29 August 2013

Rahsia Gadis Bisu

Assalamualaikum..cikgu din..saya baru terbaca mengenai budak falah ni..cikgu ingat tak kat saya.saya satu kelas dgn rofidi dan mohd zairi...

Demikian yang saya jumpai di dalam kotak fb saya pada tengah hari Isnin lepas, 26 Ogos. Mesej tersebut dihantar sehari sebelumnya, tepat lagi 18 jam sebelum dijumpai...

Hanya seorang budak Falah bernama Hasmah Hassan. Orang dari daerah Baling, Kedah. Lantas segera saya balas:

salam. awat tak ingat.... seasrama dgn rohani jusoh... ada di mana la ni?

Sambil itu, saya terimanya sebagai 'kawan' seperti diminta serta mengundangnya terus ke grup fb Alumni AlFalah.

Lalu Hasmah  datang ke minda saya. Seperti kebanyakan yang lain, yang tidak lagi saya temui selepas meninggalkan AlFalah - Hasmah datang dalam seragam sekolah. Hitam manis kulitnya, sentiasa tersenyum dan lebih ramah berbanding Rohani yang juga datang ke minda  ketika itu..

Tidak lama kemudian, hampir sejam, saya mendapat jawapan mesej darinya. Banyak juga yang kami tukar sepanjang hampir setengah jam berhubung itu - kebanyakannya info tentang diri serta nombor telefon masing-masing. Namun biarlah sementara, kerana sehingga ke malamnya saya terkenang jawapan pertamanya dari balasan mesej saya di atas.......

Rohani Jusoh......

Dia datang ke AlFalah sebagai pelajar Peralihan pada tahun 1986. Bersamanya di kelas itu pada tahun tersebut - yang masih saya ingat jelas -  termasuklah Md Rautin Md Desa, Elias Hj Awang, Nasarudin Abdullah  dan Helmi Zakaria dari Kg Gajah Mati, Pendang; Khairul Anuar Abdullah dari Bukit Lada: Rohana Chik, Marina Mokhtar, Norhayati Wahab serta Roshayati Nik Abu.

Rohani mungkin datang dengan sokongan dan dokongan Junaidah Kasim, pelajar Peralihan 1983, kerana mereka dari satu daerah dan boleh jadi sekampung di Iboi- Tiak, Baling. Saya tidak sempat/pernah mendalami  hubungkait mereka.... Tahun berikutnya, barulah datang pula Hasmah Hassan ke AlFalah....

Rohani pendiam. Amat pendiam - sekurang-kurangnya dengan saya yang bertindak sebagai jurubeli barang budak asrama ketika itu. Sepatah ditanya, sebanyak itulah juga jawapan yang saya terima. Tapi senyumnya tidak pernah lekang.

Rohani tergolong dalam kumpulan pintar di kelasnya. Sentiasa berada di senarai tiga teratas. Saya mengingati itu kerana sebagai penjaga di asrama, saya akan memberikan hadiah berupa novel atau antologi cerpen kepada tiga pelajar terbaik di dalam kelas masing-masing. [Sebagai guru kelas, saya berbuat begitu juga untuk kelas saya - 3 buku untuk yang mendapat nombor satu, dua buku untuk yang mendapat nombor dua dan satu buku bagi yang berada di tempat ketiga] Bagi pelajar asrama, sesiapa yang mendapat tiga tempat tersebut, saya akan berikan jumlah buku yang sama - tidak kira di mana pun kelas mereka....

Rohani sering mendapat sekurang-kurangnya sebuah buku berdasarkan pencapaiannya.

Satu yang saya ingat ialah pada tahun 1987. Selang beberapa hari selepas keputusan peperiksaan penggal diumumkan, saya pun ke Alor Setar bagi membeli buku-buku untuk dihadiahkan kepada pelajar di kelas saya serta pelajar di asrama yang layak mendapatnya. Buku pertama yang saya pegang di Toko Buku Cahaya Baru, Pekan Rabu Alor Setar itu bertajuk Rahsia Gadis Bisu, antologi cerpen yang diselenggarakan oleh Khadijah Hashim dan arwah Othman Puteh

Sebaik saya melihat tajuknya, terus saya ternampak wajah Rohani, pelajar saya yang pendiam itu!

Malamnya, dalam upacara penyampaian hadiah untuk pelajar asrama, pada sesi akhir kelas mentelaah, saya pun mengedarkan hadiah kepada yang layak sambil diperhatikan oleh pelajar semua. Antara yang banyak [dan sering] membolot hadiah termasuklah Rafida Mohd Saad, anak saudara Elias dan Mariam Hj Awang dari Gajah Mati itu.

Sampai giliran Rohani, kerana dia mendapat tempat ketiga di dalam kelasnya,  saya unjukkan buku Rahsia Gadis Bisu kepadanya sambil menyebut kuat-kuat tajuknya. Rohani tersipu-sipu sedang para penonton tertawa atau tersenyum....

[Biasanya, mereka akan berkongsi membaca novel atau antologi cerpen sesama kawan seasrama atau rakan sekelas. Kalau di asrama, selalunya bahan bacaan itu akan terlebih dahulu dibaca oleh guru asrama puteri, Cikgu Siti Ramlah Johari].

Tidak pernah saya mendengar apa-apa komen bagi setiap buku yang saya hadiahkan sebelum itu. Namun pada satu pagi, Cikgu Ramlah memberitahu saya, bahawa amat tepat tajuk buku yang saya berikan kepada Rohani itu, bersesuaian dengan penerimanya....... Saya tersengih dan Rohani yang berada di belakang cikgunya itu ikut tersengih.

Sebetulnya, saya tidak pun tahu apa cerita di dalam antologi tersebut. Saya ingin membaca cerpen yang menjadi tajuk antologi. Tengah hari itu, saya meminta buku tersebut dari Rohani tetapi katanya seorang rakan lain telah meminjamnya.

Kemudian, dalam kesibukan dan kekalutan hidup, tidak langsung saya sempat membacanya, walaupun pada satu hari Rohani letakkan buku tersebut di atas meja saya di bilik guru dengan pesan dari saya: dua hari lagi kamu ambil balik.... Dua hari kemudian Rohani mmengambilnya tanpa mengetahui bahawa saya tidak pun menyentuh buku berkenaan.....

Saya tidak ingat sampai tahun berapa Rohani berada di AlFalah atau bila dia meninggalkan AlFalah. Tiada khabar berita tentangnya, begitu juga tentang Hasmah.

Namun wajah mereka, di dalam seragam sekolah, tetap tersimpan di memori.

Maka, apabila Hasmah bertanya: cikgu ingat tak kat saya.saya satu kelas dgn rofidi dan mohd zairi...

lantas segera saya balas:  awat tak ingat.... seasrama dgn rohani jusoh... 


Inilah jawapan pertama dari Hasmah itu:

Ye cikgu rohani jusoh 2 pupu dgn sy tp dia dah meninggal dunia.

Saya terpempan di depan monitor....... Innalillah.......

Hingga ke malamlah, kenangan tentang Rohani mengelilingi saya.......

Semoga roh Rohani [ yang kata Hasmah, meninggal lima enam tahun lalu] sentiasa dicucuri rahmat dan sentiasa diletakkan bersama roh orang yang beramal soleh. Semoga suami dan tiga anak yang tinggalkan sentiasa tabah dan selalu mendoakan kesejahteraan di alam barzakh isteri dan ibu mereka....

Tahun ini mungkin genap usianya 40 tahun, jika Rohani masih ada......

Rohani, mudanya engkau tatkala dijemput pergi........

Marilah kita hadiahkan bacaan alFatihah untuk arwah Rohani Jusoh serta semua rakan, guru dan keluarga yang telah mendahului kita....




26 August 2013

Buah Cempedak Di Dalam Besen...




Dua tiga hari setelah perjumpaan raya, saya bertemu dengan beberapa budak Falah di rumah Cikgu Non - Saiful Adly , samatuanya Azura serta anak tunggal mereka, Nasir Hassan, Sazaziz Saad, Nisah Teh dan Nik Ainiy. [Yang terakhir ini memang tidak saya kenali kerana muncul di AlFalah setelah jejak tapak kaki saya telah lama hilang dari bumi itu....]

Mereka  beraya sakan, seharian agaknya bergerak, dari rumah Cikgu Maliki di Alor Setar, ke rumah Cikgu Hj Ahmad Faisol di Sungai Yan, ke rumah Ustaz Zahari di Kota sarang Semut dan berakhir di rumah Cikgu Non di Simpang Empat. Rumah Cikgu Din? Entahlah, Google Maps yang canggun pun tidak menyimpan plan ke rumah orang tua itu apatah lagi pada atlas atau glob....

Awalnya saya hanya menghubungi Cikgu Non untuk satu hal berkaitan perjumpaan lalu, tetapi jiran saya itu menyatakan ada Saiful dan geng di rumahnya, dan menjemput saya ke situ. Sebagai orang yang tidak sangat mementingkan protokol, saya laju sahaja ke rumah Cikgu Non. Samatua pun kehairanan kerana saya baru sahaja sekitar seperempat jam masuk ke rumah.... tetapi apabila saya nyatakan destinasi, samatua hanya diam. Sudah satu setengah dekad dia tinggal sebumbung dengan saya. Bunyi seretan selipar saya pun dia sudah kenal tanpa melihat wajah.... maka dia tahu, kalau bersama Cikgu Non, lesen yang saya perolehi sentiasa amat besar...... Bukan setakat jam dua pagi, sehingga dua hari pun samatua akan izinkan....

Di rumah Cikgu Non, mereka sedang dijamu nasi. [Anak Saiful/Azura pula berkolaborasi dengan anak-anak Cikgu Non di dapur, membentuk grup lain] Sebuah bulatan besar mereka bentuk untuk menghadap lima jenis lauk. Cikgu Non menjadi peneraju utama, manakala enam budak Falah itu bersemangat menjadi pengikutnya. Cikgu Non suap, mereka suap. Cikgu Non kunyah, mereka ikut kunyah. Cikgu Non mengajak saya makan bersama, mereka pun ikut mengajak saya makan bersama.... Cikgu Non berkala 'laaaa...maila' apabila saya menolak pelawaan, lebih separuh dari mereka juga berkata 'laaaa...maila'....

Saya bersandar di sofa solo berdekatan pintu utama, melihat kelaku mereka. Saya sempat diperkenalkan dengan Nik Ainiy. Hanya setahun dia di AlFalah, menghadapi SPM 2001, kalau tidak salah. Sambil itu di luar bulatan yang mereka bentuk itu ada emak samatua Cikgu Non serta abang iparnya. Berbual sekali sekala dengan abang ipar Cikgu Non itu, saya selangi bersembang dengan lima budak Falah tersebut. Nik Ainiy yang bersimpuh membelakangkan saya hanya bersuara apabila ada soalan dikhususkan kepadanya. Mungkin kekok kerana tidak mengenali saya langsung. Pada perjumpaan raya pun dia tidak ikut serta. Kalau ada tentulah 48 jam lebih awal dia kenal saya....

Topik perbualan yang utama pastilah perjumpaan raya tersebut. Saya hanya mahu mendapat maklumbalas bagi mengesyorkan penambahbaikan yang perlu jika ada lagi majlis seumpamanya pada Syawal berikutnya...

Selesai makan, kami terus berbual. Sementara di dapur sedang disediakan satu menu lain - pulut lemak bersama buah cempedak.....

Beberapa kali khabarnya ada isyarat dari sesama mereka untuk beredar. Tapi Cikgu Non serta emak mertuanya masih menahan mereka agar menikmati pula pulut yang bakal siap digauli santan beberapa minit lagi.

"Tak boleh pi dah......" kata Nasir.

"Kenyang dah ni...." kata Sazaziz.

"Nak bubuh tang mana lagi ni...." kata seorang yang lain.

Mafhumnya, semuanya bersepakat mengatakan sudah amat kekenyangan. Yang ada di mata mereka agaknya bantal di rumah masing-masing.

Cikgu Non meletakkan sebesen ulas buah cempedak di tengah ruang tamu - tepatnya di tempat terhidangnya lauk dan nasi sebelum ini.Nasir mengeluh. Sazaziz melenguh. Saiful mengaduh. Samatuanya tersengih.... Nisah Teh dan Nik Ainiy tidak sempat dirakam aksi mereka....

Sambil itu Cikgu Non membawa masuk buah rambutan segugus dari luar rumahnya - diambil di dalam bonet kereta. Tidak lama rambutan itu diperagakan, kerana atas perintah ketua kumpulan semut hitam yang menghurungnya, Cikgu Non terpaksa mengeluarkan dari situ gugusan rambutan tersebut...

Sebentar kemudian, pulut bergaul santan pula dikeluarkan. Diiringi setengah dozen pinggan.Nasir mengeluh. Sazaziz melenguh. Saiful mengaduh. Samatuanya tersengih.... Nisah Teh dan Nik Ainiy tidak sempat dirakam aksi mereka....

Cikgu Non mempelawa para tetamu sama sebaya itu. Nasir menepuk perut. Sazaziz meraba kerongkong. Saiful meraba poket. Tiga yang lain hanya berpadu suara menyatakan sedang kekenyangan....

"Tak peraya dah cikgu..." kata beberapa orang.

Cikgu Non terus mempelawa. Emak mertuanya juga begitu. Abang ipar serta sama tua Cikgu Non pun. Saya yang tidak kena mengena di dalam kes ini pun ikut mempelawa mereka.....

Tapi memang mereka terlalu kekenyangan. Mereka menolak pelawaan tersebut. Kalaulah pada zaman di Alfalah dulu, agaknya keenam-enam orang itu silap-silap kena berjemur di luar kelas atau kena ketuk-ketampi.....atas kesalahan mengengkari arahan Cikgu Non....

Cerita mahu dipendekkan.

Mereka semua meminta dilepaskan untuk pulang. Terpaksalah cikgu mereka itu lepaskan....

Selepas mereka beredar, saya dan Cikgu Non masuk semula ke dalam rumahnya. Bersama abangnya yang dari Key El serta abang iparnya, kami menghadap besen berisi ulas cempedak dwi warna itu - kuning dan perang. Kami menjeling pulut bersaluit santan. Tidak lama jelingan itu, kerana sesaat dua kemudian pulut telah dimasukkan ke dalam pinggan.

Kemudian kami capai seulas cempedak. Dilenyek hingga terpacul bijinya yang kami letakkan kedalam satu besen kosong. Bersama isi cempedak tanpa biji, pulut tadi kami hantar ke mulut masing-masing, berlaku kunyahan yang tidak pula lama kerana proses peristalsis pula sedang menunggu di dalam kerongkong.... Perbuatan itu berulang berkali-kali. Setiap suapan pasti berisi seulas cemmpedak serta sejemput pulut. Bagi mencantikkan kedudukan warna di dalam usus, kami selangselikan ulas cempedak itu- sekali warna kuning, kali berikutnya warna perang.....

Bagi memotivasikan diri, saya berkata bahawa mereka yang baru pulang tadi sebenarnya tidak tahu cara memakan pulut cempedak.... Maka makin lajulah suapan kami bagi membuktikan bahawa kami memang pakar dalam bab makan itu....

Kunyahan demi kunyahan, tangan kami kadangkala berlaga ketika serentak menggagau ulas cempedak di dalam besen, dirancakkan lagi dengan kemunculan tangan-tangan kecil anak-anak Cikgu Non mengambil sama ulas cempedak untuk diratah, menjadikan satu panorama yang cukup mengasyikkan.

Keasyikan itulah membuatkan besen berisi ulas cempedak tadi tiba-tiba disedari telah berkurang isinya secara mendadak.......
6 dari wajah ini ada pada malam tersebut....

Malam itu, atau awal pagi itu, saya terlena kekenyangan pulut dan cempedak. Hairan agaknya samatua melihat meja makan di rumahnya tidak terusik langsung sedangkan saya bukannnya keluar makan dengan Cikgu Non seperti selalu. Biarlah. Nanti kalau dibacanya entri ini diua akan tahu.....

Tapi ada satu kehairanan lain kepada saya. Masa makan nasi bersama enam budak Falah, Cikgu Non makan sama banyak atau mungkin lebih daripada mereka. Semasa makan pulut bersama saya dan abang serta abang iparnya, prestasi makannya tidak pula kalah dengan kami. Di bahagian manakah agaknya disimpan keupayaan sehebat itu?


Nota kaki:
Nasir, Sazaziz dan Saiful memberitahu [pada pertemuan di Batas Paip pada 24/8/13], pulut dan buah cempedak itu memang kegemaran mereka tetapi pada malam tersebut memang tahap kekenyangan mereka berada di peringkat optimum........

21 August 2013

Gelombang


Khusus buat bekas penuntut AlFalah yang telah lama tidak menjejakkan kaki ke zon itu. Semoga kudup kenangan kembali berkembang....

Inilah AlFalah yang pernah kita mesrai.

Inilah AlFalah yang pernah kita takluki.

Inilah AlFalah itu.

Semoga kerinduan anda terubat. Semoga ia boleh ditunjukkan kepada anak-anak tempat ayah ibunya pernah berseloka bersekolah.

Inilah AlFalah yang kini cukup terkenal di seluruh negara, tetapi dengan kegiatan dan atas nama yang berbeza amat dengan sewaktu kita di situ dahulu......

20 August 2013

"Jangan PORA-PORA Tak Kenai Cikgu...."


Pak Ku Shadat telah meninggal dunia empat lima tahun yang lalu. Seniman rakyat dari Kedah ini cukup terkenal dengan lagu-lagu selamba namun berselit humor yang kadangkala 'memukul' pendengarnya.

Dengan iringan gendang dan gong serta sedikit serunai, dia akan melagukan pelbagai rentak, termasuk saduran dari lagu-lagu Arab dan Hindi. Malah lagu melayu juga diubah senikatanya mengikut kesesuaian persekitaran...

Secara peribadi, saya pernah bertemunya dua kali. Satu, tatkala menziarahi kematian saudara di kampung kelahiran Rozita binti Adil Bakeri yang sekarang menggunakan nama bergelar, Sultanah Nur Zahirah, Raja Permaisuri Agong ketigabelas.

Dua, ketika beliau melawat anaknya di Kubor Panjang, Pendang. Kebetulan rumah anaknya, Abdul Halim, berjiran dengan kampung tinggalan ayah samatua saya.

Dalam dua pertemuan itu teserlah kesenimanan Pak Ku Shadat. Cakapnya bagai berseloka, penuh susunan bunga bahasa, meski perbualan hanyalah tentang hal-hal biasa. Pada pertemuan kedua itu, dalam mesra dengan humornya, dia sempat bercerita tentang perjalanan seninya yang membawa dia dan kumpulan pengiringnya hingga ke luar negara, mempromosikan Malaysia.

Lagu yang kedengaran 'mudah'itu rupa-rupanya telah berkumandang di beberapa negara Eropah dan Asia!

Lagu paling popularnya tentulah Vespa Haji Samad:

Halum mu halum vespa Hj Samad
tayarnya licin macam piring air hangat
start tak jalan dia pun naik hangat
lalu dijual kepada Tok Saad....

Lagu lain yang selalu dipersembahkannya [termasuk dirakamkannya] adalah Kasut [tentang kasut yang selalu hilang di rumah kenduri], Baja Subsidi, Cerita JPJ, Proton Saga, Petani Moden, Pak Man Telo dan Kisah Penjajahan Jepun.

Lihatlah lirik awal Cerita JPJ yang ada juga unsur sejarah:

Tahun 1977 mula la ada
Siapa naik moto kena pakai topi keladar
Tak kira Melayu, Siam, Cina dan India
Masa belaga moto tak boleh pecah kapala

.............

............

Disambungnya pulak tali pinggang kereta

Tahun 79 dia kuat kuasa
Bila naik keta kena tambat di dada
Masa keta belaga tidak jadi bahaya

Untuk anda, budak Falah, saya persembahkan lagu Tentang Sekolah Hari ini, siap dengan tajuk dalam bahasa Inggeris pada kulit kasetnya.... Satu  lagi klip yang sepatutnya ditayangkan pada petang 11 Ogos 2013.....

16 August 2013

Rakaman Semula [Dengan Sedikit Pengubahan Lirik]...




Seperti tahun lalu,saya menerima beberapa panggilan dari beberapa bekas pelajar AlFalah, berselang dengan pertukaran teks ringkas. Selain berkisah berkisar tentang anak-anak dan pasangan, mereka bertanya seputar majlis sambutan hari raya pada 11 Ogos lalu.Terima kasih kepada pengedar nomborhape{slanga jiran seberang}saya.[Kerana sama dengan tahun lalu, maka saya ambil catatan tahun lalu dan dibawa ke tahun ini, dengan sedikit pengubahsuaian foto dan nama....Eleh, lagu pun ada yang digubah semula dengan pengubahan lirik juga....Tiadapun yang menyaman...]

Setepat mungkin saya ceritakan tentang majlis itu - sejarah dan inisiatif  yang diambil, persiapan awal serta cabaran, perjalanan  dan suasana majlis. Bagaimanapun pendek-panjang cerita itu bergantung kepada nilai kredit yang diizinkan oleh syarikat telco mereka.......

Kebanyakannya melahirkan rasa kesal kerana ketika perjumpaan itu berlangsung, mereka baru memasuki hari pertama bekerja setelah beberapa hari bercuti raya. Memikirkan hal inilah ada cadangan agar perjumpaan tahun hadapan diawalkan, sekitar dalam tempoh cuti yang ada... Kalau ikutkan saya, hari raya pertama lagi patut diadakan - tapi tolonglah jangan ikutkan saya .....

Ada satu soalan popular dari mereka: Pelajar dari batch tahun itu-ini ada atau tidak?. Kerana ini bukan perhimpunan mingguan sekolah di mana para pelajar beratur mengikut kelas, tidaklah dapat saya menjawab secara tepat........Penyelesaian mudahnya: Tahun hadapan, datanglah, nescaya anda akan dapati sekurang-kurangnya seorang pelajar dari batch anda akan ada......Pasti!



Cerita salah seorang dari mereka cukup menyentuh, lalu memberi bahan untuk catatan ini. Dia ingin turut serta pada petang Ahad 4 Syawal itu. Namun, sebagai isteri yang baik, dia terpaksa melupakan saja keinginan tersebut, meski jarak antara rumah dan dewan yang disewa tidak pun lebih daripada 3km. Suaminya bukan setakat tidak mahu ikut malah tidak pula mengizinkan dia pergi bersama anak-anak. Alasannya? Biarlah. Itu tidak lagi mustahak. Tekalah atau ciptalah apa saja, andai kita berada di tempat suaminya........

Cerita biasa itu menimbulkan keinsafan diri ini. Maafkan saya wahai suami dan isteri kepada bekas budak Falah! Saya terlupa untuk mengucapkan terima kasih atas kesudian anda mengizinkan suami atau isteri memeriahkan majlis petang itu. Berganda pula terima kasih kepada suami atau isteri yang ikut serta sebagai pasangan kepada budak Falah itu. Tanpa sokongan dan restu anda, Dewan Awam Taman Bersatu petang itu tentulah hambar dan hampa....

Di sebalik kejayaan sesuatu pasti ada sesuatu yang menjadi pendorong ....



Demikianlah juga dengan kejayaan - kalau boleh, dan harap bolehlah dikatakan begitu - majlis tersebut.

Ketika kita bercerita tentang semua petugas cemerlang yang memungkinkan majlis itu lancar, kita berterimakasih kepada mereka, termasuk yang di dalam kumpulan wira/wirawati yang tidak didendang.

Rupanya senarai wira/wirawati tidak didendang itu tentulah lebih panjang, mengambil kira suami atau isteri mereka.

Bukan semua yang mahu atau berpeluang untuk mengerah tenaga dan keringat demi menjayakan majlis. Maka tanpa sokongan dan restu pasangan, setinggi mana pun semangat seseorang itu, tidak akan ke mana halanya. Jadi sewajarnyalah pemberi restu dan sokongan dari belakang itu dihargai.

Meski ada 'sama tua'' yang tidak datang, kerana komitmen yang berbeza, pada musim perayaan pula, ucapan penghargaan dan rasa terima kasih ini tidak berkurang terhadap mereka.

Maliana
[Sama Tua adalah satu istilah yang digunakan oleh orang dulu-dulu bagi maksud pasangan suami isteri - satu jawaban khusus untuk Maliana Md Fazi, yang bertanyakan tentang isilah tersebut


Sekadar selitan, izinkan saya menyebut beberapa nama - bukan bererti nama yang tidak disebut terluak pula nilai sumbangan mereka....

Bagaimana kalau Awie Siti, yang keletihan menguruskan perniagaan yang mencanak naik, dinasihatkan isterinya agar membatalkan sahaja niatnya untuk meraikan majlis? 

Bagaimana mungkin Datuk Seri AMan Jaya dapat hadir pada petang itu tanpa sokongan isterinya? Bagaimana kalau bermula pada tengah hari itu, isterinya merancang awal untuk beraya di rumah sepupu kepada adik angkat kepada bakal besan kepada abang kepada guru tadika anaknya yang mengadakan rumah terbuka? Namun mereka datang bersama anak, siap dengan kamera besar.... 


Hamzah Casablanca
Bagaimana Hamzah Casablanca atau Fahrulruzi atau Saiful Adly akan dapat datang awal menyertai rakan lain menyediakan dewan, jika tanpa restu isteri masing-masing. Bagaimana kalau para isteri merancang mengajak sang suami beraya di rumah sepupu kepada adik ipar kepada mertua kepada guru darjah enam mereka pada pagi itu? Segala-galanya boleh diatur kalau si isteri mahu! Tetapi tengah harinya, bersiap awal mereka dan keluarga untuk hadir ke dewan bagi menyambut tetamu dan menyelaraskan apa yang patut - misalnya membetulkan kedudukan kipas angin....

Syarifah dan suami serta anak
Bagaimana kalau Cikgu Khalid, meminta agar isterinya tinggal di rumah menyediakan hidangan untuk rakannya yang mungkin bertandang? Dia boleh saja begitu tetapi sebaliknya dia sendiri ikut menyertai majlis, sambil membantu bergilir mendukung anak tunggal hasil perkahwinan mereka - memungkinkan terjadi pertemuan semula isterinya, Syarifah Maryani Syed Omar dengan  Ustaz Md Daud Daie.....

Norrezini Nayan juga berpeluang untuk bertemu ustaz kesayangannya itu, setelah meninggalkan majlis lain. Dia boleh untuk tidak datang dengan mengemukakan satu alasan mudah tetapi tidak berbuat begitu. Pasti dia rasa berbaloi dengan kedatangan pada petang itu setelah memperoleh izin suaminya..



Mariam dan anak
Demikian juga, dengan Mariam Ismail. Tahun ini dia, yang berabak kecil, berseorangan menyediakan kuah serta laksa. Dalam keadaan terdesak pada pagi hari kemuncak,sebetulnya 3 jam sebelum waktu dijadualkan, dia diminta menggoreng ayam yang kali ini tidak sempat disediakan siap oleh penyumbangnya, Reny - tauke Ayam Goreng Reny - seperti tahun lalu.Tanpa izin serta kerjasama sama tuanya  Zulkifli Shamsuddin tidak tahulah bagaimana cacamerbanya majlis....Komitmen mereka, ulangan tahun-tahun lalu sebenarnya, terhadap majlis ini, rasanya tidak mudah dapat ditiru oleh mana-mana pasangan seperti mereka. Keizinan dan restu mungkin nampak mudah, tetapi kepada hanya yang berpeluang serta mahu.....


Ly Aruzaly
Demikian pulalah kesungguhan Ly Aruzaly membantu memastikan setiap ruang dewan kemas dan tersedia dari awal kedatangannya sehingga dapat diserahkan seperti asal kepada pihak pengurusan premis pada penghujung petang. Meski bukan warga sebenar AlFalah, kerana sama tuanya pernah singgah seketika di situ, cukuplah untuknya memenuhi syarat bagi menyumbangkan tenaga, bersekali dengan anak-anak serta iparnya! Kalau mahu, beliau boleh memilih untuk bersantai di rumah mertua, membiarkan si isteri sahaja berjumpa dan melayan tetamu majlis.....

O T A I
Tidak lupa juga kepada semua bekas pelajar dan guru yang mengetepikan tuntutan urusan raya lain pada waktu tersebut, membulatkan tekad untuk hadir. Ramai ahli pengurusan majlis yang mengaku terharu menerima kunjungan dan mendapat ucapan tahniah dari para otai AlFalah,terutamanya kehadiran dari jauh Pawang Nujum. Sofiahmad Din, Ashadi Ibrahim, Rafidi Romli, Suwita Don, Rohimi Md Isa - kebanyakannya bersama isteri dan anak-anak.Sekali lagi bukan semua yang berpeluang dan mahu.....
Cikgu Hasnah/Khadijah



Begitu pula dengan kemunculan pertama kali Cikgu Hasnah Zaini Hj Nawawi, Ustaz Md Daud Daie serta kedatangan kali kedua Ustaz Hj Ahmad Fairose Hj Azizan bersama isteri dan anak-anak. Cikgu Khadijah serta anaknya juga hadir buat kali kedua - mengetepikan sementara beberapa kenduri....

Kepada sesiapa juga yang pasangannya adalah bekas Budak Falah, terimalah hakikat - mereka tidak akan terhenti setakat 11 Ogos lalu..... Sokongan dan restu serta izin anda akan terus ditagih.

Demikianlah rayauan fikiran tatkala mendengar keluhan seorang bekas pelajar yang tidak berkesempatan untuk menyertai majlis pada tahun ini. Mungkin peluang itu akan muncul pada tahun berikutnya. Insya Allah.

Jumpa lagi.....