10 September 2012

Pasanganmu Budak Falah?

Saya menerima beberapa panggilan dari beberapa bekas pelajar AlFalah, berselang dengan pertukaran teks ringkas. Selain berkisah berkisar tentang anak-anak dan pasangan, mereka bertanya seputar majlis sambutan hari raya pada sepertiga akhir Ogos lalu.Terima kasih kepada pengedar nombor hape{slanga jiran seberang}saya.

Setepat mungkin saya ceritakan tentang majlis itu - sejarah dan inisiatif  yang diambil, persiapan awal serta cabaran, perjalanan  dan suasana majlis. Bagaimanapun pendek-panjang cerita itu bergantung kepada nilai kredit yang diizinkan oleh syarikat telco mereka.......

Kebanyakannya melahirkan rasa kesal kerana ketika perjumpaan itu berlangsung, mereka baru memasuki hari pertama bekerja setelah beberapa hari bercuti raya. Memikirkan hal inilah ada cadangan agar perjumpaan tahun hadapan diawalkan, sekitar dalam tempoh cuti yang ada - antara raya ketiga dan keempat. Kalau ikutkan saya, hari raya pertama lagi patut diadakan - tapi tolonglah jangan ikutkan saya .....

Ada satu soalan popular dari mereka: Pelajar dari batch tahun itu-ini ada atau tidak?. Kerana ini bukan perhimpunan mingguan sekolah di mana para pelajar beratur mengikut kelas, tidaklah dapat saya menjawab secara tepat........Penyelesaian mudahnya: Tahun hadapan, datanglah, nescaya anda akan dapati sekurang-kurangnya seorang pelajar dari batch anda akan ada......Pasti!

Cerita salah seorang dari mereka cukup menyentuh, lalu memberi bahan untuk catatan ini. Dia ingin turut serta pada petang Khamis 5 Syawal itu. Namun, sebagai isteri yang baik, dia terpaksa melupakan saja keinginan tersebut, meski jarak antara rumah dan dewan yang disewa tidak pun lebih daripada 3km. Suaminya bukan setakat tidak mahu ikut malah tidak pula mengizinkan dia pergi bersama anak-anak. Alasannya? Biarlah. Itu tidak lagi mustahak. Tekalah atau ciptalah apa saja, andai kita berada di tempat suaminya........

Cerita biasa itu menimbulkan keinsafan diri ini. Maafkan saya wahai suami dan isteri kepada bekas budak Falah! Saya terlupa untuk mengucapkan terima kasih atas kesudian anda mengizinkan suami atau isteri memeriahkan majlis petang itu. Berganda pula terima kasih kepada suami atau isteri yang ikut serta sebagai pasangan kepada budak Falah itu. Tanpa sokongan dan restu anda, dewan SK Taman Bersatu petang itu tentulah hambar dan hampa....

Di sebalik kejayaan sesuatu pasti ada sesuatu yang menjadi pendorong ....

Demikianlah juga dengan kejayaan - kalau boleh, dan harap bolehlah dikatakan begitu - majlis tersebut.

Ketika kita bercerita tentang semua petugas cemerlang yang memungkinkan majlis itu lancar, kita berterimakasih kepada mereka, termasuk yang di dalam kumpulan wira/wirawati yang tidak didendang.

Rupanya senarai wira/wirawati tidak didendang itu tentulah lebih panjang, mengambil kira suami atau isteri mereka.

Bukan semua yang mahu atau berpeluang untuk mengerah tenaga dan keringat demi menjayakan majlis. Maka tanpa sokongan dan restu pasangan, setinggi mana pun semangat seseorang itu, tidak akan ke mana halanya. Jadi sewajarnyalah pemberi restu dan sokongan dari belakang itu dihargai.

Meski ada 'sama tua''* yang tidak datang, kerana komitmen yang berbeza, pada musim perayaan pula, ucapan penghargaan dan rasa terima kasih ini tidak berkurang terhadap mereka.

[*Sama Tua adalah satu istilah yang digunakan oleh orang dulu-dulu bagi maksud pasangan suami isteri]

Sekadar selitan, izinkan saya menyebut beberapa nama - bukan bererti nama yang tidak disebut  terluak pula nilai sumbangan mereka....

Bagaimana kalau Abu Bakar Zainol, yang keletihan menguruskan perniagaan yang mencanak sebaik masuknya bulan Syawal, dinasihatkan isterinya agar membatalkan sahaja niatnya untuk meraikan majlis?

Bagaimana mungkin Yusri Haron dapat hadir pada petang itu tanpa sokongan isterinya? Bagaimana kalau bermula pada tengah hari itu, isterinya merancang awal untuk beraya di rumah sepupu kepada adik angkat kepada bakal besan kepada abang kepada guru tadika anaknya yang mengadakan rumah terbuka? Namun mereka datang, siap dengan kamera dan kesediaan membuka majlis dengan doa syahdunya.

Bagaimana Hamzah Yahya atau Fahrulruzi akan dapat datang awal menyertai rakan lain menyediakan dewan, jika tanpa restu isteri masing-masing. Bagaimana kalau para isteri merancang mengajak sang suami beraya di rumah sepupu kepada adik ipar kepada mertua kepada guru darjah enam mereka pada pagi itu? Segala-galanya boleh diatur kalau si isteri mahu! Tetapi tengah harinya, bersiap awal mereka dan keluarga untuk hadir ke dewan bagi menyambut tetamu dan menyelaraskan apa yang patut - misalnya membetulkan kedudukan kipas angin....

Bagaimana kalau Norazli Abu Hassan sengaja mengaduh dengan kecederaan tangannya pada tengah hari itu, meminta agar isterinya tinggal di rumah merawatnya? Dia boleh saja begitu tetapi sebaliknya dia sendiri ikut menyertai majlis meski masih dalam peringkat pemulihan setelah lama terlibat dalam kemalangan - memungkinkan terjadi pertembungan semula Zabarina Ahmad dengan lawannya Cikgu Abdul Azid Hussin.....

Demikian juga, kelompok tukang masak yang diketuai oleh Mariam Ismail. Tanpa izin sama tua masing-masing - Sharmila Ayob terkecuali - tidak tahulah bagaimana cacamerbanya majlis....Komitmen mereka, ulangan tahun lalu sebenarnya, terhadap majlis ini, rasanya tidak mungkin dapat ditiru oleh mana-mana kumpulan sebaya mereka. Melihat foto sahaja terbayang kemeriahan kalau salah seorang mereka mendapat menantu nanti ....Lebih istimewa kerana  mereka kebanyakannya beroleh sama tua bekas warga Falah....Keizinan dan restu mungkin nampak mudah, tetapi kepada hanya yang berpeluang serta mahu.....

Demikian pulalah kesungguhan Ly Aruzaly membantu memastikan setiap ruang dewan kemas dan tersedia sehingga dapat diserahkan seperti asal kepada pihak sekolah pada penghujung petang. Meski bukan warga sebenar AlFalah, kerana sama tuanya pernah singgah seketika di situ, cukuplah untuknya memenuhi syarat bagi menyumbangkan tenaga, bersekali dengan ipar-duainya! Kalau mahu, beliau boleh memilih untuk bersantai di rumah mertua, membiarkan si isteri sahaja berjumpa dan melayan tetamu majlis.....

Tidak lupa juga kepada semua bekas pelajar dan guru yang mengetepikan tuntutan urusan raya lain pada waktu tersebut, membulatkan tekad untuk hadir. Ramai yang mengaku terharu menerima kunjungan para otai AlFalah, seperti yang saya catatkan dalam entri terdahulu tentang majlis.Sekali lagi bukan semua yang berpeluang dan mahu.....

Kepada sesiapa juga yang pasangannya adalah bekas Budak Falah, terimalah hakikat - mereka tidak akan terhenti setakat 23 Ogos lalu..... Sokongan dan restu serta izin anda akan terus ditagih.

Demikianlah rayauan fikiran tatkala mendengar keluhan seorang bekas pelajar yang tidak berkesempatan untuk menyertai majlis pada tahun ini. Mungkin peluang itu akan muncul pada tahun berikutnya. Insya Allah.



2 comments:

wiraosman said...

Oleh krn samatua x izin dtg lah...tahun ni saya x hadir tu

wiraosman said...
This comment has been removed by the author.