7 March 2013

Rohimi Dan Babuji


3 Mac.
Petang itu, jam 5.13, Babuji menelefon saya. Tidak banyak pertukaran perkataan di antara kami.
- Cikgu ada di mana?
+ Rumah.
-Malam ni ada di rumah dak?
+Ada. Awatnya?
-Kami nak pi rumah.
+Sapa?
-Lepas Isyak. Assamualaikum!

Wa 'alaikum salam….. Laaa. Begitu pun boleh……

Saya baru saja memuatkan entri MeetUstaz Husin – Lagu Untukmu. Baru saja berbual sedikit dengan Budak Batas Paip,mengajaknya mengimbau pertemuan dengan ustaz KAFA itu. Agaknya Babuji mungkin bersama Budak Batas Paip atau Ustaz Husin untuk kami yang dimaksudkannya…….

Jam 9.17 malam, sedang saya berbual dengan beberapa kawan di alam maya, Babuji menghubungi saya semula.

-Kalau dari Kangkong, kona kiri ka kanan?
+Kanan. Dok tang mana dah ni?
-On the way…… tak pa sampai Simpang Empat sat lagi, saya call lain. Assalamu’alaikum!

Wa 'alaikum salam….. Laaa. Begitu pun boleh juga……

Saya berbual semula dengan rakan-rakan.

Jam 9.35, Babuji menghubungi saya semula. Memberitahu sudah berada di jalan masuk ke kawasan kejiranan kami – saya dan Cikgu Non. Saya memberi panduan lisan. Dia mengaku faham tetapi berjanji akan bertanya semula jika tidak berjumpa…

Merasa dia mungkin akan menghubungi lagi dan lagi sebanyak simpang di dalam kawasan kejiranan ini, saya keluar untuk menjemputnya saja. Berhampiran surau, kami saling nampak – kereta yang dinaikinya sedang mengisyaratkan untukmembelok ke simpang lain….. Saya menggamit. Berdasarkan model kereta, serta rangka wajah pemandunya yang berkacamata, meski dalam samar lampu jalan,fahamlah saya bukan Budak Batas Paip atau Ustaz Husin yang bersama Babuji…….

Mereka mengekori saya. Di depan rumah, saya berdiri di depan kereta berwarna merah hati itu. Hendak ke arah Babuji yang sedang membuka pintu di sebelah kiri. Dari sebelah kanan, turunlah seorang lelaki berambut amat pendek – menggunakan mesin pemotong rambut tanpa pelapik – mengucapkan salam.

Rohimi!

Kami berpelukan. Erat dan lama. Sambil melagakan pipi kiri dan kanan. Cemburu saya bukan pada rambut kami yang sama pendeknya tetapi pada perutnya yang sama leper dengan dada!

“Saja tak bagi tau Ustaz Rohimi yang nak mai. Ustaz yang suruh buat macam tu…..” kata Babuji sambil mendapatkan saya –lalu  bersalam dan berpeluk. Sedikit sahaja dan tidak seerat bersama Rohimi tadi. Tiada juga laga pipi. Maklum, minggu lepas pun kami telah berjumpa……

Sebelum masuk ke rumah, saya menjeling rumah Cikgu Non. Saya menghubunginya pada pukul 9.42. Dalam perbualan 30 saat itu,Cikgu Non memaklumkan berada di Sungai Limau berurusan tentang laptopnya yang kurang sihat sedikit dan selepas itu ada hal lain dengan kawannya di Kangkong, kalau tidak salah hantaran maklumat dari telinga ke otak. “Awat?” tanyanya.

“Babuji mai ni….” kata saya. Rohimi tertawa mendengar sebutan Babuji itu. [Mungkin lama tidak mendengarnya atau tidak tahu itulah panggilan sebahagian warga AlFalah untuk imam kariah Lorong Mayat tersebut.  Dia dan Babuji, sepanjang pertemuan malam itu memanggil masing-masing dengan gelaran ustaz. Maklum, kedua-duanya mengajar agama di Masjid AlBukhary, Alor Setar]. Akan tuan punya nama manja itu hanya tersenyum, juga manja hingga tertangkup bulu mata ……

Di dalam rumah, saya bersila di lantai menghadap Rohimi yang bersandar di kusyen bersama Babuji. Saya kehilangan kata-kata sekejap. Lama sungguh tidak bertemu Budak Falah asal Sungai Tiang itu. Sekitar seribu hari agaknya. Kali terakhir pada acara memenuhkan perut bersama Cikgu Non dan seorang bekas puteri AlFalah tidak jauh dari tempatnya mengajar di Jalan Langgar itu. Semasa kenduri di rumah Sofi Ahmad di Changlon pada 11 Februari dahulu, dia juga pergi tetapi jauh lebih awal dari saya, Cikgu Rahim dan Budak Batas Paip serta anaknya. Pada kenduri di tempat sama Selepas ‘Kiamat’ pula, dia terlupa walaupun berada dekat-dekat situ. Demikian takdirnya jika sudah tidak mahu bertemu…..

Menantu emak yang muncul dari balik tirai, saya perkenalkan kepada Rohimi dan Babuji. Rohimi pula memperkenalkan satu sisi saya kepada menantu emak: “Ni cikgu yang tidoq dengan kami di asrama dulu….” Saya memandang wajah menantu emak. Kalau tiada sesiapa, pastilah terukir cemikan pada wajah itu. Jakilah ‘tu……..Hehehehe.

Rohimi berkisah tentang anaknya apabila saya tanyakan hal itu. Tiga anak lelakinya sedang menuntut di sebuah pusat tahfiz di Pulau Pinang manakala puteri tunggal berusia 7/8 tahun berada di asrama SRIDU, Telok Bagan, Tandop. Akan tiga puteranya – yang sulung berusia 14 tahun telah habis menghafaz 30 juzuk -  sedang membuat lanjutan pemantapan, yang tengah 12 tahun telah menghafaz 20 juzuk, manakala yang ketiga, 9 tahun sudah menghabiskan 10 juzuk. Menurut Rohimi, pusat tahfiz tersebut mempunyai cawangan di Kedah, tepatnya di Kubor Panjang – bukan di Tahfiz Amal, di Jalan Batas Paip, tau ……

Apabila dia menyebut Kubor Panjang, tanah tumpahnya darah kedua-dua menantu emak, saya teringat kepada Encik Abu Bakar Zainol. Sekitar bulan Disember lalu, saudagar belacan Alor Ibus itu memberitahu saya bahawa anaknya yang menyertai kem ibadah semasa masa cuti di pusat tahfiz di Kubor Panjang – Kg Carok Chelu – mahu melanjutkan pelajaran di situ dan enggan menyambung pelajaran di sekolah biasa lagi. Abu Bakar bertanya pendapat saya tentang hal tersebut. Saya setuju dengan pilihan anak dari arwah isteri sulungnya itu.

Sambil dua tetamu itu berbual dengan menantu emak – kebetulan rumah mertua Babuji tidak jauh dari rumah keluarga menantu emak - saya menghubungi Bakar pada pukul  9.48. Dia yang sentiasa ceria dalam perbualan memaklumkan bahawa anaknya itu memang terus belajar di pusat tahfiz tersebut. “Sepanjang Januari kami tak pi tengok – biaq dia besa. Bulan dua baru kami pi, nampaknya ok kut” kata Bakar sambil saya meminta maaf kerana tidak menelefonnya tentang itu sejak perbualan hujung tahun lalu itu [yang menghasilkan entri Abby Zack]. Dia juga memaklumkan sudah dua minggu bekalan belacan terputus kerana faktor cuaca. Sebelum meletakkan telefon, saya berkisah seringkas mungkin hal perbualan dengan Ustaz Husin[lihat entri Meet Ustaz Husin – Lagu Untukmu]. Dia yang mulanya tercari-cari bab apa, tertawa terbahak-bahak apabila saya nyanyikan:
Tak sudi memandang tidak mengapa
Kerana aku sedar aku insan hina
…………..
“Cerita lama, cikgu…”katanya.

Menantu emak bertanya saya jenis minuman untuk disediakan ketika bangun ke dapur. Babuji menolak kerana katanya kami akan keluar minum di mana-mana restoran. Melihat menantu emak yang tidak selesa, Rohimi meminta air sejuk biasa. Menantu emak yang kurang faham akhirnya muncul dengan sejag air berwarna oren bersama ketulan ais di dalamnya…..

Sambil meneguk minuman, Rohimi meminta saya menghubungi Cikgu Non sekali lagi. Namun kerana mendengar sendiri urusan yang Cikgu Non harus selesaikan, saya tidak mahu mengganggunya. Saya teringat Cikgu Abdur Rahim. Satu panggilan dibuat pada jam 10.05. Sayangnya Cikgu Rahim pula berada jauh di negeri mertua Budak Batas Paip – Tanah Serendah Sekebun Bunga. Akan pulang selewat-lewatnya pada hari Rabu. Dia menitipkan salam untuk dua tetamu tersebut.

“Ada lagi rumah emak Cikgu Rahim tu?”Tanya Rohimi sebaik menjawab salam. Saya mengangguk sedikit. Cuma tinggal sedikit rangka, kata saya. “Rumah tempat selalu pi makan nasi tu…” ujar Rohimi sambil tersenyum.

Babuji yang diam mendengar perbualan kami tiba-tiba bersemangat apabila menantu emak bertanya tentang mertua dan kedai mereka di simpang Pokok Pauh, Kubor Panjang. Semua mata tertumpu ke arahnya.Melihatnya bercerita saya terkenang Budak Batas Paip yang sering mengingatkan saya membawa songkok untuk meniru gaya Labu dan Labi tatkala berhadapan dengan bapa Cikgu Murni di dalam filem Nasib Labu Labi…….

Menjelang 10.50, dengan berat hati saya tinggalkan menantu emak. Hehehehe .Apakan daya kerana sudah tidak sabar ingin berjemaah dengan dua ustaz muda tersebut menghadap makanan di mana-mana restoran. “Malam ni ana dah habaq kat bini: nak enjoy. Dia faham, sebab tu tak jadi ikut…” kata Rohimi, ketika melangkah keluar, tentulah kepada Babuji berdasarkan gantinama yang digunakannya.

“Dah anak-anak takdak di rumah, berkelahi seluloi kut dengan orang rumah?” Saya tumpang semulut, sengaja menyakat Rohimi, sambil sama-sama melangkah.

“Cemuih juga berkelahi selalu pun……” balas Rohimi. Saya tersenyum……

“Awat tak ajak Budak Batas Paip sama?” Tanya saya sebaik melangkah ke dalam kereta Rohimi. Kali ini sengaja pula menyakat imam muda berjambang itu.

“Dia lesen kecik….. Saya tak pa. Lesen saya besaq!” balas Babuji. Saya tertawa. Rohimi yang kehairanan agaknya terpaksa saya jelaskan kedudukan hubungan dingin antara dua budak sekelas semasa di AlFalah dahulu. Babuji tersengih apabila Rohimi tertawa kemudiannya.

Saya menelefon Budak Batas Paip pada pukul 10.58. Ada satu mesej awal sebenarnyamemberitahu: saya sedang diterjah,tapi hamba Allah yang mungkin melayari blog siasah atau leka berdebat di alam maya itu, tidak mengesannya. Saya menyatakan dalam perjalanan ke tempat mengisi perut bersama Babuji dan Rohimi. “Babuji tak ajak kita sama aih…..” katanya yang langsung saya sampaikan kepada orang yang dimaksudkannya.

“Hang lesen kecik…. Tak boleh pi jauh-jauh…. Tak boleh balik lambat…..” laung Babuji dalam nada gembira dari tempat duduk depan. Entah dapat didengari oleh Budak Batas Paip atau tidak. Saya bersama Rohimi tertawa. Saya biarkan Babuji seronok. Kalau diikutkan mahu memancung keseronokannya itu mudah sahaja. Saya boleh katakan begini: Babuji silap oranglah……Malam Jumaat lepas saya bersama Ustaz Husin dan Budak Batas Paip berada hingga jam tiga pagi di sebuah gerai…… Tetapi biarlah. Tidak elok merenggut kebahagiaan yang baru berputik di hati orang ……

> belum habis.....

No comments: