6 October 2012

Pada Kepayahan Itu: Cerita Asrama AlFalah.


Terdapat pembaca blog ini yang keliru. Mereka adalah insan yang tidak pernah menjejak atau belajar di AlFalah. Kekeliruan utama mereka adalah tentang asrama AlFalah. Beberapa entri tentangnya amat mengelirukan.

Saya mengambil contoh dua pembaca dari generasi yang berbeza. Seorang guru berusia lewat 20-an dan seorang lagi bercita-cita menjadi guru – bakal menduduki STPM tahun ini. Kedua-duanya tinggal  di asrama semasa sejak di tingkatan satu.

Apabila saya mencatatkan tentang ‘keperitan’ tinggal di asrama AlFalah, mereka kehairanan memikirkan rupa dan pola hidup bagaimana yang wujud di situ.

Untuk kedua-duanya serta pembaca yang keliru dan hairan seperti mereka – terutama yang pernah menghuni asrama sekolah di bawah Kementerian Pelajaran - saya dedikasikanlah catatan kali ini ……

Apabila disebut asrama, bagi kebanyakan orang terbayang satu suasana yang seragam: bilik/dormitori dengan katil dan almari pakaian/buku yang teratur, waktu belajar/beriadah selepas kelas yang berjadual, pakaian yang berdobi dan makanan bermasak yang terhidang. Makin banyak ‘bintang’ sesuatu asrama/sekolah itu, makinlah baik bayangan tersebut.

Pada tahun-tahun awal penubuhan sehinggalah penutupan kali pertamanya pada awal 1970-an, memang ada pondok didirikan untuk kemudahan pelajar yang datang dari jauh – bukan sahaja dari sekitar Kedah, malah pernah ada pelajar dari Melaka dan Selangor. 

Saya masih mengingati struktur bangunan-bangunan kecil empat persegi yang diatur membentuk L di tepi sempadan kawasan AlFalah hingga belakangnya, menghala ke Kampung Perlis. Tiada pagar. Jalan masuk ke Kampung Permatang Ibus dan Kampung Perlis terletak betul-betul di tepi dinding pondok. Sekiranya sesiapa melalui jalan tersebut, dengan mudah boleh menepuk dinding pondok….

Untuk membezakan sistem pengajian pondok yang berpaksikan kepada tuan guru tanpa mengikut kelas dengan sistem sekolah yang diajar di dalam kelas-kelas mengikut peringkat umur, pondok di AlFalah itu dipanggil ‘berek’(barrack), tetapi kebanyakan lidah kampung sekitar menyebut ‘beret’ sahaja! Ini keistimewaan orang kita menyerap bahasa penjajah ke bahasa sendiri. Sekadar contoh: government menjadi gomen, private menjadi prewet, soldier menjadi sojar, book menjadi bop. Ingat tuan punya Mak Minah Lodge meminta duit aduan [advance] dalam filem Masam-masam Manis?

Untuk pelajar perempuannya pula disediakan sebuah bangunan panjang yang disekat menjadi bilik-bilik, terletak di tengah-tengah kawasan AlFalah, menghadap ke rumah Tuan Hj Mustaffa [ayah kepada Ustaz Azizan dan Ustaz Fauzi]. Kedudukan tapaknya kini adalah bersebelahan jalan mini menuju surau itu. Ada pagar zink yang tinggi serta panjang bagi memisahkan bangunan itu dengan kawasan berek lelaki. Malah ketika itu, di dalam kelas juga terdapat pemidang dari papan lapis untuk memisahkan dua jantina pelajar. Khabarnya, itulah sebahagian thrill yang dialami oleh pelajar jika ingin memadu kasih sesama kelas…..Boleh nampak kaki sahaja kerana pemidang itu tidak menjejak ke lantai. Terpaksalah si jejaka menebuk papan lapis itu jika ingin melihat wajah buah hati. [Sila rujuk ayah atau datuk anda yang pernah belajardi situ. Itu pun jika mereka mahu bercerita….] Barang diingat ketika itu pemakaian tudung seperti sekarang adalah di luar kotak fikiran semua. Hanya ada kain kelumbung/selubung yang besar sedikit dari skaf yang diletakkan di atas kepala, termasuklah kepala anak isteri tuk imam….. Kain tudung yang dipakai kini hanya bermula pada hujung 1970-an. Itupun pemakai pada fasa pertama tersebut jenuh dipanggil hantu kumkum! [Sila rujuk emak dan nenek anda yang bertudung kini, bagaimanakah ‘tudung’ pada tahun-tahun sebelum pertengahan 1970-an itu! Satu lagi hakikat betapa kita tidak lahir terus dengan keadaan dan kedudukan sekarang….. ] 


Dapur Semawar
Semua pelajar ini mencuci pakaian dan menyediakan makanan sendiri. Sesuai dengan zaman, dengan bekalan elektrik belum menjengah kawasan, dapur semawar[sejenis dapur minyak tanah] digunakan untuk memasak, manakala baju yang kering diseterika dengan seterika arang. Malam pula cahaya dari lampu minyak tanah atau gasolin yang menjadi teman.

Hakikatnya di AlFalah, secara khusus, asrama adalah nama lain untuk pondok atau berek  itu.

Pada tahun 1983, sempena pembukaan semula AlFalah buat kali ketiga, terdapat lima pelajar luar yang mendaftar – Ahmad Sofi Ahmad, arwah Kholijah Awang, Norhayati Che Rose, Rubiah baharom dan Junaidah Kassim. Beberapa catatan terdahulu ada menceritakan di mana mereka tinggal, sebelum asrama disediakan pada tahun berikutnya.

Mungkin kerana plannya yang tidak lagi sebiji-sebiji seperti pondok, maka dipinjam perkatan asrama itu… Seperti pelajar pondok, penghuni asrama AlFalah mesti melakukan sendiri rutin memasak dan mencuci pakaian, selain terpaksa menumpukan perhatian kepada pelajaran seperti pelajar di sekolah lain.

Pada peringkat awal, asrama puteri terletak di bahagian atas bangunan kayu dua tingkat. Di hujung bangunan itu, menghadap ke arah mentari naik [timur] terdapat tiga anak tangga [panjang kerana ada dua pintu] yang diletakkan di atas lantai beranda. Di dua hujung beranda tersebut terdapat dua tangga, untuk turun/naik arah utara atau selatan. Di bawah beranda itulah kami membuat dapur untuk mereka, berdindingkan papan lapis.  Lama kemudian barulah dibina satu blok khas, agak rendah dan kecil memanjang, sebagai dapur dan bilik air serta tandas. Lama jugalah mereka terpaksa menderita ketiadaan bilik air dan tandas berhampiran asrama itu. Derita juga bertambah apabila malam-malam tahun awal itu terpaksa dilalui dengan menumpang gasolin atau pelita karbaid untuk mendapatkan cahaya…… 

Bagi penghuni putera, satu bangunan dipindahkan dari hadapan sekolah dijadikan blok asrama. Bangunan ini asalnya bilik pejabat. Oleh kerana ada bangunan yang kami angkut dari sekolah milik Ustaz Azizan di Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam pada penghujung tahun 1983 akan didirikan di situ, maka dapatlah bangunan bilik pejabat tersebut dipindahkan lalu dijadikan asrama. Didirikan melintang mengikut arah jalan ke kampung, dengan tambahan panjang pada hujungnya, jadilah bangunan itu berbentuk L. Sebahagian yang baru ditambah itu pula diletakkan semurup untuk digunakan sebagai dapur. Bilik air didirikan berasingan, dengan dua tandas dan kolah yang lumayan luasnya, sekitar 10 meter dari pintu dapur.

Bermula pada tahun 1984 itulah, semakin ramai menghuni asrama. Ada yang datang dari Pendang (khususnya Gajah Mati dan Chegar), Baling, Sungai Tiang, Changlon, Kuala Kedah dan paling dekat adalah seorang yang asalnya tinggal 100 meter dari pagar sekolah.

<<[ Makhluk nan seorang itu bukanlah pelajar. Dia mempunyai tugas tetap mengawasi penghuni asrama merangkap orang suruhan mereka yang ingin membeli barang keperluan dapur serta keperluan diri. Hal ini demikian kerana kedai paling dekat serta lengkap, dengan AlFalah, letaknya lebih kurang 3km – nun di Kuala Kangkong. Maka setiap harilah dia menunggu diberikan satu keping kertas dari  dua asrama yang menyenaraikan barang-barang keperluan. Sebaik mendapatnya bersama sejumlah wang yang tepat dengan harga barangan, dia akan menunggang motorsikal kapcai ayahnya, untuk ke kedai.

Di situ dia terpaksa menunggu lama. Almaklumlah, kerana penghuni asrama ramai, maka rencamlah pula keperluan mereka. Mujur juga En. Salleh, si empunya kedai tidak pernah merungut tentang senarai panjang bernilai kecil yang diterima setiap hari. Kemudian, berbungku-bangkaslah motorsikalnya membawa pulang barang pesanan. Paling dibimbanginya jika ada pesanan minyak tanah – selalunya berbungkus-bungkus mengikut jumlah dapur di asrama…Jika ditakdirkan pecah sebungkus, alamat semuanya – termasuk ikan kering, biskut kering dan cabai kering, akan berbau minyak tanah….

Kadangkala, kerana permintaan yang tinggi, dia kena ke kedai itu sekali lagi pada waktu petang pula.

Jika ada pesanan mereka yang tidak terdapat di Kuala Kangkong, kerap juga dia terpaksa memujuk motorsikalnya ke Pekan Simpang Empat. Kalau penghuni asrama atau warden perempuan mengidam ais kacang salji atau bihun sup, memang ke pekan itulah destinasinya.

Tiada bayaran dikenakan bagi memenuhi permintaan penghuni asrama itu – baik ke Kuala Kangkong atau Simpang Empat. Maka bagi menampung keperluannya sendiri, makhluk yang masih solo itu melakukan satu kerja sambilan – mengajar di sekolah tersebut. Heheheheh…]>>

Sebaik selesai solat Zohor, penghuni asrama akan mula sibuk di dapur. Silih berganti mereka masuk ke situ – menanak nasi, menumis sambal, menggulai, menggoreng atau merebus mi segera. Semuanya bergantung kepada kerajinan dan isi kantung masing-masing.

Bukan semuanya berasal dari keluarga yang mengecop duit sendiri. Maka  pandai-pandailah mereka berjimat untuk makan sepanjang dua minggu, sebelum balik semula ke kampung mendapatkan wang belanja. Oleh kerana kehidupan yang tidaklah mudah juga di kampung, kerap pula mereka datang tanpa wang yang cukup untuk menampung makan minum selama dua minggu lagi.

Ketabahan mereka tatkala menuntut ilmu inilah yang saya tabik hingga kini. Sukar mencari riak duka di wajah mereka. Kelukaan itu mereka sembunyikan sebaik mungkin. Hanya beberapa kali, saya berkesempatan memerhati betapa beberapa orang menyorokkan kesukaran di sebalik keriuhan dan senyuman.

Merekalah sebahagian pejuang itu.

Dalam usia muda mereka berkorban meninggalkan dakapan kampung, meninggalkan belaian ayah ibu, bermandiri di tempat asing. Sesuatu yang bukan semua orang mampu atau mahu menghadapinya.......

Merekalah sebahagian pejuang itu.

Tidak terjumpa kata-kata untuk menggambarkan betapa hiba hati melihat anak-anak seusia 13- 14 tahun, tanpa baju, muka berpeluh, berkain pelikat bergulung besar, menghembus-hembus kepalan nasi yang panas sebelum dimasukkan ke dalam mulut. Bagi yang beruntung, nasi itu berbalut sambal telur atau kuah gulai ikan. Bagi yang tidak, nasi itu membalut kutilan ikan kering semata…. Atau ketika terlalu gawat nasi itu digaul dengan cabai kering yang digoreng rangup sahaja….. Kepedasan cuba dipadam dengan meminum air kosong dari koleh besar yang dikongsi 3-4 orang! Tiada rungutan atau kekurangan selera!

Ah, anak-anak AlFalah......

Bagi yang 'berumur' sedikit mungkin mengikhtiarkan mempelbagaikan menu - menggoreng, merebus atau menyambal telur, menggoreng bilis dan memasak asam sardin.... Sesekali ada juga membeli sayur kobis atau sawi atau paling mudah pucuk kangkung yang meliar sekitar parit atau perigi berhampiran...

Selepas makan, mereka akan mandi sekali gus mencuci pakaian masing-masing. Setelah itu mereka akan ke kelas untuk bermentelaah atau membuat kerja sekolah. Petangnya, setelah solat Asar, kebanyakannya akan turun memenuhi padang mengejar bola nan sebiji. Riuh-rendah suasananya, apalagi jika disertai oleh bintang bolasepak idola mereka, Cikgu Non! Yang inginkan kemenangan mutlak akan menyertai pasukan Cikgu Non, manakala yang mahukan sedikit adventure memilih pasukan lawan....Berlapikkan makanan yang begitu-begitu pada tengah hari tadi,  mereka masih boleh bermain lebih sejam serta merembat bola hingga menggegarkan dinding sekolah!

Menjelang senja, mereka mandi sambil memasak nasi atau memanaskannya atau tidak kedua-duanya - nantinya mahu menghadap nasi sejuk. Lauknya masih seperti yang tengah hari atau mungkin kurang….. Sebelum atau selepas solat Maghrib mereka akan mengisi perut, kerana selesai solat Isyak, mereka akan sekali lagi ke kelas – bermentelaah atau seumpamanya, sebelum tidur menjelang jam 1130-1200 malam.

Kepada guru dan bakal guru yang saya sebutkan pada awal di atas, serta pembaca yang keliru dan hairan seperti mereka, inilah realiti kehidupan di asrama AlFalah. 

Suasana itu mungkin berkurang atau tiada lagi di sekolah agama sekarang, memandangkan kebanyakannya telah menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan [SABK] di mana penghuni asramanya disediakan makanan bermasak oleh pembekal bertauliah. Ini termasuklah jiran AlFalah dahulu, SMA Ihya' Ulumuddin Addiniah, Simpang Empat, selain SMA Nahdzoh, Bukit Besar serta SMA Sungai Limau dan SMA Fauzi, Yan.

Catatan ini hanyalah dari sudut pandangan saya sahaja, dalam 45 minit menghadap komputer. Mungkin ada lagi yang tidak saya catatkan, yang membezakan asrama AlFalah dengan asrama yang anda tahu atau pernah huni. Catatan ini juga mungkin berubah jika ditulis oleh penghuni asrama AlFalah sendiri, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian mereka.

Kepada penghuni asrama AlFalah yang berjaya menghadapi dan melepasi penderitaan serta keperitan lalu, yang kini berbahagia dalam kehidupan masing-masing, tabik dari saya tidak pernah jatuh!

Bingka, pengat, kuih bahulu,
     senang juga tepung pelita;
jika  diingat  waktu  dahulu,
     tergenang segera si air mata.....

No comments: