Tengah hari Khamis itu, bilik guru AlFalah diselubungi senyum sinis. Ada tentangan yang tidak terucap.Tetapi seperti biasa, Cikgu Ramlah tetap dengan keputusannya: Sabtu nanti kita bawa budak asrama melawat laut, tepi pantai!
Bunyinya memang biasa. Lautnya sudah tentulah Selat Melaka, masakan mahu menghadap Laut China Selatan atau Laut Sulu! Tetapi laut dan pantai itu bukanlah Pantai Merdeka, bukannya Pantai Murni dan tidak juga Pantai Chenang...
Pantai Kangkong!
Apalah ada di situ selain dari selut memanjang dengan air yang keruh?
Tiada siapa cuba menyebut hal itu di hadapan Cikgu Ramlah.
Tidak oleh Ustaz Zubaidi yang setiap malam, sejak kecilnya, dapat mendengar hempasan ombak dari pinggir laut yang terletak tidak sampai 500 meter dari rumahnya, di Alor Pulai.
Tidak juga oleh Cikgu Rahim yang rumah datuknya sejarak 500 meter juga dari tepi laut, di sempadan antara Alor Pulai dan Kangkong.
Tidak pula saya yang bersuara, meski bendang ayah,yang sering saya bantu sebahagian kerja penyediaannya, hanya dipisahkan dengan laut oleh sejalur tali air di Kuala Kangkong...
Apalah ada di situ selain dari pantai selut memanjang dengan air yang keruh?
Berkelah di pantai Kangkong yang berselut? Pernahkah dibuat orang?
Kita?
Pagi Sabtu itu tiba. Yang dinamakan kita hanyalah saya dan Cikgu Ramlah. Ustaz Zubaidi menunggu di rumahnya. Cikgu Rahim, saya tidak ingat menanti di mana...
Maka pagi itu, bergeraklah kami dengan sekumpulan budak asrama - lelaki dan perempuan ke pantai ....
Sebaik melintasi jalan raya di tepi tempat menunggu bas, kami berderet ke kanan. Semasa itu ada satu jalan kecil dari tepi jalan raya, melepasi satu jambatan kayu, terus berjalan lagi sampai bertemu Kampung Alor Pulai. Tepatnya kami sampai di tepi kampung/rumah Tokcik Hj Abu Bakar H Abdullah, bekas imam serta bekas guru AlFalah tahun 60-an. Dua anaknya kemudian pernah mengajar di AlFalah pada tahun 1990-an - Siti Shu'bah dam Mohd Ghausillah.
Di depan rumah Tokcik itu telah menunggu Ustaz Zubaidi Ariffin. Semasa itu, adiknya - Najib dan Shadah [kedua-duanya pernah belajar di AlFalah] - agaknya masih di sekolah rendah kalaupun bukan di tadika...
Setiap bertemu dengan orang, pasti akan muncul soalan: nak pi mana tu?
Selain hairan melihat ramainya budak sebaya mengekori tiga orang 'tua', tentulah lebih lagi tahap kehairanan mereka yang bertanya melihat kami menghala ke tepi laut.
"Bawa budak-budak tengok laut..." kata Ustaz Zubaidi separuh tersipu. Maklumlah dia anak tempatan yang mengenali orang yang bertanya itu. Saya dan Cikgu Ramlah hanya tersengih. Orang yang bertanya pula ikut tersengih malah rasanya lebih hampir kepada terkernyih. Saya kira, tahu apa yang membuatkan kernyihan mereka begitu menikam kalbu...
Melepasi satu lagi tali air, memijak ban, kami sudah nampak laut - Selat Melaka.
Antara ban dan pantai ada memanjang kawasan berumput yang sesetengahnya menjadi tempat berkubangnya sang kerbau.
Kami meniti jalan kecil yang terdiri dari lumpur kering tergaul cengkerang halus dengan dilitupi rumput berdaun halus.
Huaaa...
Tiga empat orang pelajar lelaki mendepangkan tangan, menghidu aroma laut. Macamlah mereka baru sampai ke pantai di Port Dickson atau sekurang-kurangnya Pantai Morib, kata hati saya.
Kemudian, sekurang-kurangnya tiga sejarah pun tercipta.
- Kumpulan sebaya dengan pakaian beragam paling ramai pernah berjalan di tepi pantai dari Alor Pulai hingga ke Kuala Kangkong..
- Lawatan pertama seumpamanya pada jarak itu dilakukan oleh sebuah sekolah...
- Seorang penduduk tempatan berjalan sejarak itu semata-mata untuk menunjukkan kepada tetamunya pantai, selut, laut dan flora serta faunanya...hehehe...
Budak Falah kutip kulit siput yang dirasakan pelik atau menarik. Budak Falah tuliskan isi hati di atas pantai lembat berselut. Budak Falah lakar panah arjuna menusuk jantung dengan dua nama berlainan jantina mengapitnya....
Budak Falah menyepak kulit siput yang dikumpulkan. Ada yang mengumpulkan selonggok-selonggok hanya untuk memijaknya. "Sedap bunyinya..." kata beberapa orang.
Mentarang |
Beberapa orang budak lelaki siap menghamburkan diri ke dalam air berselut yang menampar pantai... Eiiii....jerit beberapa budak Falah yang berlainan jantina dengan mereka. Tetapi masing-masing tersenyum, ceria. Mujurlah ketika itu bukan musim mentarang.... Kalau tidak, jenuhlah pula mereka berendam di situ.
Di separuh perjalanan, kami berhenti untuk meneguk minuman yang dibawa oleh beberapa ahli 'rombongan', mengunyah biskut empat segi, selain awalnya sepanjang jalan mengunyah kuaci dan kacang goreng...
Budak Falah gembira. Tidak terasa letih biar berjalan sejauh itu di bawah sengatan matahari. Meski tidak bergambar seperti zaman ini, setiap sudut yang mereka nampak tercetak indah di dalam memori masing-masing. Sebaik kami menjejak ke Kuala Kangkong, orang tempatan serta penduduk sekitar yang bertumpu ke beberapa kedai runcit pastilah terpinga-pinga melihat gerombolan budak Falah begitu. Yang berenang tadi, baju dan tubuh termasuk muka telah diselaputi lumpur laut yang mula mengering, selamba sahaja masuk ke kedai, membeli sesuatu...
Saya hanya memerhatikan mereka. Memerhatikan juga wajah pencetus idea ke pantai itu - Cikgu Ramlah. Ada senyum di situ yang tidak saya tahu maknanya.
Kemudian kami berjalan berderet juga dari Kuala Kangkong untuk kembali ke AlFalah.
Letih, memanglah, tetapi semuanya bagaikan tidak menghiraukannya kerana hingga ke tengah malam masih bercerita pengalaman dari pagi itu...
Cikgu Ramlah |
Saya bayangkan berapa ramai sangat rakyatnya berpeluang melihat laut dan menikmati udaranya....
Saya teringat, budak Falah yang tinggal di asrama, kebanyakannya berasal dari daerah Baling dan Pendang. Sebahagiannya, tidak pernah melihat laut dan ....
Saya sebutkan itu kepada Cikgu Ramlah yang duduk di depan meja saya. Saya memuji ideanya membawa budak asrama ke laut kelmarinnya, meski pun hanya laut berselut pantainya...
Cikgu Ramlah hanya tersenyum. Sebelum berlalu, sempat dia menunjuk ke arah kepalanya, diikuti menunjukkan pula ibu jarinya dekat-dekat situ......
Ah, kenangan itu!
No comments:
Post a Comment