27 June 2013

Memburu Gajah Mati (2)

Dino




Benar. 

Dialah Dino, anak saudara Yeh yang nama sebenarnya adalah Nasarudin Abdullah. Saya memangginya Dino Bravo – nama seorang penggusti popular  WWF pada tahun 80-an. Khabarnya, dari sumber situ juga dia dipanggil begitu.Sebaya Paksu Yehnya dan Md Rautin – sama-sama ke AlFalah pada tahun 1986. Berada di situ selama tiga tahun sebelum bertukar angin ke SMA Al Islah, Pendang.  Dino dan Md Rautin pula bukan orang……hehehehe. Sepupu. Emak Dino dan ayah  atau emak  Md Rautin – saya tidak pasti – dua beradik. Yeh pula adik bongsu ayah Dino. Yeh ada seorang kakak – Mariam  {manjanya Makyam atau saya panggil Makye…}.– yang sama belajar di AlFalah. Dua lagi anak saudara Yeh dan Makye yang pernah belajar di AlFalah adalah Rafida Md Saad dan Norhashimah Ismail. Kiranya mereka semua bukan oranglah…….hehehehehe.

Dino mengajak kami masuk ke rumah ayahnya itu. Kami nyatakan hajat untuk bertemu Yeh. “Tak pa,”katanya, “jom masuk dulu. Nanti saya panggil Paksu!”

Setelah dua tiga kali menolak, akhirnya kami masuk ke bawah semurup berbumbung cantik itu. Memang kami mahu bertemu Yeh, tetapi bukankah hajat besar kami demi majlis perjumpaan raya Budak Falah? Bukankah Dino juga termasuk di dalam grup itu? Sekurang-kurangnya bertambah lagi seorang atau sekeluarga……

Hujan masih selebat tadi.

Dino bersama seorang adiknya, dengan disertai emak mereka dan dua lagi anak muda sekampung sedang berbual ketika kami sampai tadi. Serbasalah juga untuk menghadap orang yang sedang bersembang  begitu. Tetapi melihatkan kesungguhan Dino serta emaknya mempelawa kami duduk, rasa serbakena pula yang timbul. Dino mendail nombor telefon Paksunya beberapa kali. Tidak berjawab atau satu daripadanya berjawab tapi tidak begitu jelas…. Akhirnya Dino menyuruh adiknya merentas hujan memanggil Paksu mereka.

Kami bersila berbual, bertarung dengan bunyi air hujan menimpa bumbung dan mencurah di hujung cucur atap….

“Yang ‘ni Cikgu Din?” Tanya emak Dino, tepat ke arah orang yang dipanggilnya Cikgu Din. Orang yang dipanggil Cikgu Din pun terangguk-angguk sambil tersengih. Ingat lagi emak Dino kat aku, kata hati orang yang dipanggil Cikgu Din itu. Lama mata mereka bertentang. Adalah gamaknya yang dinilai…. Dulu orang yang dipanggil Cikgu Din itu bukan begini. Perut leper. Gigi cukup set.Rambut perang….. hehehehe.

“Cikgu Din ada menantu ‘dah?”Tanya emak Dino.

Orang yang dipanggil Cikgu Din itu tersentak. Agaknya orang sebayanya di kampung ini semuanya sudah bermenantu. Dengan perlahan orang yang dipanggil Cikgu Din itu menggeleng sambil menjawab, “Takdak lagi…. Yang sulung baru 18 tahun…..” Kemudian, orang yang dipanggil Cikgu Din itu cuba menukar topik perbualan, hingga akhirnya perbualan dengan emak Dino terhenti sendiri…..

Dino di mata saya tidak berubah langsung. Rambut hitam lebat, wajah berkulit tegang serta senyum yang tersimpul seolah saya melihatnya lebih suku abad lalu! Sebab itulah ketika melihatnya memegang payung tadi, saya menyangka dia adalah adiknya yang seiras…..

BBP duduk di sebelah saya. Dia budak yang baik – tidak banyak bercakap……

Kami menyatakan tujuan asal kami – mencari Md Rautin. Dua anak muda yang dari tadi melihat kami berbual dengan Dino mencari nombor telefon lelaki yang mereka gelar Abang Long itu dari set masing-masing. Cikgu Non menelefon nombor itu. Dapat. “Abang Long ha?”demikian kata mula dari Cikgu Non. Apa jawapan dari Md Rautin tidaklah kami dengar. Lama juga mereka berbual. Isi utama yang saya tahu sepintas adalah Md Rautin berada di rumah ayahnya, di belakang kampung, berhampiran ban taliair. Satu lagi, Cikgu Non menggunakan kuasa veto mengarahkan Md Rautin datang segera ke rumah Dino! Ada nada kelegaan apabila Cikgu Non memutuskan talian. Jadinya kami tidak payah ke mana-mana lagi pada malam itu…

Adik Dino muncul bersama nombor telefon Paksunya sambil menyatakan Yeh tidak menyahut panggilannya di luar pintu rumah. “Tidur dah kut….” Kata seorang dari kami. Saya menyalin nombor kerana kagum dengan kerapnya anak-anak AlFalah menukar nombor telefon…. Belum sempat nombor itu didail, Cikgu Non bangun. “Mai saya pi keloi – kertuk dinding rumah dia….”katanya sambil mendapatkan plan lokasi rumah Yeh yang berselang dengan sebuah rumah lain. Cikgu Non membelah hujan. Benarlah kata BBP semasa kami mula bertolak tadi - “Payah ‘nak jumpa cikgu mencari anak murid macam ‘ni….”

Sementara itu, di hadapan kami telah diletakkan sejag air oren. Kemudian diletakkan 3-4 pinggan kosong. Ini sudah bagus. Perut kami pun macam pinggan itu juga. Kosong……

Kemudian lagi, sampai pula sebekas nasi diikuti sehidang lauk-pauk. “Ada rezeki lagi ‘ni….”kata hati saya. Saya tahu kata hati BBP pun demikian juga…. Nampak caranya macam ada kenduri siang tadi tapi menghidu aroma nasi dan lauk dalam serkupan hujan begitu tidak perlulah ditanyakan kenduri apa. Halkum saya bergerak-gerak. Halkum BBP pun tentulah bergerak sama. Saya tahu, tembolok kami bukannya berbeza sangat…..

Cikgu Non kembali membawa khabar misinya berjaya. Yeh terjaga dan sedang mempersiapkan diri untuk datang!

Sebentar kemudian muncul seorang penunggang motor berjaket hijau tentera, memarkir motornya di bawah cucur atap, di hadapan kereta Cikgu Non. Sebaik membuka topi, misainya yang muncul dahulu. Itulah Md Rautin!

Barulah ada sinar sedikit di mata BBP. Dia kenal Md Rautin – Legend of AlFalah! Kami bersalam dan ingin berlaku adil seperti sepupunya tadi, saya memeluk Md Rautin. Sekejap sahaja kerana misai tanglungnya menujah tengkuk saya!

Seketika, muncul pula Yeh dari belakang kami. Seperti selalu, baru tujuh patah kami bertanya, dia sudah menyediakan tiga empat puluh patah jawapan… Ramah yang patut dicontohi.
Kami mengelilingi hidangan tadi. Yeh yang mengaku telah makan siang tadi tidak pula menolak untuk makan sekali lagi. Dua biji pinggan diambil dari dalam rumah. Sementara itu, adik Dino yang tidak tahu mahu mencelah perbualan bahagian mana, beredar bersama dua rakannya ke ruang lain di depan rumah itu.
Muncul ayah Dino yang agaknya tadi sedang berehat di dalam rumah, mempersilakan kami sudi apalah kiranya menjamah makanan yang terhidang. Emak Dino pun demikian. Menjemput kami makan.
Apa lagi? “Kasi pecahlah….!”Saya teringat dialog HM Busra sebagai penyamun di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok sebaik nampak pintu berpangkah…..

Kami menyenduk nasi untuk pinggan masing-masing.

Menu lauknya?

Gulai itik, kurma ayam kampung, ikan kering, ulam-ulam dan sambal belacan.

Bayangkan ini : perut kosong, nasi wangi,lauk sedap, ulam dan sambal sama sepadan,hujan pula sedang lebat. Fuh! Tidak perlulah saya bazirkan dengan sebarang bentuk frasa lagi……

Kami berenam pun makanlah sambil sembang-sembang terus. Atau, kami berenam pun bersembanglah sambil makan-makan terus…. Pilihlah yang mana mahu dibayangkan.

Selain bab perjumpaan raya, timbul bermacam cerita lain tentang AlFalah. Semuanya menjadi lucu setelah lebih dua dekad berlalu, meski sebahagiannya agak tragik. Semuanya mengundang dekahan tawa kami. Lebih-lebih lagilah apabila cerita yang keluar dari mulut Md Rautin dan Yeh. Mereka pasangan secocok dalam bercerita. Saling melengkapi.

Cerita mereka yang paling mendera urat tawa kami adalah tentang satu kejadian di asrama. Tajuk yang mereka pilih bersama adalah '10 Muharam'.



....bersambung sikit lagi.... boleh kut...

No comments: