30 May 2012

Sheila Majid Tobiar

Sheila Tulen
Dalam kegiatan ko-kurikulum, AlFalah  akan menyertai pertandingan peringkat sekolah-sekolah agama rakyat. Selain sukan, ada pertandingan bagi mencungkil bakat dalam syarahan, bacaan al Quran, perbahasan, kuiz dan nasyid.

Saya pernah bersama budak AlFalah antaranya ke Melele, Tobiar, Maktab Mahmud Alor Setar, Lubuk Merbau dan Sungai Limau.

Semuanya atas tiket peneman sahaja.

Namun paling diingati ialah ketika berkunjung ke Madrasah Al Hidayah, Tobiar - sekolah yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Abdul Majid- sebelum kemudiannya bertukar menjadi Maktab Mahmud Pendang.

 

AlFalah menyertai nasyid dan mungkin satu dua acara lagi. Maaf, saya tidak dapat mengingatinya. Yang saya tahu tahun itu dalam generasi NorAzimah Ahmad (dia antara penasyid kita). Saya tidak berapa ingat sebab sebaik saya masuk melaporkan diri, terus diarahkan menjadi juri bahagian perbahasan.. Maka semua acara yang melibatkan Alfalah, saya tidak tahu perkembangan, apa lagi menyaksikannya. Saya di bilik acara perbahasan yang kebetulan tidak disertai oleh pelajar AlFalah.(Kenapa tiada peserta AlFalah? Rujuk sekejap di sini. Mungkin ada jawapannya barang sekelumit...Tapi, kita pernah sekali menghantar pasukan berbahas di Melele, kalau tidak silap pada tahun 1987\88.)


Bauran seronok dan bosan sepanjang pagi menilai keletah dan gaya semua peserta. Saya diserahkan tugas untuk melihat gaya. Apa lagi, tidak berkeliplah mata menanti peserta membuat silap gaya....

Paling diingati adalah gaya seorang pelajar perempuan yang mewakili tuan rumah. Dengan yakin - akhirnya dipilih sebulat suara juri sebagai peserta terbaik - dia berhujah selaku pencadang. Ketika itu, mungkin kerana  rakan sekolahnya yang mengatakan dia ada mirip penyanyi Sheila Majid,  dua tiga kali juga dia membahasakan dirinya sebagai Sheila Majid Tobiar... Walaupun nampak dan kedengaran seperti sepenuhnya menghafal, gaya dan intonasi suaranya mengatasi peserta lain - amat meyakinkan.


Di pertandingan akhir pada sebelah petang, Sheila Majid Tobiar dan dua rakannnya bertemu pasukan sebuah sekolah lain - lupalah pula.[Kata orang, hanya juara yang diingati....] Tobiar menjadi pencadang. Malangnya lawan mereka, pada peringkat awalnya, juga menjadi pencadang. Lalu agak terkial-kiallah mereka apabila bertindak sebagai pembangkang di peringkat akhir, dengan kebetulan pula tajuk yang diundi itu adalah sama dengan yang dimenangi oleh pihak Tobiar pada paginya.

Makin bergaya sakanlah Sheila kita tadi, ditambah dengan sokongan padu penonton di gelanggang sendiri. Pertandingan akhir perbahasan diadakan di dewan utama sebagai acara terakhir hari itu. Gamat setiap kali dia membahasakan dirinya sebagai Sheila Majid Tobiar.

Secara peribadi saya merasakan pertandingan akhir itu mestilah menggunakan tajuk baru supaya setiap peserta berusaha menghasilkan hujah terbaik masing-masing. Ini, pasukan Tobiar sudah siap dengan skrip pagi tadi, maka bolehlah dibayangkan siapa juaranya....

Pada hujung petang itu, acara penyampaian hadiah diadakan. Bangga rasa hati apabila kumpulan AlFalah dipanggil untuk menyampaikan nasyid mereka sementara ketua juri mengira markah pertandingan perbahasan. Ramai yang menjangka tentulah itu kumpulan yang memenangi acara nasyid. Betulkah? Maaf, betul-betul saya tidak ingat. Sesiapa yang kenal NorAzimah Ahmad dan gengnya boleh bertanyakan kesahihannya.

Akan Sheila dan dua rakannya, sahlah menjadi johan perbahasan. Gegak gempita dewan menyambutnya. Saya sempat mengucapkan tahniah kepada Sheila & geng semasa bertembung mereka dalam perjalanan keluar dari dewan. Mereka tersenyum. Saya pun tersenyum tetapi lebih lebar kerana dalam genggaman ada sampul berisi wang RM20. Bukan rasuah , adik-kakak! Itu adalah ganjaran untuk setiap orang yang menjadi juri sepanjang hari berkenaan.....[disediakan oleh AJK pertandingan}

Di sekolah, kemudiannya, saya berkisah tentang ketrampilan Sheila Majid Tobiar. "Betul-betul sama dengan Sheila Majid asli 'tak?" tanya beberapa pelajar, yang berkerumun mendengar cerita saya. Kisah betapa hampir semua sekolah ada barisan pembahas hanyut dibawa angin ....

Saya diam sejenak, mencari jawapan terbaik, agar tiada yang terlopong atau merasa rugi tidak pergi.

"Yang lain saya tak pasti - baik wajah atau saiz badan. Yang pasti sama adalah jantina mereka......."

Jawapan yang membuatkan kerumunan itu bubar secara perlahan-lahan sambil mendengus..........

Huh!

29 May 2012

Catatan Cacat Caca Cara

Di AlFalah, selain Sains, saya paling suka mengajar Bahasa Melayu/Malaysia. Bahannya banyak selain dapat memahirkan diri kerana sebagai bahasa kebangsaan, perkembangannya perlu dikuti selalu.


Banyak yang melintas ketika ini - mengenang kelas BM di AlFalah. Meski banyak yang manis, yang kelat dan pahit juga mudah menerawang....


Betapa untuk kes perbahasan, cikgu yang beri tajuk, cikgulah yang beri bahan untuk pencadang dan pembangkang, berakhir dengan cikgulah yang berbahas secara solo - semata-mata untuk menunjukkan bagimana yang dikatakan perbahasan itu. Betapa payaunya kenangan itu. Padan muka cikgu!



Betapa dalam memperkenalkan syair, akhirnya dengan suara yang tak sanggup didengar oleh si kodok pun, cikgu juga terpaksa menyudahkan beberapa rangkap. Berbahagialah para pelajar kelas itu sekarang kerana jika ditanya oleh anak cucu - apa itu syair - dengan mudah mereka akan mengingati saat itu, hanya beberapa minit sebelum turunnya hujan yang amat lebat pada waktu tengah hari!



Demikianlah. {Catatan in tidaklah berniat untuk menafikan betapa ramai juga yang tarafnya menyamai kalaupun bukan melebihi seorang ahli bahasa!}


Kemudahan alat bantuan mengajar bukan sehebat sekarang. Berhadapan pula dengan pelajar yang kebanyakannya hanya amat berbakat sebagai penonton tegar....semuanya terpaksalah dihadapi dengan semangat yang bukan main-main. Format dan kehendak karangan saja sudah cukup untuk mendera rasa, apalagi jika melibatkan bahan wajib baca seperti novel dan prosa klasik.


[Pernah, ketika itu, sesekali saya ingin sangat berkenalan dengan orang di Kementerian Pelajaran yang mencadangkan semua pelajar Tingkatan Tiga secara automatik layak ke Tingkatan Empat, walhal ada antaranya mengeja pun tergagap-gagap!]


Bayangkan pula terpaksa memeriksa karangan sekitar 350 patah perkataan dengan hampir 200 daripadanya perlu dibulatmerahkan! Mujurlah saya tidak mengajar ketika anak-anak tadika pun dibekalkan telefon genggam - agaknya boleh sewel membaca campuran ejaan yang kononnya sengaja dipendekkan!


Saya cukup terkesan jika terjumpa ejaan yang salah. Pernah saya menulis kepada MPKS (waktu itu) meminta pihak berkenaan bertindak ke atas tuan punya premis yang meletakkan papan iklan yang tunggang terbalik ejaan dan nahunya. Namun, biasalah, suara rakyat marhaen....




Bagi pelajar AlFalah, lagilah saya pantang jumpa. Bulatan dengan dakwat merah kadangkala sampai tembus kertas kalau kesalahan itu berulang banyak! Siap dengan apa yang dipanggil telinga kera.....
 
Sekarang saya hanya menjeruk rasa apabila menerima mesej atau melihat [dululah] hasil tulisan anak-anak Alfalah di kaca komputer. Sedih, tapi siapalah saya untuk menegur lagi. Ternyata saya gagal menanam rasa kasih kepada bahasa...


Bayangkan :
Salam yang indah dieja Semekom!
Sempena Hari Guru ditulis Sempurna Hari Guru
Demam masih dieja deman [ agaknya Malim Deman pun demam kalau terbaca tulisan ini!]
Bangunan dieja banggunan/bagunan
Lengang dieja lenggang
Mengeliat ditulis menggeliat [sedang saya terbaca satu soalan menarik dalam ini ]
Tanpa dikira betul dengan tampa
Adegan ditaip adengan
Mereka lazim disebut mereka-mereka
Meyakinkan diyakini sebagai menyakinkan
Menggelabah dibuang satu huruf g
Kuetiau pula ........ anda bacalah di gerai atau di kedai makan, masing-masing dengan versi tersendiri!



Untuk hiburan semua hari ini, hayatilah sajak sasterawan/budayawan kelahiran Perlis, Rahman Shaari :

BAHASA
Rahman Shaari
Mari kita berbahasa
sebaiknya
bahasa adalah pengatur
pucuk fikiran yang bertabur
bahasa adalah pelentur
ranting perasaan yang bersiur

Dengan bahasa
terlihat fakta padu
terlihat sinar ilmu
terlihat cinta biru

Dengan bahasa
pemimpin memaparkan arah
di pentas siasah
dengan bahasa
orang beriman menikmati ibadah
khusyuk dan pasrah

Mari kita berbahasa
sebaiknya

Dengan bahasa
budi dipertingkatkan
mesra diperlebarkan
dengan bahasa
kita menjadi kita
bersama

Jika tanpa bahasa
bagaimana akan kita setujui
perjanjian ini

Mari kita berbahasa
sebaiknya.

Rahman Shaari

26 May 2012

Aku Ada, Kau Ada??

Sekarang musim cuti sekolah. Musim kenduri kahwin. Sesiapa yang untuk dua minggu ini tidak mendapat walau SATU pun kad undangan, tak tahulah saya macam mana corak kehidupannya.....

Terkenang AlFalah kita.

Ada dua perkara yang melibatkan perkahwinan.

Pertama.

Setiap perkahwinan guru lelaki semasa saya di AlFalah, dalam gambar kenangannya mesti ada saya. Namakan saja.

Pernikahan Cikgu Abdur Rahim Daud di Jeneri, saya ikut bersama rombongan. Kalau tidak silap pertengahan tahun 1985. Kali pertama seorang guru Alfalah berkahwin semasa bertugas di situ.

Pernikahan Ustaz Zubaidi Ariffin dengan Rubiah Baharom, pelajar AlFalah 1983-1989, di Kg Rambong, Baling, saya turut tumpang sekaki makan hidangan pengantin. Tapi saya bukan pergi dan pulang dengan tangan kosong. Jenuh membantu membawa hantaran....

Pernikahan Ustaz Fairose Azizan di Kota Rentang, saya ikut memenuhi kehendak yang tertulis dalam kad undangan - hadir serta turut memeriahkan majlis. Malah pada hari bertandang ke rumah ustaz, saya paling depan - betul-betul di bahagian kerusi depan kereta yang membawa pengantin. Pemandunya.... si pengantin lelaki!


Pernikahan Cikgu Ahmad Amminy Azizan saya ikut bersama rombongannya ke rumah pengantin perempuan di Sungai Daun, Yan. Saya berperanan menenangkan pengantin lelaki kerana saya lebih dulu berpengalaman berhadapan dengan jurunikah, walaupun umur kami sebaya.

Pernikahan Cikgu Zainon Puteh di Tobiar, saya bersama-sama Hj Sehabudin, anak sulung Ustaz Azizan, ikut memeriahkan majlis sekali gus menyibukkan penyambut tetamu dengan dua kali meminta tambah.....Kena pula kami tidak diletakkan bersama pasangan pengantin. Selang tiga grup dari Cikgu Non.


Pernikahan Cikgu Salahuddin pula, tidak payah cerita. Saya yang menjabat tangan tuan imam. Dua kali pula 'tu... Kali pertama pada tahun 1991 dan keduanya pada tahun 1997.[ Pernikahan pertama berlaku selepas dua tiga tahun pernikahan Cikgu Rahim dan Ustaz Zubaidi. Kemudian baru tindakan kami ditiru oleh Ustaz Fairose dikuti oleh Cikgu Ahmad Amminy dan akhirnya yang bongsu, Cikgu Zainon...]


Tentang pernikahan guru-guru perempuan, saya sempat menyertai acara makan sahaja di khemah. Tidak sempat bersama rombongan ke rumah pasangan mereka. Tepatnya tak dipelawe.... Antaranya majlis perkahwinan Ustazah Rodziah Ahmad di belakang AlFalah, Ustazah Rohana Abd Hamid di Tokai (lupa nama kampung), Cikgu Khodijah Othman di Kg Alor Gandak, Langgar, dan Cikgu Khomariah, di rumah ayahnya Dato' Hj Ismail Hashim [almarhum qari terkenal] di Teluk Chengal. Cuma pernikahan Cikgu Ramlah Johari saya tidak mendapat jemputan....

Kedua


Pernikahan semua anak lelaki Ustaz Azizan saya sertai sebagai peneman.

Bermula dengan perkahwinan Hj Sehabudin di Kuala Kedah (akad nikahnya di Masjid lama di pekan Kola) pada tahun 1988. Masih jelas warna biru pakaian sedondon mempelai pada hari kenduri di AlFalah. Orang lelaki makan di dalam kelas yang kita gunakan sebagai dewan majlis muhadhoroh itu...[Istimewa sedikit kerana saya terlibat dari proses pertunangan, pernikahan, kenduri malah dalam mesyuarat pra-kenduri - termasuk sama proses mengedar kad jemputan.....maklumlah semasa itu Ustaz Azizan telah lama pulang ke rahmatullah]

Pernikahan Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Amminy adalah seperti yang saya tulis di atas. Cukuplah sekali saya catat kerana mereka pun baru bernikah seorang sekali saja....


Pernikahan anak bongsu, Mohd Hizamy di Tikam Batu, saya ikut serta pada saat akhir.Saya datang ke rumah mereka yang kebetulan sedang bersiap untuk ke rumah pengantin perempuan. Memang tiada dalam skrip, saya muncul dan dipelawa. Bertolak-tolakanlah pada mulanya - adat bangsa sayalah - namun mengenangkan saya tidak pernah terjejas prestasi di meja makan pengantin, saya beranikan diri untuk menyahut pelawaan. Demi menunjukkan budaya bangsa,  saya menggunakan kopiah di dalam rumah mereka. Terlanjur meminjam kopiah, saya pinjam pula baju melayu yang bergantungan di dalam rumah. Lengkaplah persediaan untuk lebih diraikan di meja pengantin nanti.....

Syukur. Dalam bab makan dengan pengantin, sepanjang di AlFalah, saya sentiasa berada di kedudukan dan masa yang tepat....