3 October 2012

Aduhai Masa-Masa Silam...

Sengaja saya muatkan beberapa lagu kenangan. 

Semuanya pernah berkumandang di angkasa AlFalah, dalam tahun dan dekad yang berbeza. Dinyanyikan di corong radio oleh penyanyi asalnya, juga di corong dapur [terutama bahagian tingkap] dan bilik mandi serta di sudut kelas atau tangga surau oleh peminat aslinya.

Setiap lagu ini mempunyai kenangan tersendiri kepada beberapa (ramai) warga AlFalah yang saya kenal - baik guru-guru dan pelajar-pelajarnya. Yang dahulu itu pelajar, ada sebahagiannya kini bergelar ustaz dan ustazah.... Biasalah. Kita tidak meninggalkan rahim bonda dengan terus berkedudukan dan berkeadaan sekarang......

Sambil menyiapkan entri berkaitan bolasepak Piala Malaysia, saya mendengar beberapa lagu ini. Kemudian, berhenti seketika untuk tugasan hakiki sebagai hamba. Kemudian saya sambung mencatat lagi, dan sebahagian lagu pula saya dengari. Begitulah prosesnya. Berulang-ulang. 

Dalam mendengar dan mencatat itulah saya terkenang beberapa insan warga AlFalah. Untuk sementara, tidaklah mampu saya coretkan secara detail setiap kenangan, setiap lagu dan setiap individu itu. Cukuplah saya catatkan bagaimana satu dua kenangan itu muncul .......


Saya teringat Ustaz Zubaidi Ariffin [kini pegawai polis di Terengganu, abang kepada Mohd Najib Ariffin - seorang bekas pelajar AlFalah] ketika mendengar lagu Hanya Nyanyian Dalam Sepi. Ketika itu lagu nyanyian Chris Vadham itu belum popular. Saya bertuah dapat mendengar dan menghayatinya lebih awal kerana ada kasetnya yang dibeli oleh Paktam di rumah Tokwan. Setiap hari saya mendengarnya sehingga dapat menyanyikannya dengan baik..... [Waktu itu, lagu akan popular hanya jika kerap tersiar di radio] Kerana sudah bertaraf hafiz, saya sering lagukannya di sekolah, terutamanya di kantin dan pejabat. Ustaz Zubaidi sering mendengarnya sambil menggeleng kepala - agaknya kerana kasihankan saya yang tidak sepatutnya berada di AlFalah, sepatutnya sedang merakamkan album di Kuala Lumpur....Agaknyalah. Satu hari ketika saya nyanyikan bait:

cintailah dirinya
kerana dia lebih sempurna
apalah ada padaku
......
dia berkata, "Hang tak dak apa, Din noo...". Saya berhenti. Betul katanya. Saya tiada apa-apa.....

*****

  

Saya teringat beberapa budak Falah era NorAzimah Ahmad pada awal 1990-an. Ketika itu, TV3 sedang menayangkan drama bersiri Filifina yang dialihbahasakan ke Bahasa Malaysia. Lagu temanya juga diambil dari lagu kita yang popular pada pertengahan 1980-an yang liriknya ditulis oleh Puan Habsah Hassan - Suratan Atau Kebetulan. Pada malam terakhir selepas peperiksaan SPM tahun itu, semua yang tinggal dan menumpang di asrama berkumpul di bilik bersebelahan pejabat, yang menghadap dua pokok palma diraja itu. Ada majlis perpisahan sebab esoknya semua akan pulang ke rumah sendiri-sendiri. Suasana tidaklah ceria sangat kerana telah berlaku satu kes yang cukup merobek hati guru-guru di AlFalah, dua tiga hari sebelum itu. Saya diminta/meminta untuk berucap pada majlis itu. Saya tidak mengingati kini apa isi ucapan itu, tapi yang pasti saya bercakap tentang lagu-lagu kegemaran....Dan lagu nyanyian Kenny, Remy dan Martin [sebenarnya suara Kenny sahaja yang kedengaran...] itulah yang saya pilih sebagai lagu kesukaan. Seseorang yang lincah dan peramah dari tingkatan LIMA tahun itu segera melagukan baris pertamanya sambil dua jari telunjuk mengetuk meja...... Ketika itulah ayah Nor Azimah datang untuk membawanya pulang. Semua yang ada berlingas mata melihatnya berlalu pada malam itu..... Indah dan sayu sungguh detik itu. Dua antara yang cemerlang di dalam SPM tahun itu telah tiada kini...... Benarlah: sesuatu yang tak disangka seringkali mendatangi kita.....

***** 


Saya teringat kepada seorang pelajar yang pernah menangis di kelas saya pada 1988. Saya sedang mengajar BM dan berkisah maksud perkataan 'SPONTAN'. Lalu saya beri beberapa contoh tentang kespontanan. Kebetulan, dalam pelajaran Sains sebelum itu, saya mengajar bab Tindakan Refleks. Mudahlah saya menghuraikannya. Kemudian, saya berpantun secara spontan. Spontan pula pantun itu dibeli oleh seorang pelajar.

Seorang yang agak aktif, mencabar kelasnya menulis sajak secara spontan pula kerana baginya pantun sahaja cukup mudah kerana hanya memerlukan dua baris maksud. Majoriti mereka bersetuju. Saya dilantik menjadi juri. Insan nan tunggal ini pun bersetuju. Sepuluh minit diberikan. Temanya bebas, termasuklah bab asyik-mahsyuk! Kemudian semua sajak itu dikutip dan spontan pula saya diminta menilai dan membuat keputusan sajak yang terbaik. Saya menilai secara laju pada sajak-sajak yang kebanyakannya terdiri daripada setengah muka surat buku tulis. Ada satu keping kertas yang tertulis satu  muka. Saya jeling sekali sahaja.

Kemudian, atas dasar spontan seperti yang diminta, saya umumkan sajak spontan yang terbaik. Semua bertepuk sebelum dihalang oleh si pemberi cabaran tadi. Dia membantah kerana saya tidak memilih 'sajak' yang semuka itu sebagai 'pemenang' sedangkan tidak ada pelajar lain yang spontan dapat menulis sepanjang itu. Saya membelek nama di bahagian atas kertas itu. Memang namanya yang tertera di situ. Patutlah.

Saya katakan 'dia' tidak layak menang. "Sebab?" tanya pencabar tadi sepatah. Saya pula rasa tercabar. "Perlukah saya jawab di sini?" tanya saya pula. Sebahagian pelajar di dalam kelas itu hampir serentak menjawab, "Ya!" Saya memerhati wajah pencabar tadi yang sedang berdiri dengan wajah tidak puas hati. Saya bertanya secara isyarat kepala dan mata kepadanya dan dia membalas menyuruh saya menjawab itu dengan cara yang sama. Baiklah, kata hati saya.

"Sebenarnya, ini bukan sajak. Ini adalah senikata lagu...." Terlopong semua yang berkata "Ya" tadi. Lagu apa? Saya tahu itulah soalan yang ada di kepala mereka. Saya bacakan bait pertama secara mendatar. Tiada yang perasan atau sengaja tidak mahu bersuara. Saya menarik nafas lalu melagukan bahagian tengah lagu itu:

Mengapa hati berbicara
Bila kita berjauhan
Hanyalah suratmu kubaca
Menyatakan hasrat cinta

"Suliza Salam!" Ada beberapa pelajar perempuan bersuara, agaknya baru perasan. Disambut oleh beberapa pelajar lelaki dengan "Ooooooooooooo". Serentak mereka menoleh ke arah si pencabar bersajak spontan tadi. Dia terkedu.  Airmata bergenang. Dua hari dia tidak hadir ke sekolah selepas itu. Petang hari kedua ponteng, dia datang bersama bapanya ke asrama mencari saya. Kami bertukar-tukar pandangan tentang kes sajak spontan itu. Mereka berdua meminta maaf dan saya menjawab biasa-biasa sahaja, "Budak-budak.....". Maklumlah ketika itu belum popular frasa "ada aku kisah?".... He he he. Saya masih ingat, bapanya berharap agar anak yang agak nakal itu 'menjadi orang'. 
Besoknya saya terpaksa mengiringinya masuk ke kelas dan beriring pula nasihat untuk semua agar melupakan kejadian awal minggu tersebut. Hidup pun diteruskanlah...... Alhamdulillah, pencabar sajak spontan itu kini telah berjaya menunaikan hasrat bapanya - bukan setakat menjadi orang malah menjadi bapa kepada beberapa orang.....

*****


Saya teringat kepada seorang budak asrama yang pandai bermain gitar. Pernah menggunakan gitar yang diseludupkan oleh anak kampung berdekatan,  pada waktu malam. Saya sudah tua [dan sudah ada 'sama tua'] pada waktu itu dan semakin jarang berlama di asrama. Seorang guru pernah memberitahu tentang penyeludupan gitar itu. Saya memarahi insan yang empunya gitar. Terhenti seketika aktiviti bermnain gitar itu, agaknya. Suatu hari, lama kemudian, ada satu gitar lain telah diseludup masuk ke asrama. Saya dapat mengesannya. Budak asrama itu meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi penyeludupan masuk gitar. Puasdia merayu saya memulangkan gitar kawannya itu. Setelah lama, timbul pula rasa kasihan maka saya kembalikan gitar berkenaan, dengan satu syarat: mainkan satui lagu untuk kami di asrama. Spontan dia mencapai gitar dan mainkan lagu Teman dari Lovehunters itu. Fuh! Memang dia cukup berbakat! Jarinya lincah, terpesona kami melihat dan mendengarnya.Berdecit-decit mulut pengagumnya! Namun peraturan harus dipatuhi dan gitar mesti dijauhi.....

*****

Demikianlah.

Semoga semua yang saya kenang itu sentiasa berbahagia........ 

Untuk semua, dengarlah: [sambil itu sila buka tab baru untuk membaca  blog ini....hehehe]
  • teman
  • suatu waktu dahulu
  • sekian lama aku merinduimu
  • dalam kenangan
  • kau kurindukan
  • hanya nyanyian dalam sepi
  • suratan atau kebetulan
  • untuk sekali lagi
  • teman sejati
  • memori duka
  • masih ada rindu
  • jangan ada benci
  • mengapa sepi tanpa berita

Manisnya mengenang detik itu...............



































1 comment:

Anonymous said...

oh kenangan
tinggallah kenangan
'aku' pergi telah ditakdirkan.....