21 October 2012

Piala Malaysia Dan VW Itu ...[4]


Di rumah, kami disambut oleh si tauke ayam yang berkain pelikat, gayanya seperti baru bangun dari tidur. Selepas membuka pintu, dia menjabat tangan Cikgu Rahim. “’Nak buat macam mana nooo. Tak dak luck jugak…”katanya. Sebahagian kami mengangguk. Sekurang-kurangnya dia memadamkan sedikit bara di hati…

Kami duduk-duduk seketika sambil mendengar ulasannya sebagai penonton berkecuali.  Sambil itu, secara bergilir kami ke bilik mandi – memanjakan diri dan yang relevan dengannya. Sekurang-kurangnya mandian meredakan sedikit lagi bara di hati…

Setengah jam melewati tengah malam, Khairi pulang. Ceria sekali wajahnya dengan tubuh masih dibaluti baju-t berwarna rasmi pasukan KL.

“Apa macam?”dia memanjangkan sebutan sukukata ‘cam’ semasa mengeluarkan soalan yang memang kami tidak akan menjawabnya. Cikgu Amminy, dalam nada perlahan, meluahkan kekesalan dengan sikap Paktamnya yang melompat sakan ketika meraikan gol ketiga perlawanan.

“Hangpa jangan silap!” Khairi bersuara sambil melucutkan baju-t yang dipakainya. Baju itu dilambungnya ke meja kopi yang terletak di tengah-tengah ruang tamu. Kemudian dia mencapai kain pelikat petang tadi yang dihampar pada penyandar sofa, melondehkan seluar di depan kami dan menyarungkan kain pelikat itu, juga di depan kami.

“Hangpa dengaq dulu…”

Setelah merasa selesa, dia duduk bersila, membentuk separuh bulatan bersama-sama kami dan rakan serumahnya – si tauke ayam yang beberapa kali menguap – sambil menghadap tv.

“Tahun lepas aku pakai baju hijau kuning. Masa balik puas aku kena bantai dengan kawan-kawan yang semua sokong KL dalam kereta. Tahun ‘ni depa suruh aku sokong KL. Aku ikut saja, ‘nak bagi seronok kekawan. Bila aku pakai biasa tadi, depa tak percaya aku dah ubah sokongan. Aku memang harap Kedah pukui KL. Bolehla aku bantai depa.Hangpa pun ‘tau, aku dok sorak untuk Kedah walaupun ‘dah kena dua gol.”

Khairi berhenti sejenak, mengisyaratkan kepada anak saudaranya yang merokok agar dihulurkan kotak rokok. Anak saudara itu bukan setakat menghulurkan, malah siap menolong membakar rokok yang terletak di antara dua bibir Paktamnya.Khairi pula menyedut dalam-dalam hingga berlopak kedua-dua pipi…

“ Tapi bila si Ramlan bubuh gol ketiga ‘tu, aku ‘tau Kedah tak boleh pi ‘dah…. Aku pun cabut baju luaq laaa. Untungnya, hingga sampai depan rumah tadi, takdak sapa kutuk aku. Depa percaya aku sokong KL…”

Tiada  siapa bersuara. Barangkali semua faham duduk perkara. Barangkali semua membayangkan berada di dalam ‘kasut’ Khairi. Perantau yang mencari rezeki di Kuala Lumpur…..

Maka ruapan marah dengan tindakan Khairi di stadium akhirnya macam dikutil – hilang begitu sahaja….

Hendak dipanjang-panjangkan pun tiada gunanya. Kami sedang berlindung di bawah bumbung rumahnya. Menggunakan bilik mandinya. Menyantap seadanya yang disediakannya. Buatnya dia menyuruh kami mengangkat kaki tengah-tengah malam begitu, ke manakah akan  dibawa kaki-kaki kami?

Kemudian, ketika masing-masing merendahkan seluruh badan hingga ke karpet, berbantalkan penyandar sofa dan beg pakaian, kami bersembang perancangan untuk siang nanti. Pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk usul oleh Khairi. Saya hanya mendengar kerana tahu cadangan yang tersimpan di dada kalau dimuntahkan pun tiada yang akan akur. Secara peribadi – tolong jangan beritahu kepada sesiapa, ya - saya ingin ke tempat di mana khabarnya terdapat ramai orang baik-baik di kalangan janda, di Pahang. Duduk di situ barang seminggu dua, menanti cerita bola ditenggelami oleh bah di Kedah sambil dipujuk lara hati oleh para janda tadi…….

 “Kita pi Port Dickson!”

Demikian cadangan Cikgu Amminy. Siapalah kami, terutama saya, untuk membantah cadangan supir kedua itu jika supir pertama merangkap tuan punya vw merupakan orang terawal menyatakan persetujuannya……….

Ketika matahari melebarkan cahayanya di bumbung Kuala Lumpur, kami sudah bersedia. Walaupun kalau boleh mahu disambung lena, kami tetap teringat kepada orang yang mengaku KL itu kepunyaannya. Apa pula kata warga kota jika tuan KL tidak masuk kerja semata-mata melayan tetamu kecewa di rumahnya…..

Bersalam-salamanlah kami dengan Khairi. Dia memeluk dua anak saudaranya. Itulah momen paling menyebakkan selama di KL. Lebih dari ketika melihat bola sepakan Ramlan bergolek….. Apa pula masih diingat benda malang itu? Saya menepuk-nepuk kepala agar ingatan tentang perlawanan semalam luruh terus.

Saya tidak teringat siapa yang mewakili memberi ucapan pendek kepada tuan rumah yang diwakili Khairi. Kawannya, apakenama, sebelum subuh lagi sudah berangkat ke lokasi niaganya. Selain titipkan salam untuknya, kami sempat berpantun: Terima kasih daun padi, tahun depan kami mai lagi…..

Keluar dari KL, vw nan gagah membawa kami ke Seremban. Di situ kami berjalan-jalan di dua tiga deret kedai. Tiada apa-apa yang kami beli kerana memang tiada niat untuk membeli apa-apa.

Agak lama berjalan dan melihat-lihat, menyedut udara bandar Seremban, perut pun berdehem. Terdengar jelas dialognya yang separuh menyindir dengan tekak yang kemudiannya dihantar ke otak untuk ditafsirkan. Tangan yang turut terasa, hanya menggosok perut dari luar menyuruhnya bersabar sedikit.

Kemudian mata kami tertumpu ke sebuah kedai makan. Tekak menelan liur dan sebaik liur itu sampai ke perut, terloncat-loncatlah ia kegembiraan sambil menyanyikan lagu keroncong dengan kuatnya…..

Kami makan dengan menunjukkan ciri orang Kedah. Longgok sakan, lauk pun sakan, suapan lagilah sakan. Biarlah, di Seremban, tiada orang akan menyangka kami dari negeri pengeluar beras, yang baru tewas dalam pertarungan semalam. Lagi pula vw yang kami naiki bukan berdaftar di JPJ Kedah….

Perut meminta ampun kerana terlalu kenyang. Tekak menyindirnya. Tangan kiri menggosok perut manakala tangan mengusap halkum, meminta kedua-duanya bertenang. “Kita jauh di tempat orang ‘ni…..”pujuknya.

Keluar dari Seremban, kami mencari arah ke Port Dickson.

Saya terkenang orang tua-tua yang menghantar anak ke sekolah. Hasrat mereka: Paling kurang, dapat membaca nama destinasi bas, pun cukuplah. Kini, kami berlima di dalam vw, dengan fasih dapat membaca papan tanda di sepanjang jalan. Selesalah pak supir mengendalikan stereng apabila terjumpa penunjuk arah…

Kami sampai di plaza tol, apakenama. Ustaz Fairose memberhentikan vwnya betul-betul di sisi pondok tol paling kiri. Di dalamnya sedang tersenyum juru tol berusia awal duapuluhan. Semua mata kami bertumpu ke arahnya. Salah seorang sempat memanggilnya, mendasarkan pada nama di tag yang dipakai di kanan dada.

Si dia hanya tersenyum.

“Jom ikut pi PD!” pelawa seseorang. [Saya ingat seseorang itu tetapi demi tidak mahu diketahui oleh anak-cucu kami kelak, terpaksalah dirahsiakan. Hehehehe. Jurutol itu pun kini pasti sudah berada di penghujung empatpuluhan usianya….]

Si dia hanya tersenyum.

Bye-bye!” hampir semua dan serentak kami bersuara dan melambai sebaik pak supir mendapat tiket tol dari si dia.

Bagai diprogramkan, si dia hanya tersenyum. Tidak pun membalas lambaian kami yang masih tertoleh-toleh ke arah pondok tol.

Gembira sungguh kami. Ustaz Fairose memecut vwnya melatam lebuhraya….

Sepuluh minit kemudian, ada di antara kami yang perasan. Papan tanda di pinggir lebuhraya tidak satu pun tertulis Port Dickson. Vw diperlahankan. Seorang pula berkata, rasanya kami telah melintasi satu simpang ke kanan tidak jauh dari plaza tol tadi - semasa kami sedang mencari penutup kepada gelak-gelak kepada jurutol itu. Sudah! Libang-libu jadinya.
Vw dihentikan di bibir jalan akhirnya. Salah seorang menahan sebuah kenderaan, bertanya arah ke PD. Sahlah kami telah terlepas simpang tadi…..
Vw bergerak semula dengan perlahan. Pada satu tempat yang hanya diletakkankan beberapa kon oren berantaikan gantungan plastik pelantun cahaya berwarna merah, memisahkan dua arah laluan lebuhraya, sekali lagi vw dihentikan. Kami turun berempat.

Dengan meniru lagak pekerja PLUS, kami mengangkat empat lima kon dan rantai penyambung sesamanya, memberi ruang yang cukup untuk Ustaz Fairose mengemudi vw membuat pusingan U. Kereta yang lalu-lalang tercengang melihat ‘kura-kura’ besar melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh spesies mereka di tempat begitu. Ada di antara pemandunya membunyikan hon, agaknya bertanya: Apakah halnya? Tetapi kebanyakannya hanya memperlahankan kereta seketika sebelum terus memecut, meninggalkan deru yang kalau diterjemahkan bermaksud: Adakah perlu aku kisahkan?.....

Lega rasanya apabila menaiki semula kereta dan menghala ke Seremban semula….

Tetapi di pondok tol, seorang jurutol berusia sebaya kami tersenyum sebaik diunjukkan tiket tol oleh Ustaz Fairose. “Ini sudah salah, encik,”katanya tanpa meletak ke tepi senyuman itu.

Tidak tahulah samada orang Nogoghi itu sekadar menyakat atau tidak apabila mengatakan kami sepatutnya disaman. Kami semua bersuara hampir serentak yang tidaklah dapat saya perturunkan semuanya di sini akan buah butirnya.Tetapi dapatlah dirumuskan bahawa semua kami telah tersilap dan mohon dimaafkan.

“Tak apalah,” kata jurutol yang juga diprogramkan untuk sentiasa tersenyum itu, “kerana mood saya baik hari ini, encik bayar denda sepuluh ringgit sudahlah……”

Lega rasanya sebaik palang di hadapan terangkat setelah sepuluh ringgit digunakan untuk menebus kesalahan kami. Tidak sempat untuk melambai kerana tiba-tiba kami perasan rupanya hanya ada dua pondok tol yang berpenghuni di plaza tersebut pada ketika itu. Satu untuk masuk dan satu untuk keluar.

Ertinya………

Di hujung kawasan berpembahagi jalan bagi vw dipusingkan menghala ke Port Dickson semula, Ustaz Fairose memberhentikan kenderaan. Dia meminta Cikgu Amminy pula memandu. Setelah saling bertolakan seminit dua, akhirnya Ustaz Fairose tetap dikehendaki terus memandu….

Di pondok tol, gadis yang kami tinggalkan sambil berbye-bye tadi masih ada. Tersenyum manis menghulurkan tiket kepada Ustaz Fairose yang sedang terkunci mulutnya. Kami yang bertiga di tempat duduk belakang pula tunduk serapat mungkin hingga kepala badan bertemu kepala lutut! Malu woo……

Sehingga vw digerakkan semula, kami masih dalam keadaan sujud dalam solat orang uzur itu. Tidak siapa lagi yang berani melambai atau berkata ‘bye-bye’! Tapi saya cukup yakin, juru tol itu sedang tersenyum juga sambil mengekori dengan hujung mata akan keberangkatan kami…

Kali ini vw bergerak secara sederhana. Sepuluh biji mata terarah ke semua papan tanda yang ada di bahu jalan. Ketika terjumpa peringatan simpang keluar ke Port Dickson di hadapan, semua kami bersuara dan saling mengingatkan agar jangan terlepas lagi…..

Demikianlah.

Akhirnya kami sampai ke kawasan pantai yang terkenal itu. Berpakaian seperti orang makan kenduri di situ, apalah sangat yang kami dapat lakukan selain berjalan-jalan sepanjang pantai, melihat-lihat orang yang tidaklah begitu ramai memandangkan hari itu awal minggu (Isnin), melihat-lihat gerai yang sederet didirikan di kawasan lapang di bawah pokok dan menyepak-nyepak pasir….

Saya tidak ingat sangat sama ada kami berendam atau sebaliknya semasa di pantai Selat Melaka. Yang diingat hanyalah berjalan-jalan hingga melintasi satu kawasan dipenuhi batu besar dan tumbuhan – tempat pasangan insan berlainan jenis berjumpa, mengucapkan ayat-ayat cinta, berjanji bersaksikan laut dan pantai. [Mungkin sekarang kawasan itu telah dimurnikan oleh pihak berwajib atau peneroka haram. Kalau pula masih ada sebagaimana asal tempat itu, frasa ‘tempat pasangan insan berlainan jenis’ kenalah diubah atau ditambah sedikit kerana sekarang sudah ada pasangan insan sama jenis……]

Berpatah balik, kami berbual-bual sekejap dengan ‘budak-budak pantai’ yang menyewakan tayar dalam kereta dan lori untuk dijadikan pelampung, singgah melapik perut di satu gerai dan berjalan-jalan semula menyedut udara pantai.

Ternyata, berada di situ, kami benar-benar  ingin melupakan kepedihan semalamnya. Tetapi walau hampir tidak disebut oleh sesiapa di antara kami tentang kegagalan kali kedua berturut-turut Kedah untuk menjulang kejuaraan sulung Piala Malaysia, kekecewaan itu tetap masih terasa…..

Petangnya, kami bertolak balik. Cerita perjalanan balik tidak perlulah saya catatkan. Tiada yang menarik. Lagi pula kami ditempat duduk belakang kebanyakan masa adalah dalam suasana lena yang amat asyik.

Tabik untuk Ustaz Fairose dan Cikgu Amminy yang tabah mengharungi jalan pulang, bergilir-gilir berada di belakang stereng vw yang tidak sekalipun meragam itu.

Bagaimanapun ada sesuatu yang saya ingat secara peribadi semasa berada di Port Dickson…..

Di satu batu besar, kami duduk menghadap Selat Melaka. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Masing-masing memegang beberapa ketul batu 
kecil, bergilir-gilir melontar kuat ke permukaan air…………

Ingat atau tahu cerita Semerluki? Saya pernah terbaca tentangnya yang merupakan seorang pahlawan handalan anak raja Negeri Mengkasar, bernama Raja Keraing Mancokok.

Semerluki, anak dari isteri pertama dari tujuh beradik yang dinikahi ayahnya, telah jatuh cinta kepada ibu tiri merangkap ibu saudara yang bongsu. Si ayah yang tahu keadaan, secara lembut menyarankan si anak merantau kerana di muka bumi ini banyak lagi wanita yang lebih cantik dari isteri bongsunya itu.

Dalam kehampaan, Semerluki, dibantu oleh orang kanan bernama Daing Segara, mengumpulkan angkatan lautnya yang terkenal kuat dan banyak.
Mula-mula dia menyerang  Jawa demi mencari wanita secantik emak tiri bongsu itu. Kanak-kanak dan wanita tidak diapa-apakan, manakala kaum lelaki pula hanya dibunuh jika melawan. Harta yang mahal nilainya akan dirampas.

Kemudian dia menyerang Pasai, ketika itu jajahan Melaka. Dimusnahkan semua kapal di pesisir pantai Pasai lalu cuba pula menghala ke Melaka. Sultan Mansur Syah murka lalu memerintahkan Laksamana Hang Tuah membebaskan Laut Melaka dari gangguan Semerluki. Terjadilah pertarungan yang maha dahsyat, hingga angkatan Semerluki berundur semula ke Pasai. Angkatan Hang Tuah tetap menanti di sekitar perairan. Di Pasai telah menunggu pula, Raja Kenayan, harapan Raja Pasai, yang ternyata lebih bersedia dengan kelompok besar menahan maruah Pasai yang diserang sebelum ini. Keberanian orang Pasai yang awalnya ingin dimusnahkan kerana merupakan takluk Melaka, menyebabkan Semerluki terpaksa berpatah balik.

Tetapi dia bertembung pula dengan kumpulan pimpinan Hang Tuah. Berlaku lagi pertarungan dahsyat. Akhirnya kapal Semerluki yang terpisah dari kumpulan asalnya terpaksa berundur, sambil membakar semua harta rampasan dan kapal-kapal kecil. Mungkin untuk melengahkan angkatan Hang Tuah atau biar sama-sama tidak mendapat harta…

Isteri cantik yang diingini tidak diperolehi, harta juga hilang. Dihambat oleh laksamana Melaka pula.

Semerluki sangat hampa dan marah. Dia terus belayar dari teluk ke teluk.

Sampai di satu teluk, dengan Daing Segara di sisi, Semerluki membuang seketul batu dan berkata, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang ke laut Ujung Tanah[Melaka] ini!” Tempat itu hingga kini dipanggil Tanjung Batu.

Akan Semerluki pun terpaksa merantau ke kawasan lain, terus mencari isteri yang secantik ibu saudaranya itu….

Begitulah lebih kurang dari cerita Sejarah Melayu. Menarik kalau difilemkan, mungkin lebih hebat dari semua episod filem Lanun Caribbean itu…

Semasa berjalan menuju ke kereta, saya mengambil seketul batu di atas pantai Port Dickson. Saya lontarkan ke Selat Melaka, lalu berkata kepada angin yang berkeliling, “Timbullah batu ini, maka aku akan datang tengok Kedah dalam final Piala Malaysia lagi, di stadium!”

Maka itulah sebabnya selepas 1988, walau enam tujuh kali Kedah layak ke final malah memenangi Piala Malaysia, kelibat saya tidak ditemui di mana-mana stadium……

Batu yang saya buang itu makin terbenam di dasar pantai Port Dickson.
Semua ini, disebabkan pengaruh Semerluki!

Akan vw hebat tersebut, entah di mana dan bagaimana khabarnya sekarang……


No comments: