22 May 2012

"Dah Hangpa 'Tu Jakun!"


   

Hari ini hari Selasa. 22 Mei 2012.

Hari itu pun hari Selasa. Tarikhnya ......lupa!

Tengah hari itu, kami - saya & Ustaz Fairose - menumpang pelajar AlFalah yang berulang-alik ke sekolah. Menumpang berteduh di pondok di tepi jalan, menumpang mencelah perbualan mereka dan akhirnya menumpang bas mereka untuk ke Alor Setar.

Sepanjang bersama mereka, pelbagai soalan juga yang kami dengar, tetapi untungnya mereka sudah menyediakan jawapan sendiri. Paling banyak adalah tentang tujuan kami ke ibu negeri itu. Paling banyak pula jawapan yang mereka sendiri reka ialah untuk berjumpa buah hati, diikuti oleh tekaan untuk menonton wayang dan yang kurang popular sedikit adalah untuk membeli buku.

Semuanya salah!

Namun yang betulnya pula, kami sendiri tidak tahu. Cumanya hari itu kami baru saja mendapat sedikit saguhati dari pihak Lembaga Pentadbir Sekolah dan mengikut hukum yang kami cipta, wang itu tidak boleh kekal lama di dalam poket. Jadi.... Tidak hairanlah, perjalanan yang tambangnya tak sampai seringgit seorang itu ustaz bayar dengan not lima puluh ringgit. Merobok juga agaknya hati abang konduktor menghitung duit baki.....

Mula-mula kami turun di stesen Bas MARA di Jalan Stesen, bersebelahan Percetakan Nasional sekarang. Kami menapak ke stesen teksi di belakang Bangunan Zakat lama. Di situ ada satu gerai yang menyajikan makanan 99% menyamai air tangan emak.[ Masa  itu kalau sebut makanan selera kampung di Alor Setar mungkin tiga empat hari yang mendengarnya demam kerana ketawakan kami. Yalah, duduk di kampung cari makanan a la kampung. Sekarang lainlah, duduk di kampung pun ada gerai makanan barat, paling koman jual burger....] Jadi di gerai itu, kami makan sepuasnya.

Selepas itu kami berhasrat ke Pekan Rabu. Kami masuk melalui pintu belakang sebuah kedai pakaian untuk keluar di Jalan Langgar. Tertanya-tanya agaknya gadis jurujual akan asal-usul kami kerana belum ada sejak pagi pelanggan yang masuk ke kedai melaui pintu belakang! Di dalam kedai itu, perlahan-lahan kami membelek-belek pakaian yang tersusun rapi, sambil telinga disumbat lagu dari kotak bunyi. Habis satu lagu, kami masih membelek dan mengomen pakaian yang dipegang, diekori rapat si gadis jurujual - tertanya-tanya agaknya adakah kami ini seperti kebanyakan orang yang di dalam kedai ketika itu - belek dan belah!

Tiba-tiba terdengar satu lagu yang agak asing bagi saya tapi terkesan sedap. Saya mencuit ustaz dan memuncungkan mulut ke arah kotak yang berbunyi itu. Dia faham bahasa bisu saya."Sedap juga" ulasnya sebaik habis bait kedua lagu itu didengari. "Siapa penyanyinya?" Dia bertanya dan saya tahu dia tahu bahawa saya tidak tahu jawabannya. Dia menoleh ke arah si gadis jurujual yang mengekori kami, bertanyakan soalan itu. "Endang," jawabnya,"Endang S Taurina!"

Selang tiga lot ada kedai rekod. Ustaz membeli kaset Endang [penyanyi baru dari Indonesia] Apa Yang Ku Cari,mengandungi lagu Cinta Jangan Dibeli yang kami dengar tadi.

              Cincin melingkar di jari manis
              Cincin siapa yang engkau pakai
              Tolonglah jawab tanyaku ini
              Hati terbakar menahan tangis
              Kilaunya harta telah membuai 
              Kiranya cinta dapat kau beli 

Selepas itu, kami ke Pekan Rabu. Di situ, kami masuk membelek entah apa-apa sekitar tiga empat gerai. Ketika melintasi kedai gunting rambut, salah seorang kami mencadangkan untuk bergunting. Serentak rambut kami digunting oleh dua orang yang amat mesra berbual sambil melakukan kerja itu.
 
Turun dari Pekan Rabu, kami menapak ke Panggung Cathay [kini dijadikan restoran makanan segera yang menjual ayam goreng Pakcik Sam]. Belek pula semua poster filem coming soon, next change dan now showing. Tiada yang menarik.

Kami menapak pula melalui semula stesen teksi . Gerai yang kami kunjungi tadi masih dipenuhi pelanggan. {Baru teringat gerai itu adalah Gerai Nasi Tat Baghdad!) Kemudian kami kembali ke stesen Bas Mara. Menunggu kami di situ adalah bas Alor Setar - Yan dengan konduktornya Bang Id Kuala Sala, yang dikenali sejak kami masih bergelar pelajar.

Demikianlah ceritanya. Alor Setar sewaktu itu tiada apa-apa. Kalau disuruh buat karangan tentang perjalanan kami, agaknya susah untuk sepanjang 350 patah perkataan. Sukar untuk percaya kalau ketika ini anak muda ke Alor Setar mengambil masa seperti kami ketika itu. Mungkin juga kerana ketika itu tiada siapa yang sudi menunggu kami di Alor Setar.....

Di AlFalah, menunggu kami berdekatan rumah ustaz, adalah Ustaz Azizan. Dia berketayap, berkain pelikat dan berbaju-t  cap Pagoda - serba putih - sedang menarah rumput di sisi rumah. Saya menegurnya sepatah dua.

Ketika ustaz Fairose melangkah naik tangga dapur dan saya menapak ke rumah, Ustaz Azizan tiba-tiba perasan sesuatu. Dia menggamit kami.

"Hangpa gunting rambut ka?"

Kami saling memandang, kehairanan, dan agak serentak meraba kepala.

"Hangpa 'tau dak hari 'ni hari Selasa?"

"Awat baba?" tanya ustaz Fairose.

"Orang tak gunting rambut hari 'ni aih!" kata Ustaz Azizan sambil menguraikan beberapa pantang lain pada hari Selasa, dan Sabtu-Ahad juga.

"Tapi depa buka kedai hari 'ni, ustaz!" mulut saya tiba-tiba menggatal - mencari nahas.

"Dah hangpa 'tu Jakun*!" kata Ustaz Azizan dengan agak kuat sambil terus menarah rumput.

Saya tersentak.

Sejak hari itu, hampir tiga dekad, saya tidak pernah lagi bergunting pada hari Selasa.......



Nota:

       *Jakun di sini bukan bermaksud suku kaum asli itu tetapi merujuk kepada kejahilan. Harap tiada yang salah faham. Kalau salah faham juga, sahlah anda jakun!



No comments: