30 June 2013

Apalah Sangat Dengan Neelofa?

   
Entah mengapa sukar untuk saya melelapkan mata pada malam ini. Kedudukan badan atau letak bantal telah beberapa kali dibuat penyesuaian, namun mata yang dipaksa pun tetap tidak mahu terpejam. Kacau.



Yingluck
Saya baru pulang setelah lama bersembang dengan Budak Batas Paip[BBP] serta Hamzah Casablanca serta Saiful Adly di satu kedai makan yang diusahakan oleh rakyat Yingluck Shinawatra.


Seperti selalu, banyaklah yang dibualkan. Bukan selalu kami dapat berjumpa. Dengan Hamzah, sudah dua puluh enam hari [kali akhir pada 3 Jun], dengan BBP serta Saiful pula kira-kira 480 jam! [Kali terakhir, adalah 20 hari lalu, empat lima hari selepas kenduri di rumah mertua Saiful.....]

Masing-masing teruja, seperti tidak sabar menanti perjumpaan raya alumni AlFalah pada 4 Syawal nanti.  Persiapan, setakat yang kami dapat info, serta jangkaan kehadiran tetamu menjadi tajuk utama perbualan. Sesekali kami sulam dengan cerita tentang perkembangan beberapa Budak Falah yang kami tahu. Kadangkala ada juga sedikit ulangan kepada butir-butir yang telah dibualkan pada pertemuan-petermuan yang lalu. Biasalah. Macam lagu, kena yang diminati, berulang kali dimainkan pun tidak mengapa. Semuanya mengundang keterujaan yang setara setiap masa.

Habis minuman pertama di meja biasa, kami berpindah pula ke bangsal yang baru dikosongkan oleh dua pasangan - tempat yang sentiasa menjadi pilihan kami jika mahu berlama di situ.

Meja di bangsal itu masih dipenuhi bekas makanan dan minuman pasangan tadi. Sambil salah seorang rakyat Yingluck Shinawatra membersihkannya, kami memesan minuman kedua. Supaya petugas di dapur tidak kekurangan kerja, kami memesan tiga mangkuk sup sayur - untuk ratah-ratah, kata BBP dan Hamzah -  manakala Saiful meminta nasi putih serta udang masak merah.

Kami meneruskan perbualan.  Tentang Hamzah yang akan kembali 'ke kelas', berkenaan cadangan untuk pergi sendiri menjemput guru-guru yang belum dihubungi, perihal berjumpa beberapa rakan yang wajah dan perawakan jauh berbeza berbanding dahulu, soal kemunculan berita sehari dua ini di beberapa saluran tv mengenai Pusat Tahfiz Amal.......

Minuman sampai.

Kami bercakap lagi dan lagi.

Sup sayur tiba. Demikian juga nasi putih untuk Saiful dan ayam masak merah....Mujur Saiful tidak minta otak udang, kalau tidak tentu dia dapat otak ayam! Lokluck sungguh rakyat Yingluck di kedai ini.....

Kami bercakap lagi dan lagi sambil menikmati apa yang ada di depan muka.

Secara peribadi, mahu saya namakan sup sayur itu sebagai sup cabai melaka. Selak cabai baru terjumpa sayuran lain..... Pedas tidak terkata. Yang tidak terkata itu kerana disediakan oleh rakyat Yingluck. Cuba kalau penyedia itu rakyat Malaysia yang berada di dapur rumah saya, sudah pasti tersembur sedikit kata-kata..... Paling lembut pun mungkin berbunyi: Lori cabai terbalik depan rumahkah?

Dalam tidak terkata tentang apa yang disajikan itu, kami terus berkata-kata tentang topik awal tadi. Saiful menyentuh tentang ketiadaan BBP dalam majlis kelak. Saya memerhati wajah BBP. Tersengih.

BBP tidak dapat ikut?

Memang BBP tidak dapat bersama pada hari itu kelak kerana telah termeterai MOU berkenaan sistem penggiliran beraya di rumah mertua. Tahun lepas samatua BBP beraya di Kedah, maka tahun ini tibalah pula giliran BBP beraya di negeri yang baru saja mempertahankan Piala FA itu....

Namun kredit yang tinggi mestilah diberikan kepada BBP kerana isu penggiliran raya berkenaan tidak sesekali mengurangkan ketekunannya membuat persiapan. Dia mencari dan menempah dewan dan alat siaraya - setelah dewan yang disewa tahun lalu telah lebih awal dipinang orang, dia ikut mengedarkan kad jemputan malah bersama saya dan Cikgu Non telah pergi ke Gajah Mati, kini dalam perancangan untuk bertemu Ustaz Mat, Ustaz Md Daud serta Cikgu Abdul Aziz. Dalam pada itu, bersama samatuanya, mereka sedang menyediakan bahan AV istimewa untuk selingan pada hari berkenaan.Serta yang tidak kurang pentingnya, ikut menyediakan peruntukan dana ikhlas untuk membiayai majlis..... Kalaulah ada sepuluh peratus Budak Falah seperti ini di seluruh Malaysia......

Saya mencadangkan, diadakan sidang video dengan BBP di Kelantan semasa acara itu berlangsung kelak, tapi BBP hanya tergelak....

Dengan Saiful berjanji akan mengajak seramai mungkin pelajar generasinya datang dan Hamzah pula akan pulang bercuti lebih awal menjelang raya nanti, bagi membuat pesediaan, apa lagi yang dapat dilafazkan?

"Jom kut......"kata BBP kepada Hamzah yang sudah beberapa kali melihat jam di lengannya.

Maka kami pun berpisah untuk sementara.

Perjalanan pulang saya dibedung rasa lega. Itu baru cerita dari tiga individu. Campur dengan yang lain termasuk kelompok yang diketuai oleh Mariam Ismail, pastilah  majlis akan menjadi lancar. Insya Allah. Namun sebaik mana pun persediaan, tidaklah memberi erti jika tiada sokongan Budak Falah untuk meluangkan sedikit masa bagi menghadirinya.......

Di rumah, entah kenapa, sukar untuk saya melelapkan mata.

Bahana kepedasan sup sayur tadi? Takkanlah. Perut tidak berbunyi apa-apa pun.......

Kenapa ya? Berkalih badan beberapa kali, keadaan masih sama. Haru.....

Neelofa!

Ya. Saya teringat kepada Neelofa! Patutlah.... Walau jarang menonton drama, saya kenal dengan pelakon kelahiran negeri mertua BBP itu.Tiba-tiba timbul rasa kasihan yang amat sangat kepadanya. K A S I H A N bukan K A S I H......

Sebelum berlama di kedai tadi, saya serta Hamzah dan BBP telah pergi ke rumah Husin Lateh. Ustaz KAFA itu menghantar mesej kepada BBP menjemput ke rumahnya kerana ada sedikit majlis. BBP dan Hamzah yang menunggu saya di tepi Jalan Kola bersetuju untuk pergi setelah Husin menelefon saya pula bagi mengukuhkan jemputan. Katanya, siang tadi ada majlis pertunangan adiknya, jadi "adalah sikit-sikit lagi...."

"Kita tengok apa yang ada. Mana tahu, kalau nasib baik seperti ketika di Kg Gajah Mati dulu..... Kalau dia hidang cucok kodok, kita belah awai sikit...." kata saya antara memberi motivasi atau menghasut. Tiga minggu lalu, di Gajah Mati, saya dan Cikgu Non serta BBP dihidangkan nasi dengan lauk ayam, itik dan ikan....

Kami menaiki kereta Hamzah untuk masuk ke Taman Marina - tepatnya ke rumah Husin. BBP menjadi penunjuk arah kerana saya hanya baru dua kali pernah ke rumah itu - sekali bersama Cikgu Rahim serta Zairi Md Ariff semasa kenduri adiknya dan sekali lagi pada malam hari bersama Cikgu Non.

Samnpai di depan rumah, Husin keluar menyambut. Ada beberapa tetamu sedang makan di ruang tamu. Makan? Nampak gayanya macam nasi.....

Husin menghampar tikar di luar rumah, sesuatu yang cukup saya hargai. Malulah bersila tidak sesempurna BBP di dalam rumah orang.

Belumpun kami duduk, di atas tikar itu Husin letakkan sebekas ulam berdaun dan semangkuk acar timun. Sah, saya akan menemui pengalaman seperti di Gajah Mati dahulu. Saya tersenyum lalu menjeling ke arah BBP tetapi matanya sedang terarah ke atas tikar itu.....

Kemudian muncul pula regu ulam dan acar tadi - gulai, ikan goreng, sambal belacan serta nasi dan sejag air oren.....

Kami bersila mengelilingi hidangan itu. Seorang jiran Husin kemudian ikut berjemaah bersama kami.BBP menyenduk untuk empat orang. Hamzah hanya mahu sedikit nasi. "Baru kena tadi...."katanya sebelum beberapa minit kemudiannya berkisah tentang lama sudah tidak menjamah nasi pada waktu malam, sebagai persediaan masuk 'kelas' - berkursus - menjelang Ramadan nanti.

Kami pun memulakan acara. Saya meminta izin untuk mengangkat pinggan ke atas riba demi keselesaan perut..... Husin kemudiannya ikut duduk, menyenduk nasi dan mencedok gulai dan mencapai ulam, sambal dan ikan.

Makan sambil berbual atau berbual sambil makan......

Hamzah menjadi pemenang kerana berjaya melicinkan pinggannya paling awal. Saya mendapat tempat keempat selepas BBP dan jiran Husin. Semuanya selepas saling menolak untuk menambah nasi. Husin, kerana lewat bermula, tercorotlah kedudukannya. Kami memerhatikan dia menggaul nasi, membenamkan ulam ke dalam bakal suapan dan mengunyah. Dalam kunyahan, senyumnya tidak tertanggal......

Sedang Husin dalam suapan kedua terakhir, muncul seorang wanita berkacamata, berusia sekitar 60-an dari luar pagar membawa sebekas nasi.Berjalan masuk ke dalam rumah sambil berkata sesuatu kepada Husin.

"Itu emak saya......" kata Husin sambil menyuap nasi. Matanya terarah kepada saya.

Saya mengangguk. "Tahu. Ada frame Husin...." kata saya. Husin tersengih dalam mengunyah. Tangannya sedang mengumpulkan semua nasi di dalam pinggan agar terhimpun menjadi hanya satu suapan akhir.

"Dulu..... emak saya 'tu..... setakat ..... apa nama...... Neelofa 'tu.... takdak apa....." katanya lalu menyuap.

Kami tertawa.

"Bukan setakat sorang..... tiga Neelofa pun kalah lagi...." Husin mengukuhkan katanya.

Kami tertawa lagi.

"Siti Norhaliza 'tu kira lagi takdak apa nooooo..." BBP bersuara sambil tersenyum. Husin yang merasa dibantu mengangguk dan tersenyum manis sambil membasuk tangannya.

"Tambah dengan Janet Jackson....... lagilah..." Saya pula tumpang semulut. Semua, termasuk jiran Husin, terus ketawa.

Kami dihidangkan pula sejag kopi o panas. Sambil berbual dan minum, Husin keluarkan empat keping gambar berkaitan AlFalah. Kami membeleknya. Mengulas serba sedikit.BBP menggunakan i-padnya bagi merakam semula gambar tersebut.

Namun, di fikiran saya hanya ada Neelofa. Pernah saya lihat foto dan drama lakonannya dulu. Namun semuanya kini jadi berbalam. Saya menggambarkan empat wajah Neelofa  - kerana tiga pun masih kalah - untuk membayangkan pula wajah emak Husin semasa muda dulu.......

Dulu!

Selepas melihat empat potret Neelofa dengan bantuan Google sebentar tadi, tiba-tiba rasa kantuk pun tiba.....

Husin. Husin.

Kasihan Neelofa.......