Prolog:
13 Disember 2012.
Dua kawan saya, Andy dan Ardi, sedang berbual di atas gazebo
di halaman rumah Estee. Rancak . Siap menggawang-gawang akhbar kusam yang
nampaknya dibahagi secara faraid: ada seorang satu bahagian akhbar yang memang dipecahkan
tiga itu.
Andy bersila di tengah gazebo, Estee juga bersila
tetapi bersandar pada salah satu tiang.
Ardi pula hanya meletakkan punggungnya di birai, kakinya dibiarkan berjuntai.
Selesai bersalaman, saya dipersilakan duduk. Bertanya khabar
sedikit. Ada bekas pinang serta seikat daun rokok serta sepeket kecil tembakau jawa Cap Orang Tua di sisi
Ardi yang merah mulutnya. Di depan mereka ada dua jag. Satu berisi kopi o
manakala satu lagi jag yang kelihatan berpeluh, berisi nira nipah. Estee
mengunjukkan satu dari tiga gelas kepada saya – gelas yang masih belum
digunakan, sah itu bahagian faraidnya….
Mereka kemudian menyambung perbualan yang terhenti seketika
kerana kemunculan saya. Maka jadilah saya seorang pendengar…..
Mula-mula, yang sempat saya ingat, mereka bercakap sedikit tentang
politik. Sedikit sangat. Mungkin menghabiskan hujah yang terganggu oleh
kehadiran saya.
Kemudian mereka bercakap tentang satu malam yang ketiadaan
tayangan filem P Ramlee di TV2 seperti kebiasaannya. Lama juga di bahagian ini.
Maklumlah semuanya sudah menghafal skrip filem-filem arahan dan lakonan arwah
Tan Sri itu yang berulangkali dimainkan di tv. Saya sengaja menyebut nama satu filem,
Ardi terus menceritakan adegan yang paling disukainya – bukan satu dua,
sebaliknya hampir sedozen – sesekali memperagakan gaya watak sambil berkongsi
ketawa dengan kami. Andy pula menyebut
dialog yang digemarinya, juga bukan sepotong dua….. Estee asyik berdecit-decit mengagumi kebolehan Seniman Agung itu.
Kemudian mereka berbincang tentang kiamat! Rupa-rupanya mereka juga mengikuti ramalan
Nostradamus serta tafsiran kalendar kuno
kaum Maya! Saya yang bercadang untuk meminta diri, menyelesaikan tujuan hadir,
terpaksa melupakan niat itu. Teringin sangat mendengar cerita kiamat versi
mereka pula…
Ardi menyebut tarikh 121212 yang baru berlalu. Kiamat yang
dihebohkan tidak berlaku ……
“Bukan 12 Disember! ‘Tu satu teori lain. Kepercayaan lain. Lagi
pula itu ikut cantik nombor saja…..” kata Estee. Andy dan Ardi hanya mengangguk. Kedua-duanya
memerhati saya sedang mengurangkan isi jag nira….
“Cuba tengok ‘ni…..” sambung Estee sambil membuka luas
akhbar di tangannya – dihamparkan di atas lantai bekas jelapang yang telah
diubahsuai menjadi gazebo itu. Ardi menarik sedikit jag kopi yang menghalang
bucu akhbar dari berkembang sempurna. Andy memicit-micit dagunya,
mengangguk-angguk, sambil membaca ruang luar negara yang ditunjukkan oleh Estee.
“21 Disember!” Kata Andy dengan kuat, seolah telah mampu
menyelesaikan dengan jayanya permainan Sudoku yang tidak pernah habis
dijawabnya……
“Jumaat depanlah ‘tu….” tingkah Ardi setelah beberapa saat
menghitung di dalam kepalanya.
“Ya la. Ustaz pun ada kata: kiamat terjadi pada hari
Jumaat….” Balas Andy yang masih terangguk-angguk.
“Tu la aku dok bertengkar dengan depa hari ‘tu. 121212 ‘tu
harap cantik nombor saja. Hari Rabu..… Ada ka kiamat hari Rabu…..” Estee
menzahirkan kepuasan entah setahap mana. Tapi dari senyum dan angguknya, ternyata
dia cukup-cukup puas. Agaknya hebatlah pertengkaran dengan ‘depa’ yang
diceritakannya itu.
Saya ingin mendengar lebih lanjut, kalau-kalau boleh tahu
apa persiapan mereka menjelang kiamat itu. Namun masa amat mencemburui saya.
Lagi setengah jam saya mesti mengambil anak yang menunggu di Alor Setar.
Maka saya tinggalkan mereka setelah menghirup dua gelas nira
dingin…. Ketika bersalam, saya menyatakan hajat kedatangan tadi. Saya menghulurkan
tiga keping kad jemputan kahwin yang diamanahkan oleh seorang rakan kami dari Tanah Merah, Pendang.
Mereka membelek-belek kad keras berwarna kuning
kecoklat-coklatan [budak PMR dan
SPM, jangan guna kalimat ini! hehehe] itu.
“Dia buat kenduri 23 Disember noooo….” Kata Ardi lalu
mendongak ke bumbung gazebo. Kad itu diketuk perlahan pada tapak tangan
kirinya. Entah apa yang menerawang di zon pemikirannya.
“Banyak kenduri hari ‘tu…. ‘Ni dah masuk lima…” Kata Andy
pula. Dia menuang kopi o ke dalam gelasnya. Setelah menghirup sekali, dia
meletakkan kad jemputan itu menutupi mulut gelas. Entah untuk apa….
“Orang kita…. nak kenduri, kalau bukan Sabtu, Ahadlah. Hari
lain payah sikit….” Estee bersuara sambil menggunakan kad di tangan untuk
menggaru belakangnya.
“Hari ‘tu kita kalut la sikit nooo…” kata saya sambil
memakai topi keledar.
“Awat pulak?” Walau tidak serentak, soalan Ardi dan Estee
hampir sama nadanya.
“Kalutla, “balas saya sambil menghidupkan enjin motor,” 23
haribulan ‘tu….‘kan baru dua hari lepas kiamat!”
Hehehehe. Saya
tertawa. Beberapa saat kemudian barulah mereka bertiga ikut tertawa.
“Dajal sungguh hang ‘ni….” Kata Ardi dalam tawa sambil
mencapai selipar usang di hujung juntaian kakinya…..
Saya menggerakkan motor sambil menunduk sedikit mengelak
layangan selipar jepun Ardi…
Hehehehe. Kawan-kawan saya ……
##################################
22 Disember 2012.
Sehari selepas kiamat itu!
Hari yang cukup sibuk.
Ada empat jemputan
kenduri.
Jiran pula bersiap
untuk kenduri pada esoknya. Pagi, menantu emak membantu rakan-rakan kejiranan
kami membasuh ayam yang akan digoreng pada petangnya. Saya menghadap komputer sekejap bagi menjenguk fb serta statistik
blog.
Menjelang tengah hari, menantu emak mengundur diri, bersiap
bersama cucu-cucu emak untuk ke dua rumah kenduri di sekitar Kubor Panjang.
Mengetahui saya tidak akan dibawa bersama walaupun jenuh merengek, maka saya keluar
menggoreng ayam, yang oleh sebab-sebab tersendiri, telah ditukarkan sedikit
jadual asalnya…… hehehehe.
Lega.
Pertama, jemputan untuk dua kenduri selesai kerana telah ada
wakilnya. Kedua, dengan perubahan jadual menggoreng ayam itu, dapatlah saya
ikut serta, dan takdirnya terpaksa ditinggalkan proses itu pada petang nanti,
tidaklah dikatakan saya tidak berdunia dengan jiran-jiran….
Dua kali ayam diangkat dari kawah, Cikgu Non muncul. Dia
ikut membantu menggoreng ayam sambil menolong mengurangkan simpanan gula kopi
dan kuih di rumah bakal tuan kenduri itu ….. Katanya dia baru saja balik dari
satu kenduri di Kuala Kangkong.
“Macam mana kita petang ‘ni?” Tanya Cikgu Non. Walau ada dua
orang jiran kami yang lelaki dan sepuluh lagi yang perempuan, hanya saya yang
faham soalan Cikgu Non itu. Saya menjawab apa yang sepatutnya.
“Kita pi lewat sikit. Agak-agak orang tak berapa ramai
‘dah…….” Kata Cikgu Non.
“Tengok rumah Yusri hari ‘tu. Kita pi lewat, sampai depan
khemah boleh parking kereta……”
“Baru boleh bersembang dengan tuan rumah…….” Kata saya yang
tentunya merupakan kata Cikgu Non juga. Dalam bab kenduri ini kadangkala kami
bergilir melafazkan dialog yang senada……
Ketika seorang jiran lain mencadangkan saya masuk ‘berkepak’
dahulu, sempat saya katakan kepada Cikgu Non, “Dalam pukul tiga setengah la
nooo?”
Berkepak? Maksud jiran itu adalah mengangkat
takbir………
Selesai solat, saya keluar sebentar. Panas memijar. Saya
masuk semula. Niatnya untuk membelek fb sahaja sebentar. Namun sebaik menjengah
ke blog ini untuk melihat statistik pembaca hari itu, saya teringat kepada
Pakya. Masih basah ingatan akan kunjungan kami pada petang sebelumnya.
Saya membuka kotak catatan baru,
mencari tajuk yang sesuai. Kerana baru sahaja menulis tentang Abby Zack,
dan mengingat nama sebenar Pakya adalah Zakaria, terus datang Zack ke minda.
Bermenung seketika mencari pembuka kata, saya mencari dahulu
foto motor Suzuki RC 80. Sebaik
memperolehnya dan memasukkan ke dalam kotak catatan, saya pun mula menulis……..
Terlupa pada gorengan ayam ……
Telefon bergegar pada jam 3:06 petang. Panggilan dari Cikgu Abdur
Rahim Daud. Dia yang dalam perjalanan pulang dari Pendang, bertanyakan soalan
yang sama dengan yang Cikgu Non berikan tadi. Saya memberitahu waktu yang kami
persetujui untuk ke Batas Paip. Dia akur. Sementara itu,Cikgu Rahim akan ke
Kuala Kangkong terlebih dahulu, rumah yang Cikgu Non telah kunjungi awalnya.
Sebenarnya, tiga hari sebelum itu, saya sudah menghubungi
Cikgu Rahim tentang dua kenduri di rumah Budak Falah itu. Dia berjanji akan
memaklumkan kepada saya akan keadaannya apabila tiba hari kenduri – sama ada
boleh pergi atau tidak. Dan panggilan itu memang saya tunggu….
Saya kembali tenggelam dengan kisah Pakya. Agak lambat
proses mencatat kerana mencari perkataan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan
hidup Pakya kini. Sambil itu kenangan bersamanya sesekali datang menjengah…….
Kian perlahanlah aliran ayat untuk mencatat.
Jam 3:56, telefon bergegar. Ada panggilan dari Cikgu Non.
Tidak tahulah apa yang difikirnya melihat saya tidak keluar-keluar sejak tadi….
“Dalam sepuluh minit lagi kita pi……” itu sebahagian katanya.
Suaranya bersama jiran-jiran di luar jelas kedengaran. Rupanya lama juga saya
tenggelam bersama kisah Pakya……
Ketika memasuki kereta Cikgu Non, telefon bergegar pula. Panggilan
dari Cikgu Rahim. Saya terlupa untuk memberitahu Cikgu Non bahawa 50 minit yang
lalu Cikgu Rahim ada menelefon saya. Kami bercadang berjumpa di Batas Paip dan
terus ke Changlon. Saya belum membincangkan dengan Cikgu Non rancangan ke utara
Kedah itu. Tidak pasti pula sama ada Cikgu Non akan ikut ke situ.
Saya serahkan telefon kepada cikgu Non. Menyuruhnya bercakap
dengan Cikgu Rahim. Selepas beberapa ‘hu dan ha’, Cikgu Non menyerahkan kembali telefon
kepada saya. Sah, kami bertiga akan sekereta ke Changlon juga. Cikgu Rahim
menunggu kami di Simpang Kangkong – Yan – Batas Paip. Keretanya ditinggalkan di
perkarangan surau Hj Azhari, dekat situ. Demikian maklumat dari Cikgu Non.
Selepas melalui kesibukankan lalulintas yang agak teruk di
Simpang Empat, sebaik melintasi SMK Tunku Abdul Aziz, Cikgu Rahim memanggil
lagi. Agaknya dia terasa lama menanti kami. Saya maklumkan bahawa kami semakin
menghampirinya setelah tersekat dalam kesesakan jalan.
Sekali lagi kesesakan kami alami tatkala sampai di simpang
ke Batas Paip. Cikgu Rahim yang menggelisah di seberang jalan akhirnya
menyertai kami pada pukul 4:25. Dia
masih kekenyangan setelah baru keluar dari khemah kenduri di Kuala Kangkong.
Gerimis baru bermula manakala di arah utara kelihatan awan
hitam. Sedikit ke timur - arah Simpang
Kuala - kami nampak gumpalan awan telah bertukar menjadi hujan.
Apakah suasana kenduri di rumah Babuji berulang di mana kami
terpaksa duduk di tapak khemah yang kebasahan?
Selepas SK Tebengau, sekali lagi jalan menjadi sesak. Lebih
250 meter dari simpang ke Teluk Bagan. Cikgu Non mula mengomel. “Hai,
seumur-umur tak pernah sesak macam ‘ni di sini….” Cikgu Rahim turut
mengakuinya. Lama juga kereta hanya berengsot…
Sementara itu, cikgu berdua itu merokok manakala saya
menengok! Cikgu Rahim Cuma meminta rokok daun tetapi Cikgu Non mempelawa rokok
bertapis…. Kemudian Cikgu Non menyuruh Cikgu Rahim menggagau di bawah tempat
duduknya – ada sekarton lagi stok rokok di situ….. Soal terputus bekalan tidak
perlu difikirkan!
Sampai di Batas Paip, mereka bertanya jalan ke rumah
kenduri. Dalam berbual kami terlajak 15 meter dari jalan masuk – Lorong Tok Nor
Tukang. Cikgu Non mengundurkan kereta. Memasuki
lorong itu, ternampaklah kesan bekas hujan. Hujan baru ‘beradu’ kata
orang Baling…..
Tidak banyak kereta di tepi jalan berdekatan rumah kenduri.
Almaklumlah, waktu pilihan kami itu bukan waktu banyak iklan – waktu prima…..
Ketika belum keluar dari kereta lagi kami sudah nampak salah
seorang anak tuan rumah. Sosok yang agak familiar. Kalau dia membelakang serta
pakai sari pun kami boleh kenal….
Dia mempersilakan kami menghampiri khemah. Bersalam dengan
ayahnya yang terus menjemput kami mengambil makanan. Saya menuju ke bekas nasi
yang terbuka. Ada tiga bunjut sup [agaknyalah] di atas nasi tersebut. Saya
menggawangkan tangan di permukaannya untuk mencari aroma. Saya capai pinggan
lalu mengurangkan kandungan bekas nasi itu sesedap tangan. Saya senduki ayam dua ketul serta isi gulai ikan kering
bersama penemannya, buah seribu mata – nenas. Sebelum melangkah ke kerusi, saya
sempat menjeling beberapa ekor itik yang ikut memerhatikan kami dari tepi pagar
mereka – berhampiran tempat memasak. Walaupun tidak bersuara sepatah pun, saya
faham bahasa badan mereka. “Nasib baik betul kami hari ini!” mafhum dari bahasa
itu daripada salah seekor itik di situ…
Di meja di bawah khemah bertentangan rumah pengantin, saya
duduk menghadap rumah itu. Cikgu Non sampai dengan longgokan nasi dan lauk yang
agak lumayan. Cikgu Rahim hanya membawa mangkuk polisterin sebesar penumbuk
berisi bubur kacang berperisa durian.
“Hang tak mau nasi ka Rahim?” Tanya Cikgu Non.
“Aku baru sudah makan di rumah Halim di Kangkong tadi…”
balas Cikgu Rahim.
“Sedap nasi ni…..lauk pun sedap, rugi kalau tak balun…” saya
tumpang semulut. Anak tuan rumah yang mengiringi kami tersengih.
“Sat gi nak makan di Changlon pula…..”kata Cikgu Rahim.
“Kena tibai sini dulu. Kira nasibla. Sat ‘ni pi sana, lauk
habih, melepas saja…” kata Cikgu Non, lebih kurang. Saya bersetuju tapi tak
terucap kerana mulut sedang disumbat lauk berbalut nasi. Pakai angguk-angguk
saja, macam di negeri Jepun….
Anak tuan rumah yang mengiringi kami membawakan tiga gelas
air bercampur sedikit gula yang dimerahkan oleh pencelup. Kemudian dia duduk
lalu memperkenalkan
tiga rumah sederet di sisi khemah. Rumah abangnya paling depan
manakala rumah kenduri – rumah ayahnya - terletak di belakang. Rumahnya di
tengah-tengah. “Yang warna hijau!” beritahunya. Saya mencari hijau yang
dikatakannya. “Kira hijaulah ‘tu…” katanya apabila saya katakan warna rumahnya
bukanlah hijau sangat. Peminat tegar warna hijau
dan lagu Hijau
nyanyian Zainal
Abidin itu tersengih. Terlupa untuk bertanyanya kenapa air minuman
di depan kami tidak dihijaukan sahaja.
Demikian pula plastik alas meja…..Hehehehe.
Melihat keasyikan kami menyuap, dia yang masih belum kebah dari demam menggunakan gajet terbarunya terus menghalakan lensa ke arah kami. “Dia nak masuk dalam fb la ‘tu….” Kata Cikgu Non tanpa menghentikan kunyahan di mulut serta gaulan di pinggan. Saya mengikut jejaknya. Proses peristalsis sedang berlaku di dalam tenggorok kami, bagaimanakah dapat memberikan satu pos istimewa! Padanlah!
Selepas itu anak tuan rumah yang mengiringi kami, ke rumah Ustaz Jamal Huri yang sepelaung saya jaraknya dari situ, walau kami cuba menahannya.
Cikgu Rahim berjaya menghabiskan bubur yang ratusan biji
kacang hijaunya itu. Aroma durian yang diaduk bersama bubur itu amat cepat
meresap ke deria bau. Lebih-lebih lagi di dalam udara yang kedinginan setelah
baru disergah hujan.
Ikan layaran: Kau ada? |
“Cikgu nak buboq?” Tanya anak tuan rumah yang mengiringi kami, sebaik nampak saya dan Cikgu Non sedang dalam dua tiga suapan terakhir. Kami mengangguk. “Ambil mai tiga mangkuk!” pinta Cikgu Rahim. Aik!? “Sedap buboq ‘ni.” Cikgu Rahim memberi alasan kukuh – hatta boleh sependapat diterima oleh Korea Utara mahupun Korea Selatan sekali pun telah lebih setengah abad bermusuhan…..
Anak tuan rumah yang mengiringi kami memanggil kakaknya, Noraini Osman
untuk bertemu bekas guru-gurunya ini. Noraini yang sejak tadi terjenguk-jenguk,
datang menyapa tapi agak kekok ketika diperkenalkan kepada Cikgu Rahim. Bekas
cikgu itu pula tidak sangat mengingati rupa Noraini agaknya, ikut kekok sebelum
si adik, anak tuan rumah yang mengiringi kami, memperkenalkan, “Kak saya,
Noraini…. “ sebelum menoleh ke arah kakaknya dan berkata pula, “Cikgu Rahim
‘ni, takkan tak ingat. Cikgu Sejarah!” Noraini dan Cikgu Rahim hampir serentak
memuncungkan mulut menyebut ‘O’ tanpa bunyi.
Sudah lama masing-masing membawa haluan hidup. Masa
berputar, mata berpinar, sosok bertukar. Saya sendiri masih membayangkan raut wajah
Noraini dalam seragam sekolah menanti bas MARA pada awal tahun 90-an dahulu.
Takdirnya jika bertembung di ‘luar sana’, mungkin saya tidak dapat mengenalinya
dengan pantas. Akan Cikgu Non pula entahlah masih dapat mengecam wajah Noraini
atau tidak.
Setelah berbual sebentar tentang kehidupan terkini, serta
menyatakan lokasi rumahnya sambil menunjukkan suaminya yang sedang sibuk membungkus
nasi dan lauk di meja berhampiran tempat memasak, bersebelahan pagar itik tadi,
Noraini meminta diri.
Anak tuan rumah yang mengiringi kami meletakkan tiga mangkuk
bubur kacang perisa durian di atas meja tepat ketika saya dan Cikgu Non sedang
melicinkan pinggan nasi. Saya menjeling mencari air membasuh tangan. Anak tuan
rumah yang mengiringi kami mengesan niat saya. Dia cepat bertindak. Itulah
harinya pertama kali di rumah kenduri, ada orang mengangkat bekas yang boleh
mengisi 25 liter air jernih kepada saya untuk mencuci tangan! Anda pernah
alami?
Zabarina |
Azren |
[Di dalam fb kemudiannya hanya ada foto Zabarina dan Azren. Mungkin ketika Babuji hadir, anak tuan rumah yang mengiringi kami itu, sibuk....]
Ketika kami mula menikmati bubur itu, Jamal Huri muncul.
Sebagai langkah keselamatan, agaknya, maka dia datang bersama salah
seorang anaknya. Ustaz muda di SK
Seberang Nyonya itu sudah amat lama meninggalkan kami di AlFalah, namun tetap
ramah berbual. Bercerita tentang keluarga sendiri serta keluarga ayamnya yang
enam tujuh ekor itu. Serta menyentuh sedikit tentang kenalan kami yang mengajar
sama di sekolahnya.
Sementara itu, anak tuan rumah yang mengiringi kami, masuk ke
rumah dan keluar bersama tujuh beg berisi buah tangan – kuih, gula-gula dan
telur. Semuanya dilonggokkan di depan kami. Sebagai insan yang faham ilmu
tatarakyat, kami tahu diri. Takkanlah tiga orang harus mencempung hingga tujuh
beg! Kami menolak diperlakukan begitu. Anak tuan rumah yang mengiringi kami
berkeras, “Tak apa. Semua untuk cikgu…”katanya. “Ada banyak lagi di dalam
rumah!”sambungnya.
Mendengar ayat sambungan itu, saya mencapai semua beg itu
lalu mencantum isinya menjadi hanya tiga beg. Buat diambilnya lagi di dalam
rumah, selain malu kami membawanya nanti, takut pula hujung suku pertama tahun depan, anak kami rompong mulut dihakis manisan!
Anak tuan rumah yang mengiringi kami tersengih.
Jamal Huri terus bersama kami, terus berbual. Berkisah asal
usul pengantin perempuan hari itu yang bertugas di SK Seberang Nyonya juga.
Orang Kuala Nerang. Ibu tunggal beranak satu manakala pengantin lelaki pula ,
adik kepada anak tuan rumah yang
mengiringi kami, bapa tunggal beranak dua. Demikian aturan takdir.
Seketika kemudian, tuan rumah datang bersama empat lima beg
nasi bersama lauk-pauknya. Diletakkannya di atas meja di sisi saya. Kami
terkejut. Kami memberitahu akan ke Changlon pula selepas ini. Lagi pula
takkanlah empat lima beg itu mahu dicantum pula menjadi tiga sahaja….. Mujurlah
suami Noraini datang membuat pencerahan. Selain untuk kami, dua beg selebihnya
diamanahkan kepada Jamal Huri untuk diserahkan kepada dua ahli keluarganya.
Lega rasa hati. Tuan rumah tersenyum, sambil sekali lagi meminta kami menerima
bungkusan itu. Kami pun menerimalah dengan hati dan tangan terbuka. Tuan rumah
berlalu.
“Tak kan nasi dan lauk saja. Bubur ‘tu bungkuslah sama
barang lima enam bekas!” Kata saya tetapi kerana tidak tahu kepada siapa harus
ditujukan, kata-kata itu saya simpan sendiri. Hehehehe.
Kami terpaksa meminta diri. Rumah kenduri berikutnya bukan
di Mentalon, tetapi di Changlon! Lebih
daripada 50km jauhnya.
Lagi pula, awal-awal lagi Cikgu Rahim berharap agar dapat
menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala AFF Suzuki pada jam 8 malam nanti.
Teringin menikmati kepuasan tatkala melihat pemain dan penyokong pasukan
Thailand merasakan pedihnya kekalahan…….
Jamal Huri cuba menahan. Mencuba sahaja. Kemudian terpaksa
akur dan bercadang mengajak kami keluar minum teh bila-bila …… Cikgu Non
tersengih dan membalas, “Hang tak tau kami macam mana….. Ready saja!”
Selepas berjumpa sekali lagi dengan tuan rumah, melintasi
sekawan itik di tepi pagarnya, kami melangkah keluar. Cikgu Non meminta saya
memasukkan hal itik ke dalam blog kelak. Itik-itik ikut tergelak bersama
saya….. Seronoklah agaknya kerana tidak menjadi korban pada hari itu!
Anak tuan rumah yang mengiringi kami dari awal tadi, menghantar
kami hingga ke jalan mini di tepi tali air. Kami mengajaknya untuk ikut ke
Changlon namun ditolaknya dengan alasan yang sesuai.
Saya bertanya anak
tuan rumah yang mengiringi kami, di manakah isterinya kerana sepanjang kami
berada di situ, tidak sekali pun dia memperkenalkan menantu ayahnya itu. “Di
dalam rumah kut…” jawabnya.
Saya sedikit kecewa. Sebabnya? Sila baca hingga titik
terakhir….
Beg berisi buah tangan serta bungkusan nasi dan lauk yang
kami borong
tadi diletakkan di dalam bonet kereta. Lucu juga melihat longgokan di situ.
Banyak sangat. “Kalau di Changlon tak dak nasi, kita bawa keluar yang ‘ni….”
Saya terlupa siapa di antara kami yang berkata demikian. Tapi saya ingat kami
tertawa serentak.
Sampai di jalan utama, Cikgu Non memandu menghala ke Alor
Setar. Membelok ke Jalan Lencong Barat menghala ke lebuh raya. “Tak sibuk
sangat….” katanya.
Namun katanya itu tidak tepat kali ini.
Setiap menghampiri plaza tol, kesesakan tidak dapat
dielakkan. Kenderaan beratur panjang, beringsut perlahan di semua lorong,
termasuk di lorong Touch ‘n Go. Kebosanan menular pada setiap wajah yang kami
nampak.
Saya menghubungi Sofiahmad Din [ini adalah nama di akaun fb-nya. Jika ingin tahu nama sebenarnya, silalah bertanya tuan tubuh atau anak-anak muridnya...]
Bertanya keadaan lauk di rumahnya…. Sengaja buat menghilangkan kebosanan.
Sofiahmad Din mengatakan lauk masih banyak lagi….. Saya memaklumkan kami sedang dalam perjalanan.
Saya bertanya jalan ke rumahnya. Dalam kereta itu, hanya
saya yang pernah ke rumah itu. Sekali, pada tahun awal persaraan saya dari AlFalah.
Saya pergi bersama Cikgu Ahmad Amminy pada satu petang Jumaat
untuk satu urusan yang tidak perlulah saya catatkan di sini kisahnya. Sempat
berbual dengan ayah serta adiknya, Wak Sir. Telah sedekad lebih sebenarnya.
Sofiahmad Din meminta saya menelefonnya semula jika dan
apabila sampai di Pekan Changlon.
Wokey!
Lega seketika sebaik melepasi plaza tol Hutan Kampung. Namun
kesesakan dan kebosanan berulang pada plaza tol selepasnya. Lebih panjang
deretan kereta dari sebelumnya. Maka lebih lamalah kami membilang kereta di
depan …….
Hujan mulai turun dengan agak lebat. Radio Klasik FM
memainkan lagu-lagu era 50-an yang mendayu-dayu. Cukup sesuai latar bunyi itu
……
Melepasi Hosba, saya menelefon Sofiahmad Din semula.
Tidak dapat dihubungi. Saya mencuba sekali lagi. Pun demikian juga. Ah, sudah!
Saya cuma keliru kerana ada dua simpang kiri selepas memasuki
Pekan Changlon. Simpang manakah yang akan membawa kami ke rumahnya?
Saya mencuba menghubunginya lagi. Tetap gagal. Kerisauan
saya tidak dizahirkan. Takut supir kami juga gelabah…. Hehehehe.
Saya teringat ada menyimpan nombor telefon Puan Nasibah,
isteri Sofiahmad Din. Sengaja saya mengambilnya dari fb Alumni AlFalah yang
diberikan oleh Sofiahmad Din sendiri tatkala membuat undangan terbuka ke majlis
kenduri. Mana tahu kalau ada gunanya…..
Maka saya gunakan nombor itu. Sayangnya dua kali pula telefon
tidak berangkat. Sudah!
Ada hikmahnya kesesakan yang menyeksakan itu. Ketika
tersangkut menjelang melepasi SM Changlon, Sofiahmad Din menelefon. Saya
memberitahu lokasi kami dan bertanyakan jalan yang harus kami gunakan.
Sofiahmad Din memberikan panduan. Faham.
Roger and
out!
Namun kesesakan di dalam pekan bagai direka untuk kami!
Dalam berengsut yang lama saya kembali keliru. Takut terlepas lampu isyarat
untuk ke simpang sepatutnya. Saya menghubungi Sofiahmad Din sekali lagi. Sah kami sedang
berada di dalam laluan yang betul.
“Berapa jauh lagi rumah dari simpang ‘tu?” Tanya saya.
“Dalam dua kilometer …..”jawab Sofiahmad Din. Jawapan itu
saya panjangkan untuk pengetahuan Cikgu Non dan Cikgu Rahim.
Sebaik nampak simpang kiri kedua di dalam pekan itu, Cikgu
Non terus membelokkan keretanya. Kesesakan dan pergerakan yang berdenyut itu
masih serupa. Selepas satu km barulah jalan dirasakan agak lengang. Satu
kilometer lagi nampaklah lima buah kereta di kedua belah jalan. Nampak khemah.
Saya mengejutkan Cikgu Non yang sedang asyik berbual di telefon. Memaklumkannya
bahawa kami sudah sampai.
Cikgu Non memarkir kereta di bahu jalan sebelah kiri. Tidak
jauh dari satu bangunan yang sebahagiannya berwarna hijau dengan bulatan putih
di tengahnya. Melihat bangunan itu, saya teringat kepada rumah kenduri di Batas
Paip tadi. Entah kenapa…..
Sofiahmad Din berdiri di luar khemah di seberang jalan
sebaik Nampak kami. “Sofi pun pakai kain pelikat saja….” Kata Cikgu Rahim,
agaknya merasakan majlis sudah tiba di penghujung…
“Panjang cerita kami ‘ni….”kata saya ketika melintas
menghampiri Sofiahmad Din.
“Panjang, kena tulis dalam blog…..” balas Sofiahmad Din
sambil menyambut tangan saya.
Meja yang dipenuhi makanan terletak betul-betul di atas bahu
jalan ikut menyambut kami. Ayah Sofiahmad Din terus menyuruh kami menyenduk
nasi tanpa sempat kami menyalaminya yang duduk terpisah oleh satu meja panjang.
Kami menunjukkan kedegilan dengan menghampirinya juga. Bersalam dengannya serta
sekumpulan tetamu dari Perak yang duduk mengelilingi meja tersebut.
Setelah itu kami kembali ke meja makanan. Benar kata
Sofiahmad Din tadi – lauk masih banyak. Penuh di bekasnya. Ada ayam, tetapi
pandangan saya lebih tertumpu kepada gulai daging dan tulang lembu. Melihat
warnanya saya sudah jatuh cinta! Saya menelan liur sekali. Di sebelah bekas
gulai itu ada bekas tertutup. Saya membuka penutupnya. Ada kerabu putik bacang!
Sekali lagi saya menelan liur. Bekas di sebelah lagi ada ikan kering goreng,
sambal belacan serta ulam. Di hujung sekali ada bekas bubur kacang….
Saya mencapai pinggan, menyenduk nasi. Menyenduk cita hati
saya – gulai daging – serta kerabu putik bacang. Tangisan ayam di bekasnya
tidak saya endahkan……
Akan dua sahabat saya itu pun demikian juga keadaannya. Cuma
saya menjadi cemburu melihat pinggan mereka dipenuhi juga tulang gulai. Entah
kenapa saya terlalu mahu cepat tanpa menunggu untuk memilih beberapa ketul
tulang….
Tuan-tuan dan puan-puan, akan gulai itu bukan rupanya sahaja
menarik malah rasanya pun demikian adanya! Ditambah pula dengan gaulan kerabu
putik bacang…… Ef Yu Ech!!! Dapatkah
tuan/puan rasakan apa yang saya rasa ketika itu? Fuh!!!
Sedang kami melayan rasa itu, muncul Hasliza, adik Sofiahmad
Din. Sambil mengemas meja di belakang kami bersama suaminya, dia menyapa. Paling akhir saya melihatnya adalah pada satu
hari raya di rumah Maklong/Maklang entah tahun bila ketika datang sekeluarga
besar nya ke situ.
Hasliza datang belajar di Alfalah setahun setelah kemunculan
abangnya di situ – 1984. Di antara rakan sekelasnya ketika itu adalah Basri Zakaria[Pak Mid], Mariam Hj Awang [Mak Yam], Rafida
Mohd Saad, Norhashimah Ismail, Md Isa Saidin dan anak saudaranya - Mohd Zaini Salleh, Norhafizah – adik saya, Salmah Hj Ahmad, Mahathir Jamaluddin, Mohd Hizamy Azizan – anak
tunggal Maklang/Ustaz Azizan, Siti Norliza Abdul Hamid, Norliza Md Taib, serta
pasangan sepupu – Asilah Ismail dan Pawang Nujum……
Seingat saya semasa di AlFalah, dia cukup aktif bersama
kumpulan nasyid, malah pernah menjadi suara utama. Satu peristiwa yang tidak
akan saya lupa adalah bagaimana melihat mimik kecewa pada wajahnya selepas
melakukan kesilapan pada satu persembahan di dalam sebuah majlis sekolah yang
dihadiri VIP. Sedikit kesilapan lirik, kalau tidak salah ingatan saya. Jenuh
juga dia dimarahi guru nasyidnya. Saya yakin dia tidak dapat tidur lena pada
malam selepas itu, kerana ketika diminta menulis sebuah sajak untuk majalah
stensilan sekolah, dia mencatatkan kekecewaan tersebut. Tidak ramai yang menangkap
maksud sajaknya itu dan takdirnya saya pula antara yang cukup memahami kerana mengetahui
kesilapan yang telah berlaku di majlis tersebut. Sejak itu pula saya mengerti jiwa seninya yang mudah tersentuh. [Saya ada
menyimpan satu salinan majalah stensilan tersebut, di mana rakan sekelas
Sofiahmad Din, Junaidah
Kassim, dari Kg Iboi, Baling,
menjadi ketua jurutaipnya. Malangnya, keusangan kertasnya telah menyebabkan
salah seorang anak saya meletakkannya bersama suratkhabar lama….. lalu dibawa
pergi ke satu pusat kitar semula…. Sebuah kehilangan khazanah yang patut
ditangisi!]
Hasliza kini tinggal di ibu negara, menjadi seorang
pendidik.
Kemudian muncul pula Nizam [saya lupa nama depannya – sama ada Khairul atau Mohd]
yang cukup terkenal sebagai Wak Sir semasa di AlFalah. Ada entri khusus
tentangnya tidak lama dahulu [lihat sini]
Wak Sir tersengih menampakkan matanya yang baru bangun dari
tidur! “Letih,”katanya, “letak kepala sat, terus lelap…” Wak Sir memiliki empat cahaya mata, kini
tinggal bersama emak dan ayahnya di rumah itu. Semasa kami makan itu, sempat
dia bercerita tentang kawasan rumah tersebut yang terdapat sungai di belakangnya.
Kiranya luas juga kawasan milik keluarganya kerana tanah di mana bangunan yang
sebahagiannya berwarna hijau dengan bulatan putih di tengahnya, yang di seberang
jalan, termasuk sama. “Diberikan oleh Tokwan….” Kata Wak Sir.
Ada lagi tetamu yang sampai. Ayah mereka menyambut dengan
menyuruh para tetamu terus ke meja makanan. “Tak usah bersalam dulu…”katanya
apabila seorang tetamu seakan menuju ke arahnya. Semua tertawa melihat situasi
itu. Wak Sir yang lebih ramah berbanding semasa di AlFalah dahulu – diasuh oleh
pengalaman panjang di dunia pekerjaan – turut melayan mereka. Ketika salah
seorang tetamu menyentuh tentang hujan di beberapa tempat kenduri yang dihadiri,
Wak Sir mencelah, “ Di sini pun ada tadi – hujan membilas sikit….” Kami, bekas
guru-gurunya tertawa. “Lama tidak mendengar perkataan hujan membilas ‘tu..”kata saya.
Wak Sir kehilangan biji mata, tersimpan di balik senyumnya!
Cikgu Non mengimbau semasa kami pergi ke satu kampung di
Baling, melawat rumah beberapa Budak Falah sekitar dua dekad lepas. Dua
perkataan yang cukup diingatnya: beradu dan balik deh. Kami singgah di sebuah rumah. Hujan
mula turun ketika kami akan beredar dari situ. “Tunggulah hujan beradu dulu….”kata
tuan rumah. Kemudian kami faham maksudnya menyuruh kami menanti hujan berhenti
terlebih dahulu. Ketika ditanyakan rumah seorang lain yang akan kami kunjungi,
jawapan berikut kami terima: “Tak jauh…. Balik deh saja…” Kami mengangguk. Dekatlah
agaknya. Kemudian, setelah keluar dari situ, merentasi tanah tinggi dan rendah
serta beberapa kawasan kebun getah,untuk sampai ke destinasi, barulah kami
faham: jangan menyangka balik deh itu
maknanya dekat
sahaja.
Imbauan itu membuatkan saya dan Cikgu Rahim ikut tersenyum.
Ikut sama mengenangnya. Demikian pula Sofiahmad Din yang mengajar dan
bermertuakan orang di daerah Baling……….
Dan hari ini kami mendengar hujan membilas pula…. Hehehehe.
Wak Sir, Wak Sir….
Ada lagi tetamu yang sampai. Ayah mereka masih menyambut
dengan menyuruh para tetamu terus ke meja makanan. Tetamu yang baru itu
kelihatan kelelahan – agaknya tidak kurang dari 4-5 kenduri telah
disinggahinya. Dia hanya mengambil bubur kacang.
Saya yang baru menyelesaikan acara memakan nasi, bangun
membasuh tangan. Demikian juga dengan Cikgu Non dan Cikgu Rahim. Demi
mengelakkan pembaziran tenaga, selepas membasuh tangan di bawah payung meja
makanan itu, saya mencapai mangkuk polisterin sebesar penumbuk – mengisi bubur
kacang pula. Cikgu Non mengikut.
Kembali duduk di tempat tadi, saya membuat suapan pertama
bubur kacang. Tunas rasa menghantar impuls ke otak untuk ditafsirkan. Hehehehe.
Tanpa durian bersamanya, tentulah berbeza dengan yang melepasi kerongkong kami
di Batas Paip tadi. Namun, bubur itu tetap sedap. Cikgu Non mengesahkan apa
yang saya simpulkan itu.
“Hang tak mau cuba buboq ‘ni Rahim?” Tanya Cikgu Non dan
rakannya itu menjawab, “Tak mau ‘dah….”sambil menggeleng kepala. Daripada membiarkan
masa berlalu percuma, Cikgu Rahim mencapai tembakau dan rokok daun milik Wak
Sir dan melakukan yang selayaknya. Sofiahmad Din tersenyum. Saya dan Cikgu Non
meneruskan tugas mendayung bubur ke mulut….
Wak Sir mencapai pula daun rokok dan tembakau, sebaik Cikgu
Rahim berpuashati dengan balutannya. Wak Sir ikut membalut rokok daun.
Sofiahmad Din tersengih, “Anak murid hisap rokok depan cikgu,” katanya, “kurang
ajar betui….” Kami tertawa. Saya tidak melihat wajah semua, hanya memerhati
muka Wak Sir – dia terpejam mencampurkan sengihan dengan tawa….
Cikgu Non ikut merokok kemudiannya.
Saya? Mujurlah tepat
waktu ingin memberontak kerana tiada sebarang kegiatan yang boleh saya lakukan,
Hasliza muncul semula dengan sejag kopi o serta sedulang gelas kaca puspa warna….
Kopi o kaw dalam kedinginan bilasan hujan…….
Ada lagi tetamu yang sampai. Kali ini rakan sekerja Wak Sir –
yang mendapat jemputan pada saat-saat akhir malam sebelumnya. Malam selepas kiamat…..Hehehehe.
Wak Sir bangun menyambut rakannya itu. Tinggal Sofiahmad Din bersama kami.
Menghirup kopi sambil berbual, banyak juga yang kami
perolehi dari Sofiahmad Din. Kami bertanya siapa-siapa yang dijemput dari
kalangan Budak Falah. Dia menyenaraikan yang dijemput dan yang tidak datang.
Hampir sama banyak jumlahnya….. Mungkin sibuk dengan kenduri yang banyak pada
hari tersebut. Itulah alasan yang boleh diandaikan. Kalau mahu alasan lain:
mungkin sibuk bermuhasabah kerana baru saja melalui hari kiamat…..
Cikgu Nor Hasimah Mansor
dijemputnya. Semua rakan sekelasnya di AlFalah, yang ada simpanan nombor
telefon juga dijemput – termasuk Suwita Don
dan tidak ketinggalan Norlizah Saad yang
majlis kendurinya baru-baru ini turut dihadiri Sofiahmad Din sekeluarga. Geng
Gajah Mati? Juga tidak dilupakannya, dengan mewakilkannya kepada Md Rautin.
Kami bertanya perkembangan dan khabar beberapa rakan sekolah
dari sekitar Baling – kerana Sofiahmad Din merupakan seorang yang rajin mencari
menziarahi rakan. Dia berkongsi kisah dengan kami tentang beberapa orang:
Kamarulzaman Baharom dan kakaknya Rubiah, Mohd Saufe Che Ros serta kakaknya Nor
Hayati, dan Junaidah Kassim. Saya selitkan tentang Suhaimi Md Shah dari Lorong
Mayat, Kuala Kedah.
Tiba-tiba saya teringat Rohaimi
Md Isa, pelajar AlFalah dari Sungai Tiang
yang kini tinggal di sekitar Jitra. Sofiahmad Din menyatakan bahawa mereka
terputus hubungan kerana kehilangan nombor telefon orang sekampung Pawang Nujum
tersebut. Katanya, Rohimi dulu-dulu sering ke situ hingga turut mesra dengan
seluruh keluarganya.
Saya memberikan nombor Rohaimi yang diperoleh dari rakan setempat
kerjanya, juga Budak Falah. Sofiahmad Din terus membuat panggilan. Rohaimi
menjawab. Sofiahmad Din menyuruhnya datang ke majlis itu dan memberitahu
kehadiran kami bertiga.Rohimi yang katanya sedang berada di sekitar situ mungkin
bersetuju untuk datang, berdasarkan senyuman Sofiahmad Din tatkala memutuskan
talian sambil memaklumkan kepada ayahnya bahawa dia telah bercakap dengan
Rohimi. Ayahnya ikut tersenyum.
Masa mencemburui kami. Perut juga sudah beberapa kali
merengek. Makin kuat rengekan itu tatkala Hasliza datang lagi. Kali ini dia membawa
beg perambat. Hehehehe.
Cikgu Non yang mula mencadangkan, “Elok kut kita…….”. Kami
akur. Bersalam dengan Sofiahmad Din dan Wak Sir yang sedang berbual dengan
rakannya. Kemudian kami bersalam dengan ayah mereka. Ketika sengaja bertanya
sama ada masih mengenali saya, sambil tersenyum ayah mereka berkata,“Kenai……..
hari ‘tu jumpa di rumah kenduri…..”
Ketika mahu melangkah pergi, saya nampak sosok emak mereka.
Mungkin dia yang sedang duduk di kerusi bersebelahan meja makan pengantin di
hadapan pintu rumah, tidak mengenali saya lagi. Saya berpatah balik ke arahnya
dan mengucapkan terima kasih.Makcik itu mengangguk dan tersenyum.
Lengkaplah jemputan hari itu.
Namun cabaran masih menunggu kami pada senja itu. Kesesakan jalan
bagaikan dibuat dalam satu pakej - mesti
ditempuhi pergi dan balik! Perasaan kami dan keadaan kesesakan, masih sama
dengan waktu datang tadi, maka untuk mengetahuinya, baca saja perenggan awal
itu……
Malam itu, saya tidak kisah sangat dengan kemenangan
Singapura ke atas Thailand secara agregat. Saya sedang menghabiskan catatan
tentang Pakya, apabila teringat bungkusan nasi dan lauk dari Batas Paip yang
dikeluarkan dari bonet kereta Cikgu Non.
Sedap, memang. Tetapi perut telah awal lagi mengangkat
bendera putih. Sementelah, awal sedikit tadi saya masih menyumbatnya dengan
separuh pinggan bihun goreng ketika ikut bertahlil di rumah jiran kami.
Saya keluar ke bawah khemah di depan rumah kami. Beberapa
jiran sedang berkumpul – berbual dan menumis kuah masak merah untuk
disanbdingkan dengan ayam yang digoreng siangnya bagi satu menu kenduri esok.
Saya mempelawa sekumpulan jiran wanita menjamah nasi dan lauk dari Batas Paip
itu. Semuanya sudah kekenyangan. Mujurlah tuan rumah kenduri esoknya didatangi
anak menantu yang belum makan. Ke dalam perut merekalah nasi dan lauk dari
Batas Paip ditempatkan…..
Masuk ke rumah selepas lewat malam, saya membuka laman fb.
Terpacullah foto ini:
Entah mengapa dengki pun datang. Hehehehe. Saya terus menghantar
komen:
Berbezanya
darjat depa dengan kita, Cikgu Mohd Zainon Puteh
dan Cikgu Rahim Jpsb
nooo. Depa dia bagi makan dalam
istana, siap berkipas. Ini tidak adil,tidak adil bagi kita. Kronisme di
mana-mana.... hehehehe.
Terhenti niat memulakan catatan tentang seharian itu dek meluangkan masa melayan fb....
Dua hari kemudian, setelah reda sedikit dari kenduri yang mesti dihadiri, saya menghadap komputer untuk berkisah tentang hari pertama selepas kiamat itu. Sukar rupanya untuk mencari punca bagi memulakan catatan.Saringan mesti dilakukan sebaik mungkin demi menjaga hati beberapa orang.
Dua hari kemudian, setelah reda sedikit dari kenduri yang mesti dihadiri, saya menghadap komputer untuk berkisah tentang hari pertama selepas kiamat itu. Sukar rupanya untuk mencari punca bagi memulakan catatan.Saringan mesti dilakukan sebaik mungkin demi menjaga hati beberapa orang.
Sebab itulah saya
kecewa sedikit apabila tidak dapat berjumpa dengan isteri budak Batas Paip yang
mengiringi kami sepanjang kehadiran di majlis kenduri di rumah ayahnya.
Saya berniat untuk
meminta maaf kepada isterinya itu kerana jika di dalam blog kelak, saya tidak sekalipun
menyebut nama si suami. Ini dikeranakan oleh satu kerana sahaja – ada
pembaca [terutama yang dari Kuala
Lumpur] yang menggigil marah kerana saya terlalu kerap menulis nama suaminya
itu, di dalam beberapa entri sebelum ini. Kesihatan hati pembaca blog saya perlu juga
dijaga…. Sedangkan apalah daya saya kalau sudah nama suaminya itu sinonim
dengan banyak hal – jenama kasut sekolah, model kereta, dinamakan pada satu
taman perumahan di Mergong, malah pada tahun 1998 pernah menjadi maskot Sukan
Komanwel! Hehehehe.
1 comment:
Seronoknya makan kenduri di kampung ya. Ada macam2 menu. Taklah sragam macam yg pihak caterer selalu bagi... Cipher, terima kasih. Rindu nak balik kampung nih!
Post a Comment