18 March 2013

Janggut Adalah .......


Jamu X Jemu

Sani Sudin
Maka
Si Fatimah pun
mengkacip
tongkat Si Ali
Aduh…

Demikian puisi terbaru Sani Sudin yang saya kutip dari sisipan akhbar Utusan MalaysiaHITS  pada 2 Mac. Pendek sahaja puisi dari anggota Kopratasa ini – trio yang melagukan puisi [kini tinggal berdua dengan Usop setelah Siso tidak lagi bersama].

Seperti selalu, puisi boleh ditafsirkan dengan bebas. Tiada suatu akta bakal menjadi pengekangnya. Maka tafsirlah puisi tersebut sesedap hati anda…

Saya cukup meminati puisi begini. Ringkas dan padat. Mudah diingat.

Misalnya, satu puisi yang ditulis oleh Hilmi Rindu. Kalau tidak silap ia muncul di majalah Variasari lebih 30 tahun lalu, sekadar tempelan pada satu rencana panjang – hasil kreativiti perekaletak majalah tersebut bagi menutup ruang kosong antara muka surat.

Saya mengingat setiap kata di dalam puisi itu. Tidak jarang pula, selepas menaip soalan pada stensil, di hujungnya saya akan muatkan karya penyair dari Terengganu itu.
 
Selama
Hati bernama hati
Berhati-hatilah

Demikianlah. [Saya teringat, kalau Cikgu Rahim, di hujung kertas soalan begitu dia beristiqamah menulis: BERFIKIR SEBELUM BERTINDAK].

Pada satu majlis muhadhoroh, saya diminta mendeklamasikan sebuah puisi. Beberapa ‘pendendam’ bertepuk tangan apabila ahli jawatanjuasa tegas mahukan saya menyampaikan sebuah puisi walaupun berkali-kali saya cuba menolaknya. Saya memahami perasaan mereka yang bertepuk itu.  Ingin sekali mereka melihat bagaimana persembahan seorang yang sering mengomen mereka kerana tidak bersedia ketika mengambil bahagian di dalam muhadhoroh. Ada yang mempersembahkan puisi dua bait pun memegang kertas kajang, kata saya. Orang baca puisi secara santai, tak perlu kertas atau teks, tambah saya lagi bagi menambahkan dendam mereka……Hehehehe.

Tengah hari Khamis itu, merekalah paling bersungguh untuk melihat saya mendeklamasikan sebuah sajak. Saya menyelak memori bagi mencari sebuah puisi supaya mereka puas……

Saya teringat sebuah puisi di dalam majalah Dewan Sastera yang saya lupa siapa penulisnya. Tetapi tentulah orang tersohor kerana bukan senang orang kecil muncul di dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP] itu…. Kalau tidak silap di dalam keluaran bulan berkenaan empat lima puisi karya penyair tersebut dimuatkan. Semuanya puisi yang panjang kecuali yang satu itu. [Maaf, saya benar-benar lupa karya siapa namun tidak pernah lupa setiap huruf  - melainkan pada satu perkataan - di dalam sajak kegemaran itu!]

Maka, apabila dipanggil ke pentas, dengan yakin saya melangkah. Berlenggang kosong dengan diperhatikan oleh para pendendam……

Di atas pentas, menghadap khalayak, sayapun berpuisi :

Janggut
adalah setumpuk/sejemput rumput
yang tumbuh
di bawah dagu.

Setelah membongkok sedikit, saya pun turun, terus ke kantin Bang Man yang terletak bersebelahan dewan…..

Laaaaaa……….

Saya seperti mendengar ngauman dari dalam dewan. Saya tahu. Pendendam  menjeling ke arah saya yang meminta segelas minuman dari Bang Man yang sedang bersiap-siap menutup kantin.

“Tak aci!” kata ketua pendendam tatkala kami bertembung di pejabat sekolah pada penghujung majlis hari itu…..

Hehehehehe!

14 March 2013

Hingga Akhir Nafas

Usia saya sudah memasuki tahap emas. Namun tubuh saya masih kemas. Alhamdulillah!

Di kampung, malah di mukim saya, rasanya cuma tinggal saya sendiri - menunggal dalam usia begini. Teman-teman sebaya telah tidak berdaya, sakit di sana-sini, tidak dapat bergerak ke mana-mana lagi. Ada yang khabarnya dihantar ke suatu tempat yang dikira selayaknya untuk umat seusia saya..... Ada juga yang hilang entah ke mana....

Sedih memikirkan hal itu. 

Dahulu, semasa muda kami dipuji. Keluar rumah dengan kasut berkilat berkiwi, pakaian kemas terjaga. Kekasih keliling pinggang. Setiap kali melintas, akan ada sahaja mata yang memandang. Yang lelaki kebanyakannya dengan rasa cemburu manakala yang perempuannya dengan hati bagai digaru!

Sebut sahaja di mana tempat tumpuan. Pantai perkelahan, pertunjukan fun-fair, rumah kenduri, atau apa saja. Saya dan kawan-kawan pasti sampai. Gelak tawa kami biasa saja menenggelamkan tumpuan terhadap mana-mana kumpulan yang ada sebelum ketibaan kami. Menambahkan jaki di pihak mereka.....

Tidak pernah terfikir masa susah apa lagi masa tua. Hidup bagi saya dan rakan-rakan hanyalah untuk bergembira!

Kami lupa pada pusingan roda kehidupan......

Kini, setelah tua barulah keinsafan muncul. Syukurlah kerana saya masih diberi kekuatan meski dilayan seperti warga tua lainnya. Masih boleh ke tepi ke tengah.Saya masih boleh - seperti bertahun-tahun dahulu - ke pasar, ke kedai runcit, ke rumah kenduri dan paling penting ke tempat pengajian agama serta ke masjid! [Setiap malam saya ke tempat yang berbeza mengunjungi perkebunan syurga - menghadiri majlis pengajian agama  - sesuatu yang sukar dilakukan oleh anak bangsa saya yang jauh lebih muda.....]

Ketika ke tempat-tempat tersebut, sering perasaan saya bercampur. Di antara hiba dan syukur.
 
Hiba mengenang kawan rakan yang telah tiada atau terkedang sahaja di rumah masing-masing. Menanti timpaan nasib yang tidak pasti.Syukur kerana masih boleh berbakti - walaupun setiap saya melintas, jelingan umat sebangsa tidak lagi dengan kekaguman sebaliknya penuh cemikan. Malah, sesekali saya ditertawakan - mungkin kerana perawakan dan penampilan saya yang tidak mengikut putaran era - masih agak retro......

Ah, kalaulah mereka merasai tua kelak!

Saya teringat keluhan seorang warga emas di dalam novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck karangan Buya Hamka. Bagaimana sewaktu mudanya - ketika tenaga masih banyak, berhibur menjadi keutamaan - dia mentertawakan orang tua-tua yang terketar-ketar mengerjakan sawah atau termenung-menung menanti mati!

Apa daya saya selain mengimbau masa lalu. Adakah akan ada yang mengambil iktibar dari citra hayat diri ini - si tua yang menunggal membilang bilah hari yang makin menyusut...

Namun, sesuai dengan ajaran yang saya terima, tidak guna berhiba berlama-lama. Hidup, kata banyak orang, mesti diteruskan. Selagi hayat dikandung badan, selagi tenaga diperlukan, saya tetap bersedia dan bersetia untuk berkhidmat......
Tuan saya

SAYA