6 September 2012

Bertemu Jun Pada September


Junaidah[depan paling kanan]- album Pn Hjh Masitah Hj Hussain 
00:09:59

Itulah tempoh panggilan yang terpapar di telefon saya. Bermula pada jam 15:24:59.

Ni ckgu din ka. saya junaidah ni. maaf ya klu ganggu masa ckgu. ckgu kat mana skrg. 

Saya paparkan mesej yang saya terima [tanpa sebarang suntingan] pada jam 15:21:01, 05 September 2012.

Ertinya, hampir empat minit saya perlukan untuk membuat keputusan samada mahu menghubungi Junaidah. Dalam masa sesingkat itu pelbagai muncul di dada dan kepala. Semuanya berbaur: Terkejut, terkenang, terharu dan terkesima.

Saya tidak membalas mesej, sebaliknya terus menekan butang hijau pada telefon. Terpapar nombornya pada skrin. Sekali lagi punat hijau ditekan. Lama juga saya menunggu sebelum panggilan dijawab. Barangkali pihak sebelah sana juga terkejut tatkala membelek nombor pemanggil. Empat lima saat mungkin diperlukan sebelum dia menekan punat menerima panggilan...Saya dapat mengesannya tatkala dia menjawab huluran halo dan salam saya serta soalan awal : Ni Junaidah ka?

Selepas itu terjadilah perbualan yang mengambil masanya hampir 10 minit. Saya fikir dia di sekitar Baling, Kedah. Rupanya, dia menerima panggilan dari rumahnya di Jasin, Melaka.

Junaidah Kasim.

Dialah generasi awal dalam penjenamaan semula AlFalah pada tahun 1983 - menyertai kelas Peralihan. Bersama-sama arwah Kholijah Awang, Norhayati Che Rose, Rubiah Baharom dan Ahmad Sofi Ahmad, merekalah orang 'jauh' yang terpaksa tinggal di dua rumah orang kerana ketika itu belum ada kemudahan asrama. Junaidah dan Ahmad Sofi tinggal di rumah Abdul Rahman Lebai Yahya, pengerusi Lembaga Tadbir AlFalah, di Kg Hj. Jamal, lebih 1km dari sekolah - selang beberapa rumah dengan rumah Cikgu Abdur Rahim Daud. Manakala Kholijah, Norhayati dan Rubiah tinggal di rumah arwah Hj Jaafar Md Isa [Paklong Awang], mertua Ustaz Azizan / ayah Maklang Yah, yang terletak bersebelahan pagar AlFalah arah utara.

Di sekolah, mereka disertai oleh ramai pelajar [dua kelas] yang tinggal di kampung-kampung terutamanya sekitar Jalan Yan/Batas Paip. Antara yang kelibat dan nama yang dapat saya ingat secara spontan kini adalah:
  • Abd Khodir Md Ariff
  • Mohd Nizom Hashim
  • Asri Mansor
  • Mohd Nazri Fadzil
  • Ali Md Saad
  • S Kamarudin - hingga kini saya tidak tahu makna S pada pangkal namanya sedangkan nama ayahnya                         tidak pula berpangkal huruf itu untuk kemungkinan bermakna Syed atau Sheikh...
  • Zaidi Md Desa
  • Mohd Amin Ramli
  • Mustaffa Mohd Noor
  • Zaki Md Saad
  • Halimah Ali
  • Zaiton Md Akhir
  • Fauziah Salleh
  • Fatimah Zakaria
  • Jamilah Rahim
  • Sarimah Ismail
  • Yasmin Md Nayan
  • Jamaliah Omar
  • Norhayati Ramli
  • Norlizah Saad
  • Che Hasnah Derani
  • Ku Mohd Badri Ku Saad
Sepanjang enam tahun, tentulah terlalu banyak kenangan pahit, manis, payau, masin, kelat dan tawar. Di depan saya, mereka melonjak dari zaman nangoi [hingusan] hingga menjadi remaja bersusila.

Junaidah, dipanggil Jun atau Ju, secara peribadi, tentu pernah tertawa, menangis dan suka serta luka hati kerana saya dan AlFalah. Secara peribadi pula, ada cebisan imbauan saya tentang Jun, meski agak sukar dicatat di sini kerana menyerbu hampir serentak ke bingkai kenangan.......

Pada tahun awalnya, dia bersama rakan sebaya pernah bermain badminton dengan saya dan Cikgu Rahim, Ustaz Fairose dan Ustaz Zubaidi Ariffin [kini pegawai polis di Kelantan, suami kepada Rubiah Baharom] di dalam bangunan sekolah yang melintang itu.... Tidak lama, kerana rasa segan timbul seiring dengan pertambahan usia...

Pada hampir setiap malam Jumaat atau Sabtu, Paklong Awang dan isteri akan membuat bihun sup ayam kampung. Kami, guru-guru lelaki yang selalu bermain di kawasan sekolah adalah tetamu tetapnya. Jun dan dua rakan yang tinggal di rumah itu akan tersipu-sipu apabila kami muncul untuk membantu menghabiskan juadah kegemaran berkenaan.

Tetapi hubungan guru-murid tetap seperti biasa. Baik di kelas ataupun kemudiannya di asrama bermula pada awal tahun 1984. Jun adalah salah seorang yang menjadi penulis dan penghantar senarai barang keperluan yang penghuni asrama puteri perlukan, kepada saya selaku perantara mereka dengan kedai.

Pada tahun 1988, saya memintanya menjadi editor merangkap jurutaip majalah stensilan memuatkan hasil tulisan pelajar AlFalah.Dia menerima tanggungjawab itu lalu mengutip karya pelajar dan menaipnya di atas kertas stensil bersama beberapa rakan. Saya sendiri menulis puisi bertajuk 'Kuhantar Engkau Ke Gerbang' yang dletakkannya pada bahagian belakang kulit depan majalah itu. Dia seronok apabila majalah itu berjaya dizahirkan dengan bantuan pelajar lelaki di bahagian percetakan. Satu hari, Khamis, di dalam satu majlis muhadhoroh, saya menggunakan bahan di dalam majalah tersebut sebagai pengisiannya. Saya memanggil pelajar yang karya mereka tersiar untuk membacanya di depan khalayak. Ketika inilah Jun mencuka wajahnya. Kerana dia turut menulis puisi, saya memanggilnya ke depan untuk mendeklamasikan - sesuatu yang amat tidak disenanginya. Dia bukanlah tidak pernah muncul di majlis muhadhoroh tetapi selalunya sebagai penyanyi latar kumpulan nasyid.......

Jun adalah wakil generasi yang boleh dirujuk jika inginkan kepastian tentang azabnya tinggal di Alfalah pada masa itu. Bekalan elektrik yang hanya sekadar impian pada awalnya ditambah pula dengan kesukaran mendapatkan air bersih/paip. Semuanya pernah dia alami. Jun tentu masih mengingati sengsaranya mengangkut air untuk di bawa ke dapur asrama...


Dia juga saya ingat sebagai ahli tetap setiap acara rombongan dari Alfalah pada setiap tahun. Cikgu Non sampai kini terkenang satu episod di mana Junaidah memesan minuman dalam salah satu destinasi rombongan: meminta teh o ais tapi jangan bubuh susu....... Kita melalui pelbagai tingkat untuk mengenali dunia.....

Pada masa itu, kami [saya, Cikgu Rahim dan Ustaz Zubaidi - kemudiannya Cikgu Non pula setelah menyertai AlFalah pada tahun 1987] kerap juga pergi ke rumah pelajar-pelajar - terutama pada musim raya. Barangkali kerana semuanya belum bermentua, tidak timbul soal berone-two-som.....

Antaranya, kami pernah ke rumah pelajar sekitar Alor Ibus, Hujung Alor, Kg Pergam, Teluk Bagan, Permatang Ibus, Tebengau dan Selarong Batak. Gajah Mati dan Kuala Kedah juga pernah kami kunjungi, selepas mereka dari situ muncul cerita di Alfalah mulai tahun 1984/85.

Pernah kami pergi ke rumah Rubiah di Rambong, rumah Norhayati di Tanjung Pari dan rumah Junaidah di Iboi/Tiak - semuanya di daerah Baling. Apabila suatu hari saya melihat peta yang disediakan oleh abang Google, saya terkejut. Betapa jauhnya perjalanan kami beraya dari AlFalah pada tahun 1980-an itu, walaupun semua tempat itu terletak di daerah Baling. Terkenang betapa sengsaranya motor Suzuki FR Paktam yang saya pinjam membawa saya ke tempat-tempat tersebut. Rangka motor biru bernombor plat TF 4342 itu masih ada tersandar di belakang rumah Paktam....


Sekali peristiwa, hari Sabtu, Cikgu Ramlah Johari, warden asrama puteri mengusulkan kepada saya untuk membawa penghuni asrama melawat tepi pantai. Dalam tersenyum saya akur. Melawat pantai berselut? Kami pergi melintasi jalanraya, masuk ke Kg Alor Pulai melalui jalan di sisi rumah Pakcik Hj Bakar, ayah Ustaz Ghausillah [ketika itu ustaz masih jauh di luar negara], sebelum melintasi satu lagi tali air, sebelum menaiki ban dan seterusnya ke pantai..... Sepanjang perjalanan, jika bertembung dengan sesiapa, dan dimaklumkan akan tujuan kami, mereka akan tersenyum seperti saya tadi. Melawat pantai berselut? Jun yang perasan dengan senyuman begitu beberapa kali, bertanya saya, kenapa mereka tersenyum. Dia agak marah apabila mengetahui mereka tersenyum kerana melihat anak-anak AlFalah mahu melawat pantai Alor Pulai yang tiada apa-apa. Seorang rakannya mengajak kami berpatah balik. Saya tenangkan dengan mengatakan, mereka yang tersenyum itulah yang tidak tahu menilai hikmat dan nikmat Allah dengan kewujudan pantai berselut itu.

Apabila terjumpa orang yang tersenyum lagi melihat deretan kami menghala ke Kangkong, Jun antara yang paling marah. Saya menenangkan mereka lagi dengan mengatakan orang yang tersenyum itu pula akan marah jika dia yang terpinga-pinga melihat pokok getah, sekiranya ke Baling atau Pendang, sedang orang Baling dan Pendang tersenyum kepadanya..... Memikirkan itu agaknya mereka tidak rasa dilekehkan lagi. Saya menyambung dengan mengatakan, kita bertuah walaupun hanya menghadap pantai berselut atau air yang keruh; orang LAOS pula, tidak berpeluang langsung merasa angin laut atau melihat air laut.....


[Lama kemudian, ketika saya pergi ke Baling, ketika berendam di air jernih menanti nasi masak, saya makin teringat akan kemarahan Jun itu...... Ternampak seolah orang yang tersenyum di pantai berselut Alor Pulai sedang diintai sambil tersenyum pula oleh orang Baling...... Subhanallah!]

Akhirnya, dalam berbual dan memerhati alam bikinan Tuhan, kami sampai ke Kuala Kangkong. Pelajar lelaki yang lebih lasak telah terbalut wajah dan sebahagian pakaian dengan lumpur laut yang mula mengering dan merekah. Terkejut orang di Kuala Kangkong, terutama tatkala rombongan kami melintas di depan kedai Salleh, tempat saya selalu membeli barang keperluan budak asrama. Sempat juga saya perkenalkan mereka dengan Salleh dan itulah kali pertama sebahagiannya - terutama yang perempuan - melihat Salleh. Ada yang singgah membeli kuaci dan gula-gula di situ. Dalam perjalanan balik melalui jalanraya, sebahagian yang berfikir sempat berdecit-decit mengagumi motor yang membawa saya ke kedai Salleh setiap hari......

Itu hanya sebahagian yang dapat saya catat ketika ini.

Jun dan pelajar Peralihan 1983 menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1983. Kali terakhir saya melihat wajahnya adalah pada hari penghabisan dia menduduki peperiksaan itu. Dia datang ke asrama lelaki, berjumpa saya untuk menghulurkan baki duit yang kami kutip untuk jamuan perpisahan.

Selepas itu, tidak lagi kami bertemu atau berbual di telefon. Saya dan Ustaz Fairose serta Cikgu Non hadir ke kenduri perkahwinan Jun di kampungnya namun hanya sempat berbual dengan Cikgu Kassim - ayahnya.

Sesekali, saya hanya bertanya khabarnya jika berjumpa bekas rakan sekelas atau rakan sedaerah.......

Kini, setelah beranak enam, dia menghubungi saya semula. Beruk pun akan terkejut, apatah lagi saya, yang sentiasa segar ingatan tentang AlFalah dan kebanyakan bekas warganya......

Syukur akhirnya saya 'bertemu' dengan Jun. Suaranya tidak banyak berubah apa lagi slanga daerahnya......

Sempat dikhabarkan lokasi beberapa rakan lama. Sempat bertanya khabar emak saya dan adik-adik. Seperti yang lain, dia terkejut diberitahu kepulangan emak pada 8 Mac lalu. Ayah dan emaknya masih menetap di kampung. Semua adik beradiknya, termasuk dua yang masih solo, meneruskan hidup dengan kerjaya dan komitmen masing-masing - jauh dari emak ayah.

Demikianlah.

Sepuluh minit itu terlalu singkat untuk bercerita tentang perjalanan hidup dari tahun 1988. Nantilah jika ada peluang dan ruang..........

Sementara itu, Jun, maafkan saya atas catatan yang bersimpang-siur ini.....

No comments: