26 November 2013

Sewaktu-waktu Mungkin Kita Bertemu...


Sambil anda menatap dan mendengar klip ini, saya terkenang sesuatu...

Saya muncul di AlFalah, sebagai guru, pada awal tahun 1983. Ertinya telah lebih tiga puluh tahun detik pertama itu berlalu. Ketika entri ini ditulis, pelajar SPM sedang bergelut menghadapi peperiksaan.

Pada masa yang sama, tiga puluh tahun dahulu, belum ada budak Falah yang mengambil SPM, kerana tahun 1983 itu cuma ada tingkatan tiga [akademik] paling tinggi. Hanya pada tahun 1985 barulah mereka yang melepasi SRP 1983 menduduki  SPM...

Ketika begini, cuti hujung tahun, pada 1983, pelajar lelaki tingkatan tiga tersebut sedang bergelut meruntuhkan bangunan bekas  sekolah Fajar Islam, di Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam.

Sekolah yang diasaskan oleh Ustaz Azizan itu, telah agak lama ditutup. Bangunan utamanya masih utuh. Bangunan itulah yang kami runtuhkan dan kayu serta perkakas yang masih boleh diguna semula, kami bawa ke Alfalah. selori besar, penuh.

Diturunkan semua kayu dan perkakas itu di tepi jalan utama, tempat menunggu bas, kerana lori besar memang tidak boleh menggunakan jalan ke AlFalah yang sempit. Bukan mudah pula untuk membawa selori barang itu ke tapak Alfalah.

Maka kami, yakni Cikgu Rahim Daud, Ustaz Zubaidi [abangnya Najib dan Shadah Ariffin] dan saya telah mengunjungi sekitar 30 buah rumah waris untuk menjemput mereka bergotong royong mengangkut muatan selori itu. Kami pergi ke Permatang Sala, Kangkong, Tebengau, Kg Pergam, Alor Ibus, Selarong Batak dan kampung berhampiran AlFalah.

Pelajar yang terlibat sejak dari proses meruntuhkan itu juga terlibat membuat jemputan serta ikut mengerah kudrat menanggung kayu dan segalanya.

Pendek cerita, kemudiannya kayu dan perkakas itulah yang membentuk kelas merangkap pejabat yang menghadap laman depan/pintu pagar sekolah itu, yang di depannya dahulu ada dua pokok palma.... Kini tempat yang sama menjadi pejabat kepada pihak yang sedang menjajah AlFalah.....

Masuk bulan November begini setiap tahun saya terkenang benar kepada mereka generasi pertama tingkatan tiga AlFalah itu....

Md Jin [Fazil Bakar], Latiff Rahim, Abdullah Hashim, Saidin Saad, Fazli Hj Mahmud, Kamal Bakar, Zakaria Nayan dan lainnya .....

Juga waris yang bersungguh-sungguh membantu: arwah Pakndak Mad [Ahmad Saad - ayah Ustazah Rodziah], Rahim [ayah Jamilah Rahim Selarong Batak], arwah Ramli Ahmad [ayah Nizam dan Amin Ramli] dan lainnya......

Serta tukang utama yang membangunkan semula blok itu; arwah Che Omar Adam, ayah kepada Mohd Zamri Che Omar....

Saya betul-betul terkenang....

Semoga jasa semua mereka diberi ganjaran oleh Allah. Aamin.

Di sebalik sesuatu ada pencetusnya....

... dan lebih ramai wira tak didendang di sebaliknya lagi...

Terkenang kenang wajahmu
Dengan rupa yang manis
Terbayang senyumanmu di mataku
Rasa hati ku sedih

Terbayang bayang wajahmu
Yang tak dapat ku lupa
Kau disayang hanya sepintas lalu
Seperti dipermainkan saja

Sewaktu waktu mungkinkah kita bertemu
Kepadamu yang selalu kukenang kenangkan

Ingin ku belajar kenang
Tetapi jangan marah
Namun kuharap kau tak keberatan
Sudi kiranya kau menerima


No comments: