27 June 2013

Memburu Gajah Mati


5 Jun. Genap sebulan kebah demam PRU 13.

Malam.

Bukan semua malam hati kita menjadi besar…….

Tapi malam itu lain.

Jika malam sebelumnya, bukan setakat hati jadi halus, malah mungkin tak ada langsung! Manakan tidak, puas kami menunggu kedatangan Budak Patas Paip [BBP], tiba-tiba dia boleh menghantar mesej: Nak menjemput geng Gajah Mati, bila? Rupanya dia tersalah faham dan kami tersalah sangka kata dia faham dengan ayat dua malam sebelumnya, tatkala bersama Nazri Hashim, Husin Lateh dan Hamzah Yahya di Rumah Makan D Samila……
2 Jun di D Samila.

Cikgu Non kata  malam kedua selepas perjumpaan baru boleh pergi ke Gajah Mati kerana malam besoknya dia ada urusan lain. Bagi kami jelah dan sahih kenyataan itu. Hamzah pun akan ikut sama kerana dia masih ada di sekitar Pendang. Malangnya, BBP menunggu pengesahan lain apabila tiba malam berkenaan. Ketika dia menunggu pengesahan itu, kami menunggunya di rumah ….. Apa lagi, malam itu, Sinar FM seakan menyindir memainkan lagu Di sana menunggu di sini menanti!

 
Maka, petang tadi, awal lagi dibuat pengesahan. Malam ini, jadi! Mendung menjelang Maghrib sedikit membimbangkan, namun niat telah diikhlaskan. Malam ini kami mesti ke Gajah Mati!

Lega melihat BBP muncul di depan rumah dengan kereta sejenama dengannya. Sendirian. Husin katanya menemani anak yang demam. Saifol Adli, yang BBP hubungi, memaklumkan dia pastilah sibuk sebab besoknya ada kenduri kahwin di rumahnya, sesuatu yang BBP terlupa…. Setelah menunggu Cikgu Non yang berurusan di luar sebentar, kami bertolak ke Gajah Mati sebelum pukul 9. Ada gerimis kecil di luar kereta Cikgu Non. Ada gerimis kecil di hati apabila mendengar BBP bersuara, “Payah ‘nak jumpa cikgu mencari anak murid macam ‘ni….”

Bukan satu jalan ke Pendang. Cikgu Non memilih jalan pintas yang lama dihafalnya. Dia menekan pedal minyak semahunya tanpa gangguan sebarang kereta dari depan atau belakang, membelah malam di atas ban MADA bertar molek. Beberapa kali BBP berkata dia memandu ke negeri besan emaknya pun sekadar 80-90 km/j. Saya faham maksudnya. Cikgu Non pun demikianlah juga. JANGAN LAJU SANGAT!

Sampai di jalan besar Bukit Choras ke Pendang, renyai hujan mula menambah saiznya. Saya teringat Hamzah yang mengikut jadualnya telah berada di Manjung ketika itu. Nombornya saya dail. Manalah tahu jika hasratnya tertunda juga seperti kami semalamnya. Sah dia sudah ke negeri Ridzuan itu. ‘’Semalam dok tunggu juga….”katanya, yang bertolak siang tadi dari rumah ayahnya. Saya tidak bercakap banyak. Malaslah untuk bercerita betapa malam tadi puaslah kami melantunkan bait popular dari lagu Penantian nyanyian kumpulan Harmoni: Penantian suatu seksa yang tidak tertanggung oleh tubuhku yang kering dan layu….. Nanti dia terkejut pula, kerana dua malam yang lalu kami tidak pun menunjukkan ciri-ciri kering dan layu semasa menyantap di atas balai makan di depan kedai masakan ala Yingluck Shinawatra itu…. Maka saya biarkan BBP saja berbual dua tiga puluh patah kata dengan Hamzah.

Melepasi Pondok Hampar, renyai tadi bertukar menjadi hujan tebal.  Rahmat apakah ini?

Md Rautin
Di Kg Gajah Mati, kami terus ke rumah Md Rautin. BBP diminta turun dengan perangkap untuk mengenakan Budak Falah legenda itu. Suruh BBP berpura-pura mencari Tok Ayah, sedang kami berdua kekal di dalam kereta. Namun perancangan itu tidak menjadi. Md Rautin sekeluarga bagaikan telah diberi gerak rasa lebih awal. Lampu terpasang elok, tetapi pintunya bermangga dari luar. Kalau mangga jenis Cokonan atau Namdokmai tidaklah menjadi hal….

BBP kembali ke kereta. Sempat dijelingnya sangkar ayam Md Rautin yang berbalut bendera parti. Agaknya demam di situ lambat sedikit kebahnya….

 
Elias @ Paksu Yeh
Kami tiada nombor  telefon Md Rautin. Cara tunggal yang kami nampak adalah menghubungi Elias Hj Awang [Yeh] tapi penyedia khidmat telekomunikasi di kawasan itu seperti mensabotaj kami di dalam runtuhan hujan itu. Tidak ada jawapan setelah berkali-kali nombor Yeh didail.

Kami mencari rumah rumah Pakya [Zakaria, ayah Basri dan adik-adiknya Helmi, Jamani, Mazlan…semuanyabekas Budak Falah]untuk bertanya rumah Yeh. Difahamkan rumah Yeh bukan lagi di lokasi yang pernah kami kunjungi dahulu.

Cikgu Non turun melompat ke pintu depan rumah Pakya. Mengetuk pintu dan member salam sambil dua tangan menghadang sebanyak mungkin tempias hujan di atas kepalanya. Agak lama baru adik Pak Mid [panggilan mesra untuk Basri – pelajar Peralihan AlFalah 1984] yang tidak kami kenali membuka pintu. Entah apa ayat yang Cikgu Non lafazkan. Saya hanya dapat melihat kumat-kamit mulut mereka. Sebentar kemudian muncul Pakya. Sekali lagi saya melihat kumat-kamit mulut mereka. Entah apa yang dilafazkan. Tentu tentang lokasi rumah Yeh, berdasarkan gawangan tangan mereka. Mustahil Cikgu Non bertanya tentang arah ke Seri Manjung atau Mantin!

bukanlah asing bagi kami. Tapi kerana tiada anak-anaknya – terutama Pak Mid dan Helmi - tinggal bersamanya, tidaklah kami singgah pada malam itu.

“Aku habaq kata Cikgu Din ada dalam kereta….” Kata Cikgu Non sebaik masuk menyertai kami setelah tahu jalan ke rumah Yeh. Kesal pula rasanya tidak menunjukkan sekejap muka saya kepada Pakya. Tapi Pakya mungkin faham keadaan cuaca….. Saya hanya melambai ketika kereta beredar dari laman rumahnya. Pakya tidak membalas. Tapi saya faham. Keadaan cuaca……

Cikgu Non memandu melalui jalan tar yang lebarnya macam diukur khas untuk keretanya, tidak jauh pun dari laman Pakya tadi…. Melintasi surau, saya tidak nampak lagi  plan lokasi rumah Yeh. Dulu, semasa masih dihuni bersama ayahnya, arwah Hj Awang, dekat juga dengan surau itu. Tapi kini……
Sebuah rumah yang di bawah semurup hadapan pintuya, masih ada sekumpulan orang berbual. Cikgu Non memberhentikan kereta di hujung cucur atap semurup itu lalu turun – sekali lagi menggunakan dua tangannya melindung tubuh dari hujan….. – menuju ke arah kumpulan tersebut. Panjang betul rumah itu. Ada dua semurup membahagi dua panjang rumah tersebut.

Sekali lagi saya hanya melihat kumat-kamit mulut Cikgu Non di celah juraian hujan yang turun dari bumbung semurup. Kemudian bangun seorang dari mereka. Berketayap di kepala. Siap memegang payung terbuka. Matanya mengarah ke kereta Cikgu Non.

Saya amati wajah pemegang payung itu. Betulkah dia? Takkan kut.....

Dia menghampiri kereta, datang ke arah pintu kiri. Saya membuka pintu, keluar dan masuk ke bawah payungnya. Dalam suram malam, dilatari hujan, dia erat memeluk saya. Saya pun apa lagi……

Dino?

...bersambung...boleh?

No comments: