Assalamualaikum..cikgu din..saya baru terbaca
mengenai budak falah ni..cikgu ingat tak kat saya.saya satu kelas dgn
rofidi dan mohd zairi...
Demikian yang saya jumpai di dalam kotak fb saya pada tengah hari Isnin lepas, 26 Ogos. Mesej tersebut dihantar sehari sebelumnya, tepat lagi 18 jam sebelum dijumpai...
Hanya seorang budak Falah bernama Hasmah Hassan. Orang dari daerah Baling, Kedah. Lantas segera saya balas:
salam. awat tak ingat.... seasrama dgn rohani jusoh... ada di mana la ni?
Sambil itu, saya terimanya sebagai 'kawan' seperti diminta serta mengundangnya terus ke grup fb Alumni AlFalah.
Lalu Hasmah datang ke minda saya. Seperti kebanyakan yang lain, yang tidak lagi saya temui selepas meninggalkan AlFalah - Hasmah datang dalam seragam sekolah. Hitam manis kulitnya, sentiasa tersenyum dan lebih ramah berbanding Rohani yang juga datang ke minda ketika itu..
Tidak lama kemudian, hampir sejam, saya mendapat jawapan mesej darinya. Banyak juga yang kami tukar sepanjang hampir setengah jam berhubung itu - kebanyakannya info tentang diri serta nombor telefon masing-masing. Namun biarlah sementara, kerana sehingga ke malamnya saya terkenang jawapan pertamanya dari balasan mesej saya di atas.......
Rohani Jusoh......
Dia datang ke AlFalah sebagai pelajar Peralihan pada tahun 1986. Bersamanya di kelas itu pada tahun tersebut - yang masih saya ingat jelas - termasuklah Md Rautin Md Desa, Elias Hj Awang, Nasarudin Abdullah dan Helmi Zakaria dari Kg Gajah Mati, Pendang; Khairul Anuar Abdullah dari Bukit Lada: Rohana Chik, Marina Mokhtar, Norhayati Wahab serta Roshayati Nik Abu.
Rohani mungkin datang dengan sokongan dan dokongan Junaidah Kasim, pelajar Peralihan 1983, kerana mereka dari satu daerah dan boleh jadi sekampung di Iboi- Tiak, Baling. Saya tidak sempat/pernah mendalami hubungkait mereka.... Tahun berikutnya, barulah datang pula Hasmah Hassan ke AlFalah....
Rohani pendiam. Amat pendiam - sekurang-kurangnya dengan saya yang bertindak sebagai jurubeli barang budak asrama ketika itu. Sepatah ditanya, sebanyak itulah juga jawapan yang saya terima. Tapi senyumnya tidak pernah lekang.
Rohani tergolong dalam kumpulan pintar di kelasnya. Sentiasa berada di senarai tiga teratas. Saya mengingati itu kerana sebagai penjaga di asrama, saya akan memberikan hadiah berupa novel atau antologi cerpen kepada tiga pelajar terbaik di dalam kelas masing-masing. [Sebagai guru kelas, saya berbuat begitu juga untuk kelas saya - 3 buku untuk yang mendapat nombor satu, dua buku untuk yang mendapat nombor dua dan satu buku bagi yang berada di tempat ketiga] Bagi pelajar asrama, sesiapa yang mendapat tiga tempat tersebut, saya akan berikan jumlah buku yang sama - tidak kira di mana pun kelas mereka....
Rohani sering mendapat sekurang-kurangnya sebuah buku berdasarkan pencapaiannya.
Satu yang saya ingat ialah pada tahun 1987. Selang beberapa hari selepas keputusan peperiksaan penggal diumumkan, saya pun ke Alor Setar bagi membeli buku-buku untuk dihadiahkan kepada pelajar di kelas saya serta pelajar di asrama yang layak mendapatnya. Buku pertama yang saya pegang di Toko Buku Cahaya Baru, Pekan Rabu Alor Setar itu bertajuk Rahsia Gadis Bisu, antologi cerpen yang diselenggarakan oleh Khadijah Hashim dan arwah Othman Puteh.
Sebaik saya melihat tajuknya, terus saya ternampak wajah Rohani, pelajar saya yang pendiam itu!
Malamnya, dalam upacara penyampaian hadiah untuk pelajar asrama, pada sesi akhir kelas mentelaah, saya pun mengedarkan hadiah kepada yang layak sambil diperhatikan oleh pelajar semua. Antara yang banyak [dan sering] membolot hadiah termasuklah Rafida Mohd Saad, anak saudara Elias dan Mariam Hj Awang dari Gajah Mati itu.
Sampai giliran Rohani, kerana dia mendapat tempat ketiga di dalam kelasnya, saya unjukkan buku Rahsia Gadis Bisu kepadanya sambil menyebut kuat-kuat tajuknya. Rohani tersipu-sipu sedang para penonton tertawa atau tersenyum....
[Biasanya, mereka akan berkongsi membaca novel atau antologi cerpen sesama kawan seasrama atau rakan sekelas. Kalau di asrama, selalunya bahan bacaan itu akan terlebih dahulu dibaca oleh guru asrama puteri, Cikgu Siti Ramlah Johari].
Tidak pernah saya mendengar apa-apa komen bagi setiap buku yang saya hadiahkan sebelum itu. Namun pada satu pagi, Cikgu Ramlah memberitahu saya, bahawa amat tepat tajuk buku yang saya berikan kepada Rohani itu, bersesuaian dengan penerimanya....... Saya tersengih dan Rohani yang berada di belakang cikgunya itu ikut tersengih.
Sebetulnya, saya tidak pun tahu apa cerita di dalam antologi tersebut. Saya ingin membaca cerpen yang menjadi tajuk antologi. Tengah hari itu, saya meminta buku tersebut dari Rohani tetapi katanya seorang rakan lain telah meminjamnya.
Kemudian, dalam kesibukan dan kekalutan hidup, tidak langsung saya sempat membacanya, walaupun pada satu hari Rohani letakkan buku tersebut di atas meja saya di bilik guru dengan pesan dari saya: dua hari lagi kamu ambil balik.... Dua hari kemudian Rohani mmengambilnya tanpa mengetahui bahawa saya tidak pun menyentuh buku berkenaan.....
Saya tidak ingat sampai tahun berapa Rohani berada di AlFalah atau bila dia meninggalkan AlFalah. Tiada khabar berita tentangnya, begitu juga tentang Hasmah.
Namun wajah mereka, di dalam seragam sekolah, tetap tersimpan di memori.
Maka, apabila Hasmah bertanya: cikgu ingat tak kat saya.saya satu kelas dgn
rofidi dan mohd zairi...
lantas segera saya balas: awat tak ingat.... seasrama dgn rohani jusoh...
Inilah jawapan pertama dari Hasmah itu:
Ye cikgu rohani jusoh 2 pupu dgn sy tp dia dah meninggal dunia.
Saya terpempan di depan monitor....... Innalillah.......
Hingga ke malamlah, kenangan tentang Rohani mengelilingi saya.......
Semoga roh Rohani [ yang kata Hasmah, meninggal lima enam tahun lalu] sentiasa dicucuri rahmat dan sentiasa diletakkan bersama roh orang yang beramal soleh. Semoga suami dan tiga anak yang tinggalkan sentiasa tabah dan selalu mendoakan kesejahteraan di alam barzakh isteri dan ibu mereka....
Tahun ini mungkin genap usianya 40 tahun, jika Rohani masih ada......
Rohani, mudanya engkau tatkala dijemput pergi........
Marilah kita hadiahkan bacaan alFatihah untuk arwah Rohani Jusoh serta semua rakan, guru dan keluarga yang telah mendahului kita....
No comments:
Post a Comment