Dua tiga hari setelah perjumpaan raya, saya bertemu dengan beberapa budak Falah di rumah Cikgu Non - Saiful Adly , samatuanya Azura serta anak tunggal mereka, Nasir Hassan, Sazaziz Saad, Nisah Teh dan Nik Ainiy. [Yang terakhir ini memang tidak saya kenali kerana muncul di AlFalah setelah jejak tapak kaki saya telah lama hilang dari bumi itu....]
Mereka beraya sakan, seharian agaknya bergerak, dari rumah Cikgu Maliki di Alor Setar, ke rumah Cikgu Hj Ahmad Faisol di Sungai Yan, ke rumah Ustaz Zahari di Kota sarang Semut dan berakhir di rumah Cikgu Non di Simpang Empat. Rumah Cikgu Din? Entahlah, Google Maps yang canggun pun tidak menyimpan plan ke rumah orang tua itu apatah lagi pada atlas atau glob....
Awalnya saya hanya menghubungi Cikgu Non untuk satu hal berkaitan perjumpaan lalu, tetapi jiran saya itu menyatakan ada Saiful dan geng di rumahnya, dan menjemput saya ke situ. Sebagai orang yang tidak sangat mementingkan protokol, saya laju sahaja ke rumah Cikgu Non. Samatua pun kehairanan kerana saya baru sahaja sekitar seperempat jam masuk ke rumah.... tetapi apabila saya nyatakan destinasi, samatua hanya diam. Sudah satu setengah dekad dia tinggal sebumbung dengan saya. Bunyi seretan selipar saya pun dia sudah kenal tanpa melihat wajah.... maka dia tahu, kalau bersama Cikgu Non, lesen yang saya perolehi sentiasa amat besar...... Bukan setakat jam dua pagi, sehingga dua hari pun samatua akan izinkan....
Di rumah Cikgu Non, mereka sedang dijamu nasi. [Anak Saiful/Azura pula berkolaborasi dengan anak-anak Cikgu Non di dapur, membentuk grup lain] Sebuah bulatan besar mereka bentuk untuk menghadap lima jenis lauk. Cikgu Non menjadi peneraju utama, manakala enam budak Falah itu bersemangat menjadi pengikutnya. Cikgu Non suap, mereka suap. Cikgu Non kunyah, mereka ikut kunyah. Cikgu Non mengajak saya makan bersama, mereka pun ikut mengajak saya makan bersama.... Cikgu Non berkala 'laaaa...maila' apabila saya menolak pelawaan, lebih separuh dari mereka juga berkata 'laaaa...maila'....
Saya bersandar di sofa solo berdekatan pintu utama, melihat kelaku mereka. Saya sempat diperkenalkan dengan Nik Ainiy. Hanya setahun dia di AlFalah, menghadapi SPM 2001, kalau tidak salah. Sambil itu di luar bulatan yang mereka bentuk itu ada emak samatua Cikgu Non serta abang iparnya. Berbual sekali sekala dengan abang ipar Cikgu Non itu, saya selangi bersembang dengan lima budak Falah tersebut. Nik Ainiy yang bersimpuh membelakangkan saya hanya bersuara apabila ada soalan dikhususkan kepadanya. Mungkin kekok kerana tidak mengenali saya langsung. Pada perjumpaan raya pun dia tidak ikut serta. Kalau ada tentulah 48 jam lebih awal dia kenal saya....
Topik perbualan yang utama pastilah perjumpaan raya tersebut. Saya hanya mahu mendapat maklumbalas bagi mengesyorkan penambahbaikan yang perlu jika ada lagi majlis seumpamanya pada Syawal berikutnya...
Selesai makan, kami terus berbual. Sementara di dapur sedang disediakan satu menu lain - pulut lemak bersama buah cempedak.....
Beberapa kali khabarnya ada isyarat dari sesama mereka untuk beredar. Tapi Cikgu Non serta emak mertuanya masih menahan mereka agar menikmati pula pulut yang bakal siap digauli santan beberapa minit lagi.
"Tak boleh pi dah......" kata Nasir.
"Kenyang dah ni...." kata Sazaziz.
"Nak bubuh tang mana lagi ni...." kata seorang yang lain.
Mafhumnya, semuanya bersepakat mengatakan sudah amat kekenyangan. Yang ada di mata mereka agaknya bantal di rumah masing-masing.
Cikgu Non meletakkan sebesen ulas buah cempedak di tengah ruang tamu - tepatnya di tempat terhidangnya lauk dan nasi sebelum ini.Nasir mengeluh. Sazaziz melenguh. Saiful mengaduh. Samatuanya tersengih.... Nisah Teh dan Nik Ainiy tidak sempat dirakam aksi mereka....
Sambil itu Cikgu Non membawa masuk buah rambutan segugus dari luar rumahnya - diambil di dalam bonet kereta. Tidak lama rambutan itu diperagakan, kerana atas perintah ketua kumpulan semut hitam yang menghurungnya, Cikgu Non terpaksa mengeluarkan dari situ gugusan rambutan tersebut...
Sebentar kemudian, pulut bergaul santan pula dikeluarkan. Diiringi setengah dozen pinggan.Nasir mengeluh. Sazaziz melenguh. Saiful mengaduh. Samatuanya tersengih.... Nisah Teh dan Nik Ainiy tidak sempat dirakam aksi mereka....
Cikgu Non mempelawa para tetamu sama sebaya itu. Nasir menepuk perut. Sazaziz meraba kerongkong. Saiful meraba poket. Tiga yang lain hanya berpadu suara menyatakan sedang kekenyangan....
"Tak peraya dah cikgu..." kata beberapa orang.
Cikgu Non terus mempelawa. Emak mertuanya juga begitu. Abang ipar serta sama tua Cikgu Non pun. Saya yang tidak kena mengena di dalam kes ini pun ikut mempelawa mereka.....
Tapi memang mereka terlalu kekenyangan. Mereka menolak pelawaan tersebut. Kalaulah pada zaman di Alfalah dulu, agaknya keenam-enam orang itu silap-silap kena berjemur di luar kelas atau kena ketuk-ketampi.....atas kesalahan mengengkari arahan Cikgu Non....
Cerita mahu dipendekkan.
Mereka semua meminta dilepaskan untuk pulang. Terpaksalah cikgu mereka itu lepaskan....
Selepas mereka beredar, saya dan Cikgu Non masuk semula ke dalam rumahnya. Bersama abangnya yang dari Key El serta abang iparnya, kami menghadap besen berisi ulas cempedak dwi warna itu - kuning dan perang. Kami menjeling pulut bersaluit santan. Tidak lama jelingan itu, kerana sesaat dua kemudian pulut telah dimasukkan ke dalam pinggan.
Kemudian kami capai seulas cempedak. Dilenyek hingga terpacul bijinya yang kami letakkan kedalam satu besen kosong. Bersama isi cempedak tanpa biji, pulut tadi kami hantar ke mulut masing-masing, berlaku kunyahan yang tidak pula lama kerana proses peristalsis pula sedang menunggu di dalam kerongkong.... Perbuatan itu berulang berkali-kali. Setiap suapan pasti berisi seulas cemmpedak serta sejemput pulut. Bagi mencantikkan kedudukan warna di dalam usus, kami selangselikan ulas cempedak itu- sekali warna kuning, kali berikutnya warna perang.....
Bagi memotivasikan diri, saya berkata bahawa mereka yang baru pulang tadi sebenarnya tidak tahu cara memakan pulut cempedak.... Maka makin lajulah suapan kami bagi membuktikan bahawa kami memang pakar dalam bab makan itu....
Kunyahan demi kunyahan, tangan kami kadangkala berlaga ketika serentak menggagau ulas cempedak di dalam besen, dirancakkan lagi dengan kemunculan tangan-tangan kecil anak-anak Cikgu Non mengambil sama ulas cempedak untuk diratah, menjadikan satu panorama yang cukup mengasyikkan.
Keasyikan itulah membuatkan besen berisi ulas cempedak tadi tiba-tiba disedari telah berkurang isinya secara mendadak.......
6 dari wajah ini ada pada malam tersebut.... |
Malam itu, atau awal pagi itu, saya terlena kekenyangan pulut dan cempedak. Hairan agaknya samatua melihat meja makan di rumahnya tidak terusik langsung sedangkan saya bukannnya keluar makan dengan Cikgu Non seperti selalu. Biarlah. Nanti kalau dibacanya entri ini diua akan tahu.....
Tapi ada satu kehairanan lain kepada saya. Masa makan nasi bersama enam budak Falah, Cikgu Non makan sama banyak atau mungkin lebih daripada mereka. Semasa makan pulut bersama saya dan abang serta abang iparnya, prestasi makannya tidak pula kalah dengan kami. Di bahagian manakah agaknya disimpan keupayaan sehebat itu?
Nota kaki:
Nasir, Sazaziz dan Saiful memberitahu [pada pertemuan di Batas Paip pada 24/8/13], pulut dan buah cempedak itu memang kegemaran mereka tetapi pada malam tersebut memang tahap kekenyangan mereka berada di peringkat optimum........
No comments:
Post a Comment