20 August 2013

"Jangan PORA-PORA Tak Kenai Cikgu...."


Pak Ku Shadat telah meninggal dunia empat lima tahun yang lalu. Seniman rakyat dari Kedah ini cukup terkenal dengan lagu-lagu selamba namun berselit humor yang kadangkala 'memukul' pendengarnya.

Dengan iringan gendang dan gong serta sedikit serunai, dia akan melagukan pelbagai rentak, termasuk saduran dari lagu-lagu Arab dan Hindi. Malah lagu melayu juga diubah senikatanya mengikut kesesuaian persekitaran...

Secara peribadi, saya pernah bertemunya dua kali. Satu, tatkala menziarahi kematian saudara di kampung kelahiran Rozita binti Adil Bakeri yang sekarang menggunakan nama bergelar, Sultanah Nur Zahirah, Raja Permaisuri Agong ketigabelas.

Dua, ketika beliau melawat anaknya di Kubor Panjang, Pendang. Kebetulan rumah anaknya, Abdul Halim, berjiran dengan kampung tinggalan ayah samatua saya.

Dalam dua pertemuan itu teserlah kesenimanan Pak Ku Shadat. Cakapnya bagai berseloka, penuh susunan bunga bahasa, meski perbualan hanyalah tentang hal-hal biasa. Pada pertemuan kedua itu, dalam mesra dengan humornya, dia sempat bercerita tentang perjalanan seninya yang membawa dia dan kumpulan pengiringnya hingga ke luar negara, mempromosikan Malaysia.

Lagu yang kedengaran 'mudah'itu rupa-rupanya telah berkumandang di beberapa negara Eropah dan Asia!

Lagu paling popularnya tentulah Vespa Haji Samad:

Halum mu halum vespa Hj Samad
tayarnya licin macam piring air hangat
start tak jalan dia pun naik hangat
lalu dijual kepada Tok Saad....

Lagu lain yang selalu dipersembahkannya [termasuk dirakamkannya] adalah Kasut [tentang kasut yang selalu hilang di rumah kenduri], Baja Subsidi, Cerita JPJ, Proton Saga, Petani Moden, Pak Man Telo dan Kisah Penjajahan Jepun.

Lihatlah lirik awal Cerita JPJ yang ada juga unsur sejarah:

Tahun 1977 mula la ada
Siapa naik moto kena pakai topi keladar
Tak kira Melayu, Siam, Cina dan India
Masa belaga moto tak boleh pecah kapala

.............

............

Disambungnya pulak tali pinggang kereta

Tahun 79 dia kuat kuasa
Bila naik keta kena tambat di dada
Masa keta belaga tidak jadi bahaya

Untuk anda, budak Falah, saya persembahkan lagu Tentang Sekolah Hari ini, siap dengan tajuk dalam bahasa Inggeris pada kulit kasetnya.... Satu  lagi klip yang sepatutnya ditayangkan pada petang 11 Ogos 2013.....

No comments: