o
di
sini
awak
berada
selama ini.
saya ingatkan
awak telah lama
pergi atau berpindah
ke tempat yang lebih indah.
kenapakah hingga saat begini
awak masih enggan melepaskan
sesuatu yang bukan hak milik awak
memperalatkan tempat asal kami dulu.
menggunakan alasan pendidikan berdikari
memaksa anak-anak kecil yang tidak mengerti
berjaga hingga pagi, dengan mata suram redup
bergerak dalam resah kerana diperhati dan diawasi
dari kota ke kota dari bandar ke bandar menjaja duka
di ruang rehat dan rawat, di depan bank, di terminal dan kiosk
membawa skrip yang telah lunyai dihafal: mencari dana pusat ilmu.
di muka tv, di dada akhbar, di dada insan simpatik ada tanda soal besar
ke mana wang itu digunakan, bilakah anak-anak itu belajar dan menghafaz.
anak-anak siapakah yang begitu senang diperah peluh dan airmata berbuku
sedang semua anak seusia mereka di mana jua di malaysia tanah air tercinta ini
sedang tenang bersama keluarga atau rakan sebaya mengaji atau mengulangkaji.
keluarga manakah yang seperti tidak peduli, apakah sesudah dihantar untuk mengaji
anak-anak dibiarkan sendiri dicatur oleh pengendali, digembala sesuka hati ke sana-sini.
tidak pernahkah anak-anak itu dijengah, atau sesekali dibawa pulang, tanyakan semuanya:
setakat mana pelajaran, sehingga mana hafalan, bagaimana minum dan makan, siapa kawan.
maaf, ibu-bapa jenis apakah hanya menyerahkan anak, lalu yuran, tempat tinggal, minum makan
diusahakan anak sendiri, dihantar ke segenap ceruk, dilatih cara menagih ihsan insan lain.
jika benar mereka akhirnya menjadi hafiz, adakah patut ayah ibu mendapat laba di sana
sedang di sini, anak-anak tidak dipeduli tangis jiwa, dera rasa dan bara dada mereka.
dikatakan semua kami pernah berjumpa dengan anak-anak ini di serata negeri
menjaja nama tempat pengajian yang dulunya pusat kami bergelumang
belajar, bercanda malah bercinta!
bayangkan berombak dada
pabila anak melontar tawa
sekolah ayah/daddy/papa
sekolah emak/mum/mama
kiranya kini terkenal nama
bukan lagi sekolah cuma
tapi pusat meminta derma!
sekumpulan di antara kami
terpaksa pula membohongi
kepada orang buta geografi
alfalah kangkong, bukan sini!
dalam satu lagi cerita pelik
tika dalam perjalanan balik
mata berair sukar mencelik
alfalah kini tertukar milik!
paling banyak orang bertanya
alfalah kini siapa yang punya
hingga majlis raya alumninya
dibuat di sk seberang nyonya!
tahun ini pula di taman bersatu
tahun depan belum lagi ditentu
kenapa terhina sampai begitu
benarkah alfalah dikunci pintu
usahlah berdolak-dalik atau mencari helah
kepada asalnya kepada tuan-tuannya awak kembalikan saja alfalah
beratus orang tuannya mewakafkan tanah paling tidak sekaki untuk jariah
mampukah nanti awak menjawab setiap tuan yang mengikhlaskan sebahagian nafkah
awak salahgunakan meski atas nama pengajian apakah akan beroleh ganjaran yang berkah
sesiapa juga yang bersama awak
pulangkanlah kepada yang hak
meski resit wakaf telah reput
Dialah Maha Pencatat
Dia jua Maha Tahu
siapa hamba-Nya
yang memiliki
saham
itu
!
Kembalikan warna ceria di sini...... |
No comments:
Post a Comment