17 September 2012

Bintang Feminin

Catatan di tengah hujan Bintang Yang Pernah Datang rupanya membekas kepada beberapa Budak Falah. Salah seorang menghulurkan soalan: kenapa semua bintang jantan saja yang muncul berderet dalam hujan itu?

Dan yang bertanya itu sendiri seorang jantan!

Deretan bintang yang pernah singgah masih panjang...... Insya Allah akan saya ingat sedapat mungkin. Nantilah....

Demikian yang diungkapkan pada bahagian terakhir catatan itu. Oleh kerana ungkapan itu dalam bahasa yang saya pernah ajar di AlFalah, saya terpaksa menerima sebuah hakikat: saya gagal menjadikan bahasa itu mudah difahami semua..... 

Supaya tidak dikatakan mengamalkan diskriminasi gender, perlahan saya menyelak memori -  melihat kemunculan beberapa bintang yang pernah mengerdip di AlFalah - pada tengah malam yang lembab dibasahi embun jantan....

Rohani dan Hamidah Chik:

Dua beradik ini tinggal di asrama AlFalah. Bersama mereka ada seorang lagi pelajar, yang saya lupa namanya, dari kampung yang sama. Pelajar puteri itu sering sakit-sakit dan kepada mereka berdua inilah pusat harapannya. Satu malam, kerana sakit yang kuat, kami terpaksa menghantar si sakit ke rumahnya. Dua beradik ini menjadi juru tunjuk jalan. Saya tidak pasti sama ada bersama Ustaz Fairose atau Cikgu Non pada ketika itu. Yang pasti, malam berkenaan mencatat sejarah kerana seumur hidup tidak pernah masuk ke kampung yang saya tidak tahu namanya itu. Malah sehingga awal tahun ini, nama kampung itu tidak pernah saya peduli. Sehinggalah ketika menulis catatan ..........dan adik-beradiknya, teringat mereka berdua, saya merujuk kepada Hamidah Said, rakan rapat mereka,  bertanyakan nama kampung berkenaan: Kampung Kubang Pangas. Tetapi khabarnya mereka tidak tinggal di situ lagi sekarang, setelah berkahwin.......

Rohani Jusoh:

Cikgu Ramlah
Orang Kupang, Baling. Cemerlang dalam pelajaran. Sering berada di tempat antara teratas di dalam kelasnya. Oleh kerana dia tinggal di asrama, dan saya pula akan mengganjarkan buku kepada mana-mana pelajar yang menjadi tiga yang terbaik, Rohani sering mendapat habuan itu. Dia seorang yang pendiam bersama kawan-kawannya, apa lagilah dengan guru-guru lelaki. Satu ketika saya membeli sedozen novel/antologi cerpen untuk diagihkan kepada pelajar cemerlang di asrama. Salah satu buku yang diberikan kepadanya bertajuk Rahsia Gadis Bisu, sebuah antologi cerpen susunan Othman Puteh. Cikgu Ramlah Johari, warden asrama, menyatakan kepada saya: dalam banyak-banyak tajuk, jodol untuk Rohanilah yang paling tepat kepada pemiliknya.........

Halimah Ali:

Pelajar Peralihan 1983. Tinggi kurus orangnya. Ustaz Fairose sering berkata melihat Halimah mengingatkannya kepada adik perempuan tunggalnya. Maka terlari-larilah dia, terutama ketika bersama menunggu bas di perhentian, jika nampak kelibat Ustaz yang sering memanggilnya 'adik'. Ketika itu menjadi trend pelajar 'menguningkan' nama dengan mengikut slanga barat. Sarimah menjadi Sherry. Kholijah bertukar kepada Kelly. Aminah berubah menjadi Amy. Junaidah dipanggil June/Jun. Rubiah sekadar Ruby. Fatimah disebut Fetty. Maka untuk Halimah, saya dan Ustaz Fairose memanggilnya Helly. Dia menyangka kami memaksudkan Helikopter, maka, selain marah, makin terlari-larilah pula dia mengelak dari bertembung dengan kami di luar kelas.... 

Kalaulah dia tahu 3 tahun kemudian [1986], ada komet yang muncul 75 tahun sekali bernama Halley...............

Norhashimah Sharif:

Dia berbakat dalam nyanyian. Bernyanyi di pentas dengan iringan muzik 'live' adalah biasa baginya. Saya tidak pernah mendengar dia menyanyi di atas pentas, tetapi pernah melihat dia berlatih bernyanyi dengan kumpulan ghazal parti di Kg Permatang Ibus dan Tebengau - kalau sudah berlatih begitu tentulah pelik kalau sekadar berdendang di dapur atau di kamar mandi.......
Shimah tinggal di Tebengau. Saya dan Cikgu Non pernah pergi beraya di rumahnya sekali, bersama-sama sekumpulan pelajar lelaki. Semasa dalam tingkatan Empat atau Lima, kelasnya terletak di bawah asrama puteri. Di dalam kelasnya hanya ada tiga pelajar lelaki dan sekitar 7 orang pelajar perempuan. Ada seorang rakannya, saya lupa nama, sering menjadi 'mangsa' saya dalam pelajaran Sains. Saya juga mengajar BM dan Kesusasteraan Melayu kepada mereka. 

Satu hari, saya memarahi mereka dengan amat teruk. Ketika itu Radio Malaysia Alor Setar cukup popular bagi orang Kedah. Budak-budak Falah ini, diketuai oleh Norhashimah, sering membuat permintaan lagu dan menujukannya kepada saya! Kalau sekali, mungkin saya tidak perasan atau marah - tetapi saban minggu hal yang sama berulang. Pelbagai ucapan indah yang mereka tulis, dibaca oleh juruhebah. Hari berikutnya, walaupun saya tidak mendengar siaran tersebut, pasti ada pelajar akan memberitahu dalam bentuk sindiran dan gurauan.  Setelah tahu saya marah, Norhashimahlah menjadi jurucakap meminta maaf namun mempertahankan bahawa lagu permintaan dan ucapan itu adalah sebagai tanda ingatan mereka kepada saya. Oleh kerana, ketika itu saya belum cukup faham erti penghargaan.atau .......gurauan sebegitu., saya tetap tidak dapat menerima penjelasan mereka. Maka, ada-ada saja yang saya jadikan sebab untuk memarahi kelas itu........

Sekarang kekesalan memenuhi rongga hati, namun seakan kehilangan erti......

Omai Kalthom Md Khir:


Pernah saya catatkan dalam  salah satu entri Hantu Punya Hantu. Pada malam Paktam Cha berubat di bawah asrama puteri, bilik yang menjadi surau sementara itu penuh sesak. Selain pelajar asrama, ada juga dua tiga pasang ibu-bapa. Selepas merawat kes gangguan terhadap budak Falah, Paktam Cha, melalui jurucakapnya, Cikgu Rahim Daud, mempelawa sesiapa di kalangan ibu-bapa untuk turut mendapatkan rawatan apa yang patut. Ayah Omai menceritakan masalah anak gadisnya yang sering sakit-sakit. Paktam yang masih dalam keadaan tidak sedar menyatakan bahawa ada suatu nazar yang tidak ditunaikan. Terkejutlah si ayah. Selepas lama berbual dengan isterinya, akhirnya emak Omai mengaku ada nazarnya yang tidak dilakukan lagi ke atas si anak: untuk membuat buaian di atas pucuk kelapa jika mendapat anak perempuan. Paktam meminta nazar itu ditunaikan segera. Riuh satu ruang itu tertawa: membayangkan Omai, pelajar asrama berusia 17/18 tahun naik buaian yang digantung di atas pucuk kelapa! Riuh yang lama. Kemudian barulah kami faham: buatkan buaian yang sesuai, Omai didudukkan di dalamnya dan di bawahnya diletakkan benih kelapa yang baru tumbuh pucuknya - asalkan buaian di atas pucuk kelapa! Terdengar bunyi 'ooooo' yang bersambung pula di dalam bilik itu......

Sehingga kini tidaklah dapat dipastikan sama ada nazar itu telah tertunai........


                                           **********************************

Demikianlah untuk sementara. 

Banyak lagi bintang 'kecil' tidak didendang yang pernah mewarnai Alfalah - baik feminin atau maskulin. Sebagai manusia biasa, mustahillah dapat saya coretkan semua ingatan bersama semua mereka. Yang tercatat adalah kilatan yang sedang melintas tatkala berhadapan papan kekunci ini. Nantilah jika ada kilatan-kilatan lain......

....jika ada.....

........mungkinkah
        kita 'kan
        bersua
        lagi..........

No comments: