Sambungan dari episod pertama.
Suratan atau kebetulan?
Bagi yang malas membaca entri ‘Cinta Pantai Murni’ biarlah
saya catatkan sedikit peristiwa pada tahun 1987atau 1988 itu. {Saya pasti
antara dua tahun itu kerana 1987 tahun Cikgu Non mula berada di AlFalah, serta
tahunnya pencabar kami masih belajar di AlFalah – sehingga SPM 1988}.
Kami – sekumpulan guru dan pelajar – sedang
dalam perjalanan pulang dari lawatan ke Lembah Bujang anjuran guru Sejarah,
Cikgu Abdur Rahim Daud. Selepas melihat candi-candi dan bahan sejarah lain di
situ, kerana hari masih awal, kami pergi ke Tanjung Dawai sebentar. Sebentar kerana tiada
yang begitu menarik di kawasan perkampungan nelayan itu kepada kebanyakan ahli
rombongan. Sebelum pulang ke sekolah kami singgah pula beberapa ketika di
Pantai Murni, Yan. Pemandu bas juga sanggup menunggu, mungkin merasakan belum
berbaloi masa dan jarak yang telah dilalui setakat ini, dengan bayaran yang
diterimanya.
Setelah puas berjalan di sekitar pantai berselut
dengan air laut yang kelabu, termasuk menapak di atas jeti yang agak uzur serta
makan-makan di gerai berhampiran pantai, kami naik ke atas bas, sambil menunggu
semua pelajar selesai makan dan bersiar.
Ketika inilah datangnya cabaran dari tiga murid
perempuan – diketuai oleh Junaidah Kassim – agar kami [Cikgu Rahim, Cikgu Non
dan saya] dapat mengurat tiga gadis yang sedang duduk di salah satu bangku di
tepi Pantai Murni itu. Junaidah bersama Rubiah Baharom dan Norhayati Che Rose
menjanjikan makan percuma untuk kami
jika cabaran itu berjaya kami laksanakan.
Mereka tahu kami memang masing-masing masih
solo. Tidak pernah ada gossip di akhbar atau majalah bahawa kami sedang
berpacaran dengan mana-mana artis….hehehe. Sebab itulah mereka beria-ia
menggiat kami, apalagi dengan sokongan Cikgu Ramlah yang baru saja naik ke atas
bas rombongan – tempat kami berbual itu.
Tapi mereka tersilap dalam satu perkara.
Sepatutnya jangan mencabar ketiga-tiga serentak. Kalau dicabar seorang saja,
terutama saya, pastilah awal-awal lagi, saya mengaku kalah. Saya ingat pesan
emak sejak mula baligh dulu – jangan kacau anak dara orang, nanti dahi berbekas
dengan pelepah kelapa atau kayu panjang dengan lebar x tebalnya adalah 3” x 1½”
[bahasa kampungnya kayu tiga tengah dua]!
Apabila dicabar serentak begitu, kami saling
menumpang berani lalu membentuk satu keyakinan yang jitu. Membusung dada kami
dibuatnya…
Kami melangkah turun dari bas dan terus
menghampiri tiga gadis yang sedang memandang air Selat Melaka yang keruh itu.
Mereka terkejut dan cuba bangun. Namun, kerana niat kami ikhlas, agaknya
[hehehe], mereka rela ikut berlakon, setelah tahu bahawa kami menerima cabaran
dari sekumpulan murid yang sedang memerhati kami dari atas bas. Para pencabar
tadi bukan dengar pun apa yang kami bualkan…..
Maka berbuallah kami berenam. Tak ingat pula sama
ada dialog seperti Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok : ‘Agak-agaknya di
negeri China sekarang musim……’ ikut dilafazkan atau tidak. Tetapi sempatlah
bertanya asal-usul mereka bertiga.
Seorang daripadanya memberitahu bahawa rumahnya
di sekitar Sungai Udang, Yan. Apabila disoal lebih lagi oleh Cikgu Non yang
sememangnya mempunyai bapa saudara di sekitar itu juga [ dan saya pernah sekali
dibawa ke situ], ternyata gadis itu adalah puak
laghak Cikgu Non![puak laghak sering digunakan oleh cikgu Matematik dan Sains itu, bagi merujuk kepada kaum kerabat atau adik-beradik]. Apa lagi, siap dengan nombor telefon rumahnya kami
perolehi…{barang diingat pada hujung dekad 80-an itu, tak bolehlah kami sebut
dapat nombor telefon bimbitnya, nampak sangat pembohongnya, kerana era telefon
bimbit masih jauh lagi….Bekas air
berbentuk telefon bimbit pun belum ada!}
Kesempatan duduk berlama bersama tiga gadis itu
diperhatikan oleh pencabar kami di atas bas. Makin sah lagi apabila kami mampu
memperagakan nombor telefon salah seorang anak dara itu….. Maka makan
percumalah kami pada petang nan murni itu….
Demikianlah.
“Hang nak tau rumah budak tu? Nanti aku tunjuk….”
[Saya menyangka dalam perjalanan pulang nantilah akan
ditunjukkan rumah puak laghak Cikgu Non di sekitar Sungai Udang, berhampiran
bengkel Bas MARA, di jalan utama Yan – Guar Chempedak itu. Rumah yang nombor
telefonnya sempat kami minta semasa dio Pantai Murni dahulu].
Semasa kereta berpusing balik itu, saya nampak tapak tempat
bas kami diparkir sekitar suku abad dahulu. Lapang dan sunyi. Saya terkenang
kepada sekumpulan budak Falah yang ikut serta ketika itu, terutamanya tiga
pencabar tadi – Junaidah yang kini menetap di Melaka dan Rubiah yang kini
berada di Kelantan serta Norhayati yang tinggal di Negeri Antah Berantah... Dan
pastilah - paling jelas - muncul juga wajah arwah Cikgu Ramlah…
Cikgu Non memperlahankan kereta ketika menghala semula ke arah
jalan besar. Sebelum bertemu semula Dewan Dato’ Madi tadi, makin perlahan
pergerakan kereta itu.
“Tu rumah dia…..”kata Cikgu Non sambil menunjuk ke arah kanan,
pada sebuah rumah yang pintu pagarnya terbuka dan lampu porchnya bernyala
terang. Kami semua memerhati rumah tersebut.Seorang lelaki sedang memarkir
motor di bawah porch itu, mungkin baru balik dari kedai.
“Tu laki dia…” kata Cikgu Non lagi. Saya yakin Cikgu Non kenal
dengan lelaki tersebut, maklumlah itu suami puak laghaknya, pupu-poyangnya juga.
Maha Suci Allah. Kebetulan sekali kami melintas tempat
tersebut dan peristiwa lama itu serasa masih baru. Bagaimana agaknya rupa gadis itu
sekarang? Pastilah telah menjadi ibu kepada beberapa orang anak dalam usianya
sekitar 40 tahun kini… Masihkah dia
ingat lagi…
Cikgu Non membelok ke kanan, sebaik sampai ke jalan utama –
pastilah menuju ke Tanjung Dawai.
Jalan terus sunyi. Kereta sesekali dipecut. Ada hati menjadi
sedikit kecut… Cikgu Non tertawa apabila menjeling ‘jirannya’ menggenggam pemegang
pada sisi bumbung kereta…
Kami terus berbual…. Kliselah ayat ini di dalam blog saya,
kan?. Memanglah kami terus berbual. Kami bukannya pendatang asing di dalam
kereta dalang pembawa masuk tenaga kerja tanpa permit yang takut dengan sekatan
polis atau pihak imigresen, takut pula bersuara malah takut juga untuk bernafas
kuat atau melepaskan angin dengan kuat!
Sepanjang perjalanan tadi pun banyak yang kami bualkan. Tetapi
tidaklah dapat saya catat semuanya. Saya bukan kamera video, bukan juga perakam
kaset. Yang terlintas ketika mengetuk papan kekunci, itulah yang dapat anda
baca…
Kami bercakap tentang kerja buat Nasir di sebuah rumah di
kampung kami, tentang pertemuan tidak terancang Saiful dan Nasir dengan Shukeri
Sasuke dan Jauhar Amir di Permatang Pauh, tentang 10 tahun kematian Ein –
Syazriel Azenan, tentang Cikgu Non bermula dengan berkain pelikat dan mahu
makan nasi lemak di Guar tetapi rupanya perjalanan itu membawanya hingga ke
Johor Baharu! Tentang Ustaz Husin bersama Babuji berkain pelikat boleh sampai
ke Kuala Perlis pada satu malam, hanya setelah dirungutkan di dalam kereta
Cikgu Non ‘lama tidak makan ikan bakar’….
Macam-macam lagilah. Pendek kata, sepanjang perjalanan itu
banyak bab yang disentuh. Paling koman pun tentang rumah tinggi di kaki Gunung
Jerai yang sedang kami lintasi……
Beberapa minit setelah membelok lagi pada simpang antara
Singkir – Tanjung Dawai, tajuk dan nada sedikit berubah.
Sebaik nampak sebuah restoran yang lengang, Cikgu Non
memperlahankan kereta. “Tak buka..apa…” katanya, tercari-cari restoran yang biasa
dikunjungi.
Jalan sunyi. Beberapa kedai makan/restoran yang kami lintasi
kelihatan tidak bermaya. Pelanggan tidak ramai. Demi maruah, seperti kata Cikgu
Non, kita kena cari kedai yang ramai pelanggan….hehehehe
“Tak buka… apa…” kata Cikgu Non lagi. Saya tidak tahu restoran
mana yang dicari dan dimaksudkannya.
Jalan sunyi.
Kemudian baru terjumpa batu penyata jarak. Tanjung Dawai 2KM.
“Ni baru sampai….” Kata Cikgu Non, kembali bersemangat. Ada
satu simpang ke Kg Nelayan di kiri jalan dan kami Nampak cahaya lampu
kalimantang berbalut plastik hijau dari jauh, dalam 200 meter.
“Tuuuu!” kata kami serentak.
“Bukan yang ni….” Kata Cikgu Non apabila menghampiri restoran
tersebut. Dia terus memandu perlahan. Sehingga kemudian dijumpai restoran yang
dicarinya. Kereta dibelokkan ke kanan dan diparkir betul-betul di gigi laut.
“Tunggu lagi!?” saya bersuara sambil membuka pintu. Deburan
ombak memukul pantai seakan mengucapkan selamat datang kepada kami …. Angin dan
aroma lautnya… aduhai!
Beberapa orang kanak-kanak yang baru selesai makan bermain di
sekeliling kami. Kami memilih sebuah pondok untuk duduk bersidang.
“Hang tengok kerusi tu….” Kata Cikgu Non kepada Saiful atau
BBP. Kami memerhati kerusi kuning bersusun pada setiap meja di dalam restoran,
sedang kami bersila di atas pondok yang terletak di antara bangunan utama
restoran dengan gigi laut…
“Tu baru ada maruah….” Saya tidak ingat siapa yang berkata,
merujuk kepada kerusi yang dimaksudkan Cikgu Non tadi. Semua tersenyum.
Seorang gadis datang menanyakan pesanan.
Barli ais – Nasir
Jus Epal – BBP
Jus Tembikai + Laici – Saiful
Teh Tarik Halia – Cikgu Non
Limau ais – penulis….
“Tak kan limau ais saja, mai jauh-jauh ni….” Tanya seseorang,
kalau tidak silap salah seorang yang meminta jus tadi...
“Jadilah, nak potong lemak….”
Makan?
Belum ada keputusan. Cikgu Non tidak mahu makan kerana baru
sahaja mengunyah mi dari sebuah bandar di pulau Jawa – Bandung – bersama
anak-anaknya di rumah tadi. Yang lain masih malu-malu…. Cikgu Non bertanya
makanan ringan seperti keropok, tetapi yang paling ringan di situ adalah sotong
goreng tepung…Akhirnya saya menyuruh gadis itu beredar dahulu, sementara
keputusan dibuat nanti oleh majlis timbangtara…
Maaf, saya mahu taip sekali lagi: Kami pun terus berbual…..
Mengimbas beberapa perkara. Mengulas beberapa peristiwa.
Asalkan boleh dinamakan perbualan. Malah soal nama pun dibangkitkan.
Kata Saiful, hanya tiga orang yang memanggilnya Adly. Salah
seorang adalah Cikgu Non. [“Baguslah, ada kelainan” ulas Cikgu Non.] Di
kejiranannya, dia dipanggil Pun/Pul, manakala rakan sekolah memanggilnya Pak
Ali. “Pasai apa panggil Pak Ali?” tanya BBP, entah sama ada memang tidak tahu
atau sekadar mencelah perbualan. “Dari Adly, depa tukaq ke Ali” jawab BTB.
Muhyiddin ...err..Nasir dan BBP |
“Nasir lagi lain. Di kampung orang panggil Muhyiddin….” Kata
Saiful lagi. Muhyiddin …err... Nasir pun terangguk-angguk sambil tersenyum. Saya
sendiri dulunya menyangka Nasir anak kepada Hassan Tipah, seorang
sepupu-sepapat Nasir yang tinggal di kampung kami. Kebetulan hanya itulah
seorang Hassan yang saya tahu ada di situ. Tidak diketahui bahawa ayah Nasir
yang bernama Hassan itu rupanya di kampung dikenali sebagai Md Udi….
Macam-macam.
“Hang?” tanya Saiful kepada BBP.
“Tak berubah. Nama ‘tu jugak..” balas BBP. Perlahan sahaja.
Minuman sampai. Pelayan berlalu.
“Oi, hangpa tak mahu makan apa-apa ka?” tanya Cikgu Non. Kami
saling berpandangan. Saya mencadangkan diminta sebarang makanan dibuat
sepinggan besar dan dimakan beramai-ramai, kalau sudah semuanya enggan makan
yang berat-berat…
Pelayan dipanggil. Cadangan saya tadi tidak diterima secara
lisan… Saiful meminta nasi goreng. Cikgu Non bertanya nasi goreng apa yang
sedap… “Nasi goreng Cina, nasi goreng Thai, nasi goreng kampung…. Semua
sedap…”balas gadis pelayan.
Biasalah. Nama mungkin sama tetapi lain kedai lain sedap dan
rasanya. Sedap ‘kan sesuatu yang subjektif? Sedap di lidah Aswad Lorongmayat,
misalnya, belum tentu begitu kepada Zamri Zain. Demikianlah seterusnya.
Saiful meminta nasi goreng Thai dengan telur mata lembu. Nasir
menurut. Saya meniru, biar boleh makan secara berjemaah tiga orang. Satu lagi menolong memudahkan tukang goreng di dapur... BBP meminta
sup sayur tanpa nasi. Sejak bila dia menjadi vegetarian, tidaklah saya tahu.
Berkali-kali pula pelayan itu terpaksa meminta kepastian, betulkah tidak
dikehendaki nasi putih…
Sekali lagi mahu ditaipkan: Kami terus berbual. Hehehehe.
Dalam keasyikan berbual sambil minum dan menghirup udara laut
itu, tidak kami sedari, sekitar 5 meter dari situ – di pondok lain – ada
sepasang mata menoleh memerhatikan kami. Agaknya suara atau tawa kami telah
menarik perhatian telinga dan kemudian mempengaruhi mata. Sepasang mata itu
berbisik pula kepada sepasang mata di depannya yang kemudian turut memerhatikan
kami…
Sekali lagi: Suratan atau kebetulan?
bersambung...
No comments:
Post a Comment