak dengan aiskrim Malaysia Makcik Besah.
Anak saudara yang telah sering ke rumah itu setiap kali pulang
bercuti, laju saja menuju ke bahagian dapur. Tetapi saya disapa Makcik Besah di
bahagian depan rumahnya. Ibu tunggal itu sedang menunggal di rumah. Tiada anak
atau cucu. “Lama hang tak mai. Mai la bersembang dulu..” katanya. Bukan tak
mahu bersembang, tetapi insan yang datang bersama saya bukan lulus lagi ujian
lisan BM… Sebentar sahajalah saya bersembang dengan orang yang saya panggil
Makngah itu. Bab keluarga. Hangpa tak
boleh tau. Off record.
Saya meminta 20
batang ais. Saya mengekorinya ke dapur, tempat terletaknya peti ais juga tempat
pra-produksi aiskrim Malaysia. Saya membuka peti ais. Tu dia! Penuh sesak
aiskrim berbaring tertib mengikut warna masing-masing. Pilihan hari itu:
bandung, Milo, anggur dan oren. Bubur kacang? Pun ada. Pun ada. Tapi masih baru
lagi dimasukkan. Suhunya pun masih pada suhu bilik…
Sambil itu, acara bersembang kami teruskan. Dapatlah lagi dua
tiga maklumat…
Saya memilih 10
batang ais dengan perisa Milo, anggur
dan bandung .
Kemudian, setelah membayar dan menyambar empat biji buah
mempelam di atas meja, yang Makcik Besah pelawa, saya pun beredar. Anak buah
mahukan satu ais untuknya tetapi saya mengisyaratkan supaya tunggu sehingga
sampai di rumah…
Musim kemarau. Angin kering. Atap zink. Ada aiskrim Malaysia.
Fuh! Apa nak dikata…
Saya kehabisan kata-kata!
Bilakah kali terakhir anda menikmati aiskrim Malaysia?
Kalau tidak terjumpa di mana-mana, datanglah ke kejiranan
kami. Sambil itu bolehlah juga jeling-jeling bekas AlFalah…
Ops!
Satu lagi, mulai hari
saya membeli itu, harga aiskrim Malaysia Makcik Besah bukan lagi berharga sekupang atau
sepuluh sen. Sudah menjadi dua kupang.
Dua puluh sen.
Apakah rasionalnya kenaikan harga sampai seratus peratus?
Kalau penguatkuasa KPDNHEP tahu peatus kenaikan yang melampau ini, mampus!
Hehehehe.
Saya jangkakan tentulah Makcik Besah akan menjawab kerana
kenaikan harga kandungan utama iaitu gula. Tetapi saya tersilap. Tiada sangkut
paut pun.
“Sajala. Anak-anak kata ‘dah
lama ‘dah mak dok juai harga sekupang…”
kata Makcik Besah, selamba.
Laa…
Tapi ya tak ya juga. Sudah lama mengenakan harga yang ketinggalan zaman itu - sudah dekat tiga dekad. Apa salahnya Makcik Besah
menggunakan pula harga baru!
Eleh, kalau anda korbankan harga 20 batang rokok Dunhill
perisa gangren, atau perisa kanser kerongkong atau perisa
bayi pra-matang itu, anda masih boleh mendapat 60 batang aiskrim Malaysia
Makcik Besah. Plus sedekah lagi dua
tiga batang. Bermacam-macam perisa pula…
Mau?
Mai la…
No comments:
Post a Comment