3 September 2012

Ais Kacang 'Tu Ada Lagi Ka?


  

Encik Jamaluddin Alang telah lama meninggal dunia. Lebih dari lima tahun. Tetapi ingatan saya terhadapnya sesekali datang, apabila saya melongo di kedainya yang terletak di kawasan pekan Khamis, pasar sehari di Simpang Empat itu.

Kadang-kadang sambil menunggu giliran untuk tempahan sampai ke meja, serasa dia datang dari belakang, menepuk dan bertanya lembut, "kali 'ni berapa bungkus?".

Saya tidak rapat dengan arwah, malah dia mungkin tidak tahu pun nama saya. Kami jarang berbual sebab setiap kali saya masuk, kedainya itu sentiasa ada pelanggan. Kami cuma bertukar anggukan, senyum atau sesekali lambaian tangan.

Sekali saja saya rasa agak lama duduk dengannya, itu pun ketika kami bertembung ketika sama-sama singgah untuk makan bubur kacang bersama roti di gerai depan Masjid Mergong. Dia membayar untuk saya dan rakan. Itu juga kali terakhir saya berjumpanya. Selang tidak berapa lama, saya diberitahu beliau telah meninggal. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Saya membesar dengan ingatan yang cukup mendalam tentang ais kacang Din Pak Alang [awalnya ais kacang Pak Alang] serta bihun sup Jaya [kini telah tiada], yang usahakan oleh Encik Hashim.

Dulu, kalau minggu akhir Syaaban saja pekan Khamis bagaikan matlamat akhir warga kampung sekitar Simpang Empat. Macam tidak sah menyambut Ramadan bagi kami jika tidak menjamu selera sepuasnya dengan ais kacang yang ketika itu berharga 50 sen semangkuk dan bihun sup ....

Setelah menjadi warga alFalah, lagilah kerap saya menikmati ais kacang bertekstur halus itu. Kadang-kadang bersama budak asrama yang saya bawa kerana berurusan di Simpang Empat. atau bersama budak falah yang menyelesaikan kertas akhir peperiksaan SRP/PMR atau SPM di dewan SM Simpang Empat [kini SMKTAA] sebagai hidangan kenangan.

Namun yang lebih kerapnya adalah ketika menunggu pekerja Cik Din Pak Alang menyiapkan tempahan mencecah sepuluh bungkus dari budak asrama, terutama yang puteri.... Ketika inilah Cik Din kenal wajah saya dan tahu selalunya saya menempah banyak bungkus. Dia tahu saya membeli untuk budak asrama, maka selalunya yang saya makan di kedainya tidak dikira....

Selalunya, selepas waktu sekolah, saya akan ke Kuala Kangkong untuk membeli barang yang ditulis dalam senarai oleh pelajar asrama - minyak tanah, minyak kelapa, rempah cabai, mi segera, roti sebenar dan roti tiruan [berjenama Stayfree dan seumpamanya], beras, ikan kering, sardin dan sebagainya. Kerana tidak terfikir untuk mengajar agar bekerjasama, maka kalau cabai kering saja kadangkala 4 bungkus kecil, 40-50 sen. Demikian juga benda lain, mengikut keperluan dan bajet semasa mereka. Paling bermasalah adalah minyak tanah untuk memasak. Berbungkus plastik, jika lebih dari lima tuan yang memesan, akan adalah kemungkinan beberapa bungkusan barang lain akan merasa 'tempias' baunya....Kemudian berbungkus-bangkaslah saya membawa barang balik ke asrama putera-puteri dengan motorsikal ayah. Semasa itu,  tidak dibenarkan pelajar pergi sendiri ke kedai, yang kebetulan paling dekat hanyalah di Kuala Kangkong, hampir 3km dari kawasan sekolah.

Doa saya setiap kali menerima kertas yang menyenaraikan barang keperluan untuk mereka memasak dan membersih diri dan pakaian itu ialah: janganlah terselit 'ais kacang'! Sebabnya, jika dimaksudkan demikian adalah ais kacang Cik Din di Simpang Empat. Bukan tidak ada ais kacang dijual di Kangkong, tetapi citarasa mereka tetap pada ais Cik Din juga. Kalau ada, terpaksalah saya terus ke Simpang Empat dahulu, atau ke Kangkong menghantar senarai barang keperluan lain sebelum ke Simpang Empat, dan kemudian berpatah balik mengambil barang di Kedai Salleh, Kangkong.

Penat? Lagi mau tanya ka?

Tapi saya tidak sampai hati. Mereka mengidam demikian, sebolehnya saya tidak mahu menghampakan mereka. Emak pula selalu berpesan, mereka jauh dari keluarga: bayangkan kalau adik-adik saya yang berada di tempat putera-puteri asrama itu.....Sementelah saya pernah tinggal di asrama. Walaupun tidak memasak sendiri seperti mereka, saya tahu 'keinginan' dan ragam nafsu makan budak asrama.

Kalau minggu itu,  baru datang dari kampung, sedang duit masih banyak, kerap juga mereka memesan ais kacang beserta bihun sup. Lagilah bermasalah untuk mendera raga motorsikal ayah. Tetapi pelajar yang menempa satu set begitu tidaklah ramai kerana kebanyakannya kemudian tahu keseronokan pada minggu itu akan menyeret mereka dalam nestapa pada minggu selepasnya......Terpaksa berjimat sehingga hari Khamis minggu kedua, minggu dibenarkan balik kampung....


Habis licing!
Ais kacang Cik Din [kini diuruskan oleh anaknya, Nor Hafiza dan Hazwani, dengan penambahbaikan pada kedai dan penjenamaan - disebut ais salji] cukup terkenal. Pernah ditulis di dalam banyak blog - termasuk oleh Dato' A Kadir Jasin, serta pernah muncul di akhbar.

Selain teksturnya yang halus, ais itu dikenang dengan dua warna air gula - hitam dan merah - ditambah jagung manis, agar-agar serta kacang merah,  diakhiri dengan lapisan susu pekat di puncaknya. Rasanya memanglah manis hingga cedokan terakhir dengan memiringkan sedikit piringnya.

Namun, sepanjang berurusan dengan bungkusan ais itu, ada dua kejadian pahit yang saya kenang hingga kini.

Pertama, pada tahun 1988. Kerana barang yang dibeli di Kangkong sedikit sahaja dan tidak pula melibatkan minyak tanah, saya terus ke Simpang Empat dahulu, membeli dalam 7 atau 8 bungkus ais kacang. Kemudian barulah pergi ke Kedai Salleh, Kangkong. Membeli barang lain yang dipesan.Walaupun boleh dibeli di Simpang Empat barang-barang tersebut, saya lebih selesa berurusan di kedai Salleh. Bayangkanlah, kalau ikan tamban 6 bungkus dengan setiap satu berharga 30 sen....Barang lain lebih kurang begitu juga kuantiti dan volumenya.Saya tidak pernah jumpa tauke kedai yang sesabar Salleh dalam melayan kehendak skrip yang saya tunjukkan dari budak asrama....

Selepas siap semuanya, saya mengeluarkan beg plastik berisi bungkusan ais kacang dari dalam raga motorsikal, meletakkannya sementara di atas rak rayur di depan kedai itu. Saya masukkan barang-barang dari kedai Salleh ke dalam raga. Kemudian barulah saya letakkan beg berisi bungkusan ais kacang itu di atasnya. Saya melangkah naik motosikal dan menghidupkan enjin setelah yakin kedudukan semua yang menimbun di depan perut bermula dari raga itu. "Baik-baik!" pesan Salleh seperti selalu dan mungkin menggeleng kepalanya seperti selalu juga.

Sebaik melintasi tengah-tengah pekan Kuala Kangkong itu,  sebuah motorsikal dari arah jambatan dengan lajunya menghala ke arah saya. Saya hanya sempat menjerkah 'Hoi!!!' hampir serentak dengan beberapa orang yang sedang duduk-duduk di dalam kedai kopi Paktih Ismail berdekatan. Drebar motor itu adalah seorang budak darjah enam, tinggal di Alor Pulai. Motornya terbalik, terbabas ketika dia menoleh ke arah saya selepas dijerkah. Saya? Juga terbabas lalu terjatuh betul-betul di sebelah tiang elektrik penjuru simpang memasuki arah Alor Pulai. Alhamdulillah tiada kecederaan pada saya ketika diangkat oleh beberapa orang yang faham ilmu sivik. Motor juga hanya mendapat calar kecil - sesuatu yang amat biasa baginya.....Tetapi semua bungkusan barang di dalam raga motor mendapat kecederaan yang teruk, malah ais kacang yang paling kritikal - pecah bungkusannya - dihenyak oleh tubuh pemandu ketika terjatuh itu....

Dengan bantuan beberapa orang tadi, saya mengutip barang yang dibeli dari kedai Salleh manakala ais kacang dalam keadaannya yang amat nazak itu terpaksa ditinggalkan. Itu keputusan muktamad saya kepada abang dan pakcik yang sedaya boleh mengutip bungkusan ais yang pecah dan terpenyek .... Siapalah yang mahu menerima ais yang diraup dari atas rumput dan batu dalam bungkusan yang tidak lagi cantik seperti selalu.....

Saya lupa tentang budak Alor Pulai yang agaknya masih pucat ......

Yang difikirkan adalah apakah alasan saya kepada pemesan ais kacang di asrama puteri nanti?

Sampai di asrama, dua puteri berlari turun. Wajah mereka hampa kerana tiada ais kacang.

"Petang sikit saya pi beli. Tadi masa di kedai Leh, depa habaq elektrik tak dak di Simpang Empat!"

Itu jawapan yang mereka terima. Saya sendiri tidak tahu dari otak bahagian mana munculnya ayat itu. Yang pastinya, hari itu Cik Din menerima dua kali tempahan ais kacangnya dari saya.....

Kedua, saya terlupa tahunnya. Tapi tidak lama selepas pengalaman di atas.

Selepas mengambil ais, dalam 7-8 bungkus juga, beserta 2-3 bungkus bihun sup, rancangnya saya hendak pergi mengisi minyak motor di stesen minyak Caltex. Ketika hendak melintas untuk ke situ, saya diberitahu ada kemalangan jalan raya sekitar 1km dari situ, menghala ke Alor Setar. Kerana saya rakyat Malaysia, berbangsa Melayu pula, saya terpaksa mengikut tradisi: timbul rasa ingin tahu dan menjenguk walau sebentar. Selepas melihat kereta yang terjatuh ke Terusan Wan Mohd Saman dalam kemalangan itu bukanlah kereta sesiapa yang saya kenal, saya mengambil keputusan untuk pulang. Lagi pula, penunggang motor yang terlibat sama dan menjadi punca tragedi telah dibawa ke hospital - dikhabarkan agak teruk keadaannya.

Kali ini melalui ban tanah merah di belakang Kampung Benua, tempat kejadian itu berlaku. tidak payah lagi berpatah balik ke pekan Simpang Empat. Dari jauh kelihatan bahagian belakang bangunan SM Simpang Empat. Jalan memang agak licin, bekas renyai hujan pada awal tengahari. Ketika melepasi ban melintang yang menghala ke Kampung Tanah Seratus, motor yang dinaiki terbatuk sedikit - kelaziman baginya, pada perkiraan saya. Dalam sekitar 5 meter kemudian batuk itu hilang - terdiam terus. Saya kehairanan tapi tidaklah mengambil masa yang lama untuk mencari puncanya.

Saya terlupa membubuh minyak tadi!

Kemudian?

Kalau ada motor lain yang lalu, dengan penumpang sekurang-kurangnya seorang, kesemuanya bertanya soalan skima, "Awat?"

Dalam tersengih, saya menjawab" Saja. Membawa motor ini bersiar-siar - tanpa beban - melihat-lihat flora dan fauna di sini..." di dalam hati.......


Berpimpinlah kami - saya dan motor - bagai pasangan kekasih pada petang tersebut. Dari jauh kelihatan begitu romantis.Melalui ban yang lembab itu, masing membisu seribu bahasa, melayan perasaan masing-masing. Saya menyumpah di dalam hati kerana terlupa mengisi minyak tadi. Akan motor itu pula, saya cukup faham bahasa badannya: Bodohnya anak tuan aku ini......

Menjelang asar, kami sampai ke asrama, melalui jalan pintas Kampung Perlis. Sepanjang perjalanan itu ada beberapa penduduk yang peramah masih bertanya soalan skima itu dan meski berpeluh, dalam tersengih, saya menjawab seperti tadi juga dengan sedikit pengubahsuaian ...

Petang itu, pemesan bihun sup dan pemesan ais kacang melalui pengalaman baru. Dapat merasa bihun sup sesejuk ais. Dapat merasa air bandung yang di dalamnya ada jagung manis, kacang merah dan agar-agar......

Mungkinkah
kita kan bersua
lagi....

['Ais Kacang 'Tu Ada Lagi Ka?' tanya seorang bekas budak Falah di dewan SK Taman Bersatu pada 23 Ogos lalu, tatkala dia berkata lama tidak pergi ke Simpang Empat. Catatan ini saya dedikasikan kepadanya.]

No comments: