23 October 2012

Dua Keping Papan, Dua Guni Sekam


Ustaz Fairose Hj Azizan, Cikgu Abdur Rahim Daud, Ustaz Zubaidi Ariffin dan saya.
 
Pada tahun 1983, selain Ustaz Azizan Hj Mustaffa selaku ketua, kami berempat adalah guru lelaki di AlFalah. Campur dua guru perempuan – Cikgu Siti Ramlah Johari dan Ustazah Rodziah Ahmad – ada tujuh orang guru. Lama kemudian barulah ditambah dengan kemasukan Cikgu Norhashimah Mansor dan Cikgu Siti Khamariah Hj Ismail.

Kelas hanyalah empat – Dua Peralihan dan dua Tingkatan Tiga. Maka ketika empat guru berada di dalam kelas, yang selebihnya membawa dirilah …..

Ketika itu, bangunan asrama lelaki yang belakang itu masih berada di tapak asal, di tempat bangunan pejabat pengetua selepas itu. Ia dijadikan satu kelas untuk tingkatan Tiga. Satu lagi kelas tingkatan Tiga adalah di dalam bangunan melintang berhampiran jalan mini ke kampung itu.

Kelas Peralihan pula, kedua-duanya diletakkan di bawah bangunan dua tingkat, yang kemudiannya [mulai 1984]menjadi asrama puteri di bahagian atas. Di situlah juga majlis muhadhoroh peringkat awal diadakan. Kedua-dua kelas itu dipisahkan oleh kepingan papan lapis berengsel di atasnya. Jika akan digunakan sebagai dewan, dinding itu akan di’gantung’ ke lantai merangkap siling kelas berkenaan.

Oleh kerana bahagian atas masih kosong, di situlah selalunya kami – empat guru lelaki  -  menghabiskan masa sementara menunggu waktu mengajar. Saya terlupa bagaimana bahang bumbung zink ketika itu kerana kami tidak pernah merungut bab panas. Tiada bekalan elektrik, mustahil pula ada kipas angin…

Di atas lantai papan sekaki itulah kami sering berbaring. Meniarap, mengiring dan menelentang. Bergolek-golek dan bergelak-gelak.  Ketika itu, kantin sekolah  yang dikendalikan oleh Makndak Pah [Hajah Arfah],emak Ustazah Rodziah tidak menyediakan tempat duduk, hanya sebaris meja untuk meletakkan nasi lemak – tempatnya di bangunan kayu tidak siap, di tapak yang kemudiannya didirikan surau AlFalah merangkap kelas yang berkiblatkan tandas [sila rujuk di sini…….}

Ustaz Zubaidi sering menyakat saya. Semuanya menjadi bahan untuknya. Pakailah baju atau seluar warna apa pun. Nyanyilah perlahan lagu apa pun. Semua itu akan dijadikan bahan untuk dia menyakat saya. Masih diingat ketika lagu Hanya Nyanyian Dalam Sepi {Chris Vadham} masih begitu asing di telinganya, dia berkata , “Kesian. Hang memang tak dak apa-apa Din noooo…” ketika saya lagukan lirik berbunyi:

cintailah dirinya,
 kerana dia lebih sempurna,
 apalah ada padaku,
 hanya nyanyian dalam sepi….”

 

Bagi yang tidak sempat mengenali ustaz yang kini pegawai polis di Kelantan, beliau berbadan agak berisi. Padat dan sihat. Demikian juga dengan Cikgu Rahim. Saya dan Ustaz Fairose pula berada dalam kelas lain dari segi struktur badan – kering dan melidi. Pinggang pun cuma sekadar 26 dan 27 inci.

Satu hari, Khamis, sedang saya menelentang berbantalkan dua tapak tangan, Ustaz Zubaidi yang merupakan abang kepada Mohd Najib Ariffin, penuntut AlFalah era 90-an dari Alor Pulai, duduk bersila menghadap saya. Cikgu Rahim dan Ustaz Fairose pula berdiri di tepi tingkap sambil melakukan aktiviti senaman mulut – menyedut dan menghembus asap…

“Hang ‘ni Din, tidoq lagu ‘ni nampak macam papan sekeping….” katanya sambil tersengih.

“Kembaq dengan Pirud, dapatla dua keping papan….” Cikgu Rahim pula tumpang semulut. Pirud adalah panggilan kami untuk Ustaz Fairose.

Saya mengiring, membelakangi Ustaz Zubaidi. Dia memegang bahagian pinggang saya. Terdengar tawanya mengekek.

“Laaa. Kalau Pirud pula mengiring sebelah sana, boleh buat palung, buat tarik semai padi…..” katanya sambil menepuk-nepuk pinggang saya. Cikgu Rahim ikut ketawa. Ustaz Fairose yang sedang asyik mahsyuk dengan rokoknya hanya tersengih.

Ini sudah lebih, detak hati saya. Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan menyuruh saya membalas. Insan yang lemah ini pun akur dan bersemangat.

“Hang ‘tu,”saya menelentang semula sambil merenung mukanya yang sentiasa mempunyai percikan kecil peluh pada hidungnya.

“Awat?” tanyanya, masih dalam sengihan menyakat. Menyakitkan hati betul, ‘kan? Jolok makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan. Hati saya mengiyakan dan lebih bersemangat.

“Hang ‘tu….. hang ‘tu… macam…macam err….” Saya kehilangan kata-kata. Sial, ilham tidak tiba.

“Macam apa? Hehehe” Ustaz Zubaidi terkernyih menanti saya menghabiskan ayat.

Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan mencari-cari perkataan untuk saya hamburkan.

“….macam… macam guni sekam!” Ambik ‘kau!

Ustaz Zubaidi menyentap sengihannya seketika. Terdengar dekahan tawa Ustaz Fairose. “Elok ‘dah. Dok ada dua guni sekam tang ‘ni…..” katanya di hujung tawa.

“Sekam ada banyak guna ooo….” Ustaz Zubaidi kembali bersuara.

“Sekam boleh buat apa?” Saya yang mendapat suntikan semangat dari lontaran kata Ustaz Fairose  tadi, bangun, duduk berlaga lutut dengan Ustaz Zubaidi.

“Boleh buat mesin padi lintas parit……” katanya, tidak mahu mengalah.

“Boleh bakar, buat baja….” Tiba-tiba Cikgu Rahim pula menokok.

“Kalau macam ‘tu, papan lagi banyak gunanya….” Saya memperkukuhkan sila.

“Buat apa?”

“Kalau hang mati, boleh buat keranda….” Ustaz Fairose yang menjawab bagi pihak saya. Mungkin rokok di mulutnya memberikan inspirasi. Saya lagilah bersemangat. Rupa-rupanya ustaz yang turut mengajar Bahasa Inggeris ini telah lama ‘pedih’ dengan sindiran Ustaz Zubaidi akan kekurangan ‘isi’ pada badan kami berdua.

“Buat rehal pun boleh, Pirud nooo…..” saya mula menambah. Ustaz Fairose mengangguk sambil melemparkan sekeping senyuman.

“Eleh, masa bulan puasa, ketul ais orang simpan dalam sekam, tak bagi cayaq [cair]…” tingkah  Ustaz Zubaidi pula. Giliran Cikgu Rahim pula mengangguk, bersekali dengan menyengih.

“Papan ada juga dipanggil sayang, sekam ada orang sebut macam ‘tu?” Saya mematahkan hujah mereka setelah ternampak papan sayang bangunan itu yang penghubungnya menyerpih sedikit.

“Orang gila kut yang panggil sekam macam ‘tu….hehehe” Kata Ustaz Fairose. Saya kagum dengan kespontanan sahabat itu menyambung cakap saya. Makhluk bertanduk dua yang tidak kelihatan pastilah menari sakan!

Ustaz Zubaidi dan Cikgu Rahim kemudiannya membentuk regu untuk mempertahankan bahawa guni sekam mempunyai banyak gunanya. Saya dan Ustaz Fairose pula berpadu kepala menegaskan bahawa keping papan cukup pelbagai faedahya!

Demikianlah bermulanya satu perdebatan.

Semasa masuk mengajar kemudiannya, saya masih mencari beberapa kegunaan papan. Naik semula ke tempat tadi menjelang waktu tengah hari, telah bersedia adalah menunggu Ustaz Zubaidi. Kemunculan Cikgu Rahim dan Ustaz Fairose beberapa ketika kemudian melengkapkan set kami untuk berdebat lagi. Pelbagai hujah, sebahagiannya tidak akan diterima oleh akal budak darjah satu pun, dikemukakan. Hangat sunggguh kerana kedua-dua pihak tidak mahu dianggap mengalah.

Loceng akhir berbunyi.

[Loceng ketika itu adalah seketul besi bekas gandar lori yang mempunyai empat lubang sebesar ibu jari di sisinya, digantung pada kuda-kuda  paling hujung bangunan tengah yang menghadap ke padang. Pada salah satu lubang itu diletakkan satu batang besi skru sepanjang setengah kaki. Setiap kali cukup waktu, batang besi itu akan diketukkan ke ketul besi berkenaan – bilangan ketukan mengikut selera si tukang ketuk….]

Hujah masih muncul secara perlahan dari mulut kami ketika menuruni tangga untuk pulang. Cikgu Rahim menunggang motor Honda C70  manakala Ustaz Zubaidi menunggang motor Honda CB. Saya dan Ustaz Fairose menunggang kaki sendiri, menapak ke rumah.

Rumah Ustaz Azizan terletak di tapak rumah Maklang/Maklong sekarang. Rumah kayu itu tidaklah besar.  Empat persegi sekitar 40’ x 40’. Hanya ada satu bilik. Ada satu tambahan dapur pada bahagian menghadap matahari naik  [timur]. Tangga utamanya menghadap ke bangunan melintang sekolah manakala tangga dapur menuruni ke bilik air berdinding zink terletak menghadap surau . Tandas pula terletak lebih kurang 10 meter  di luar bilik air.

Rumah itu sekadar tempat persinggahan dan penginapan sementara bagi Ustaz Azizan sekeluarga. Beliau akan sampai ke AlFalah pada awal pagi Ahad dan bertolak balik ke Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam, pada petang Khamis. Yang tinggal tunggal hanyalah Ustaz Fairose. Beliau menetap di situ sebahagiannya semenjak masih menuntut di Maktab Mahmud. Akan Ustaz Azizan dan ahli keluarga yang lain, demikianlah berulang alik setiap minggu. Hanya pada pertengahan tahun kedua AlFalah dibuka semula, barulah Ustaz Azizan berpindah dan menetap terus di situ.

Sepanjang Ustaz Fairose keseorangan, tukang catat inilah yang ikut menghuni rumah itu. Bertukar-tukar irama dengkuran suka sama suka. Berkongsi mi segera atau nasi lambat.

Pelajar asrama belum ada. Jadi petang-petang, kami meronda sekitar kawasan dengan motor. Malamnya keraplah Ustaz Zubaidi dan Cikgu Rahim bertandang – berbual-bual atau bermakan-makan  apa yang patut. Menonton tv? Minta maaflah. Kami masih muda dan waras ketika itu. Tidaklah mahu kami dikatakan gila dengan merenung peti tv sahaja, sedangkan untuk mendapat cahaya kami terpaksa memasang pelita minyak tanah. Tiada bekalan elektrik pada dua tahun pertama AlFalah dibuka semula…..

Oleh kerana hari terjadi perdebatan tentang sekam dan papan itu adalah hari Khamis, maka malamnya tinggallah saya dan Ustaz Fairose di rumah tersebut. Perasaan tidak puas dengan hujah-hujah siang tadi masih ada. Ustaz Fairose pula, sehingga Maghrib dia masih merungut tentang hujah pihak sebelah sana yang tidak munasabah…..

Rupa-rupanya demikian juga halnya pihak sebelah sana. Mereka tidak berpuashati.

Selepas Isyak, mereka datang ‘menyerang’ kami. Kali ini Cikgu Rahim datang bersama seorang saksi, iaitu sepupunya, Ismail  Omar. Kebetulan Ismail adalah rakan sekelas saya di SK Kangkong dahulu. Tidaklah lama masa yang diambil untuk Ismail menyerap dalam adat dan budaya kami. Barangkali pada peringkat awal dia agak terkejut melihat dan mendengar kami berhujah.

Saya dan Ustaz Fairose duduk di ruang dapur manakala Cikgu Rahim dan Ustaz Zubaidi bersila di pintu tanpa daun menghala ke dapur. Ismail duduk menjadi pemisah antara dua regu itu.

Seteko kopi terletak di tengah-tengah  bersama lima cawan. Ada sepinggan roti empat segi bulat di situ.

Bersaksikan props sebegitu, termasuk pelita minyak tanah yang dwifungsi - menerangi ruang dengan cahaya dan menyalakan puntung rokok dengan api - kami pun berhujah mempertahankan pendirian. Antara kegunaan papan dan manfaat sekam!

Ada hujah baru tetapi kebanyakannya hanyalah perulangan hujah siang tadi. Barangkali kerana kali ini ada saksi, maka hujah siang juga diguna semula. Bermula dari dua keping papan dan dua guni sekam , entah di mana ditukar menjadi papan dan sekam secara umum.

Ismail hanya memerhati dan mendengar. Sesekali tersengih melihat sepupunya bertikaml lidah denganrakan sekelas di sekolah rendah…..

Tidak perlulah saya perturunkan hujah kami di sini.

Yang nyata, makin tengah malam makin kuat suara kami berhujah dan mematikan hujah lawan. Saya yakin keriuhan empat suara itu sampai ke rumah emak ayah saya, apa lagi ke rumah Ustazah Rodziah. Ketika itu, tiada mat rempit, motor pun boleh dihitung dengan jari kaki dan tangan. Tiada juga kebingitan kenderaan lain. Tiada juga gema muzik dari mana-mana rumah.

Siapa yang menang?

Tiada. Sehingga jam 1.30 pagi tiada siapa yang mengalah. Ertinya tiadalah pemenang. Selesai hirupan terakhir dari teko ketiga – hasil bancuhan Ustaz Zubaidi – kami menutup acara. Regu lawan kami mahu balik……

Ketidakpuasan hati kami masih wujud hingga kini walaupun susuk badan [terutama perut] Ustaz Fairose dan saya sendiri tidak lagi boleh disinonimkan dengan papan nan sekeping. Sudah lebih dari sekam nan seguni …….

Demikianlah adanya kenangan itu.

Entah di mana Ismail Omar sekarang.

Ustaz Zubaidi pula khabarnya masih di Kelantan dan sedang berbahagia beristerikan Rubiah Baharom, murid kami dari generasi Peralihan 1983.

Cikgu Rahim, Ustaz Fairose dan saya, kalau pun tidak bersua muka, masih lagi bertelefon merisik khabar……

Cikgu Non? Semasa perdebatan itu berlaku, dia sedang berbulan madu sakan dalam tingkatan Empat, Sekolah Menengah Simpang Empat [kini SMK Tunku Abdul Aziz]……….(rujuk "Laaa....Hang Ka, Non!")

21 October 2012

Piala Malaysia Dan VW Itu ...[4]


Di rumah, kami disambut oleh si tauke ayam yang berkain pelikat, gayanya seperti baru bangun dari tidur. Selepas membuka pintu, dia menjabat tangan Cikgu Rahim. “’Nak buat macam mana nooo. Tak dak luck jugak…”katanya. Sebahagian kami mengangguk. Sekurang-kurangnya dia memadamkan sedikit bara di hati…

Kami duduk-duduk seketika sambil mendengar ulasannya sebagai penonton berkecuali.  Sambil itu, secara bergilir kami ke bilik mandi – memanjakan diri dan yang relevan dengannya. Sekurang-kurangnya mandian meredakan sedikit lagi bara di hati…

Setengah jam melewati tengah malam, Khairi pulang. Ceria sekali wajahnya dengan tubuh masih dibaluti baju-t berwarna rasmi pasukan KL.

“Apa macam?”dia memanjangkan sebutan sukukata ‘cam’ semasa mengeluarkan soalan yang memang kami tidak akan menjawabnya. Cikgu Amminy, dalam nada perlahan, meluahkan kekesalan dengan sikap Paktamnya yang melompat sakan ketika meraikan gol ketiga perlawanan.

“Hangpa jangan silap!” Khairi bersuara sambil melucutkan baju-t yang dipakainya. Baju itu dilambungnya ke meja kopi yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. Kemudian dia mencapai kain pelikat petang tadi yang dihampar pada penyandar sofa, melondehkan seluar di depan kami dan menyarungkan kain pelikat itu, juga di depan kami.

“Hangpa dengaq dulu…”

Setelah merasa selesa, dia duduk bersila, membentuk separuh bulatan bersama-sama kami dan rakan serumahnya – si tauke ayam yang beberapa kali menguap – sambil menghadap tv.

“Tahun lepas aku pakai baju hijau kuning. Masa balik puas aku kena bantai dengan kawan-kawan yang semua sokong KL dalam kereta. Tahun ‘ni depa suruh aku sokong KL. Aku ikut saja, ‘nak bagi seronok kekawan. Bila aku pakai biasa tadi, depa tak percaya aku dah ubah sokongan. Aku memang harap Kedah pukui KL. Bolehla aku bantai depa.Hangpa pun ‘tau, aku dok sorak untuk Kedah walaupun ‘dah kena dua gol.”

Khairi berhenti sejenak, mengisyaratkan kepada anak saudaranya yang merokok agar dihulurkan kotak rokok. Anak saudara itu bukan setakat menghulurkan, malah siap menolong membakar rokok yang terletak di antara dua bibir Paktamnya.Khairi pula menyedut dalam-dalam hingga berlopak kedua-dua pipi…

“ Tapi bila si Ramlan bubuh gol ketiga ‘tu, aku ‘tau Kedah tak boleh pi ‘dah…. Aku pun cabut baju luaq laaa. Untungnya, hingga sampai depan rumah tadi, takdak sapa kutuk aku. Depa percaya aku sokong KL…”

Tiada  siapa bersuara. Barangkali semua faham duduk perkara. Barangkali semua membayangkan berada di dalam ‘kasut’ Khairi. Perantau yang mencari rezeki di Kuala Lumpur…..

Maka ruapan marah dengan tindakan Khairi di stadium akhirnya macam dikutil – hilang begitu sahaja….

Hendak dipanjang-panjangkan pun tiada gunanya. Kami sedang berlindung di bawah bumbung rumahnya. Menggunakan bilik mandinya. Menyantap seadanya yang disediakannya. Buatnya dia menyuruh kami mengangkat kaki tengah-tengah malam begitu, ke manakah akan  dibawa kaki-kaki kami?

Kemudian, ketika masing-masing merendahkan seluruh badan hingga ke karpet, berbantalkan penyandar sofa dan beg pakaian, kami bersembang perancangan untuk siang nanti. Pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk usul oleh Khairi. Saya hanya mendengar kerana tahu cadangan yang tersimpan di dada kalau dimuntahkan pun tiada yang akan akur. Secara peribadi – tolong jangan beritahu kepada sesiapa, ya - saya ingin ke tempat di mana khabarnya terdapat ramai orang baik-baik di kalangan janda, di Pahang. Duduk di situ barang seminggu dua, menanti cerita bola ditenggelami oleh bah di Kedah sambil dipujuk lara hati oleh para janda tadi…….

 “Kita pi Port Dickson!”

Demikian cadangan Cikgu Amminy. Siapalah kami, terutama saya, untuk membantah cadangan supir kedua itu jika supir pertama merangkap tuan punya vw merupakan orang terawal menyatakan persetujuannya……….

Ketika matahari melebarkan cahayanya di bumbung Kuala Lumpur, kami sudah bersedia. Walaupun kalau boleh mahu disambung lena, kami tetap teringat kepada orang yang mengaku KL itu kepunyaannya. Apa pula kata warga kota jika tuan KL tidak masuk kerja semata-mata melayan tetamu kecewa di rumahnya…..

Bersalam-salamanlah kami dengan Khairi. Dia memeluk dua anak saudaranya. Itulah momen paling menyebakkan selama di KL. Lebih dari ketika melihat bola sepakan Ramlan bergolek….. Apa pula masih diingat benda malang itu? Saya menepuk-nepuk kepala agar ingatan tentang perlawanan semalam luruh terus.

Saya tidak teringat siapa yang mewakili memberi ucapan pendek kepada tuan rumah yang diwakili Khairi. Kawannya, apakenama, sebelum subuh lagi sudah berangkat ke lokasi niaganya. Selain titipkan salam untuknya, kami sempat berpantun: Terima kasih daun padi, tahun depan kami mai lagi…..

Keluar dari KL, vw nan gagah membawa kami ke Seremban. Di situ kami berjalan-jalan di dua tiga deret kedai. Tiada apa-apa yang kami beli kerana memang tiada niat untuk membeli apa-apa.

Agak lama berjalan dan melihat-lihat, menyedut udara bandar Seremban, perut pun berdehem. Terdengar jelas dialognya yang separuh menyindir dengan tekak yang kemudiannya dihantar ke otak untuk ditafsirkan. Tangan yang turut terasa, hanya menggosok perut dari luar menyuruhnya bersabar sedikit.

Kemudian mata kami tertumpu ke sebuah kedai makan. Tekak menelan liur dan sebaik liur itu sampai ke perut, terloncat-loncatlah ia kegembiraan sambil menyanyikan lagu keroncong dengan kuatnya…..

Kami makan dengan menunjukkan ciri orang Kedah. Longgok sakan, lauk pun sakan, suapan lagilah sakan. Biarlah, di Seremban, tiada orang akan menyangka kami dari negeri pengeluar beras, yang baru tewas dalam pertarungan semalam. Lagi pula vw yang kami naiki bukan berdaftar di JPJ Kedah….

Perut meminta ampun kerana terlalu kenyang. Tekak menyindirnya. Tangan kiri menggosok perut manakala tangan mengusap halkum, meminta kedua-duanya bertenang. “Kita jauh di tempat orang ‘ni…..”pujuknya.

Keluar dari Seremban, kami mencari arah ke Port Dickson.

Saya terkenang orang tua-tua yang menghantar anak ke sekolah. Hasrat mereka: Paling kurang, dapat membaca nama destinasi bas, pun cukuplah. Kini, kami berlima di dalam vw, dengan fasih dapat membaca papan tanda di sepanjang jalan. Selesalah pak supir mengendalikan stereng apabila terjumpa penunjuk arah…

Kami sampai di plaza tol, apakenama. Ustaz Fairose memberhentikan vwnya betul-betul di sisi pondok tol paling kiri. Di dalamnya sedang tersenyum juru tol berusia awal duapuluhan. Semua mata kami bertumpu ke arahnya. Salah seorang sempat memanggilnya, mendasarkan pada nama di tag yang dipakai di kanan dada.

Si dia hanya tersenyum.

“Jom ikut pi PD!” pelawa seseorang. [Saya ingat seseorang itu tetapi demi tidak mahu diketahui oleh anak-cucu kami kelak, terpaksalah dirahsiakan. Hehehehe. Jurutol itu pun kini pasti sudah berada di penghujung empatpuluhan usianya….]

Si dia hanya tersenyum.

Bye-bye!” hampir semua dan serentak kami bersuara dan melambai sebaik pak supir mendapat tiket tol dari si dia.

Bagai diprogramkan, si dia hanya tersenyum. Tidak pun membalas lambaian kami yang masih tertoleh-toleh ke arah pondok tol.

Gembira sungguh kami. Ustaz Fairose memecut vwnya melatam lebuhraya….

Sepuluh minit kemudian, ada di antara kami yang perasan. Papan tanda di pinggir lebuhraya tidak satu pun tertulis Port Dickson. Vw diperlahankan. Seorang pula berkata, rasanya kami telah melintasi satu simpang ke kanan tidak jauh dari plaza tol tadi - semasa kami sedang mencari penutup kepada gelak-gelak kepada jurutol itu. Sudah! Libang-libu jadinya.
Vw dihentikan di bibir jalan akhirnya. Salah seorang menahan sebuah kenderaan, bertanya arah ke PD. Sahlah kami telah terlepas simpang tadi…..
Vw bergerak semula dengan perlahan. Pada satu tempat yang hanya diletakkankan beberapa kon oren berantaikan gantungan plastik pelantun cahaya berwarna merah, memisahkan dua arah laluan lebuhraya, sekali lagi vw dihentikan. Kami turun berempat.

Dengan meniru lagak pekerja PLUS, kami mengangkat empat lima kon dan rantai penyambung sesamanya, memberi ruang yang cukup untuk Ustaz Fairose mengemudi vw membuat pusingan U. Kereta yang lalu-lalang tercengang melihat ‘kura-kura’ besar melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh spesies mereka di tempat begitu. Ada di antara pemandunya membunyikan hon, agaknya bertanya: Apakah halnya? Tetapi kebanyakannya hanya memperlahankan kereta seketika sebelum terus memecut, meninggalkan deru yang kalau diterjemahkan bermaksud: Adakah perlu aku kisahkan?.....

Lega rasanya apabila menaiki semula kereta dan menghala ke Seremban semula….

Tetapi di pondok tol, seorang jurutol berusia sebaya kami tersenyum sebaik diunjukkan tiket tol oleh Ustaz Fairose. “Ini sudah salah, encik,”katanya tanpa meletak ke tepi senyuman itu.

Tidak tahulah samada orang Nogoghi itu sekadar menyakat atau tidak apabila mengatakan kami sepatutnya disaman. Kami semua bersuara hampir serentak yang tidaklah dapat saya perturunkan semuanya di sini akan buah butirnya.Tetapi dapatlah dirumuskan bahawa semua kami telah tersilap dan mohon dimaafkan.

“Tak apalah,” kata jurutol yang juga diprogramkan untuk sentiasa tersenyum itu, “kerana mood saya baik hari ini, encik bayar denda sepuluh ringgit sudahlah……”

Lega rasanya sebaik palang di hadapan terangkat setelah sepuluh ringgit digunakan untuk menebus kesalahan kami. Tidak sempat untuk melambai kerana tiba-tiba kami perasan rupanya hanya ada dua pondok tol yang berpenghuni di plaza tersebut pada ketika itu. Satu untuk masuk dan satu untuk keluar.

Ertinya………

Di hujung kawasan berpembahagi jalan bagi vw dipusingkan menghala ke Port Dickson semula, Ustaz Fairose memberhentikan kenderaan. Dia meminta Cikgu Amminy pula memandu. Setelah saling bertolakan seminit dua, akhirnya Ustaz Fairose tetap dikehendaki terus memandu….

Di pondok tol, gadis yang kami tinggalkan sambil berbye-bye tadi masih ada. Tersenyum manis menghulurkan tiket kepada Ustaz Fairose yang sedang terkunci mulutnya. Kami yang bertiga di tempat duduk belakang pula tunduk serapat mungkin hingga kepala badan bertemu kepala lutut! Malu woo……

Sehingga vw digerakkan semula, kami masih dalam keadaan sujud dalam solat orang uzur itu. Tidak siapa lagi yang berani melambai atau berkata ‘bye-bye’! Tapi saya cukup yakin, juru tol itu sedang tersenyum juga sambil mengekori dengan hujung mata akan keberangkatan kami…

Kali ini vw bergerak secara sederhana. Sepuluh biji mata terarah ke semua papan tanda yang ada di bahu jalan. Ketika terjumpa peringatan simpang keluar ke Port Dickson di hadapan, semua kami bersuara dan saling mengingatkan agar jangan terlepas lagi…..

Demikianlah.

Akhirnya kami sampai ke kawasan pantai yang terkenal itu. Berpakaian seperti orang makan kenduri di situ, apalah sangat yang kami dapat lakukan selain berjalan-jalan sepanjang pantai, melihat-lihat orang yang tidaklah begitu ramai memandangkan hari itu awal minggu (Isnin), melihat-lihat gerai yang sederet didirikan di kawasan lapang di bawah pokok dan menyepak-nyepak pasir….

Saya tidak ingat sangat sama ada kami berendam atau sebaliknya semasa di pantai Selat Melaka. Yang diingat hanyalah berjalan-jalan hingga melintasi satu kawasan dipenuhi batu besar dan tumbuhan – tempat pasangan insan berlainan jenis berjumpa, mengucapkan ayat-ayat cinta, berjanji bersaksikan laut dan pantai. [Mungkin sekarang kawasan itu telah dimurnikan oleh pihak berwajib atau peneroka haram. Kalau pula masih ada sebagaimana asal tempat itu, frasa ‘tempat pasangan insan berlainan jenis’ kenalah diubah atau ditambah sedikit kerana sekarang sudah ada pasangan insan sama jenis……]

Berpatah balik, kami berbual-bual sekejap dengan ‘budak-budak pantai’ yang menyewakan tayar dalam kereta dan lori untuk dijadikan pelampung, singgah melapik perut di satu gerai dan berjalan-jalan semula menyedut udara pantai.

Ternyata, berada di situ, kami benar-benar  ingin melupakan kepedihan semalamnya. Tetapi walau hampir tidak disebut oleh sesiapa di antara kami tentang kegagalan kali kedua berturut-turut Kedah untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia, kekecewaan itu tetap masih terasa…..

Petangnya, kami bertolak balik. Cerita perjalanan balik tidak perlulah saya catatkan. Tiada yang menarik. Lagi pula kami ditempat duduk belakang kebanyakan masa adalah dalam suasana lena yang amat asyik.

Tabik untuk Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy yang tabah mengharungi jalan pulang, bergilir-gilir berada di belakang stereng vw yang tidak sekalipun meragam itu.

Bagaimanapun ada sesuatu yang saya ingat secara peribadi semasa berada di Port Dickson…..

Di satu batu besar, kami duduk menghadap Selat Melaka. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Masing-masing memegang beberapa ketul batu 
kecil, bergilir-gilir melontar kuat ke permukaan air…………

Ingat atau tahu cerita Semerluki? Saya pernah terbaca tentangnya yang merupakan seorang pahlawan handalan anak raja Negeri Mengkasar, bernama Raja Keraing Mancokok.

Semerluki, anak dari isteri pertama dari tujuh beradik yang dinikahi ayahnya, telah jatuh cinta kepada ibu tiri merangkap ibu saudara yang bongsu. Si ayah yang tahu keadaan, secara lembut menyarankan si anak merantau kerana di muka bumi ini banyak lagi wanita yang lebih cantik dari isteri bongsunya itu.

Dalam kehampaan, Semerluki, dibantu oleh orang kanan bernama Daing Segara, mengumpulkan angkatan lautnya yang terkenal kuat dan banyak.
Mula-mula dia menyerang  Jawa demi mencari wanita secantik emak tiri bongsu itu. Kanak-kanak dan wanita tidak diapa-apakan, manakala kaum lelaki pula hanya dibunuh jika melawan. Harta yang mahal nilainya akan dirampas.

Kemudian dia menyerang Pasai, ketika itu jajahan Melaka. Dimusnahkan semua kapal di pesisir pantai Pasai lalu cuba pula menghala ke Melaka. Sultan Mansur Syah murka lalu memerintahkan Laksamana Hang Tuah membebaskan Laut Melaka dari gangguan Semerluki. Terjadilah pertarungan yang maha dahsyat, hingga angkatan Semerluki berundur semula ke Pasai. Angkatan Hang Tuah tetap menanti di sekitar perairan. Di Pasai telah menunggu pula, Raja Kenayan, harapan Raja Pasai, yang ternyata lebih bersedia dengan kelompok besar menahan maruah Pasai yang diserang sebelum ini. Keberanian orang Pasai yang awalnya ingin dimusnahkan kerana merupakan takluk Melaka, menyebabkan Semerluki terpaksa berpatah balik.

Tetapi dia bertembung pula dengan kumpulan pimpinan Hang Tuah. Berlaku lagi pertarungan dahsyat. Akhirnya kapal Semerluki yang terpisah dari kumpulan asalnya terpaksa berundur, sambil membakar semua harta rampasan dan kapal-kapal kecil. Mungkin untuk melengahkan angkatan Hang Tuah atau biar sama-sama tidak mendapat harta…

Isteri cantik yang diingini tidak diperolehi, harta juga hilang. Dihambat oleh laksamana Melaka pula.

Semerluki sangat hampa dan marah. Dia terus belayar dari teluk ke teluk.

Sampai di satu teluk, dengan Daing Segara di sisi, Semerluki membuang seketul batu dan berkata, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang ke laut Ujung Tanah[Melaka] ini!” Tempat itu hingga kini dipanggil Tanjung Batu.

Akan Semerluki pun terpaksa merantau ke kawasan lain, terus mencari isteri yang secantik ibu saudaranya itu….

Begitulah lebih kurang dari cerita Sejarah Melayu. Menarik kalau difilemkan, mungkin lebih hebat dari semua episod filem Lanun Caribbean itu…

Semasa berjalan menuju ke kereta, saya mengambil seketul batu di atas pantai Port Dickson. Saya lontarkan ke Selat Melaka, lalu berkata kepada angin yang berkeliling, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang tengok Kedah dalam final Piala Malaysia lagi, di stadium!”

Maka itulah sebabnya selepas 1988, walau enam tujuh kali Kedah layak ke final malah memenangi Piala Malaysia, kelibat saya tidak ditemui di mana-mana stadium……

Batu yang saya buang itu makin terbenam di dasar pantai Port Dickson.
Semua ini, disebabkan pengaruh Semerluki!

Akan vw hebat tersebut, entah di mana dan bagaimana khabarnya sekarang……


20 October 2012

Lagi-Lagi Wira!


Dua hari berturut-turut saya teringatkan Cikgu Aziz, selepas satu petang, ketika bertemu Ustaz Wan Osman nama cikgu berkulit hitam manis itu timbul. Macam digaru-garu.

Pernah dahulu, pada tahun  1990-an, ketika dia mengajar di AlFalah, saya ke rumahnya. Tetapi, setelah lebih 15 tahun, walaupun nombor lot tapak rumahnya masih kekal  sebagaimana asalnya di atas rekod di Pejabat Tanah, perubahan fizikal rumahnya tentulah amat ketara. Sementelah setelah sedekad dia berkelana di Negara Brunei Darussalam.  Maka saya perlukan seorang jurutunjuk merangkap jurupandu untuk ke rumahnya kali ini.

Siapalah lagi di seluruh kawasan Parlimen Kuala Kedah ini yang bersedia untuk bersama saya, jika tidak Wira. Lagi pula Wira pernah ke rumah Cikgu Aziz pada bulan Ramadan lalu kerana menghantar sendiri undangan bagi  menyertai Majlis Jamuan Aidilfitri Alumni AlFalah. Maaflah jika sekali lagi saya terpaksa berkisah dengan memasukkan watak dia.  Dia yang itu-itu juga…..
Saya hubunginya pada hari Khamis, menyatakan niat. Seperti selalu, dia siap siaga. Jumaat atau Sabtu pun boleh. Dikeranakan oleh beberapa kerana saya memilih hari Sabtu.

Pagi Sabtu, ketika sekitar 40000 rakyat Kelantan berbondong-bondong menuju ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan final bolasepak Piala Malaysia 2012, ramai pula yang bertandang ke laman saya. Ada yang baru dikenali. Terpaksalah saya melayan terutamanya kebanyakan bercakap tentang terliur melihat orang Kelantan sedang sakan bersiap itu. Malah ada yang berkata, kalaulah boleh ditukarkan warna merah putih kepada hijau kuning……

Setelah dengan perlahan-lahan menutup pagar laman, jam sudah menunjukkan pukul 1115. Menantu emak sudah dua tiga kali merungut tentang ketegaan pihak Celcom menyekat hubungannya dengan rakan-rakan dan keluarga sejak malam tadi. Demi menjaga hati kedua-dua pihak – menantu emak dan Celcom – terpaksalah saya segera menyelesaikannya di Simpang Kuala.

Ketika itulah saya menghubungi Wira. Rupanya dia sedang berada di pejabatnya di Kuala Kedah bagi menguruskan tugas luar jadual. Saya mencadangkan kami ke rumah Cikgu Aziz sekitar jam 1200. Lima minit sebelum jam itu, saya sampai di perkarangan pejabatnya. Telefonnya tidak berjawab. Ah, sudah! Siapalah lagi di seluruh kawasan Parlimen Kuala Kedah ini yang bersedia untuk bersama saya, jika tidak dia. Kini, dia tidak mahu menjawab pula…

Mujurlah saya datang dari Parlimen Kuala Kedah juga. Kalaulah saya dari Parlimen Sandakan atau Labuan, agaknya meraunglah jawabnya jika diperlakukan begitu!
Saya berpatah balik. Singgah di kedai minyak untuk menemani motor bersarapan dan makan tengah hari, saya menghubunginya sekali lagi – cubaan terakhir bagi memastikan Wira benar-benar tidak mempunyai masa bersama saya. Kali ini, dia menjawab. Dia beralas bahawa panggilan saya tadi tidak masuk! Lalu menyuruh saya berpatah balik ke pejabatnya. Kalau kami – saya dan Celcom – mahu menjadikan Wira meraung cukup mudah waktu itu. Kami boleh menyaman malu kepadanya beberapa juta ringgit. Pertama, dia telah memperlekehkan sebuah jenama besar komunikasi bahawa panggilan saya tidak masuk ke telefonnya. Kedua, dia juga telah menyuruh saya berpatah balik, ertinya membuatkan saya termalu-malu berpusing-pusing di tempat yang sama….

Di pejabat,Wira menunggu saya bersama satu jag teh ais – agaknya diimport dari kedai berdekatan jalan masuk ke situ. Kami berbual tentang persekitaran kerja di situ sambil-sambil dia menyelesaikan beberapa tugas di mejanya.  Saya pula mengambil kesempatan menghubungi Cikgu Aziz. Mulanya saya menyamar sebagai anak kariahnya yang mahu mengambil borang nikah….Selepas cikgu yang khabarnya menjadi  calon imam masjid Kubang Rotan itu seolah percaya terpaksalah saya memperkenalkan diri serta menyatakan hajat. Cikgu Aziz menyatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Padang Hang dan meminta saya datang dalam setengah jam lagi.

Babuji
Tepat lima belas minit di situ, Wira bercadang untuk pulang mengambil kereta di rumahnya. Supaya tidak keseorangan ketika menunggu, saya menghubungi Babuji [Yusri Haron].

Babuji kebetulan berada di kedai teh di hujung Jambatan Tok Pasai. Siap berkata menunggu saya di situ, dan mematikan telefonnya sebelum sempat diberitahu tujuan saya memanggilnya. Babuji!

Kami ke kedai tersebut. Babuji sedang berbual dengan dua rakannya. Wira menggamit Babuji keluar manakala Babuji beria-ia pula membalas gamitan untuk mengajak kami minum. Dua gol berbalas satu! Akhirnya Babuji terpaksa meminta izin rakan semeja untuk mendekati kami yang masih di atas motor. Selepas bersalaman, kami mengajaknya ke rumah Cikgu Aziz. Babuji meminta maaf kerana baru balik dari berniaga di pekan sehari di Pokok Sena. Lagi pula di rumahnya ada mertua yang baru datang semalam. Lagi pula dia terpaksa menghadiri satu jamuan kenduri di Kampung Batin, Mergong, selepas Zohor nanti, juga bersama mertuanya. “Mertua pun kena jaga juga….”kata Babuji bergurau sambil tersenyum menyembunyikan kedua-dua biji matanya di sebalik dua pasang kelopak. Saya terdiam. Sayu hati mengenang diri yang menjadi menantu yatim-piatu sejak mula berkahwin lagi. Wira pula mungkin hiba mengenang mertua yang nun jauh di Ketereh, Kelantan.

Babuji yang tidak dapat meraba gelodak di dada kami kemudian menjemput saya ke rumah emaknya sebulan lagi kerana melangsungkan perkahwinan seorang adiknya. Babuji baru sahaja cuba menghubungi Cikgu Non tetapi gagal. Wira menyuruh Babuji mewakilkan saya sahaja menjemput Cikgu Non tetapi Babuji tetap mahu menjemputnya sendiri. Terkekeh-kekeh Wira tertawa sebelum meninggalkan kami untuk pulang mengambil kereta.

Tinggallah saya bersama Babuji di situ. Keramahannya tidak pernah pudar. Saya menelefon Cikgu Non yang sedang di Sungai Petani, memberikannya peluang bercakap dengan pembaca doa ketika majlis jamuan raya dahulu... Saya sempat mendengar Babuji menjemput Cigu Non untuk ke majlis di rumah emaknya nanti. Setelah telefon diserahkan kepada saya, kami berbual berdua kembali. Babuji bercerita tentang perniagaan seminggu sekalinya di Pokok Sena, tentang majlis kenduri yang bakal diadakan dan tentang tugas mengajar di Kompleks AlBukhary. Saya mencelah tentang Ustaz Man yang gembira mengetahui Babuji bakal menjadi imam dan mengimbau bagaimana ustaz dari Pattani itu memuji Babuji yang rajin mengikutnya ke majlis tahlil, mengendalikan rutin fidyah, menemaninya ke majlis ilmu di pelbagai surau dan masjid. Ustaz Manlah yang menyuruh Babuji menghafal surah AsSajadah dahulu, dan kini ternyata kepatuhan Babuji tidak sesekali merugikan….. Sepanjang bercakap tentang Ustaz Man itu hampir tiada kelihatan langsung biji mata Babuji, yang teserlah hanyalah sengihannya. Babuji mulanya hendak menitipkan salam kepada mentornya itu, tetapi saya syorkan dia sendiri mengunjungi Ustaz Man di Kampung Perlis lalu diakurnya.

Lama berdiri di luar kedai, saya terpaksa masuk dan duduk bersama dua rakan Babuji tadi. Saya menolak apabila dipelawa minum kerana teh ais tadi masih terasa di pangkal tekak. Kami berbual tentang jualan mereka  di Pokok Sena dan menu pada majlis kenduri kelak.

“Mana Wira yang pi ambik kereta Wira ‘ni!” saya merungut perlahan tanpa menduga tujuh patah kata itu akan menyebabkan tersembur air dari mulut Babuji. Sekali lagi biji matanya hilang! Luculah ‘tu….

Lima minit kemudian Babuji mencuit saya. “’Tu, Wira dok tunggu ‘tu”.
Melihat Wira di dalam kereta di bahu jalan, saya terpaksa menebus diri. Lagi pula Cikgu Aziz sudah menelefon bertanya lokasi terkini dan memaklumkan dia sudah sampai di rumah.
Di dalam kereta, saya ceritakan betapa Babuji tersedak tertawa tentang tujuh patah kata tadi kepada Wira. Rupanya, ada dua cerita menarik tentang Wira dari tuan empunya nama tersebut. Selama ini saya sangkakan bahawa ramalan bahawa dia akan popular dalam Sukan Komanwel 1998 dahulu itulah sahaja ceritanya – betapa apabila diumumkan pada tahun 1996 bahawa Wira adalah nama maskot sukan yang bakal dianjurkan di Malaysia, dua tahun lagi, saya terus menyatakannya sedang pelajar sekelas, termasuk Wira, yang mendengarnya ternganga kehairanan….
Pertama,  ketika kereta yang kami naiki itu diuruskan pinjamannya di Bank BCB [kini CIMB Bank] di Alor Setar, dua kali kerani bertanyakan namanya. Dua-dua kali dijawab, “Wira”. Kerani itu mendongak dan menyebut bahawa dia tahu kereta itu Proton Wira; yang ditanyanya adalah nama pembelinya! Wira menjawab’ “Nama saya Wira bin Osman…” Terkedu kerani itu manakala rakan-rakan sekerja  di meja berdekatan yang mendengar tersenyum-senyum!

Kedua, ketika bertugas dengan seorang tokoh korporat terkenal. dia diminta mengambil seorang peguam yang sedang menunggu di satu tempat. Kata bosnya, kurang lebih,” Kau tunggu di situ. Nanti Wira datang ambil…”
Maka Wira pun pergi ke tempat yang dimaklumkan. Lama dia menunggu sebelum akhirnya dia menegur seseorang yang dirasanya juga sedang menanti seseorang. “Encik ‘ni, Encik ********, ‘kan?” Orang itu mengangguk dan Wira pun mempelawanya naik ke kereta. “Lama saya perhatikan awak,”kata peguam itu. “Tapi awak bawa Satria, bos awak kata Wira….”

“Wira itu nama saya….”

“Ooo….”

Demikianlah adanya.

Kerana dua kisah itu, saya terpaksa mencatat nama sebenar Wira di sini. Jika tidak, saya akan membiarkan dia membuat penyamaran…..

Kami sampai ke rumah Cikgu Aziz pada pukul 1247 setelah lama juga tercari-cari pagar rumahnya yang menjadi pengecaman Wira.

Masuk ke rumah setelah berpelukan sekejap di muka pintu, Cikgu Aziz terus bertanya, “Jadi, enta mai ‘nak ambil boring nikahla….?

Saya jawab, kalau setakat borang nikah saya boleh ambil di Kuala Kedah sahaja, dari Babuji….

Sebenarnya, saya cukup teringat pada Cikgu Aziz sehari dua ini. Itulah yang saya lafazkan di depannya. Kemudian kami berbual tentang anak-anak dan keluarga serta rakan-rakan. Sedikit sahaja. Yang banyaknya adalah tentang ALFALAH. Apa isi perbualan itu tidak perlulah saya perincikan. Memadailah jika dikatakan bahawa Cikgu Aziz juga sependapat dengan bekas warga AlFalah yang lain: AlFalah mesti dihidupkan! Bagaimana? Hanya Allah yang akan membantu…..

Setelah melepaskan sedikit rindu itu, dan waktu Zohor juga sedang melintas, dengan menghabiskan titisan terakhir teh o dari cawan, kami menebus diri pula dengan janji akan berjumpa lagi dalam waktu terdekat. Insya Allah.
Dari rumah Cikgu Aziz, kami pulang ke Kuala Kedah dan sengaja melewati rumah Ustazah Mariam Ismail dan suaminya, Zulkifli Shamsuddin. Saya menelefon satu nombor yang diberikan oleh Wira. Tidak berjawab. Rupanya itu adalah nombor telefon Mariam. Saya meminta nombor Zul, yang memaklumkan sedang berada di Sik. Terpaksalah kami hanya melihat dinding rumah sahaja….
Wira mengajak saya memboroikan perut di sebuah gerai di Taman Restu,Jalan Batas Paip-Yan,  sebelum Taman Bersatu. Mungkin gerai kesukaannya ketika tiada selera makan tengah hari di rumah. Lauk ala kampung, kata Wira. Kami pun makan sambil berulamkan teh o ais. Lauknya? Malaslah untuk dicatatkan…. Kerana sudah bukan waktu kemuncak di gerai itu. Ala, ala-ala kampunglah...
 
Untuk berlaku adil, sebenarnya Wira ada mengajak saya ke rumahnya bersekali mengajak makan nasi di situ, tetapi saya menolak. Pertamanya, adegan makan di rumahnya tidak terdapat di dalam skrip asal kami. Keduanya, dia mengajak makan nasi sahaja sedangkan saya tidak biasa makan nasi tunggal. Ketiganya – dan paling penting - saya takut tersasul. Manalah tahu, tengah atau selepas sedap-sedap makan terkeluar cerita saya menyokong ATM [hanya kerana adanya Marlon Alex James di dalam pasukan itu – rujuk entri NAH dan NAUM]. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Wira menjegil saya, sedangkan dia dan isteri adalah penyokong tegar pasukan Kelantan…Tak baik 'tau selepas makan terpaksa pula menelan kata-kata sendiri.....hehehe.

Selepas makan, kami balik lalu singgah di Masjid Tunku Abdul Rahman Putera untuk solat Zohor. Kemudian kami terus ke Kola sebelum berpisah menjelang jam 3 dengan harapan bertemu lagi ….

Demikianlah.

Sementara menunggu beberapa perantau yang berjanji akan menemui saya pada Aidil Adha nanti…..